Saturday, June 25, 2022

Bekas KPN Dedah 15 Pusat Hiburan Jadi ‘Port’ Edar, Ambil Dadah

KUALA LUMPUR: Bekas ketua polis negara, Musa Hassan mendedahkan sekurang-kurangnya 15 pusat hiburan sekitar ibu kota dikesan menjalankan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah didalangi pemilik dan sindiket.

Katanya, lebih menyedihkan tiada sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap pusat hiburan terbabit yang semakin bermaharajalela.

“Berdasarkan maklumat dan risikan kita, pusat hiburan ini beroperasi secara curi-curi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ketika fasa endemik, mereka meneruskan aktiviti hiburan hingga lewat pagi.

“Premis ini berkonsepkan hiburan muzik techno atau rancak yang sesuai untuk mereka berseronok dengan mengambil dadah jenis ketamin, kokain, ekstasi, syabu dan jus buah-buahan bercampur serbuk dadah,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan senarai semua 15 pusat hiburan terbabit yang konon dilindungi pihak berkuasa kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, dalam masa terdekat.

“Selain senarai pusat hiburan ini, kita akan turut menyerahkan nama pemilik dan nama orang perantara yang mewakili pusat hiburan berkenaan kepada Ayob serta nama-nama segelintir pihak berkuasa yang melindungi mereka selepas menerima habuan,” katanya.

Ditanya mengapa senarai berkenaan tidak diserahkan kepada polis kontinjen Kuala Lumpur, Musa menyatakan pihaknya lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Ayob.

Katanya, pusat hiburan itu turut menawarkan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga Vietnam, Thailand dan Uzbekistan yang dilindungi pemilik premis disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah.

Katanya, langkah paling berkesan untuk membanteras kegiatan itu adalah dengan menempatkan pegawai dan anggota polis serta kereta peronda di semua 15 pusat hiburan terbabit bagi memastikan mereka tidak beroperasi secara salah.

“Saya tak nafikan ada antara pusat hiburan ini sudah diserbu namun mereka akan kembali beroperasi pada keesokannya dan kembali meneruskan aktiviti penyalahgunaan dadah. Malah, peralatan dan sistem audio yang dirampas akan dikembalikan dalam sekelip mata,” katanya. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment