Wednesday, June 15, 2022

Kita Tidak Lagi Malu Dengan Rasuah

TIDAK keterlaluan untuk kita merumuskan sifat malu semakin terhakis dalam diri masyarakat apabila ramai yang mula terjebak dalam kancah rasuah, pecah amanah, penyelewengan serta salah guna kuasa. Misalnya, jumlah individu ditahan dan didakwa kerana kes rasuah dan salah guna kuasa semakin bertambah membuktikan ramai yang sudah hilang rasa malu atau tidak lagi menjadikan sifat malu sebagai benteng untuk kekal beramanah dan berintegriti. Ini satu situasi cukup membimbangkan dan sudah semestinya kita tidak mahu imej negara terus tercalar dek masalah rasuah yang semakin serius.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali menzahirkan kebimbangannya terhadap kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang jatuh ke tangga 62 dunia berbanding 57 pada 2020.

Kebimbangan ini ada asasnya kerana meskipun indeks sekadar persepsi, namun jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh merobek dan mencalar nama dan imej negara di mata dunia. Justeru, kita perlu memandang serius penilaian ini dan meneruskan tekad dan iltizam untuk membanteras gejala rasuah di semua peringkat dan dalam kalangan segenap lapisan masyarakat.

Umumnya, antara punca berlaku salah guna kuasa, rasuah dan pengkhianatan dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan hilangnya perasaan malu mereka terhadap jenayah tersebut. Akibat tiadanya rasa malu juga menyebabkan rasuah dan salah guna kuasa sudah menjadi budaya dan amalan biasa dalam dunia pekerjaan mahupun kehidupan seharian.

Tuntasnya, tanpa segan silu, ramai yang mula tamak, bersifat rakus, sanggup menipu dan mengkhianati organisasi, rakyat dan negara demi merebut kekayaan mahupun kuasa. Rasuah sudah tidak lagi dianggap sebagai perbuatan yang keji dan jijik sebaliknya berlaku secara terang-terangan dan pelaku juga semakin berani dan sedikit pun rasa tidak bersalah. Misalnya, hilang rasa malu sehingga ada yang tergamak meminta suapan bagi pengurusan jenazah.

Ironinya, walaupun kita sedia maklum bahawa rasuah adalah salah di sisi undang-undang bahkan juga dari segi agama, namun amalan itu tetap terus berleluasa. Malah rasuah juga sudah tidak kenal agama dan bangsa serta kedudukan mahupun jantina. Boleh dikatakan hampir semua lapisan dan kategori masyarakat terlibat dalam gejala rasuah.

Buktinya, kes rasuah yang didedahkan menunjukkan ia membabitkan individu dari semua agama dan kaum baik lelaki mahupun wanita serta turut melibatkan individu bergelar Datuk, berkedudukan tinggi dalam masyarakat mahupun berjawatan tinggi dalam sesebuah organisasi. Persoalannya, mana rasa malu mereka sehingga sanggup terlibat dalam gejala rasuah dan mengkhianati amanah yang diberikan? Mana pula hilangnya rasa malu dalam kalangan individu yang sentiasa mencari ruang dan mengambil kesempatan untuk menyogok dan menawarkan pelbagai pakej rasuah demi manfaat dan kepentingan peribadi?

Jelas sekali masalah rasuah semakin memudaratkan sekali gus memerlukan jalan penyelesaian lebih proaktif, agresif dan bersistematik supaya kita dapat mendidik dan membentuk warganegara yang hidup berpaksikan nilai-nilai integriti tinggi dan terpuji.

PERHIASAN DIRI
Justeru, antara kaedah terbaik untuk kita membanteras gejala rasuah adalah melalui penerapan sifat malu dalam kalangan rakyat supaya mampu menolak rasuah baik sebagai pemberi mahupun penerima. Hakikatnya, sifat malu yang kuat dan menebal dalam diri seseorang individu mampu mengawal diri sekali gus sentiasa mendorong kita untuk tidak melakukan perkara terkutuk atau tercela seperti menerima mahupun menawarkan rasuah.

Islam sangat mementingkan sifat malu kerana ia boleh mengukuhkan lagi pegangan akidah dan memandu pelaksanaan ibadah seseorang Muslim. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: “Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (Riwayat al-Hakim). Nabi SAW juga mengingatkan kita: “Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.” (Riwayat al-Bukhari).

Sifat malu sepatutnya menjadi benteng dan perhiasan diri yang penting dalam memupuk gaya hidup berintegriti dengan menolak budaya rasuah dan salah guna kuasa walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Sifat malu juga boleh menjadi benteng ampuh untuk menolak segala godaan berbentuk pelbagai pakej tawaran rasuah yang lumayan.

Untuk itu, kita perlu memastikan sifat malu ini dapat dipupuk sejak kecil oleh ibu bapa kerana ia akan menjaga diri anak apabila meningkat dewasa mahupun ketika berjauhan daripada ibu bapa kelak. Ringkasnya, sifat malu boleh menjadi alat kawalan diri mujarab yang mampu mencegah segala bentuk jenayah mahupun salah laku.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan besar untuk memupuk dan menerapkan sifat malu dalam diri anak terutama malu terhadap segala bentuk salah laku mahupun perbuatan yang boleh menghancurkan masa depan mereka di samping mengkhianati rakyat dan negara.

Dalam konteks ini, besarlah harapan kita agar ibu bapa dapat memainkan peranan signifikan dalam melahirkan generasi masa depan yang malu membuat salah, hidup berintegriti dan mempunyai nilai daya tahan serta jati diri yang membolehkan mereka menolak budaya rasuah dalam kehidupan seharian.

Rasuah dan salah guna kuasa yang sedang berleluasa dan mencengkam negara kita pada ketika ini boleh dielak dan dijauhi jika setiap seorang daripada kita ada rasa malu terhadap diri sendiri, keluarga, agama, masyarakat dan negara. Sifat malu perlu menjadi perisai dan identiti seluruh rakyat kerana ia akan membantu menyuburkan budaya integriti tinggi seterusnya boleh melahirkan masyarakat dan negara yang bebas rasuah. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment