Saturday, August 14, 2021

Kebanyakan Rekabentuk Perumahan Amat Mengecewakan....

Pemaju perlu tingkatkan pembinaan rumah mampu milik

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengawal jenis rumah yang dibina oleh pemaju perumahan supaya orang ramai terutama golongan muda masih berkemampuan untuk memiliki hartanah dalam situasi pandemik ini.

Hal ini kerana harga median hartanah meningkat yang mungkin disebabkan keghairahan pemaju membina perumahan mewah dan kurang berminat menyediakan pilihan perumahan mampu milik kepada rakyat Malaysia.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bekalan rumah yang diperlukan oleh rakyat Malaysia masih belum mencukupi tetapi banyak pula rumah yang tidak mampu dibeli oleh rakyat.

“Keseimbangan permintaan dan penawaran terganggu ketika ini disebabkan keadaan itu. Malah, pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan pastinya lebih sulit dengan kejatuhan median pendapatan.

“Kerajaan juga boleh memberikan subsidi kepada pemaju dan juga pengecualian cukai terhadap isi rumah berdasarkan pembayaran pinjaman rumah kepada bank. Inisiatif ini lebih mudah dan tidak membebankan pengguna.

“Selain itu, bagi mendorong pembelian hartanah, pinjaman perumahan yang diberikan pihak bank mesti dipermuda terutama kepada pembeli hartanah kali pertama.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, median harga permintaan untuk hartanah di Kuala Lumpur meningkat 5.9 peratus kepada AS$421,301 (RM1.78 juta) pada Julai berbanding suku pertama 2020.

Peningkatan tersebut meletakkan Kuala Lumpur pada tempat ke-15 dalam kedudukan kenaikan harga rumah mengikut bandar dalam laporan kajian hartanah yang diterbitkan Juwai IQI Holdings.

Walaupun harga hartanah meningkat, aktiviti hartanah di ibu negara berkurang manakala transaksi berkurang sebanyak 12 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu namun tetap optimis dengan kadar vaksinasi negara yang memberangsangkan.

Menurut Aimi Zulhazmi, jualan hartanah di segmen lain tidak begitu memberangsangkan kerana suasana ekonomi yang tidak menentu walaupun bank mempunyai kecairan tunai yang tinggi.

Jelasnya, jualan secara langsung melalui bilik pameran tidak dapat dijalankan dan lebih bergantung kepada jualan secara maya selain proses pembiayaan pinjaman juga perlahan kerana had aktiviti yang terhad sama ada di firma guaman, pejabat tanah atau pejabat kerajaan tempatan.

“Mungkin nilai rantaian lebih menumpukan kepada jualan hartanah bernilai tinggi kerana pendapatan yang lebih lumayan berdasarkan peratusan ke atas jumlah nilai transaksi.

“Selain itu, harga bahan pembinaan rumah juga meningkat berdasarkan kadar inflasi semasa kesan daripada PKP. Kos pengangkutan turut meningkat seiring dengan kenaikan harga bahan mentah sekali gus menyumbang kepada peningkatan harga hartanah,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment