percuma di semua lebuh raya.
Tetapi kelmarin seorang menteri sudah menyatakan terpulang kepada rakyat sama ada mahu berhenti bermimpi atau tidak bagi menikmati perkara tersebut, apa yang pasti kerajaan sudah membuat keputusan tidak akan melaksanakan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol sehingga kewangan negara stabil dan dipulihkan sampai satu tahap yang sihat.
Sudah pasti rakyat tidak ada lagi pilihan, mahu tidak mahu, mereka terpaksa akur dengan keputusan kerajaan itu, tetapi hakikatnya sejak Pakatan Harapan memerintah negara selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN), rakyat sudah lama berhenti bermimpi. Apabila satu demi satu yang tertera dalam manifesto pakatan tersebut tidak ditunaikan atas pelbagai alasan, maka fahamlah rakyat rupa-rupanya apa yang diharapkan benar-benar sekadar satu mimpi.
Justeru tidak perlu kita berkata, terpulang kepada rakyat mahu berhenti bermimpi atau tidak kerana mereka sebenarnya sudah lama berada di alam nyata sejak lima bulan lalu.
Barulah mereka sedar rupa-rupanya mereka bermimpi apabila mahu kerajaan yang baharu mempunyai barisan Kabinet berwibawa selepas melihat telatah menteri-menteri yang ada antaranya masih berperangai seperti kebudak-budakan serta teraba-raba bagaimana mahu menyesuaikan kedudukan sebagai menteri.
Lanjutan daripada sikap menteri itu, barulah rakyat memahami mereka bermimpi apabila mengharapkan media tidak akan disalahkan apabila menteri tersalah cakap atau terlepas cakap.
Mimpi paling ngeri ialah dalam kalangan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebahagian besar anak muda apabila hutang-hutang dengan perbadanan itu tidak dihapuskan. Sedangkan sebahagian besar mereka ketika PRU-14 lalu berbondong-bondong pulang ke kampung masing-masing bagi memenuhi impian menjatuhkan kerajaan sedia ada tanpa mengetahui sebenarnya mereka sedang dihidangkan dengan mimpi-mimpi indah.
Bagi golongan berpendapatan rendah, tiada lagi bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka apabila ia tidak lagi dilaksanakan dan kini mereka hanya bermimpi untuk mendapat bantuan seumpama itu. Justeru berhentilah mereka daripada bermimpi perkara tersebut.
Selain itu mimpi yang turut terhenti dan terkubur ialah untuk melihat kerajaan baharu menumpukan perhatian kepada masalah rakyat khususnya mengurangkan kos sara hidup, maklumlah berdegar-degar sebelum pilihan raya, pemimpin-pemimpin pakatan mencanangkan harga akan turut jika SST dilaksanakan semula bagi menggantikan GST.
Tetapi realitinya, tumpuan pemerintah baharu lebih kepada menyalah dan mendedahkan keburukan kerajaan terdahulu, seolah-olah tidak ada secebis pun kebaikan dilakukan kerajaan BN kepada rakyat.
Begitu juga dalam soal mengurangkan pengangguran, setakat ini mimpi sahajalah untuk melihat lebih banyak peluang pekerjaan diterokai sebaliknya yang sering kita baca ialah ribuan orang kehilangan pekerjaan termasuklah dalam kalangan kakitangan agensi kerajaan yang diisytiharkan tidak relevan dan ditubuhkan atas dasar politik.
Turut menjadi perhatian bagaimana satu ketika dahulu UMNO dikecam habis-habisan kerana amalan politik wang, sehubungan itu rakyat berharap (bermimpi) untuk melihat komponen dalam Pakatan Harapan yang digambarkan berintegriti tinggi dan amat membenci rasuah tidak melakukan kesilapan tersebut.
Namun selagi lagi ia sekadar mimpi yang terhenti apabila dalam pemimpin kanan PKR sendiri mendedahkan berlakunya politik wang dalam pemilihan parti itu yang sedang berlangsung.
Membaca komen-komen dalam laman sosial ternyata perasaan kecewa rakyat kepada kerajaan semakin meningkat terutamanya kelompok yang mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-14 lalu, namun buat masa ini mereka hanya boleh bermimpi untuk mengubah kerajaan sekali lagi kerana pilihan raya diadakan lima tahun sekali.
Bagaimanapun rakyat boleh membina impian baharu apabila kerajaan berjanji untuk mengembalikan maruah Malaysia yang dikatakan dirosakkan kerajaan terdahulu melalui pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat, kelmarin.
Laporan kajian itu merangkumi 6 tonggak utama - mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam, memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat, menuju ke arah pembangunan wilayah seimbang, memperkasa modal insan, mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
Sebenarnya kita percaya ia boleh dicapai dengan sokongan rakyat dan pada pendapat penulis, rakyat pun tidak akan keberatan bersatu menjayakannya demi kesejahteraan mereka, tetapi apa yang diharapkan semua kepemimpinan kerajaan khususnya anggota Kabinet memberi tumpuan kepada usaha melaksanakan enam tonggak tersebut, bukan terus membuang masa dengan politik balas dendam dan tuding jari bagi menutup kelemahan atau kegagalan sendiri.Cukuplah lima bulan pendekatan seumpama itu dilakukan, kini masa untuk bekerja membangunkan negara kerana bukankah kita mahu menjadi harimau yang kembali mengaum? Oleh itu jangan biarkan ia menjadi satu lagi mimpi kepada rakyat.
Oleh : Zulkiflee Bakar
No comments:
Post a Comment