Tuesday, June 14, 2022

India Roboh Rumah Pemimpin Islam

SRINAGAR: Pasukan keselamatan India bertindak merobohkan kediaman beberapa individu selepas didakwa terlibat dalam himpunan bantahan penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Jurucakap parti Bharatiya Janata (BJP) memaklumkan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adiyanath mengarahkan pihak berkuasa melakukan kerja-kerja meroboh ke atas kediaman individu yang terlibat dalam himpunan minggu lalu.

Sebuah rumah yang dirobohkan adalah milik pemimpin tempatan, Javed Ahmed Khan dan anak perempuannya, Afreen Fatima yang merupakan aktivis hak asasi wanita Islam.

Dilaporkan, kerja pencerobohan kediaman itu dilakukan di tengah-tengah kehadiran ramai polis.

Selain itu, dua lagi kediaman turut diroboh kerana individu terbabit didakwa terlibat dalam himpunan selain membaling batu ke arah pasukan keselamatan.

Penasihat media kepada Adiyanath iaitu Mrityunjay Kumar, memuat naik sekeping gambar memaparkan sebuah jentolak sedang merobohkan sebuah bangunan kediaman.

Beberapa pemimpin pembangkang menganggap tindakan pentadbiran Adiyanath tidak mengikut Perlembagaan.

Jindal mengakui ahli keluarganya menghadapi ancaman berterusan dan beberapa pengikutnya mendakwa bom berjaya dimatikan berhampiran kediamannya di New Delhi.

Setakat ini, Modi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung himpunan tersebut.

Pihak berkuasa di Bengal Barat menguatkuasakan darurat yang melarang perhimpunan awam di daerah perindustrian Howrah sehingga 16 Jun ini.

Umat Islam berhimpun di jalanan di seluruh negara sejak beberapa hari lalu untuk membantah kenyataan berbentuk penghinaan dibuat oleh dua pegawai parti BJP, Nupur Sharma dan Naveen Kumar Jindal mengenai Nabi Muhammad.

Susulan kenyataan itu, BJP menggantung keahlian Sharma dan memecat Jindal selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi yang membangkitkan kemarahan negara Islam lain sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik.

BJP menegaskan partinya menentang sebarang ideologi yang menghina atau meremehkan mana-mana agama.

Polis memfailkan kes terhadap Sharma dan Jindal kerana didakwa menyebarkan kebencian.

Malah, dalam usaha meredakan kemarahan negara Islam, diplomat India tampil menjelaskan kenyataan kedua-dua individu itu tidak mencerminkan langsung pendirian kerajaan India.

Kumpulan Islam menuntut penahanan dua bekas pegawai BJP itu manakala beberapa kumpulan Hindu lain pula melabel mereka sebagai ahli politik berani dan nasionalis.

Pertempuran berlaku antara penduduk Islam dan Hindu serta dalam beberapa insiden perbalahan terjadi antara polis dan individu yang terlibat dalam himpunan itu di beberapa kawasan.

Polis di Uttar Pradesh dilaporkan menahan lebih 300 orang yang mempunyai kaitan dengan himpunan berkenaan.

Sebilangan komuniti minoriti Islam di India menyifatkan insiden itu sebagai tekanan dan penghinaan terbaharu di bawah peraturan BJP membabitkan beberapa isu daripada kebebasan beribadat hingga pemakaian hijab.

* REMAJA DITAHAN
Di wilayah Kashmir ditadbir India, polis menahan seorang remaja selepas memuat naik sebuah video mengancam akan memenggal kepala bekas jurucakap parti pemerintah BJP yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad.

Video itu yang tular dalam YouTube bagaimanapun sudah dipadam oleh pihak berkuasa dalam usaha mengekang pergolakan agama yang tersebar di seluruh negara. – REUTERS

No comments:

Post a Comment