Menjadi cabaran dalam kalangan mereka yang kurang bersetuju dengan sepotong kenyataan di atas untuk membuktikan apa yang tercatat itu adalah salah atau tidak tepat. Selebihnya pula terpulang pada jawapan atau penilaian jujur oleh setiap warga di negara ini.
Semuanya diasaskan pada suasana politik semasa. Bermula dari sini, dikaitkan pula dengan kuasa pemerintahan negara, lantaran politik itu adalah penentuan kuasa. Dengan mandat dan kuasa yang diberikan rakyat, pemerintah yang ada diharap dapat menggarap perancangan rapi bagi meringankan beban hidup rakyat, menentukan kelangsungan penyediaan kemudahan dan bantuan sewajarnya, menyegarkan aktiviti ekonomi dan perniagaan serta menentukan kuasa beli lebih berkuasa.
Ada pemerhati meramalkan, kuasa beli rakyat umum akan terus menyusut dan akan berada pada keadaan yang lebih cemas selewat-lewatnya menjelang Mac tahun depan.
Kata mereka, ekoran aktiviti ekonomi tidak berkembang, ramai yang hanya berbelanja dengan wang simpanan yang ada, tanpa banyak memperoleh pendapatan baharu. Kesan yang paling ketara dirasai adalah dalam kalangan mereka yang ditamatkan perkhidmatan di beberapa agensi kerajaan sebelum ini.
Sektor perniagaan yang kalau pun kelihatan sedikit rancak masa kini ialah kedai makan. Gaya perbelanjaan harian rakyat ternyata amat berhati-hati dan terlalu mengutamakan keperluan.
Di Kota Bharu misalnya, ada peniaga-peniaga di gedung-gedung utama memberitahu, perniagaan mereka merosot kira-kira 60 peratus sejak beberapa bulan lalu. Sementara di sana sini tergantung pula notis kedai-kedai ‘untuk disewa’ dan ‘untuk dijual’.
Barangkali ada asas-asas logik dalam kalangan yang meramalkan suasana politik negara akan ada sedikit perubahan menjelang penghujung tahun ini. Ada yang meletakkan andaian ini pada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta pemilihan barisan kepemimpinan baharu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tunggu sajalah!
Secara tegasnya, rakyat umum, khususnya orang Melayu dan umat Islam mahukan suasana politik yang benar-benar dapat meredakan kebimbangan, ragu, sangsi dan keresahan agar hak-hak mereka tidak diganggu, dipersenda dan diprovokasikan. Demikian juga dengan Islam, mereka mahu agama suci itu terus terpelihara sebagaimana sepatutnya.
Umat Islam tidak berasa damai jika aktiviti-aktiviti yang ternyata bercanggah dengan ajaran Islam dibenar dan dihebohkan secara terbuka. Mereka senada dengan pandangan tokoh-tokoh Islam yang meminta pihak-pihak tertentu menghormati struktur asas negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Malaysia.
Tidak banyak pihak atau parti politik yang sebenarnya mampu tampil melegakan permintaan rakyat secara umum ini. Ada parti yang masih ‘demam’, ada parti ‘bernafas pendek’ lantaran bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi tidak seberapa. Ada pula parti sekadar memenuhi saf tetapi kurang memberi impak apa-apa. Dan ada parti yang sukar menyembunyikan agenda yang kehadirannya hanya untuk memperjuangkan kepentingan kaum-kaum tertentu sahaja.
Apa yang penting ketika ini bukan nama atau lambang parti, tetapi lebih kepada suatu wadah untuk menghimpunkan ummah secara bersepadu dan bercagarkan ketulusan sebenar, sesuai dengan tuntutan agama. Perlu dianggap bahawa langkah ke arah ini bagaikan suatu jihad demi mengembalikan dan menegakkan maruah serta kedaulatan agama dan bangsa di bumi sendiri.
Rakyat mencari damai di hati. Mereka lebih mengharapkan ada berita-berita kejayaan misalnya tentang pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Mereka mahu melihat prospek kemajuan ekonomi negara berkembang. Kadar pelaburan luar meningkat, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.
Hal-hal berkaitan memajukan taraf sosial dan ekonomi Melayu dan bumiputera perlu diteruskan, tanpa banyak alasan dan muslihat. Cerita-cerita mengenai pengurangan peruntukan untuk agensi-agensi seperti Mara atau badan berkanun kerajaan lain yang ‘sejiwa’ dengannya, diharap dapat dinafikan. Rakyat tidak mahu Malaysia senasib dengan beberapa negara tertentu di dunia yang mana terpaksa menghadapi kesukaran untuk memulih kembali suasana politik setelah dilanda perubahan.
Ada negara yang memakan masa sehingga berpuluh-puluh tahun untuk pulih manakala ada negara langsung tidak menemukan jalan keluar. Bagi sebuah perjuangan - jangan berhenti kerana penat, tetapi berhentilah setelah selesai!
Oleh: Datuk Sayuti Mukhtar
No comments:
Post a Comment