Thursday, June 30, 2022

Terbongkar Semua Dari Mulut Tajuddin

Terbongkar semua. Kita faham macam mana mulut Tajuddin Abdul Rahman apabila beliau memberi reaksi kepada isu semasa.

Dahulu kita macam percaya dan tidak, tapi setelah dipecat daripada jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno barulah semua terlondeh dikerjakan oleh Tajuddin, yang juga duta Malaysia ke Indonesia.

Tidak ramai yang macam Tajuddin dalam MKT. Semuanya mengangguk walaupun ada yang tidak setuju.

Jelas semua keputusan dibuat atas desakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid selalu berkata, saya bertindak atas keputusan MKT. Memang betul. Tetapi, kata Tajuddin, ia dibuat atas desakan presiden.

Rupanya Tajuddin juga menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Anwar Ibrahim untuk menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Kemudian beritahu Perhimpunan Agung Umno (PAU) bahawa parti Melayu itu menolak DAP, PKR dan Bersatu. Naik semangat para perwakilan.

Semua pihak yang namanya disebut menafikan. Alih-alih semuanya betul.

Rakyat nak percaya yang mana satu? Ahli Umno nak percaya pemimpin mana?

Pendedahan Tajuddin itu juga disahkan oleh Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin semalam yang Anwar sanggup bekerjasama dengan Zahid, Najib Razak dan kumpulan kluster mahkamah Umno semata-mata untuk menjadi perdana menteri.

Walaupun kerjasama itu tetap gagal untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri, terbukti presiden PKR itu mempunyai sejarah bekerjasama dengan kluster mahkamah Umno.

Dan kita menjadi tertanya-tanya apakah janji yang ditaburkan kepada Zahid dan Najib sehingga mereka sanggup menyokong Anwar.

Dalam satu laporan media pada Isnin, Anwar berkata desakan untuk membubarkan parlimen supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat diadakan lebih awal adalah tindakan terdesak beberapa pemimpin Umno untuk melepaskan diri masing-masing daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka.

"Sebab apa parlimen nak bubar? Sebab kluster mahkamah nak settle (selesaikan) kes dia.

"Ingat kalau dia menang PRU, dia boleh tutup kes. Jadi, rasional bubar itu kita pertikaikan," katanya kepada pemberita.

Untuk selamatkan keadaan
Disebabkan Anwar juga kini kelihatan seperti menentang kluster mahkamah Umno, tiada alasan lagi untuk PKR bekerjasama dengan parti-parti di luar Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kluster mahkamah tidak kembali berkuasa.

Jika mahu ungkit peristiwa silam, ramai juga yang boleh mengungkit bagaimana Anwar sanggup bekerjasama dengan pengkhianat kepada rakyat Malaysia seperti Najib yang sudah dibuktikan bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes SRC International.

Jangan terus berlegar dengan permainan istilah politik yang tidak berkesudahan.

Pengkhianatan berlaku pada semua peringkat kehidupan.

Tambah lagi dalam politik. Bukan kita menghalalkan kemungkaran, tetapi dalam situasi tertentu ia untuk menyelamatkan keadaan. - SELAMAT BUANG

Wednesday, June 29, 2022

Zahid Bohong “No DAP, NO Anwar”, Kasihan Ahli UMNO

Walaupun, pemimpin UMNO melaung-laungkan “No DAP, No Anwar” sebaliknya mereka menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu mengakui beliau adalah salah seorang yang diminta menandatangani SD kerjasama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau terpaksa akur pada arahan dan menandatangani SD itu selepas bermasam muka dengan Zahid kerana tidak menyokong Anwar.

“Saya saksi hidup. Faham tak saksi hidup? Memang ada SD yang ditandatangani menyokong Anwar sebagai perdana menteri (PM). Surat ditulis kepada istana memang ada. Saya pun digesa. (Tetapi) saya tak nak. Saya kata saya tak nak.

“Tapi akhir sekali dah sampai bermasam muka, saya tandatangan jugalah. Ma­cam mana kata tak ada? Saya saksi hidup.

“Bila dia (Zahid) dipersoalkan dia jawab No DAP No Anwar? Bohong… dia berbohong kepada ahli UMNO. Ramai yang tak tahu. Kesian ahli-ahli UMNO di bawah,” katanya pada sidang media, semalam.

Kerjasama “cikgu dan anak murid” itu bukan perkara baharu, malah Agenda Daily pada 7 April tahun lalu pernah mendedahkan klip audio perbualan Zahid dan Anwar semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang diadakan penghujung Mac 2021.

Perbualan kedua-dua mereka sangat mesra dengan saling bertukar-tukar pandangan berhubung ucapan perwakilan UMNO semasa PAU berlangsung.

“Saya dah 22 tahun baru saya follow (mengikuti) Perhimpunan Agung UMNO,” kata Anwar sambil ketawa semasa awal perbualan.

Klip audio tersebut berdurasi 4 minit lebih.

Zahid kemudiaan menjelaskan kepada Anwar tentang ucapannya semasa PAU itu adalah sebahagian daripada strategi, ia dipercayai merujuk kepada kenyataan “No Anwar, No DAP, No Bersatu” dalam ucapan dasarnya semasa PAU.

“Don’t worry that is only tactical ok (jangan risau, itu hanya strategi),” balas Zahid kepada Anwar.

Tajuddin digugurkan daripada UMNO, dengan surat pemakluman dikeluarkan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan Selasa lalu.

Selain itu, Tajuddin juga mendedahkan ada gerakan yang diketuai Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Zahid berundur daripada jawatan Presiden UMNO.

Turut terlibat dalam perbincangan itu, beberapa pimpinan tertinggi termasuk Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Tok Mat dan Bossku (Najib) dan lain-lain yang saya sebutkan tadi kita nak buat satu memorandum. Ia pada Mei 2020 dan perhimpunan itu dibuat di rumah saya.

“Kita nak minta dia turun secara baik. Kita tak naklah ten­dang-tendang. Minta kita buat tinjauan ketua-ketua bahagian.

“Berapa ketua bahagian yang setuju? Saya ingat 130 orang ketua bahagian. Perak 18 orang ketua bahagian,” katanya.

Krisis politik tahun lalu berpunca daripada Zahid bersama 15 MP UMNO lain mengkhianati sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga terpaksa meletak jawatan PM pada 16 Ogos.

Susulan kekosongan jawatan PM yang dilepaskan Muhyiddin, Istana Negara meminta semua parti politik sebelah kerajaan dan pembangkang untuk memilih calon PM masing-masing.

Nama Ismail Sabri dicalonkan Bersatu dan PAS sebagai pengganti Muhyiddin, bagaimanapun UMNO ketika itu masih belum memuktamadkan calon utama mereka.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berjaya memperoleh majoriti untuk dilantik menjadi PM menggantikan Muhyiddin. - agendadaily.com

Berita berkaitan: Tular klip audio Anwar, Zahid bincang strategi semasa PAU

UMNO Bukan Nak Tadbir Negara, Kata Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri (PM) dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas kepemimpinan UMNO yang hanya memainkan isu pertukaran PM berbanding untuk mentadbir negara.

“Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” katanya diminta mengulas pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam.

Dr Mahathir berkata pendedahan itu menunjukkan banyak perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Tanpa memperincikan mana-mana parti politik, beliau berkata pertukaran PM menjadi isu yang dimainkan pihak terbabit bagi menarik sentimen rakyat.

“Nampak banyak perkara berlaku yang disembunyi daripada rakyat. Ada pakatan usaha untuk adakan seorang Perdana Menteri baharu, jadi mereka main isu tukar pendana menteri.

“Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” katanya menurut BH.

Terdahulu Dr Mahathir hadir di Jabatan Peguam Negara untuk memberi keterangan berkaitan isu Batu Puteh kepada Pasukan Petugas Khas Batu Puteh, namun tidak berbuat demikian setelah mengetahui bekas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali masih menjadi pengerusi pasukan itu.

Semalam, Tajuddin yang disingkir daripada Majlis Tertinggi (MT) UMNO mendakwa segala keputusan mesyuarat MT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MT, sebaliknya adalah kehendak Zahid sendiri.

Ahli Parlimen Pasir Salak turut mendedahkan Zahid mengetuai bagi menandatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai PM.

Tajuddin turut mendakwa Zahid juga tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM kerana beliau tidak diberi ruang menggalas jawatan itu. - agendadaily.com

Saturday, June 25, 2022

Saudi Dipujuk AS Untuk Halalkan LGBT

WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken di dalam satu temuramah telah mendedahkan bahawa beliau sering membangkitkan isu hak-hak LGBT dengan Menteri Luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al-Saud.

Menurut Blinken, beliau membangkitkan isu mengenai hak-hak LGBT di Arab Saudi pada setiap pertemuan serta setiap perbualannya dengan Faisal bin Farhan Al-Saud. Walaupun penekanan diberikan terhadap isu-isu berkenaan hak-hak LGBT di negara itu, namun Blinken juga memaklumkan bahawa hak asasi manusia hanyalah satu bahagian daripada polisi luar AS.

Blinken mengeluarkan kenyataan sedemikian ketika Jabatan Negeri AS buat pertama kalinya mengadakan sesi taklimat jabatan tersebut untuk para wartawan LGBTQI. Dalam sesi taklimat itu juga, Blinken memaklumkan bahawa beliau menyokong tindakan Presiden AS, Joe Biden dalam lawatannya ke Arab Saudi.

Joe Biden dijadualkan akan melawat Arab Saudi pada Julai ini. Penasihat-penasihat hak asasi manusia serta beberapa rakan sekutu parti Demokratik telah mewaspadai Biden berkenaan lawatan tersebut kerana menurut mereka, jika lawatan tersebut diteruskan dalam keadaan Arab Saudi masih tidak memberi komitmen berkenaan hak asasi manusia, maka ianya akan memberi mesej bahawa tiada sebarang akibat yang akan berlaku terhadap negara-negara yang menzalimi hak asasi manusia.

Presiden AS tersebut sebelum ini pernah menggelarkan Arab Saudi sebagai “Pariah” berikutan kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di kedutaan Arab Saudi di Istanbul.

AS sebelum ini bersifat kritikal terhadap Arab Saudi berikutan polisi-polisi negara Islam tersebut yang tidak menepati tahap hak-hak kemanusiaan yang dianjurkan oleh AS. Misalnya Senator AS, Bernie Sanders pernah menyifatkan negara tersebut dengan “brutal dictatorship” yang melayan wanita sebagai “warganegara kelas ketiga”.

Blinken dalam taklimatnya juga memaklumkan bahawa pentadbiran negara AS kini sedang berusaha untuk menentu ukur semula hubungan di antara negara tersebut dengan Arab Saudi pada perkara yang berkaitan dengan perkembangan memajukan agenda homoseksual. - samudera.my

Bekas KPN Dedah 15 Pusat Hiburan Jadi ‘Port’ Edar, Ambil Dadah

KUALA LUMPUR: Bekas ketua polis negara, Musa Hassan mendedahkan sekurang-kurangnya 15 pusat hiburan sekitar ibu kota dikesan menjalankan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah didalangi pemilik dan sindiket.

Katanya, lebih menyedihkan tiada sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap pusat hiburan terbabit yang semakin bermaharajalela.

“Berdasarkan maklumat dan risikan kita, pusat hiburan ini beroperasi secara curi-curi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ketika fasa endemik, mereka meneruskan aktiviti hiburan hingga lewat pagi.

“Premis ini berkonsepkan hiburan muzik techno atau rancak yang sesuai untuk mereka berseronok dengan mengambil dadah jenis ketamin, kokain, ekstasi, syabu dan jus buah-buahan bercampur serbuk dadah,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan senarai semua 15 pusat hiburan terbabit yang konon dilindungi pihak berkuasa kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, dalam masa terdekat.

“Selain senarai pusat hiburan ini, kita akan turut menyerahkan nama pemilik dan nama orang perantara yang mewakili pusat hiburan berkenaan kepada Ayob serta nama-nama segelintir pihak berkuasa yang melindungi mereka selepas menerima habuan,” katanya.

Ditanya mengapa senarai berkenaan tidak diserahkan kepada polis kontinjen Kuala Lumpur, Musa menyatakan pihaknya lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Ayob.

Katanya, pusat hiburan itu turut menawarkan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga Vietnam, Thailand dan Uzbekistan yang dilindungi pemilik premis disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah.

Katanya, langkah paling berkesan untuk membanteras kegiatan itu adalah dengan menempatkan pegawai dan anggota polis serta kereta peronda di semua 15 pusat hiburan terbabit bagi memastikan mereka tidak beroperasi secara salah.

“Saya tak nafikan ada antara pusat hiburan ini sudah diserbu namun mereka akan kembali beroperasi pada keesokannya dan kembali meneruskan aktiviti penyalahgunaan dadah. Malah, peralatan dan sistem audio yang dirampas akan dikembalikan dalam sekelip mata,” katanya. - freemalaysiatoday.com

Friday, June 24, 2022

Mahkamah Persekutuan: Kenapa Kita Mesti Ikut Precedent Import Dari India?

KUALA LUMPUR – “Badan kehakiman hanyalah mempertahankan fungsi kehakimannya dengan mengikuti duluan atau precedent yang sudah ditetapkan dalam membuat keputusan mengenai isu Perlembagaan,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika berucap pada sambutan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) pada Sabtu lalu.

Peguam, Lukman Sheriff Alias mempersoalkan kenapa mahkamah perlu ikut precedent yang diimport dari India?

Katanya precedent yang dirujuk oleh Yang Amat Arif dan diikuti oleh mahkamah sememangnya wujud, tetapi ia adalah precedent baru yang diwujudkan oleh mahkamah sejak sekitar 2018.

Menurutnya lagi, sebelum wujudnya precedent baru ini telah wujud precedent yang menolak doktrin ‘basic structure’.

“Sebelum ini dah ada precedent berpuluh-puluh tahun menolak doctrine ‘basic structure’ ini yang dipegang oleh banyak hakim Agung kita. Kenapa kita perlu ikut precedent yang diimport dari India.”

Tambahnya lagi, doktrin yang digunapakai oleh mahkamah sekarang membuatkan undang-undang tidak boleh dicabar dan diubah.

Tegasnya, setiap undang-undang mesti bertanggungjawab kepada rakyat.

Sebelum ini, Lukman pernah menerangkan apa itu doktrin ‘basic structure’ dan apa implikasinya kepada Perlembagaan dan negara. - samudera.my

Thursday, June 16, 2022

Selama ini Kami Kat Johor OK jer.....!

Perubahan cuti hujung minggu akan beri manfaat kepada Johor, kata ahli ekonomi
GEORGE TOWN: Dua ahli ekonomi meramalkan keadaan ekonomi yang lebih baik di Johor sekiranya negeri itu menukar cuti hujung minggunya daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad.

Yeah Kim Leng dari Sunway University dan Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkata, adalah masuk akal bagi Johor untuk menyelaraskan hari bekerjanya dengan kawasan perindustrian di pantai barat dan negara jiran.

Mereka mengulas laporan berita semalam yang mengatakan kerajaan Johor mengkaji kemungkinan membuat perubahan itu bagi menangani masalah yang timbul akibat hari cuti yang berbeza untuk kakitangan kerajaan dan swasta.

Kakitangan kerajaan di negeri itu cuti pada Sabtu dan Ahad sehingga 2014, sebelum istana negeri mengeluarkan titah untuk mengubahnya.

Yeah berkata, hujung minggu yang sama untuk sektor awam dan swasta akan meningkatkan kecekapan pentadbiran, kerja dan operasi kedua-dua sektor di negeri itu.

“Memandangkan negeri ini adalah sebahagian daripada kawasan perindustrian pantai barat, langkah untuk mengembalikan semula hujung minggu kepada Sabtu-Ahad akan menyelaraskan Johor dengan negeri lain,” katanya.

Katanya, tindakan mengubah semula hari hujung minggu akan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan dengan Singapura dan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan perniagaan.

“Hujung minggu yang berbeza juga kurang kondusif untuk merancang dan menjadualkan acara hujung minggu yang melibatkan peserta daripada sektor awam dan sektor swasta.”

Katanya, hujung minggu biasa akan membolehkan aktiviti sosial seperti sukan dan majlis perkahwinan diatur dengan lebih mudah dan mengurangkan konflik dalam jadual, sekali gus meningkatkan perniagaan dalam industri riadah, penginapan, hotel, restoran dan pelancongan.

Barjoyai berkata, jadual kerja Ahad hingga Khamis mengasingkan Johor daripada aktiviti ekonomi utama di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia dan juga Singapura serta Indonesia.

“Jika negeri ini kembali kepada jadual Isnin hingga Jumaat, ia akan menghapuskan percanggahan tiga hari dan akan menjadi lebih produktif atau sekurang-kurangnya produktif seperti negeri dan negara jiran,” katanya merujuk kepada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Semalam, Bernama melaporkan semua ADUN Pakatan Harapan (PH) dan Muda di Johor menyuarakan sokongan terhadap langkah untuk mengkaji hari cuti di negeri itu. - freemalaysiatoday.com

Wednesday, June 15, 2022

Kita Tidak Lagi Malu Dengan Rasuah

TIDAK keterlaluan untuk kita merumuskan sifat malu semakin terhakis dalam diri masyarakat apabila ramai yang mula terjebak dalam kancah rasuah, pecah amanah, penyelewengan serta salah guna kuasa. Misalnya, jumlah individu ditahan dan didakwa kerana kes rasuah dan salah guna kuasa semakin bertambah membuktikan ramai yang sudah hilang rasa malu atau tidak lagi menjadikan sifat malu sebagai benteng untuk kekal beramanah dan berintegriti. Ini satu situasi cukup membimbangkan dan sudah semestinya kita tidak mahu imej negara terus tercalar dek masalah rasuah yang semakin serius.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali menzahirkan kebimbangannya terhadap kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang jatuh ke tangga 62 dunia berbanding 57 pada 2020.

Kebimbangan ini ada asasnya kerana meskipun indeks sekadar persepsi, namun jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh merobek dan mencalar nama dan imej negara di mata dunia. Justeru, kita perlu memandang serius penilaian ini dan meneruskan tekad dan iltizam untuk membanteras gejala rasuah di semua peringkat dan dalam kalangan segenap lapisan masyarakat.

Umumnya, antara punca berlaku salah guna kuasa, rasuah dan pengkhianatan dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan hilangnya perasaan malu mereka terhadap jenayah tersebut. Akibat tiadanya rasa malu juga menyebabkan rasuah dan salah guna kuasa sudah menjadi budaya dan amalan biasa dalam dunia pekerjaan mahupun kehidupan seharian.

Tuntasnya, tanpa segan silu, ramai yang mula tamak, bersifat rakus, sanggup menipu dan mengkhianati organisasi, rakyat dan negara demi merebut kekayaan mahupun kuasa. Rasuah sudah tidak lagi dianggap sebagai perbuatan yang keji dan jijik sebaliknya berlaku secara terang-terangan dan pelaku juga semakin berani dan sedikit pun rasa tidak bersalah. Misalnya, hilang rasa malu sehingga ada yang tergamak meminta suapan bagi pengurusan jenazah.

Ironinya, walaupun kita sedia maklum bahawa rasuah adalah salah di sisi undang-undang bahkan juga dari segi agama, namun amalan itu tetap terus berleluasa. Malah rasuah juga sudah tidak kenal agama dan bangsa serta kedudukan mahupun jantina. Boleh dikatakan hampir semua lapisan dan kategori masyarakat terlibat dalam gejala rasuah.

Buktinya, kes rasuah yang didedahkan menunjukkan ia membabitkan individu dari semua agama dan kaum baik lelaki mahupun wanita serta turut melibatkan individu bergelar Datuk, berkedudukan tinggi dalam masyarakat mahupun berjawatan tinggi dalam sesebuah organisasi. Persoalannya, mana rasa malu mereka sehingga sanggup terlibat dalam gejala rasuah dan mengkhianati amanah yang diberikan? Mana pula hilangnya rasa malu dalam kalangan individu yang sentiasa mencari ruang dan mengambil kesempatan untuk menyogok dan menawarkan pelbagai pakej rasuah demi manfaat dan kepentingan peribadi?

Jelas sekali masalah rasuah semakin memudaratkan sekali gus memerlukan jalan penyelesaian lebih proaktif, agresif dan bersistematik supaya kita dapat mendidik dan membentuk warganegara yang hidup berpaksikan nilai-nilai integriti tinggi dan terpuji.

PERHIASAN DIRI
Justeru, antara kaedah terbaik untuk kita membanteras gejala rasuah adalah melalui penerapan sifat malu dalam kalangan rakyat supaya mampu menolak rasuah baik sebagai pemberi mahupun penerima. Hakikatnya, sifat malu yang kuat dan menebal dalam diri seseorang individu mampu mengawal diri sekali gus sentiasa mendorong kita untuk tidak melakukan perkara terkutuk atau tercela seperti menerima mahupun menawarkan rasuah.

Islam sangat mementingkan sifat malu kerana ia boleh mengukuhkan lagi pegangan akidah dan memandu pelaksanaan ibadah seseorang Muslim. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: “Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (Riwayat al-Hakim). Nabi SAW juga mengingatkan kita: “Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.” (Riwayat al-Bukhari).

Sifat malu sepatutnya menjadi benteng dan perhiasan diri yang penting dalam memupuk gaya hidup berintegriti dengan menolak budaya rasuah dan salah guna kuasa walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Sifat malu juga boleh menjadi benteng ampuh untuk menolak segala godaan berbentuk pelbagai pakej tawaran rasuah yang lumayan.

Untuk itu, kita perlu memastikan sifat malu ini dapat dipupuk sejak kecil oleh ibu bapa kerana ia akan menjaga diri anak apabila meningkat dewasa mahupun ketika berjauhan daripada ibu bapa kelak. Ringkasnya, sifat malu boleh menjadi alat kawalan diri mujarab yang mampu mencegah segala bentuk jenayah mahupun salah laku.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan besar untuk memupuk dan menerapkan sifat malu dalam diri anak terutama malu terhadap segala bentuk salah laku mahupun perbuatan yang boleh menghancurkan masa depan mereka di samping mengkhianati rakyat dan negara.

Dalam konteks ini, besarlah harapan kita agar ibu bapa dapat memainkan peranan signifikan dalam melahirkan generasi masa depan yang malu membuat salah, hidup berintegriti dan mempunyai nilai daya tahan serta jati diri yang membolehkan mereka menolak budaya rasuah dalam kehidupan seharian.

Rasuah dan salah guna kuasa yang sedang berleluasa dan mencengkam negara kita pada ketika ini boleh dielak dan dijauhi jika setiap seorang daripada kita ada rasa malu terhadap diri sendiri, keluarga, agama, masyarakat dan negara. Sifat malu perlu menjadi perisai dan identiti seluruh rakyat kerana ia akan membantu menyuburkan budaya integriti tinggi seterusnya boleh melahirkan masyarakat dan negara yang bebas rasuah. – UTUSAN

Pekerja Melayu Tempatan Tidak Minat Dengan Sektor F&B Kerana Low Class?

Seorang pengusaha restoran Warung Simple, Wan Arief Ramli berkongsi ragam pekerjanya yang merupakan anak-anak Melayu berwarganegara tempatan kurang berdisiplin ketika memiliki pekerjaan.

Pada Ahad lalu, 12 Jun 2022, beliau menyatakan seramai empat orang pekerjanya tidak datang ke tempat kerja sekali gus menyebabkan rakan sekerja yang lain tidak menang tangan melayan pelanggan.

“Empat orang pekerja tak datang, pekerja tempatan. Dua tutup telefon, satu kantoi pergi ride (menunggang motorsikal secara konvoi) dan satu tipu motorsikal rosak tetapi tidur.

“Kalau cakap nanti, kata nak burukkan anak muda Melayu. Apa yang perlu dibuat? Singkirkan yang negatif dan kita cari team baharu. Inilah cabaran buka restoran,” kongsi Wan Arief Ramli.

Tinjauan Suara Merdeka dibeberapa kedai makan termasuklah kafe dan juga restoren terkenal mendapati sememangnya isu kekurangan pekerja dalam sektor F&B benar-benar terjadi.

Baik restoran makanan segera seperti Mcd, KFC atau Texas Chicken sekali pun, yang menjaga kaunter kadang-kala cuma seorang, itu pun terpaksa berlari ke dapur untuk ambil makanan! - THE PROFESSOR

Tuesday, June 14, 2022

India Roboh Rumah Pemimpin Islam

SRINAGAR: Pasukan keselamatan India bertindak merobohkan kediaman beberapa individu selepas didakwa terlibat dalam himpunan bantahan penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Jurucakap parti Bharatiya Janata (BJP) memaklumkan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adiyanath mengarahkan pihak berkuasa melakukan kerja-kerja meroboh ke atas kediaman individu yang terlibat dalam himpunan minggu lalu.

Sebuah rumah yang dirobohkan adalah milik pemimpin tempatan, Javed Ahmed Khan dan anak perempuannya, Afreen Fatima yang merupakan aktivis hak asasi wanita Islam.

Dilaporkan, kerja pencerobohan kediaman itu dilakukan di tengah-tengah kehadiran ramai polis.

Selain itu, dua lagi kediaman turut diroboh kerana individu terbabit didakwa terlibat dalam himpunan selain membaling batu ke arah pasukan keselamatan.

Penasihat media kepada Adiyanath iaitu Mrityunjay Kumar, memuat naik sekeping gambar memaparkan sebuah jentolak sedang merobohkan sebuah bangunan kediaman.

Beberapa pemimpin pembangkang menganggap tindakan pentadbiran Adiyanath tidak mengikut Perlembagaan.

Jindal mengakui ahli keluarganya menghadapi ancaman berterusan dan beberapa pengikutnya mendakwa bom berjaya dimatikan berhampiran kediamannya di New Delhi.

Setakat ini, Modi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung himpunan tersebut.

Pihak berkuasa di Bengal Barat menguatkuasakan darurat yang melarang perhimpunan awam di daerah perindustrian Howrah sehingga 16 Jun ini.

Umat Islam berhimpun di jalanan di seluruh negara sejak beberapa hari lalu untuk membantah kenyataan berbentuk penghinaan dibuat oleh dua pegawai parti BJP, Nupur Sharma dan Naveen Kumar Jindal mengenai Nabi Muhammad.

Susulan kenyataan itu, BJP menggantung keahlian Sharma dan memecat Jindal selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi yang membangkitkan kemarahan negara Islam lain sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik.

BJP menegaskan partinya menentang sebarang ideologi yang menghina atau meremehkan mana-mana agama.

Polis memfailkan kes terhadap Sharma dan Jindal kerana didakwa menyebarkan kebencian.

Malah, dalam usaha meredakan kemarahan negara Islam, diplomat India tampil menjelaskan kenyataan kedua-dua individu itu tidak mencerminkan langsung pendirian kerajaan India.

Kumpulan Islam menuntut penahanan dua bekas pegawai BJP itu manakala beberapa kumpulan Hindu lain pula melabel mereka sebagai ahli politik berani dan nasionalis.

Pertempuran berlaku antara penduduk Islam dan Hindu serta dalam beberapa insiden perbalahan terjadi antara polis dan individu yang terlibat dalam himpunan itu di beberapa kawasan.

Polis di Uttar Pradesh dilaporkan menahan lebih 300 orang yang mempunyai kaitan dengan himpunan berkenaan.

Sebilangan komuniti minoriti Islam di India menyifatkan insiden itu sebagai tekanan dan penghinaan terbaharu di bawah peraturan BJP membabitkan beberapa isu daripada kebebasan beribadat hingga pemakaian hijab.

* REMAJA DITAHAN
Di wilayah Kashmir ditadbir India, polis menahan seorang remaja selepas memuat naik sebuah video mengancam akan memenggal kepala bekas jurucakap parti pemerintah BJP yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad.

Video itu yang tular dalam YouTube bagaimanapun sudah dipadam oleh pihak berkuasa dalam usaha mengekang pergolakan agama yang tersebar di seluruh negara. – REUTERS

Saturday, June 11, 2022

China Akan Tulis Semula Al-Quran Dan Bible Untuk Seiring Nilai Sosialis?

CHINA – Jawatankuasa Etnik dan Hal Ehwal Agama China dikatakan mengeluarkan arahan supaya kitab-kitab suci bagi agama-agama yang terdapat di China ditulis semula supaya seiring dengan nilai-nilai dan prinsip sosialis yang diamalkan di negara China, lapor Daily Mail.

Menurut seorang pegawai tertinggi Parti Komunis China, versi baharu bagi kitab-kitab suci ini mestilah tidak mempunyai sebarang surah atau ayat yang tidak selari dengan kepercayaan yang dipegang oleh parti tersebut. Mana-mana ayat yang dianggap bertentangan dengan prinsip tersebut akan disunting atau diberikan terjemahan semula yang lebih sesuai dengan dasar yang diamalkan negara tersebut.

Walaupun Al-Quran dan Bible tidak disebutkan secara spesifik di dalam pekeliling itu, namun Parti Komunis menekankan secara langsung bahawa semua kitab-kitab agama yang tidak selari dengan perkembangan semasa perlu dibuat penilaian komprehensif.

Arahan tersebut telah dikeluarkan semasa mesyuarat yang dianjurkan Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama daripada Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China yang ditugaskan untuk menyelia hal ehwal etnik dan agama di China.

Menurut Agensi Berita Xinhua, seramai 16 pakar, penganut dan wakil agama berbeza daripada Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China telah menghadiri mesyuarat persidangan yang diselia oleh Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China, Wang Yang.

Berdasarkan laporan berita tersebut, Wang Yang menggesa pegawai-pegawai pihak berkuasa agama di negara itu untuk membina ‘sistem agama bercirikan Cina.’

“Mereka juga mendakwa bahawa dengan ‘menilai semula’ buku agama, mereka akan menghalang ‘pemikiran melampau’ dan ‘idea sesat’ daripada menghakis negara,” lapor Daily Mail.

Dalam pada itu, Penyelidik China di Amnesty International, Patrick Poon turut memberi maklumat kepada MailOnline mengenai “Rancangan penapisan” yang menunjukkan betapa manipulatifnya kerajaan China yang secara hipokrit membenarkan agama tertentu beroperasi tetapi hanya dengan kandungan yang dibenarkan oleh kerajaan China.

“Dalam banyak cara, kawalan kerajaan China, termasuk penapisan Al-Quran dan Bible, ia telah memutarbelitkan doktrin teks agama ini dan dengan agama itu. Tiada kebebasan beragama yang tulen.”

“Tembolok dokumen yang bocor telah menunjukkan bagaimana kerajaan China menjalankan sistem pusat pendidikan semula untuk mengindoktrinasi orang Islam di wilayah barat jauh Xinjiang.”

Susulan itu, Daily Mail turut memaklumkan bahawa, pakar dan aktivis PBB mendakwa sekurang-kurangnya satu juta etnik Uyghur dan Muslim lain ditahan di pusat tahanan di Xinjiang.

“Bekas tahanan mendakwa bahawa orang Islam dipaksa makan daging babi dan berbahasa Mandarin di kem tahanan tersebut.”

Walau bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuan menafikan serta menuduh dokumen yang ditularkan itu merupakan satu kempen bagi memburukkan China dalam usaha penentangan keganasan dan ekstrimisme di Xinjiang China.

Pejabat Kedutaan China di London turut menafikan kewujudan dokumen tersebut dan memaklumkan bahawa apa yang ditularkan serta diberitakan oleh agensi-agensi berita luar negara merupakan berita palsu yang diada-adakan. - samudera.my

Friday, June 10, 2022

Haramkan Solat Jumaat, Robohkan Masjid Pakai Bulldozer – Pelampau Hindu

ALIGARH – “Jumaat bukanlah hari untuk bersolat tetapi hari keganasan. Maksudnya jemaah yang berkumpul atas nama menunaikan solat tetapi tidak melakukannya, ada tujuan untuk bunuh penganut-penganut agama lain, bakar harta benda, merompak, membuat gangguan dan sebagainya.”

Ini merupakan kenyataan dari seorang aktivis dari kumpulan Akhil Bharat Hindu Mahasabha (ABHM), Pooja Shakun Pandey baru-baru ini bagi menuntut solat Jumaat diharamkan.

Dalam sebuah surat yang dialamatkan kepada Presiden India, Ram Nath Kovind baru-baru ini, menggunakan darahnya sebagai dakwat tulisan, Pooja Shakun Pandey menuntut tiga perkara.

“Demi kepentingan awam, Hindu Mahasabha menuntut daripada kamu: Pertama, haramkan himpunan lebih daripada sepuluh orang jemaah pada hari Jumaat di surau dan lebih dari 25 jemaah di masjid. Ini bermaksud, haramkan sebarang solat jemaah pada hari Jumaat kerana menyebarkan perpecahan, dan memberi ucapan keagamaan yang berbentuk anti nasional.”

Kedua, ahli kumpulan sayap kanan Hindu itu menuntut agar perlu ada tindakan segera ke atas ulama dan pendakwah di bawah Akta Keselamatan Negara (NSA).

“Tuntutan kami yang ketiga adalah, pada hari Jumaat, setiap kali ada rusuhan selepas ucapan keagamaan, masjid itu perlu dirobohkan dengan bulldozer.”

Akhil Bharat Hindu Mahasabha (ABHM) mendesak kesemua tuntutan ini dilaksanakan secepat mungkin.

Susulan kecaman masyarakat Islam antarabangsa atas isu penghinaan Nabi Muhammad S.A.W. dan kezaliman pelampau Hindu terhadap umat Islam India baru-baru ini, Kedutaan Besar India di Malaysia tampil ke hadapan menegaskan bahawa kerajaan India sangat menghormati semua agama. - samudera.my

Thursday, June 9, 2022

Inflasi: Saiz Pakej Semakin Mengecil Dan Pengguna Tidak Nampak

Ia adalah tindakan yang anda tidak sepatutnya nampak. Adakah ianya turut berlaku terhadap beberapa barangan di Malaysia?

Daripada kertas tisu tandas kepada yogurt dan kopi kepada kerepek jagung, pengeluar secara senyap-senyap mengecilkan saiz pakej tanpa menurunkan harga. Ia digelar ‘pengecutan’, dan semakin berkembang pesat di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat (AS) kotak kecil Kleenex kini mempunyai 60 tisu. Beberapa bulan lalu, ia mempunyai 65 helai. Yoghurt Chobani Flips telah menyusut daripada 5.3 auns kepada 4.5 auns.

Di United Kingdom, Nestle mengurangkan tin kopi Nescafe Azera Americano daripada 100 gram kepada 90 gram.

Di India, sabun pinggan mangkuk Vim telah menyusut daripada 155 gram kepada 135 gram.

‘Pengecutan’ bukan perkara baru, kata pakar. Tetapi ia berkembang pesat pada masa inflasi yang tinggi apabila syarikat bergelut dengan peningkatan kos untuk bahan, pembungkusan, buruh dan pengangkutan.

Inflasi harga pengguna global meningkat sebanyak 7 peratus pada bulan Mei, kadar yang mungkin akan berterusan hingga September, menurut S&P Global.

“Ia datang dalam gelombang. Kita kebetulan berada dalam gelombang pasang surut pada masa ini kerana inflasi,” kata Edgar Dworsky, seorang peguam bela pengguna dan bekas penolong peguam negara di Massachusetts yang telah mendokumentasikan ‘pengecutan’ di laman web Dunia Penggunanya selama beberapa dekad.

Dworsky mula melihat kotak-kotak yang lebih kecil di bahagian jualan bijirin pada musim gugur lalu, dan ‘pengecutan’ telah meningkat dari situ.

Dia boleh memetik berpuluh-puluh contoh, daripada kertas tandas Cottonelle Ultra Clean Care, yang telah mengecut daripada 340 helai setiap gulung kepada 312 helai, kepada kopi Folgers yang mengecilkan bekas 51 aunnya kepada 43.5 aun tetapi masih mengatakan ia akan menghasilkan sehingga 400 cawan . (Folgers mengatakan ia menggunakan teknologi baharu yang menghasilkan kacang yang lebih ringan.)

Dworsky berkata ‘pengecutan’ menarik minat pengeluar kerana mereka tahu pelanggan akan melihat kenaikan harga tetapi tidak akan menyemak berat bersih atau butiran kecil, seperti bilangan helaian pada segulung kertas tandas.

“Syarikat juga boleh menggunakan helah untuk menarik perhatian daripada mengecilkan saiz, seperti menandakan pakej yang lebih kecil dengan label baharu yang terang yang menarik perhatian pembeli,” katanya.

Sesetengah pelanggan yang menyedari pengecilan saiz berkongsi contoh di media sosial. Yang lain berkata penyusutan menyebabkan mereka mengubah tabiat membeli-belah.

Hitendra Chaturvedi, seorang profesor pengurusan rantaian bekalan di Carey School of Business, Arizona State University berkata beliau tidak terkejut lagi banyak syarikat sedang bergelut dengan kekurangan buruh dan kos bahan mentah yang lebih tinggi.

Tetapi dalam beberapa kes, keuntungan syarikat – atau jualan ditolak kos menjalankan perniagaan – juga meningkat dengan pesat, dan Chaturvedi mendapati perkara itu merisaukan.

Dia memberikan contoh Mondelez International, yang mengecilkan saiz coklat Cadbury Dairy Milk di U.K. tanpa menurunkan harga. – Agensi