Saturday, August 7, 2021

Apa Guna Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

SEORANG rakan bertanya, apa jadi dengan masa depan Muafakat Nasional (MN) yang tertubuh daripada kesedaran terhadap penyatuan ummah antara UMNO dan Pas.

Dia meneruskan kata-katanya, kini kedua-dua parti membawa haluan masing-masing, walaupun ada dalam kalangan pemimpin parti-parti itu mengatakan masih kukuh dan meneruskan agenda kerjasama. Benarkah? Atau sebenarnya sudah lama ‘berkubur’?

Sayang sekali kalau ‘keruntuhan’ itu benar-benar berlaku. Bagaimanakah Pas dan UMNO melihat kepada piagam yang ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti ketika itu yang turut disambut penyokong masing-masing dengan tumpahan air mata sambil melaungkan kebesaran Allah SWT.

Tatkala Pas dan UMNO mengambil pendirian berbeza tentang sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), sudah dapat dibayangkan apa akan terjadi sekiranya kerajaan sedia ada runtuh. Sekarang pun sudah goyah, malah ramai pula mempersoalkan keabsahan kerajaan dan barisan kepemimpinannya. Siapa yang untung?

Dalam kalangan ahli politik dan pemerhati, malah rakyat semakin banyak bertanya, apakah hala tuju UMNO selepas menarik sokongan terhadap kerajaan PN. UMNO mahu ke mana selepas ini, dengan siapa? Rasanya dalam kalangan akar umbi sendiri juga mahukan jawapannya.

Dengan wujudnya dua kumpulan dalam UMNO seperti didakwa sesetengah pihak, apakah parti yang berpengaruh itu mampu mendapatkan semula keyakinan rakyat sedangkan antara kepemimpinan mereka saling berselisih dan beza pendirian.

Begitu juga Pas, apakah jalan cerita parti tersebut selepas ini kalau kerajaan tidak cukup kuat untuk bertahan? Bagi rakyat yang cintakan keharmonian dan keamanan, apa yang mereka mahukan adalah parti-parti politik kembali mencari titik persamaan.

Perang politik tidak akan ada kesudahan. Yang sengsara adalah rakyat jelata. Semalam sahaja jangkitan positif Covid-19 mencecah 20,596 kes. Ditambah pula krisis politik yang tidak nampak akan reda dalam tempoh terdekat, sebenarnya semakin menghakis keyakinan rakyat.

Yang terbaik ialah balik ke pangkal jalan. Kembali muhasabah dan cari semula titik persamaan. Tiada gunanya kalau menang jadi arang dan kalah jadi abu.

Hayatilah kalam Allah dalam Surah Ali ‘Imran Ayat 103.
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” – Surah Ali ‘Imran Ayat 103

Oleh: Meor Harman Meor Shakri
Pengarang Berita Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment