Sunday, December 24, 2017

Sumpah Bohong dan Hipokrasi Orang Islam

Kalau ada angka tunjuk kemunafikan (hypocrisy index), Malaysia tentu mendapat kedudukan yang tinggi. Walaupun Islam mencegah hipokrasi, orang Malaysia - termasuk yang mengaku beragama Islam - terkenal dengan amalan cakap lain buat lain.

Sebab itulah dalam indeks keislaman (Islamicity index), Malaysia dan negara-negara Islam lain mendapat markah rendah.

Indeks ini mengukur amalan ciri-ciri Islam dalam pelbagai aspek kehidupan harian. Ia diilhamkan oleh dua orang cendekiawan Islam Amerika, Hossein Askari dan Hossein Mohammadkhan.

Bagi indeks terbaru iaitu tahun 2016, Malaysia menduduki tempat ke-41, naik dari anak tangga ke-43 tahun sebelumnya. Semua negara yang mendahului kita adalah negara bukan Islam. Negara nombor satu tahun 2016 adalah New Zealand dan 2015 Belanda.

Bagi kedua-dua tahun itu Indeks Keislaman Singapura lebih tinggi. Mereka berada di tangga ke-22 pada tahun lalu, dan 17 pada 2015. Antara ciri yang diambil kira ialah kekuatan ekonomi, keadilan sosial, keselamatan dan bebas rasuah.

Wajib ambil tindakan
Nampaknya orang kafir lebih peduli kepada apa yang betul dan apa yang salah. Mereka sanggup mengambil risiko untuk menegakkan kebenaran.

Contoh klasik ialah penyiasatan dan tindakan undang-undang bersabit skandal penipuan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd oleh negara-negara bukan Islam.

Semua pihak yang hari ini sudah bertindak ke atasnya adalah negara-negara bukan Islam seperti Singapura, AS dan Switzerland. Indek Keislaman AS tahun lalu nombor 17 dan Switzerland 5.

Sebab itulah jika pembangkang ditakdirkan menang dalam pilihan raya umum (PRU) tahun hadapan, mereka wajib mengambil tindakan paling tegas dan keras terhadap orang-orang yang terlibat berbohong bagi melindungi skandal ini.

Selain kepala-kepala politik BN, tindakan wajib diambil ke atas pegawai-pegawai utama seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Audit Negara.

Setidak-tidaknya pun mereka wajib disiasat bersabit peranan mereka menyembunyikan atau memanipulasi kebenaran. Dalam konteks ini, mungkin Ketua Audit Negara yang bersara, (Tan Sri Ambrin Buang) telah menjalankan tugas dengan telus.

Temui sesuatu yang buruk
Saya katakan begitu kerana laporan penyiasatan beliau ke atas 1MDB yang diserahkan kepada parlimen telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Maksudnya ada perkara buruk yang hendak disembunyikan oleh kerajaan daripada rakyat jelata sehingga anggota parlimen pun tidak dibenar membincangkannya.

Sesiapa yang mendedahkannya akan dihukum.

Bagi SPRM pula, sesetengah pegawainya yang terdahulu dipindahkan secara tergesa-gesa atau ditekan agar bersara awal. Ini bermakna mereka telah menemui sesuatu yang buruk mengenai 1MDB dan SRC.

Kemudian pembunuhan amat kejam ke atas pendakwa raya kanan, Datuk Anthony Kevin Morais, pada September 2015.

Morais disebut sebagai pakar dalam bidang pendakwaan rasuah dan dikatakan dalam proses merangka draf pertuduhan yang membabitkan penyelewengan RM42 juta duit SRC.

Enam orang yang terdiri daripada Kol Dr R Kunaseegaran, 54; R Dinishwaran, 25; A K Thinesh Kumar, 24; M Vishwanath, 27; S Nimalan, 24; and S Ravi Chandaran, 46 – telah dituduh melakukan pembunuhan itu. Mereka telah pun diperintah supaya membela diri.

Peranan Peguam Negara
Dalam apa juga usaha dan tindakan mengungkai skandal 1MDB dan SRC ini, peranan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali adalah kemuncak (pivotal).

Beliaulah yang “membebaskan” Perdana Menteri Najib Razak daripada segala tuduhan berkaitan skandal penipuan 1MDB dan SRC.

Semasa berbuat demikian, Apandi bertindak sebagai pendakwa raya, peguam bela dan hakim bagi menyelamatkan Najib.

Kita tentu masih ingat bagaimana Najib tergesa-gesa melantik pengganti Tan Sri Abdul Gani Patail yang tempoh perkhidmatannya ditamatkan lebih awal atas alasan dia sakit.

Alhamdulillah, Allah Taala memperlihatkan pembohongan mereka. Abdul Gani bukan sahaja tidak sakit malah cukup sihat untuk membuka firma guamannya sendiri selepas dipecat.

Berbalik kepada Apandi. Genap enam bulan dilantik Peguam Negara dia mengadakan sidang akhbar membebaskan Najib daripada segala kesalahan berkaitan duit RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, dan RM42 juta duit SRC yang diselewengkan.

Inisiatif KARI Amerika
Tidak dapat tidak, kita terpaksa menamakan Apandi sebagai saksi utama dalam sebarang penyiasatan boda fide mengenai kegagalan mengambil tindakan ke atas penyelewengan 1MDB dan SRC.

Bukan sahaja dia menutup kes-kes di Malaysia malah dia juga enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa luar, khususnya Pejabat Peguam Negara Switzerland, yang sedang menyiasat pengubahan duit haram (money laundering) yang berpunca daripada 1MDB.

Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, dilaporkan berkata pejabatnya meminta bantuan MLA (Mutual Legal Assistance) telah dua kali daripada Malaysia tetapi ditolak atas alasan kerjasama tidak boleh diberikan di bawah rangka kerjasama MLA.

Di sinilah terletak ironi atau keanehannya. Negara kafir peduli terhadap penipuan 1MDB dan mahu membantu mendapatkan balik duit curi itu supaya boleh diserahkan semula kepada rakyat jelata Malaysia.

Singapura telah membekukan duit curi itu dan menghukum - termasuk penjara - pegawai-pegawai bank yang terlibat dengan pengalihan duit haram tersebut.

AS sedang menggunakan KARI (Kleptocracy Asset Recovery Initiative) iaitu inisiatif mendapatkan balik harta negara yang digelapkan oleh kerajaan pencuri.

Pada 5 Disember, Peguam Negara AS yang baru, Jeff Sessions (gambar), berkata separuh daripada AS$3.5 bilion (kira-kira RM15 bilion) aset curi yang dirampas oleh pihak berkusa Amerika adalah harta yang berkaitan dengan 1MDB.

Beliau memberitahu satu persidangan antarabangsa mengenai harta curi bahawa pencurian wang 1MDB adalah kes kleptokrasi (kerajaan pencuri) terburuk di dunia.

Pendek kata, kalau Apandi ada hati kecil (conscience) dia wajar bertanya kepada hati kecilnya adakah apa yang dia telah dan sedang lakukan itu benar dan betul.

Kerana sifat munafik
Kalau seorang penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS sanggup bersumpah mengenai 1MDB dan menghadapi risiko dihukum penjara lima tahun sekiranya berbohong, adakah Apandi boleh dibiarkan dengan penafiannya?

Agen FBI yang menyiasat harta dibeli dengan duit curi 1MDB itu boleh dihukum penjara lima tahun di bawah undang-undang sumpah bohong (perjury) kalau maklumat yang diberikannya tidak tepat.

Nampaknya sebuah negara bukan Islam lebih serius dalam usaha membantu kita mendapatkan balik harta negara yang dicuri oleh para pembesar kita sendiri.

Tetapi di Malaysia ada lagi manusia yang mempertahankan jenayah global itu dan marah apabila gelaran “lanun Bugis” digunakan.

Apakah orang ini tidak berasa malu dan berasa bersalah mengaku Islam, menadah tangan ke langit berdoa dan mengelilingi diri mereka dengan tuan guru, tok haji dan tok lebai tetapi melakukan jenayah besar yang satu dunia sudah tahu?

Boleh jadi kerana sifat munafik ramai para pembesar kita dan sikap tidak ambil peduli sebahagian rakyat jelata inilah maka hari ini Malaysia dipersendakan dan dijadikan hamba oleh negara-negara yang berkepentingan.

Wallahua'lam.

Oleh : Datuk A Kadir Jasin

Thursday, December 14, 2017

Ciri Anda Sudah Jadi Belahan Jiwa Pasangan

SAAT menjalani sebuah perhubungan, ramai dari anda yang mengatakan telah menemui belahan jiwa. Padahal, belum tentu pendapat tersebut benar.

Ya, pasangan yang ada sekarang memang belum tentu menjadi soulmate atau belahan jiwa anda. Sebab, ada beberapa hal yang perlu dimiliki seseorang untuk menjadi belahan jiwa yang benar bagi pasangannya.

Lalu, bagaimana mengetahui bahawa dia benar-benar belahan jiwa atau soulmate anda? Ini adalah ciri-ciri yang menandakan hal yang tersebut....




- Seseorang boleh dikatakan sebagai belahan jiwa saat dia selalu ada ketika masa sukar dalam kehidupannya. Pasti akan membantunya keluar dari situasi tersebut.

- Dia akan menghubungi atau menghantar mesej saat anda merindukannya.

- Dia akan tahu apa yang anda fikirkan, meskipun ada di tempat yang berbeza.

- Saling mengerti suasana hati masing-masing.

- Dia tidak perlu penjelasan mendalam tentang anda, sebab seorang soulmate mampu memiliki rasa pengertian yang tinggi.

- Boleh saling menyokong satu sama lain apabila ada halangan menghalang hubungan anda berdua.

Jadi, sudahkah anda mempunyai beberapa hal tersebut?

Anonymous

Friday, December 1, 2017

Presiden Chechnya Perintahkan Sholat Berjamaah

Presiden Chechnya Perintahkan Polis Dan Tentera Sholat Subuh Berjamaah Di Masjid
Presiden Republik Chechnya Ramzan Akhmadovich Kadyrov mempunyai dasar yang banyak mendapatkan penghargaan dari masyarakat Muslim dunia. Antaranya, iaitu mewajibkan bagi polis dan tentera untuk solat Subuh dan Isyak berjamaah di masjid.

Ramzan Akhmadovich Kadyrov memang dikenali sebagai presiden yang mempunyai akar ideologi Islam yang kuat. Lahir di Tsentoroi, Chechen-Ingush ASSR, Chechnya, 5 Oktober 1976, jadi usianya saat ini baru 39 tahun. Meski memimpin Chechnya belum sampai 10 tahun, Ramzan Akhmadovich Kadyrov telah banyak memperlihatkan karya pemerintahan yang menakjubkan.

Dibawah kepemimpinanya Chechnya merupakan negara dengan tahap pembangunan yang membuat takjub dunia. Negara yang sebelum ini hancur porak-poranda kerana perang kini bertukar menjadi negeri yang indah dan bersih.

Ayah Ramzan bernama Akhmad Kadyrov yang merupakan seorang Ulama sekaligus Mufti Pejuang Chechnya pada masa perang dan dilantik menjadi Presiden Republik Chechnya yang pertama, dua masa jabatan sebelum beliau.

Keluarga Kadyrov adalah keluarga yang disegani oleh masyarakat Chechnya dan kerajaan Rusia. Jadi jangan hairan bila anda ke Cehchnya akan melihat pemandangan yang sangat luar biasa, iaitu para polis dan tentera berbondong-bondong menuju masjid ketika azan berkumandang. [Islamedia]

Islamofobia

ISLAM dibenci, dimusuhi dan dijadikan sasaran semua tuduhan buruk dan negatif dengan label pengganas, pelampau, jakun, mundur dan sebagainya. Dihalang berpolitik kalau tujuannya melaksanakan syariat. Dihalang kalau berjaya dan maju dalam lapangan apa sahaja. Dinar tidak layak menggantikan Dolar atau Euro.

Kalau Islam mampu membangunkan teknologi nuklear walaupun tujuannya damai seperti perubatan dan tenaga eletrik, meskipun ditegaskan dalam hukum Islam bahawa haram bersikap melampau dalam peperangan dan berdosa kalau melampau biarpun terhadap musuh bukan Islam, apatah lagi yang tidak menceroboh, namun kalau jenamanya Islam tetap dicop sebagai melampau juga.

Adapun semua pihak bukan Islam diizinkan semuanya. Parti Yahudi di Israel, Parti Kristian di Jerman, Parti Hindu di India dan pelampau Buddha di Myanmar dibenarkan memerintah negara dan melakukan apa sahaja terhadap penganut Islam di atas nama agamanya.

Semua negara bukan Islam, khususnya negara haram Israel dibolehkan memiliki apa sahaja senjata pemusnah manusia, binatang dan alam sekitar. Kalau dibantah dipejamkan mata. Apabila melakukan ujiannya, tidak mempedulikan terhadap penduduk tempatan dan alam sekitar di Lautan Pasifik, Hindi dan lain-lain. Alasannya kerana kemajuan sains dan teknologi.

Halal bagi Presiden Bush menyebut Perang Salib kerana Peristiwa 11 September yang dituding jari terhadap Islam secara melulu sebelum disiasat dengan adil dan telus. Terus menyerang Afghanistan dan Iraq, rakyat awam lebih banyak menjadi mangsa tanpa dipedulikan.

Semua yang ada bayangan Islam atau asal usulnya Islam, apa lagi yang mengisytiharkan Islamnya, semuanya disenaraihitamkan dalam satu bakul sampah yang wajib dibakar hangus. Bukan sahaja Saddam Husain dan Qazzafi yang diumumkan zalim dalam senarainya, termasuk mana-mana dan sesiapa yang berjenama Islam semuanya dilabel ganas, tanpa mengira Mazhab Sunni, Syiah, Salafi, Wahabi, Khalafi dan sebagainya.

Hanya kelibat berita tentang senjata yang boleh membahayakan Israel, maka terus diserangnya kilang susu di Sudan, Libya, Syria dan diganyangnya Iraq, tetapi tidak Korea Utara, walaupun sudah melancarkan ujian senjatanya ke laut dan mengancam USA. Barang kali kerana bezanya di antara Islam dan bukan Islam.

Mereka juga membaling batu sembunyi tangan, kerana terdedahnya penglibatan mereka dalam kemunculan Taliban, ISIS, pembekalan senjata termasuk senjata kimia yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa tetapi halal bagi mereka. Kalau terdedah, beritanya diletakkan di bawah karpet yang nipis kelihatan, mereka sengaja memejamkan mata dan mahu menutup mata orang lain.

Islamofobia bukan sahaja diwabakkan terhadap negara seperti Iran yang mencabarnya dengan nama Republik Islam Iran dan kemajuan teknologinya yang mencabar secara terangan, termasuk Arab Saudi sahabatnya yang akrab, walaupun benderanya mengucap Dua Kalimah Syahadah diminta supaya nyatakan sekular dan liberalnya, tidak cukup dijadikan lembu susuan yang hanya diberikan rumput kering, disuruh berlaga dengan Iran, jangan menanduk Israel. Bahkan Israel dimartabatkan laksana polis yang dibiayai oleh mafia, menjaga keselamatan di rantau itu dan boleh bertindak apa-apa sahaja.

Adapun mereka yang mempertahankan Islam dan tanah sucinya dan gagah berani menentang keganasan negara haram itu, seperti Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah pula disenaraikan sebagai pengganas.

Kalau ada parti yang berdasarkan Islam dan melaksanakan syariat, jangan diberi kemenangan walaupun mereka memilih pendekatan demokrasi. Kalau menang juga dibatalkan seperti Masyumi di Indonesia, FIS di Algeria dan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Termasuk juga individu bernama Islam, walaupun menang hujahnya, bukannya dengan senjata, seperti Dr. Zakir Naik yang dikira pengganas kerana hujahnya tidak boleh dilawan. Mereka bertindak seperti Raja Babilon bernama Namrud yang kalah berhujah dengan Nabi Ibrahim A.S, lalu Nabi yang mulia ini dikira salah dan dihukum bakar ke dalam api yang besar.

Demokrasi, kebebasan, hak asasi bukan untuk umat Islam, kerana dianggap spesis makhluk bukan manusia yang layak berhak menerimanya. Maka pencabulan terhadapnya dibiarkan atau ditangguhkan tindakannya kalau didesak atau divetokan segala keputusan yang berpihak kepada Islam.

Hukum merekalah yang paling adil, walaupun membunuh dengan melaksanakan cara yang mengerikan, seperti menjerut tali ke leher atau kejutan eletrik kepada orang yang dihukum, kesalahannya boleh dibuktikan oleh saksi yang mabuk arak dan kaki maksiat yang tidak dijamin benarnya kerana tidak ada maruah.

Adapun hukum Islam yang bernama Qisas, Hudud dan Takzir, walaupun disabitkan dengan saksi yang adil dan bermaruah tinggi atau pengakuan secara rela hati, cara menjatuhkan hukumannya paling beradab sopan dengan syarat-syarat yang ketat, namun dikira hukum yang zalim dan kejam.

Mereka mahukan Islam yang membuka pintu kepada perkara yang diharamkan oleh Allah seperti judi, arak dan sebagainya kepada penganut Islam, walaupun tidak disekat penganut agama lain yang melakukannya, kerana mereka mahukan orang Muslim menerima konsep bahawa urusan negara adalah kepunyaan kita, agama sahaja kepunyaan Allah.

Wanita Islam yang menutup aurat dianggap mengongkong diri dan tidak tahu bersosial. Adapun yang bebas memakai pakaian mendedahkan sebahagian besar badannya tanpa rasa malu, sehingga ada yang bertelanjang dikira hak kebebasan yang dihormati.

Mereka yang menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dikira bahaya mengancam ketenteraman masyarakat. Adapun yang melakukan kemungkaran dan melindunginya dikira hak kebebasan dan penambah hasil negara.

Mereka mahukan Islam tanpa hidayah mengikut bahasa Al-Quran yang dianggap jelik. Jenama yang mereka mahu ialah Islam Liberal atau Islam Sekular yang meninggalkan aqidah, syariat dan akhlak, yang dikira sealiran dengan zaman kini, walaupun kembali ke zaman jakun dan sudah nyata parah tanda kemusnahannya.

Demikianlah hukuman dan anggapannya terhadap Islam. Media massa yang dikuasai digunakan habis-habisan untuk menyebarkan maklumat tersebut dalam dunia tanpa sempadan dan langit terbuka.

Mereka lupakan pepatah mereka sendiri bahawa semua manusia tidak boleh ditipu dalam semua masa. Apabila Islam dicemuhkan, maka tetap ada kalangan manusia yang ingin tahu hakikat yang sebenar, lalu membaca dan mengkaji Islam. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh manusia yang berakal. Percayalah! Makin banyak Islam dikelirukan, makin nyata lagi bersuluh kebenarannya.

Sepatutnya mereka mendengar firman Allah:
۞قُلۡ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍۖ أَن تَقُومُواْ لِلَّهِ مَثۡنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُواْۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍۚ إِنۡ هُوَ إِلَّا نَذِيرٞ لَّكُم بَيۡنَ يَدَيۡ عَذَابٖ شَدِيدٖ ٤٦ سبأ.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).” (Surah Saba’: 46)

Akhirnya ketahuilah bahawa tidak ada sesiapa yang dapat memadamkan cahaya matahari dan bulan ciptaan Allah, begitulah juga tidak boleh memadamkan cahaya Islam, kerana juga daripada Allah:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ الصف
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As-Saff: 8)

“Sejahtera Bersama Islam”

Oleh: Abdul Hadi Awang

Thursday, November 30, 2017

Menunggu Penderhakaan UMNO....

Penderhakaan kepada rakyat jika UEC diiktiraf
MUKKADIMAH - SIJIL Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang menjadi salah satu isu hangat dan desakan daripada Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) agar ianya diiktiraf dalam sistem pendidikan telah mengundang reaksi pelbagai pihak. Malah, isu itu sering mendapat perhatian pemimpin daripada pelbagai latar belakang sama ada mempertahankan atau menentang sistem yang mengambil sukatan pelajaran Taiwan ini. Terbaru, isu UEC telah dibangkitkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam Persidangan Agung Tahunan Kelapan baru-baru ini dalam usaha menjaga hak dan objektif Dasar Pendidikan Kebangsaan. Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong menjelaskan lebih lanjut kesan UEC dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sejauh manakah Prof melihat sistem UEC?
-Apa yang saya perhatikan UEC memberi kesan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana calon-calon­nya akan merampas peluang pelajar lain yang mengikuti sistem pendidikan sedia ada, khususnya pelajar berketurunan Cina.

Ini kerana sistem kuota masih terpakai dalam kes-kes tertentu walaupun meritokrasi merupakan amalan stan­dard dalam pengambilan pelajar. Ia perlu diguna pakai untuk mengelak sesuatu kursus itu dipenuhi satu kaum sahaja akibat meritokrasi bebas.

Secara umumnya calon UEC juga akan menjejaskan peluang pelajar Cina yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pada saya, biarlah UEC terus kekal di atas paksi sedia ada tanpa wujud dalam Dasar Pendi­dikan Kebangsaan.

UEC diasaskan berdasarkan sistem pendidikan di Taiwan. Sehubungan itu,adakah UEC juga boleh memberi kesan kepada Bahasa Melayu dan dilihat sebagai menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan?
-Apa-apa jenis persekolahan yang tidak berada dalam sistem pendidikan negara perlu dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat Bahasa Melayu bahasa pengantar utama.

Dalam hal ini, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan.

Ini jelas berada di luar sistem pendidikan negara. Sebenarnya semua sekolah mene­ngah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini telah diberi peluang untuk menyertai sistem pendidikan kebangsaan sewaktu kita mencapai kemerdekaan. Dalam hal ini, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya de­ngan menjadi sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC.

Adakah permintaan Dong Zong yang mahu kerajaan mengiktiraf UEC boleh dikatakan sebagai rasis dan menolak sistem perpa­duan serta menentang Gagasan 1Malaysia?
-Ia tidak boleh dikatakan rasis. Cuma persoalannya kini ialah mengapa sekolah persendirian Cina mahu berada dalam sistem pendidikan di peringkat atas ia­itu hanya peringkat pendidikan tinggi? Ini jelas memperlihatkan sikap rakus dan mahu untung dalam semua hal.

Jika dilihat kembali pendidikan aliran Cina sebenar­nya te­lah bermula di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) seterus­nya ke sekolah tinggi persendirian Cina di peringkat menengah.

Ia dibuat supaya pelajar dapat terus belajar dalam bahasa berkenaan walaupun mahu ke universiti awam (UA) melanjutkan pendidikan tinggi. Inilah yang dikatakan rakus dan mahu meraih keuntu­ngan pada semua peringkat dan setiap masa.

Apakah kesannya jika UEC diiktiraf dalam sistem pendidikan negara?
-Pertama sekali pada saya ia sa­ngat tidak adil kepada pelajar yang cekal dan tabah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Jangan khianati golongan seperti ini.

Keduanya, pengiktirafan UEC akan mewujudkan contoh terdahulu seperti peperiksaan lain G.C.E A Level yang telah me­nerima desakan serupa. Maka kemungkinan akan ada lagi desakan lain demi kepentingan pihak tertentu.

Di samping itu, jika kerajaan mengiktiraf sesuatu perkara yang tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan ia boleh di ibarat seperti ‘menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan’. Ini tidak adil kepada mereka yang bergelumang dengan sistem yang telah dicemuh banyak pihak sebelum ini. Dalam erti kata lain, jika UEC diiktiraf ia umpama satu bentuk penderhakaan kepada rakyat.

Apakah harapan Prof. dalam memajukan Dasar Pendidikan Kebangsaan?
-Sesungguhnya, sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai cacat celanya. Malah ia telah ditambah baik, sama ada untuk pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Kita harus percaya dan yakin kepada sistem pendidikan kebangsaan yang kita bangunkan sendiri dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama harus menerima keyakinan daripada rakyat dengan kemampuannya dalam memajukan negara.

Saya berharap Bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa ilmu, manakala Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tidak kurang penting sebagai jambatan ilmu. Inilah sebaik-baik perimbangan untuk terus melindungi martabat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.

Sumber : http://www.utusan.com.my

Tuesday, November 28, 2017

Untungnya India, Bertuahnya Malaysia

Selain daripada mencuri Koh-i-Noor - permata biru yang terdapat pada mahkota maharani mereka - Inggeris juga mencuri perkataan jungle yang asalnya dari bahasa urdu.


India sebuah negara yang mempunyai kadar keluaran dalam negara kasar paling tinggi di dunia satu masa dulu dan kini tinggal jadi sebuah wilayah yang huru-hara dalam semua hal.

Politiknya adalah jahat apabila sentimen bangsa dan agama dimainkan ke tahap maksimum. Rakyat dijadikan buah catur yang diadu sesama mereka.

Korupsi dalam kerajaan adalah rahsia yang diketahui ramai dan rakyat tidak boleh berbuat apa -apa.

Sistem kasta yang masih berleluasa menjamin kemunduran banyak marhein.

Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin membanting tulang siang dan malam hingga mati, dan berharap nasib akan lebih baik dalam kelahiran yang satu lagi.

Inggeris mungkin bersalah mencuri banyak harta negara ini namun kesalahan terbesar semestinya diletakkan di atas kepala para politikus selepas Inggeris.

Tak ada sesiapa peduli
Mungkin ada satu atau dua politikus yang benar-benar mahukan negara ini maju, namun sebahagian besar daripada politikus yang ada lebih gemar mengumpul harta untuk diri sendiri dan keluarga serta musibat yang hampir.

Undang-undang jalan raya di India hanyalah suatu jenaka. Lampu isyarat adalah hiasan yang tidak diperlukan.

Langsung tidak ada siapa pun mengormati undang-undang jalan raya. Kamu bebas berbuat apa sahaja. Mahu jalan terus atau melawan arus di jalan sehala - silakan.

Mahu berhenti tiba-tiba dan/atau membelok sesukahati - buat saja kerana tiada siapa peduli.

Jika belaku kemalangan, berkelahi saja dan semua akan selesai.

Di jalan raya yang dipenuhi manusia, lembu, kambing, anjing, babi, kereta keldai, kereta unta, lori, bas, kereta, traktor dan segala macam kenderaan lain, siapa yang punya hon paling kuat ialah raja.

Kebersihan adalah impian. Segala macam kotoran berselerak merata-rata. Mahu buang sampah, buang saja di mana suka.

Masjid, kuil berjiran
Mahu buang air, cari saja mana-mana dinding dan mulakan. Nombor satu atau nombor dua.

Bukan tidak ada pekerja bandaran yang berusaha namum apabila semua orang adalah tukang kotor - termasuk pekerja bandaran yang ditugaskan untuk membersih - maka bersih adalah kerja sia-sia (pun intended).

Yang baiknya (jika boleh dikatakan baik) ialah apabila kuil memainkan musik sepanjang hari 24 jam tanpa henti dengan amat kuat tanpa ada bantah dari penduduk beragama Islam.

Begitu juga azan masih bebas berkumandang juga tanpa ada apa-apa rusuhan dan sakit hati daripada mereka yang belum beriman.

Masjid dan kuil biasanya jika tidak bersebelahan, adalah berdekatan.

Dalam soal makan pula, memang menjadi kehairanan mereka apabila kita bertanya sama ada makanan yang dijual itu adalah halal atau tidak, kerana mereka - yakni rakyat tempatan - melanggani semua kedai tanpa syak.

Walau bagaimanapun, makanan dan minuman yang dikongsi itu biasanya daripada jenis biskut dan kek serta chai, iaitu teh panas campur susu kerbau yang lazat.

Mungkin - diulangi: mungkin - kerana mereka sangat menjaga ketulenan makanan yang dinyatakan sebagai vegetarian.

Sebarang kecuaian dalam menyediakan makanan di luar daripada apa yang dilebelkan adalah dosa besar.

Sedikit ke depan
Andai kata kita dapat memastikan semua makanan yang dilabelkan halal di negara kita memang adalah benar-benar halal, pasti kita semua akan hidup lebih aman.

Masalah utama orang Islam di India ialah tidak taatnya mereka melakukan sembahyang lima waktu. (Sebenarnya, ini adalah masalah utama semua umat Islam di seluruh dunia. Keyakinan yang sembahyang boleh menyelesaikan apa juga masalah kini tidak lagi dipandang sebagai benar.)

Di sinilah malangnya mereka. Sebahagian besar mereka tidak bersembahyang. Yang miskin, kerana sibuk mencari wang, sedang yang kaya berasakan sembahyang cuma membuang masa dan tidak menyumbangkan apa-apa kepada kekayaan mereka.

Namun begitu, semua masjid di India melakukan kerja mengajak orang Islam kembali kepada ajaran agama dengan giat.

Setiap hari setelah Isyak, mereka akan bermesyuarat ringkas sekitar 20 hingga 30 minit bagi membincangkan hal-hal dalam kawasan mereka.

Tentang siapa yang tidak bersembahyang dan siapa yang perlu diziarahi, misalnya.

Apabila difikir, kita pun menuju jalan sama. Selepas Inggeris mencuri hasil negara, kita ditinggalkan oleh politikus yang nampak seperti benar-benar mahukan negara kita maju.

Dalam sedikit hal, mereka berjaya dan kita telah lebih sedikit ke depan berbanding India dal hal-hal yang minor.

Namun, mereka yang selepas itu adalah tidak kurang lebih daripada politikus India. Mencuri kekayaan negara untuk diri, keluarga dan rakan seusaha.

Pengguna jalan raya kita juga sedang menuju ketidak-displin-an rakyat India.

Melanggar lampu isyarat sesuka hati dan bergaduh apabila berlaku kemalangan. Malah kita lebih sedikit apabila ada yang meninggal dunia akibat pergaduhan jalan raya.

Kumpulan konvoi motosikal pula berasakan bahawa apabila mereka di jalan raya, penguna lain patut memberi laluan kepada mereka tanpa perlu peduli keselamatan orang lain.

Mungkin dari segi kebersihan kita masih lagi menghargai keindahan. Maka negara kita tidak sekotor bandar-bandar di India. Kita juga masih ada malu untuk kencing dan berak merata.

Rakyat negara kita saban hari dilaga-lagakan supaya pemegang tampuk politik kekal disokong majoriti.

Kita sebagai penyokong yang dungu ini pun bergaduh mempertahankan ketua-ketua partai yang kononnya berjuang untul kepentingan kita.

Politik adalah jahat. Diulangi: politik adalah jahat dan kita adalah bajingan yang tolol apabila asyik menyokong tanpa peduli betul benar, salah serta bohong politikus yang kita kagumi.

India dalam perjalanan untuk menjadi kuasa besar dunia sekali lagi jika dilihat pada potensinya hari ini, namun sementara menunggu itu berlaku, ia adalah negara malang yang hidup dalam kegemilangan masa lampau.

Oleh : Abdullahjones

Monday, November 27, 2017

Pedulilah Geopolitik Melayu Di Bandar

Bila terlebih bina bangunan mewah dan komersial
Kalau anda rajin bersiar-siar di ibu negara Kuala Lumpur, perhatikan sekarang ada banyak bangunan lama dan baharu yang tiada berpenghuni. Ahli-ahli ekonomi Malaysia sendiri mengakui berlaku lambakan hartanah. Banyak ruang di kompleks beli-belah, bangunan komersial dan unit-unit kondominium mewah masih kosong dan tidak dapat dijual di sekitar Lembah Klang.

Bank Negara Malaysia melalui rencana bertajuk ‘Ketidak­seimbangan Dalam Pasaran Hartanah,’ mendedahkan pada suku pertama 2017, jumlah hartanah kediaman tidak terjual adalah sebanyak 130,690 unit. Jumlah itu yang tertinggi dalam tempoh sedekad dan ia hampir menyamai dua kali purata dalam sejarah yang pernah tercatat sebanyak 72,239 unit setahun antara 2004 hingga 2016.

Kira-kira 83 peratus jumlah unit tidak terjual itu berada dalam kategori harga melebihi RM250,000. Sebanyak 61 peratus daripada jumlah tidak terjual terdiri daripada bangunan tinggi dengan 89 peratus daripadanya melebihi RM250,000.

Johor mempunyai bahagian unit kediaman tidak terjual yang terbesar, diikuti Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata setakat suku pertama tahun ini, ada 130,000 unit kediaman tidak terjual dan kebanyakannya dijual pada harga RM250,000 ke atas. Namun, kebanyakan rakyat di negara ini hanya mampu membeli rumah di bawah harga berkenaan dan layak mendapat pembiayaan pinjaman.

“Jika dibandingkan pada suku sama pada 2012, terdapat 54,000 rumah tidak terjual, tetapi rumah dalam segmen mewah hanya sekitar 19,000 tidak terjual. Berbanding hari ini, 130,000 kediaman tidak terjual dan 108,000 unit adalah kediaman me­wah,” katanya.

Perkara ini berlaku kerana pada sekitar lima tahun lalu sebelum kerajaan memperkenalkan pelbagai polisi perumahan, banyak syarikat hartanah memba­ngun­kan kediaman dalam segmen mewah.

Hal ini membayangkan ke­mam­­puan rakyat dan menun­jukkan bahawa penawaran ke­diaman hartanah adalah tidak seimbang dengan permintaan rumah mampu milik yang dituntut majoriti rakyat negara ini.

Kaut untung
Bagi orang biasa seperti saya melihat keadaan ini, ia berlaku disebabkan permintaan terhadap hartanah semakin berkurang. Siapa yang mampu beli jika harganya terlalu mahal. Nampak sangat pemiliknya ma­hu kaut untung segera dengan banyak. Tidak mampu orang hendak menyewa apatah lagi membelinya.

Sekarang kita boleh lihat iklan rumah baharu yang menawarkan harga lebih RM400,000 untuk rumah dua tingkat dan lebih RM350,000 untuk townhouse.

Nampaknya syarikat pemaju pun sudah buka mata dan sedar bahawa orang ramai tidak mampu membeli unit rumah yang berharga lebih RM500,000.

Kerajaan pula tidak menolak kemungkinan harga rumah bakal turun ekoran berlakunya trend unit kediaman siap dibina tidak terjual atau overhang yang meningkat sebanyak 40 peratus.

Sebanyak 20,807 unit kediaman bersamaan nilai RM12.26 bilion tidak terjual manakala kondominium berharga melebihi RM500,000 mendominasi overhang.

Kalau harga rumah teres biasa sudah dikurangkan, ada kemungkinan harga kondominium dan hartanah lain juga akan diturunkan. Tunggu masa sahaja. Jika tidak... biarkan sahaja begitu tanpa dibeli.

Sekarang kerajaan sudah memutuskan membekukan sementara pembinaan kondominium dan premis komersial seperti pejabat bernilai RM1 juta ke atas bagi mengimbangi penawaran dan permintaan hartanah di negara ini.

Langkah pembekuan wajar sebab banyak yang tak laku, tapi kerajaan juga perlu lihat tahap kemampuan dan pendapatan rakyat dalam keadaan ekonomi sekarang

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, dari segi bekalan, pasaran perumahan tidak menyediakan bekalan rumah mampu milik yang mencukupi untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Muhammad berkata, isu rumah mampu milik lebih mencerminkan keadaan tidak seimbang antara bekalan dengan permintaan rumah di Malaysia dan keadaan ini bertambah teruk dalam tempoh tahun 2012 hingga 2014.

“Malah, kesan kurangnya bekalan rumah terhadap kemampuan memiliki rumah diburukkan lagi oleh kadar kenaikan pendapatan isi rumah yang lebih perlahan, tidak sepadan dengan kenaikan harga rumah. Situasi yang terus memburukkan isu kemampuan memiliki rumah ialah trend pelancaran rumah yang lebih banyak dalam kategori rumah berharga melebihi RM250,000.

Mungkin ada benarnya kata Gabenor itu, kita sebenarnya terlebih membina pusat beli-belah dan bangunan komersial berbanding rumah mampu milik yang boleh dilihat di sepanjang jalan yang dibangunkan begitu banyak.

Pedulilah geopolitik Melayu di bandar
Sekarang tiada lagi projek perumahan untuk golongan berpendapatan rendah. Barangkali projek seumpama itu yang terakhir di Kuala Lumpur ialah Projek Pembangunan Semula Perumahan Awam 1Razak Mansion.

Pengambilalihan tanah rizab di ibu negara dan pinggir ber­sem­padan dengan Selangor juga tiada ke arah untuk bina perumahan kos rendah. Banyak sudah kawasan yang dahulu dihuni golongan miskin dan sederhana bandar kini ditukar menjadi kawasan perumahan mewah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu.

Bukan mengejutkan apabila kawasan yang dahulu majoritinya orang Melayu kini dikuasai oleh bukan Melayu. Para pegawai perancang bandar yang diketuai oleh orang Melayu mustahil tidak sedar perubahan geopolitik di kawasan yang baru mereka majukan. Atau pihak pegawai tinggi di jabatan kerajaan berkaitan hanya peduli cara untuk menampakkan kawasan itu menjadi wilayah elit.

Tindak-tanduk orang Melayu sendiri yang memberi kesan buruk terhadap geopolitik di sesuatu kawasan. Sekarang banyak kawasan yang dahulu dipengaruhi orang Melayu kini sudah bertukar tangan kepada bukan Melayu.

Pemimpin Melayu sendiri tidak ambil peduli situasi geopolitik yang wujud di kawasan yang dimajukan hingga menjadi penyebab utama tergugatnya sokongan orang Melayu kepada parti politik. Jadi berhati-hati terutama buat pemantauan dan kawalan dalam pengambilan dan penjualan tanah rizab Melayu atau tanah kerajaan di kawasan tertentu.

Geopolitik berkait rapat dengan soal pilihan raya melalui kawasan yang ditandingi dan dikuasai. Jika penduduk yang bermastautin di sesuatu kawasan untuk sekian lama kemudian terpaksa berpindah ke kawasan jauh kerana orang Melayu tidak mampu memiliki rumah mewah, sudah tentu mengundang bahaya kepada parti dokongan orang Melayu.

Oleh : Azman Anuar

Sunday, November 26, 2017

Singapura Bukan Jiran Yang ‘Baik’

Tindakan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mencampuri urusan dalaman Malaysia berhubung isu tuntutan Pulau Batu Puteh boleh diumpamakan sebagai mencabuli kedaulatan negara dan menunjukkan mereka bukanlah negara jiran yang ‘baik’.

Setiausaha Agung Pertubuhan Perun­dingan Undang-Un­dang Asia-Afrika (AALCO), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, keceluparan Hsien Loong yang mendakwa tuntut­an Malaysia adalah kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seolah-olah mahu menjatuhkan hukuman sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) .

Jelas beliau, tuntutan untuk diadakan semula semakan 100 peratus dijalankan mengikut lunas perundangan antarabangsa dan hak tersebut merupakan milik mutlak Malaysia yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Mereka sebenarnya cuba menguji kepemimpinan kita sama ada mudah melatah atau tidak berhubung kenyataan kontroversi itu.

“Tindakan Singapura seum­pama tidak menghargai keikhlasan Malaysia terhadap mereka selama ini, mereka sepatutnya berterima kasih kepada kita ke­rana langsung tidak menggunakan tindakan kekerasan di mana tiada demonstrasi ganas berlaku selepas keputusan berkaitan Pulau Batu Puteh diumumkan ICJ pada 23 Mei 2008,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Secara rasminya Singapura (yang me­ngendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) da­­lam keputusan majoriti 12-4 memutuskan Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak 1980 adalah milik Singapura.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Hsien Loong tidak berasas kerana perjuangan Malaysia menuntut pulau tersebut adalah demi menjaga kedaulatan negara.

Malah, katanya, ICJ membenarkan sebarang bukti baharu dikemukakan dalam tempoh masa 10 tahun selepas keputusan pada 23 Mei 2008 yang mengumumkan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.

Sunday, November 19, 2017

Ibu Bapa Tanggung Anak Sampai Mati

Mak aih!! Terkejut beruk saya bila baca tajuk berita kat muka depan suratkhabar KOSMO kelmarin. Betul orang kata, sekarang ni memang ramai mak bapak yang melahirkan tuan.

Teringat saya dulu-dulu masa umur saya dalam 21 tahun. Masa tu saya tengah study degree tahun dua kat UKM, saya dah mula buat macam-macam side income.

Sejak tahun tu jugalah, saya dah mula tak minta dan tak terima duit mak bapak saya. Sebabnya, saya dah boleh cari duit sendiri dan saya malu nak ambil duit dorang.

Sebelum tu bila balik kampung je, mesti dorang bagi duit belanja. Tapi lepas saya aktif cari side income tu, saya pula yang bagi duit belanja kat dorang. Tak banyak, tapi ada.

Dunia Dah Terbalik
Jadi, bila terbaca berita kat KOSMO tu saya jadi sedih dan hiba. Anak-anak patutnya ringankan beban mak bapak bila dah mula bekerja. Tapi sekarang dah terbalik pulak.

Anak muda sekarang ni tak segan nak minta duit mak bapak walau dah mula bekerja. Alasannya, duit tak cukup duduk KL. Padahal hujung minggu bersuka ria, tak ingat dunia.

Bila rasa sesak, mula hubungi mak bapak dan minta duit tambahan padahal hidupnya bermewah-mewah. Gaji baru RM2,000 pun menggelupur nak beli Myvi 2018 tu.

Iyalah, Myvi baru tu kan cun habis. Ala-ala kacukan VW Golf dengan Honda Jazz, kan. Mulalah anak muda bergetar tulang rusuk. Deposit takda, minta kat mak bapak juga.

Lagi, kat FB upload gambar bercuti sini sana. Nasib baik mak bapak kau tak layan FB. Kalau tak, mesti dorang sedih tengok kau guna duit dorang pegi enjoy dengan kawan.

Kahwin Pakai Duit Mak Bapak

Kalau bab kahwin pula, saya rasa pengantin laki dan perempuan sendiri, kalau boleh memang nak jimat habis. Janji sah nikah, buat makan ringkas-ringkas dah cukup.

Yang biasa nak majlis grand ni mak bapaknya. Tak nak kalah dengan sedara mara dan jiran tetangga. Orang buat 7 khemas, dia nak buat 9 khemah.

Orang jemput 1,000 orang, dia nak jemput 1,500 orang. Kalau memang mak bapak yang sponsor pakai duit sendiri, sekatilah. Duit sendiri, kan. Tak kisahlah.

Masalahnya, bila majlis grand-grand, semua pakai duit hantaran yang pihak laki bagi. Apalah salahnya duit hantaran tu bagi kat anak untuk dorang mulakan hidup bersama.

Mak Bapak Kaya
Kalau dah memang mak bapak dia kaya, lantaklah kan. Duit dorang sendiri. Tapi anak-anak pun kena belajar berdikari dan perlu juga diberi ilmu untuk uruskan kewangan.

15. Kekayaan boleh diwarisi, tapi ilmu untuk uruskan kekayaan tu takkan nak diabaikan. Takut nanti, kaya tu kekal generasi kedua saja. Masuk generasi ketiga, lesap semua.

Bank Segera
Secara realiti, mak bapak kat Malaysia sekarang ini dah jadi macam bank segera atau pembiaya kewangan "confirm lulus" pula kepada anak-anak yang sudah dewasa.

Kalau tak cukup duit, anak muda dah tak risau sebab dorang tahu ada mak bapak yang akan tolong. Kalau mak bapak bagi sendiri, takpa. Tapi, kalau kau yang minta, tolong malu.

Tak Cukup Duit
Dah tahu tak cukup duit setiap bulan, hiduplah bawah kemampuan. Kalau gaji RM3,000 tu, hiduplah macam orang gaji RM2,000. Lebih RM1,000 simpan terus.

Semua orang tau, dana kecemasan sangat penting. Dah tau tu, buatlah dana kecemasan 3 hingga 6 bulan gaji. Kalau gaji RM3,000, buat simpanan RM9,000 hingga RM18,000.

Bila dah ada dana kecemasan, harap-harap, takdalah lagi dialog kesian, "Ayah, nak pinjam RM2,000 boleh? Kereta rosaklah. Nanti bila ada duit, Ucu pulangkan ya."

Mentang-mentanglah dia tahu Ayah dia baru dapat duit KWSP lepas pencen hari tu. Kesian kat Ayah dia, asyik kena paw je dengan anak. Tak nak bagi, kesian. Bagi, duit habis.

Jadi, sebab tu kalau boleh, anak-anak elakkan minta duit kat mak bapak. Kalau dah korang minta, memang dorang akan bagi. Jadi, janganlah ambil kesempatan macam tu.

Di usia emas dorang, jangan dorang dibebani dengan masalah kewangan anak-anak. Pada usia itu, dorang perlu berehat. Cukuplah berpuluh tahun dorang berkorban.

Jangan pula kerana kita, dorang paksa diri bekerja dan membanting tulang untuk menyara anak-anak dewasa yang perasan macam anak kecil yang merengek-rengek mahukan duit belanja dan dibelikan mainan itu dan ini.

Insaflah anak muda Malaysia!

Sumber : harithfaisal

Wednesday, November 8, 2017

Apabila Pencerca "Mahathir a/l Iskandar Kutty" Dilupakan

Perlukah Dr M mohon maaf kepada Bugis?
Utusan Online melaporkan berkenaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang enggan memohon maaf terhadap kenyataan beliau mengenai 'hubungan Najib dengan Bugis’.

Laporan itu menyebut: “Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka ekoran kenyataannya yang dianggap menghina masyarakat Bugis.”

Bagaimanapun, Utusan Online turut melaporkan, Mahathir juga mempertahankan ucapan beliau ketika perhimpunan haram di Selangor baru-baru ini dan diulang beberapa kali di Jelajah Semarak di Kemaman, Terengganu malam Rabu lalu bahawa kenyataan itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas dan nyata kenyataan itu bukan tuduhan secara menyeluruh kepada keturunan Bugis. Sebaliknya tuduan itu khusus kepada orang Bugis yang bernama Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jika demikian, kenapa etnik Bugis lain sama ada di Malaysia atau kepulauan Melayu begitu sensitif dengan kenyataan itu?

Kenapa mesti Mahathir perlu memohon maaf secara terbuka serta menarik balik kata-katanya?

Anehnya, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut mengheret dirinya dengan mengatakan kononnya Mahathir yang menghina keturunan tersebut.

Kesannya, ada Perhimpunan Pemuda Bugis Makasar Indonesia (PPBMI) yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia jika Pengerusi Pakatan Harapan itu tidak memohon maaf.

Pembodek Najib
Sungguh pelik apabila Utusan Malaysia atau Utusan Online tidak pun memainkan isu sebesar ini ketika Mahathir dihina dan dituduh sebagai keturunan Kerala.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut perkara itu tidak pula diminta menarik balik kenyataannya yang mengungkit sejarah Mahathir yang berketurunan India dan menuduh beliau mempergunakan Melayu selama 22 tahun semasa pentadbirannya.

Malah Zahid, yang juga menteri dalam negeri sehingga menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".
Pelik apabila tiada pula orang keturunan Kerala serta Mamak yang menunjuk perasaan, sama ada di Malaysia atau di India kerana kenyataan Zahid itu.

Atau mungkin di sini atau di India, Mamak dan yang berketurunan Kerala lebih terbuka dan tidak sensitiif sangat mengenai isu yang ditujukan kepada Mahathir oleh orang bawahan Najib.

Juga mungkin yang cuba menghangatkan suasana dan isu ini adalah pembodek Najib, walaupun tahu bahawa orang Bugis yang satu inilah yang sedang memporak-perandakan etnik lain di Malaysia, termasuk Jawa, Boyan, Minangkabau, Patani, Riau dan sebagainya.

Mungkin juga jika serangan begini hanya ditujukan kepada seorang lagi Bugis – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang turut mengaku keturunan Bugis – tumpuan tidak sebegini besar.

Malah, tiada pun etnik Bugis (kalau ada) di Terengganu akan sensitif sedemikian rupa.

Najib pastinya akan dipertahankan oleh konco-konconya dalam apa juga segi dan ruang, apa lagi pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah sangat hampir ke tarikhnya.

Namun satu perkara yang rakyat sedar ialah, apa yang dikatakan oleh Mahathir itu memperkukuhkan lagi kenyataan beliau sebelum ini bahawa kedudukan Najib semakin genting dan kepimpinan perdana menteri Malaysia ketika ini mempunyai banyak ruang yang boleh dipersoalkan.

Oleh : Hambali Abdul Latiff

Saturday, October 21, 2017

13 Bukti Hubungan Seks Buat Wanita Makin Cantik

Anda tahu tak ada cara mudah untuk kekal muda, sihat dan jelita dalam satu pakej? Dengan hubungan seks! Tak percaya? Jom baca 13 bukti yang diulas doktor. Lepas ini, mungkin anda kena selalu goda nafsu suami, lah...

Semua wanita nak cantik, kan?


Semua wanita ada beberapa persamaan: suka pencuci mulut (sebab manis dan comel), suka clearance sale dan ingin sentiasa tampil muda, sihat dan cantik.

Sebab itu ramai yang sanggup melabur untuk perkara ini. Trend terhangat sekarang adalah trend kecantikan. Ada Sephora, gudang yang penuh dengan pelbagai produk (jika tak google nama produk, anda tak tahu ia wujud pun!)

Tapi, sebenarnya… anda tahu tak ada cara mudah untuk kekal muda, sihat dan jelita dalam satu pakej?

Ya, dengan hubungan seks! Tak percaya? Jom baca 13 bukti yang diulas doktor pakar tentang manfaat hubungan seks dalam membuatkan anda lebih cantik di bawah ini.

Lepas ini, kena praktis teknik godaan yang mampu menggugat nafsu suami, lah. Bukan untuk orang lain! Untuk kita kekal cantik juga, hehe.
Dr Mehmet Oz, doktor ternama daripada Amerika Syarikat mengulas
“seks satu jalan mudah untuk wanita kekal sihat, muda, dan cantik.”

Mengapa? Kerana…

1. Kulit kekal muda dan sihat
Hubungan seks meningkatkan pengaliran darah. Oksigen akan lebih dipam membuatkan kulit anda akan kelihatan lebih cerah. Glowing, gitu!

2. Awet muda
Healthsite melaporkan seks boleh buat kedutan hilang dan… anda boleh jadi awet muda! Waktu bersetubuh, anda akan melepaskan hormon yang boleh mengekalkan keanjalan kulit. Bebas kedutan lagi.

Nikmat orgasm mampu buat kita kekal awet muda? Wow, bertuah sungguh!

3. Tingkatkan imun badan
Perumpamaan “an apple a day keeps the doctor away” mungkin patut tukar kepada “having sex keeps the doctor away!” Sebab apa?

Sebab lebih kerap anda melakukan hubungan seks, lebih banyak antibodi immunoglobin terhasil. Immunoglobin adalah antibodi badan yang melawan selesema dan jangkitan!

4. Payudara lebih pejal
Dr Michael Roizen, Pengarah Klinik Cleveland Roizen menjelaskan seks mampu buat payudara anda lebih pejal. Payudara anda boleh membesar sehingga 25 peratus, dan puting akan lebih tinggi setengah inci.

Tak perlu lagi push-up bra!

5. Rambut lebih berkilat
Cantiknya rambut hitam berkilat! Tak payah pakai minyak kelapa atau produk syampu yang mahal lagi. Seks pun boleh buat rambut anda lebih cantik!

Kajian menunjukkan “hubungan yang semua orang suka ini” menggalakkan penerimaan nutrien dalam badan. Setiap folikel rambut berhubung dengan saluran darah. Lebih banyak pengaliran darah (sebab seks) lebih berkilat rambut anda!

6. Kuku lebih sihat dan kuat
Hello, jangan lupa tentang kuku! Seks yang boleh buat anda awet muda ini juga boleh buat kuku lebih sihat dan kuat. Lepas ini tak payah pergi manicure berkali-kali.

7. Sexexercise
Gim? Memang taklah! Lagipun, Dr Roizen menjelaskan hubungan seks sama seperti anda bersenam Zumba! Bersenam atas katil lah nampaknya, selepas ini.

8. Meredakan stress
Hidup ini memang stress. Tapi ada bukti yang mengatakan seks mampu meredakan stress! Ia sebab hubungan seks boleh merendahkan tahap tekanan darah. Tak payah stress lagi, okay?

9. Tiada lagi masalah muka
Masalah muka di sini adalah: muka berjerawat, kusam dan kering. Dan dengan seks, anda tak akan hadapi semua masalah ini lagi, pasti!

Tambahan lagi, hubungan seks yang aktif menggalakkan pengeluaran peluh. Ia bagus untuk menghapus kotoran dalam pori muka.

10. Bertindak sebagai pain killer semulajadi
Oxytocin, salah satu bahan kimia yang dilepaskan ketika bersetubuh meningkatkan endorfin dan mampu mengurangkan sakit kepala.

Seks juga mempercepatkan penyembuhan luka! Sebelum anda ke kabinet mencari ubat, apa kata cuba… quickie, dulu? Hehe…

11. Buang lemak badan!
Ini yang paling seronok! Hubungan seks mungkin tak mampu turunkan berat badan anda seperti senaman kardio, tapi ia mampu membakar kira-kira 170 kalori!

12. Orgasma meleperkan perut
Terima kasih kepada oxytoxin, anda boleh atasi masalah perut buncit!

13. Tidur dengan cukup
Semua orang tahu manfaat mendapatkan tidur yang mencukupi. Tapi satu perkara anda tidak tahu. Hubungan seks boleh membuatkan tidur anda lebih tenang dan mudah! Sebab itu suami pun tiada masa nak cuddle, terus tidur!

Semua kebaikan di atas belum termasuk dengan kebaikan hubungan seks kepada suami anda! Hakikatnya, hubungan intim yang aktif menghasilkan sperma yang lebih sihat, mengurangkan kanser prostat dan meningkatkan kesihatan jantung.





Macam win-win situation. Anda semakin cantik, suami semakin sihat. Pakej lengkap untuk hidup bahagia, tanpa melabur wang yang banyak! - the asian parent

Tuesday, October 17, 2017

Hutang Graduan IPTS Membimbangkan

KIRA-KIRA dua dekad lalu, rata-rata graduan berkelulusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang ditawarkan pekerjaan di sektor swasta terutama perkilangan mendapat gaji permulaan sekitar RM1,600 dan RM2,200 sebulan. Ketika itu kos sara hidup tidak terlalu tinggi sehingga membebankan mereka dengan hutang yang banyak.

Kini tinggal beberapa tahun sahaja lagi sebelum Malaysia menempuhi era negara berpendapatan tinggi, namun gaji permulaan graduan STEM dilihat masih tidak berganjak dengan purata dalam lingkungan jumlah sama seperti hampir 20 tahun lalu.

Bayangkan dengan kos sara hidup meningkat berkali ganda dan beban hutang yang perlu ditanggung graduan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), mereka masih menerima gaji pokok bulanan seperti di era 90-an. Usahlah kita bercakap tentang pendapatan per kapita kerana keadaan itu sama sekali tidak menggambarkan kemelut sebenar.
Situasi ini bukan sahaja menambahkan bilangan generasi muda yang jauh lebih miskin berbanding ibu bapa mereka, bahkan mereka berisiko tinggi menjadi muflis. Lebih malang, mungkin terdapat ibu bapa terpaksa menghabiskan simpanan hari tua untuk membantu anak-anak menyelesaikan hutang pendidikan bagi mengelakkan mereka disenaraihitamkan.

Mempunyai jumlah IPTS yang banyak adalah satu kelebihan. Namun jika aspek keuntungan sahaja diutamakan, generasi muda akan terperangkap dengan beban hutang yang tiada kesudahan.

IPTS adalah laluan untuk pelajar yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Bagi pelajar STEM yang mengambil diploma dan kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat ijazah, hutang pendidikan ditanggung mereka bukan sahaja mencecah ribuan ringgit bahkan ada melebihi RM100,000 sebaik sahaja tamat pengajian.

Sebagai ibu bapa tentulah emosi mereka sedikit terganggu apabila anak-anak berusia awal 20-an dan masih belum ada jaminan pekerjaan sudah mempunyai beban hutang yang begitu tinggi.

Kerajaan menggalakkan pelajar untuk mengambil jurusan STEM di IPTA dan IPTS, malangnya STEM antara jurusan yang tinggi kos pengajiannya sedangkan imbuhan yang bakal mereka terima sebaik mendapat jawatan tertentu di sektor awam atau swasta tidaklah setinggi graduan jurusan lain. Itu belum mengambil kira graduan menganggur dalam tempoh lama.

Dalam ruangan terhad ini, saya mewakili ibu bapa sangat berharap agar kerajaan khususnya Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Profesor Negara serta pihak terlibat dalam Persidangan Meja Bulat TN50 dan mungkin juga Bank Negara Malaysia bersama-sama mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan graduan IPTS daripada terjerumus ke kancah hutang yang amat tinggi pada usia mentah.

Carilah mekanisme terbaik untuk mengurangkan kos pendidikan tinggi. Memberi hutang bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana akan mengakibatkan masalah jauh lebih rumit pada masa akan datang.

Kajian dijalankan oleh mereka yang pakar dalam bidang psikiatri mendapati penyakit mental bakal menjadi penyakit kedua tertinggi di negara ini menjelang tahun 2020. Cegahlah sebelum terlambat.

Ibu Bapa Risau
Dungun, Terengganu

Friday, October 6, 2017

Bau 'matikan' selera

SEBELUM melakukan hubungan intim dengan pasangan anda di ranjang, pernahkah anda melakukan 'pemeriksaan' menyeluruh ke atas tubuh?

Sebagai pengemudi pasangan, anda memang telah bersedia memikat suami atau isteri anda dengan memakai baju tidur yang seksi, bergaya dengan aksi yang manja tup tup... oops... badan berbau.

Bau adalah perkara yang boleh menyebabkan hubungan intim mengalami kegagalan.

Meskipun ada yang mengatakan bau badan yang tidak menyenangkan perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan, ia sebenarnya antara penyumbang kepada masalah seksual suami isteri.

Ia boleh berpanjangan dan menjadi salah satu faktor punca perceraian.

Antara bau yang perlu dihindari apabila hendak melakukan hubungan intim ialah:

1. Badan berbau.
Jika mendapati badan memang sentiasa mengeluarkan bau yang amat memeritkan hidung setiap kali berpeluh akibat rembesan hormon yang berlebihan, anda perlu melakukan sesuatu untuk membendungnya.

Justeru perkara yang perlu dilakukan ialah menjaga kebersihan diri dengan sentiasa mengganti baju dan mandi dengan menggunakan sabun. Selepas itu pakailah baju yang bersih.

Jika ingin 'bersama ' pasangan, seelok-eloknya mandi terlebih dahulu kemudian semburlah wangian untuk bau lebih menyenangkan.

2. Rambut berbau.
Ini mungkin anda tidak perasan. Tetapi pasangan akan terbau rambut yang masam atau hapak apabila si dia ingin mengusapnya.
Justeru pastikan rambut disyampu dan kemaskan dengan perapi untuk menjadikannya lebih terurus dan berbau harum.

3. Kaki berbau. 
Ini juga salah satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh pasangan. Janganlah lepas balik dari kerja, lemparkan kasut dan sarung kaki, terus memeluk pasangan anda di atas katil dengan bau kaki yang tidak menyenangkan.

Kaki berbau kerana ia sentiasa berkeadaan lembap, kurang bersih, berkuman dan menyebabkan bau yang kurang menyenangkan.

Basuh dan bersihkan kaki dahulu, pastikan ia kering dan tidak meninggalkan bau terpengap. Kalau boleh minta ubat atau petua yang boleh mengurangkan bau kaki.

4. Ketiak berbau.
Ini juga disebabkan oleh rembesan hormon pada individu menyebabkan tahap bau pada ketiak akan menjadi lebih dominan atau menonjol.

Sama ada berbau tengik, masam, perit dan sebagainya ia adalah bau semula jadi yang dihasilkan oleh badan.
Kadangkala ada pasangan yang gemar dengan bau ketiak pasangan masing-masing dan menjadikan ia satu kemuncak kepada keghairahan.

Namun sekiranya bau ketiak menjejaskan hubungan intim sesuatu perlu dilakukan. Antaranya dengan menggunakan pewangi ketiak, mahupun mencari petua yang boleh menghilangkan bauan tersebut.

Apa pun mandi selalu juga boleh membuatkan bau berkenaan semakin berkurangan.

5. Nafas berbau.
Ini juga perlu diambil perhatian. Nafas berbau disebabkan tidak menjaga kebersihan mulut, sisa makanan mahupun kerosakan gigi.

Gosok gigi, pakai pencuci mulut atau pewangi mulut sebelum anda bercumbu agar si dia tidak terasa mual dengan bau mulut anda.

6. Alat sulit berbau.
Ini yang paling penting. Alat sulit wanita memang memiliki bau yang tersendiri. Memang baunya agak tajam. Namun tidak perlu menyemburnya dengan wangian ditakuti dijangkiti kuman.

Alat sulit wanita akan berbau akibat penyakit keputihan, gatal-gatal dan bengkak di sekitar faraj kerana tempat ini adalah tersembunyi, lembap dan gelap.

Selalu jaga kebersihan alat sulit anda. Bagi suami isteri, bersihkan alat sulit terlebih dahulu sebelum melakukan hubungan intim bagi mengelakkan bakteria.

Jangan terus tidur selepas melakukan hubungan intim, sebaiknya basuh dulu alat sulit selepas hubungan.

7. Bersih tangan anda.
Pastikan tangan anda sentiasa bersih dan mencucinya dengan cermat agar apabila pasangan ingin menciumnya tiada pula terbau bawang atau belacan.

8. Cuping telinga, leher dan tengkuk
Ini juga penting, bersihkan, jangan sampai ada daki atau cebisan kulit mati padanya kerana pasangan anda akan memulakan adegan intimnya di bahagian ini untuk merangsang ghairah anda.

Anonymous

Melayu Dan Toleransinya

Saya lihat sesetengah pihak berlebihan mengkritik seakan orang Melayu langsung tiada toleransi dengan agama dan kaum lain.

Padahal, saya rasa sukar dalam dunia untuk mencari bangsa yang begitu bertoleransi dengan kaum lain seperti bangsa Melayu. Sejak dahulu, di tengah-tengah kampung Melayu di serata negeri-negeri boleh wujud kedai cina berniaga dengan majunya.

Orang melayu tidak memusuhi kaum cina yang berkedai dalam kampung mereka, bahkan mereka memanggil 'taukeh' kepada empunya kedai, satu konotasi yang baik.

Apabila Jepun memasuki Tanah Melayu dan memburu orang Cina, ramai keluarga Melayu melindungi orang Cina dari Jepun.

Apabila orang Melayu memerintah sendiri Tanah Melayu, mereka berpakat dengan kaum lain secara aman. Pelbagai peluang dibuka dan berikan kepada kaum lain sehingga kalangan Melayu sendiri puas hati.

Isu-isu perkauman akhir-akhir ini memang berlaku disebabkan kerana suasana politik Melayu itu sendiri. Maka ada pihak yang cuba menjadikan isu perkauman sebagai senjata dalam permainan politik mereka. Pun begitu masih terkawal walaupun keadaan tidak sebaik dahulu.

Raja-Raja Melayu
Raja-Raja Melayu walaupun dikaitkan dengan kalimah 'Raja Melayu' dan mereka semua beragama Islam, namun sikap mereka terhadap kaum dan agama lain sentiasa mesra bahkan kadang-kadang merisaukan kaum Melayu itu sendiri.

Suara Raja-Raja Melayu itu selalu harmoni untuk semua. Dalam 7 Amanah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin kepada seluruh rakyat Perlis, Amanah Ketujuh berbunyi : "Pegangan Islam dalam Negeri Perlis hendaklah harmoni untuk semua pihak; tanpa mengira bangsa dan agama."

Islam yang diajar dalam negeri Perlis hendaklah bersifat universal yang kebaikan dan rahmatnya merangkami semua kaum dan agama.

Pendekatan Islam yang diajar kepada anak-anak di sekolah dan rakyat jelata hendaklah bebas dari unsur perkauman dan permusuhan antara rakyat disebabkan perbezaan kaum dan agama semata".

Suara Tuanku Sultan Nazrin yang merupakan Sultan Perak juga sentiasa moderat dan mengambil kira masyarakat berbilang agama dan kaum.

Dalam isu dobi hanya untuk orang Islam, Sultan Johor dengan tegas menolak pendekatan tersebut.

Saya sendiri dititahkan oleh pihak Istana Perlis untuk mengatasi isu tersebut yang juga berlaku di Perlis. Demikian prihatin sultan dan Raja Melayu terhadap hak penganut agama lain.

Isu agama
Dalam isu-isu agama yang kelihatan boleh menimbulkan salah faham penganut agama lain terhadap Islam khususnya tentang hak dan amalan agama mereka yang jamin ruangnya oleh Islam, akan ada tokoh-tokoh agama Islam kalangan orang Melayu yang membela hak agama dan kaum lain.

Kenyataan demi kenyataan sering dikeluarkan bagi menjamin ke arah keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa. Saya rasa saya juga ada menyumbang ke arah hal itu. Saya mufti yang dilantik oleh raja Melayu.

Parti-parti politik Melayu, sekali ada banyak perkara yang boleh dipertikaikan dalam hal lain, namun soal keharmonian hidup masyarakat majmuk, setiap mereka cuba menjaganya.

Umno sejak awal membentuk kerjasama dengan kaum lain. Banyak faedah yang kaum lain dapat melalui Umno. PAS walaupun dilihat sempit namun jangan lupa PAS pernah menyatakan 'melayu bukan syarat menjadi pemimpin negara'.

PAS pernah membuat slogan muktamar mereka 'Menggempur Pemikiran Asabiyah (kebangsaan)'. Bahkan PAS pernah bekerjasama dengan DAP. Lebih ganjil lagi, semasa memerintah Kedah, PAS langsung tidak mempertikaikan arak di Langkawi. Walaupun hari ini parti itu berubah disebabkan cuaca politik, namun ruang toleransi pernah ada dan 'mungkin' boleh kembali ada.

Sampai hari ini parti itu masih berinteraksi dengan non-muslim. Politik kepartian satu permainan merebut kuasa. Ia berubah jika ada keperluan.

Parti-parti politik lain seperti PKR, AMANAH dan selainnya memang secara jelas memberikan ruang dan hak kepada agama dan kaum lain. Bahkan parti AMANAH, Pertubuhan Ikram, Abim dan selain mereka membuat pelbagai program dan seminar bagi memahamkan orang Melayu Islam mengenai hak dan tolenrasi dengan agama lain di sisi Islam.

Demikian tokoh-tokoh moderat dan progresif Melayu.

Badan rasmi dikuasai Melayu
Badan-badan rasmi yang dikuasai oleh orang Melayu kebanyakan sering mengambil kira sisi pandang orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Jakim, sekali pun sering dianggap oleh bukan muslim sebagai tidak mesra dengan bukan muslim, saya yang juga kadang-kala berbeda pandangan dengan Jakim ingin memberitahu anda bahawa Jakim juga dalam mesyuarat mereka mengambil soal masyarakat pelbagai agama dan kaum ini.
Saya menghadiri mesyuarat-mesyuarat Jakim, saya tahu hal ini. Walaupun ada individu-individu yang ekstrem namun, secara umumnya sisi pandang pihak agama lain diambil kira oleh Jakim.

Cumanya, kadang kala keadaan menyebabkan suasana menjadi berbeza dengan apa yang dihajati.

Pertubuhan-pertubuhan yang bersifat perkauman kalangan kaum Melayu sering mendapat bantahan dan kritikan dalam orang Melayu sendiri. Demikian adil sikap majoriti Melayu.

Minoriti muslim di negara lain
Anda tahu bahawa saya juga sering memberikan pandangan mempertahankan hak anda jika saya rasa hak anda dilanggar. Saya pun orang Melayu.

Saya rasa di samping kekurangan yang ada, banyak nilai toleransi Orang Melayu Islam yang patut juga anda hargai.

Lihatlah nasib umat Islam minoriti di China, India dan terdekat di Myanmar.

Mereka diperlakukan dengan segala perlanggaran bukan sahaja hak beragama, tapi hak asasi manusia itu sendiri. Dibunuh, diseksa dan dinafikan segala hak kemanusiaan.

Di sini, majoriti ramai yang lebih kaya daripada minoriti. Tiada pertumpahan darah dan kekejaman dan penafian hak secara jelas seperti yang berlaku di negara lain.

Hargailah
Di sini, di Malaysia, di tanah asal Melayu memang ada kelemahan, ada kekurangan.

Ya benar, namun jauh bahkan ribuan kali lebih baik dibandingkan minoriti muslim yang ada di negara-negara seperti China, India, Myanmar dan selainnya.

Muslim di Malaysia tidak menjadikan isu di sana untuk melunaskan dendam dan permusuhan di sini.

Marilah kita hidup dengan aman dan berusaha menunaikan hak masing-masing. Toleransi yang wujud selama ini perlu dihargai. Kekurangan kita baiki, namun jangan sampai lupa untuk menghargai.

Oleh : Dr. Maza

Monday, October 2, 2017

Hentam Melayu, Muslim Lebih Seronok?

Sejak seminggu yang lalu, kecoh satu Malaysia dek sebuah kedai dobi di Muar, Johor yang hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja bagi menggunakan perkhidmatan mesin basuh layan diri di kedai tersebut.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan konsep yang dilaksanakan pemilik perniagaan terbabit - lebih-lebih lagi di negara kita yang berbilang kaum ini - saya pelik juga akan sebab mengapa agaknya ramai yang cepat melenting apabila mendapat tahu kewujudan kedai dobi mengamalkan sikap diskriminasi sedangkan tidak pula bertindak sedemikian terhadap amalan diskriminasi yang lain?

Pastinya setiap individu warganegara Malaysia yang tidak hidup di bawah tempurung sedia maklum akan amalan-amalan diskriminasi yang sudah lama menular di banyak kejiranan kita.

Contohnya, tuan-tuan punya rumah menawarkan hartanah mereka untuk disewakan kepada kaum-kaum yang tertentu.

"For Chinese Only" (Untuk Cina sahaja).

"Untuk Muslim sahaja."

Saya pernah bertanya kepada tuan punya rumah berketurunan Cina akan sebab mereka memilih kaum yang sama berbanding memilih penyewa bertanggungjawab.

Kata mereka, penyewa Cina lebih mudah membayar sewa tepat pada masanya, manakala penyewa Muslim dan India cenderung memasak sambal belacan dan kari, menyebabkan seluruh rumah berbau busuk.

Bagi tuan punya rumah beragama Islam pula, menurut mereka, adalah lebih mudah menerima penyewa Musim memandangkan penyewa bukan Islam mungkin akan menggunakan kelengkapan dapur bagi menyediakan makanan yang tidak halal, lantas memaksa mereka menyamak seisi rumah sebelum mencari penyewa lain.

Jika difikirkan dengan mendalam serta diteliti, perbezaan antara alasan yang diberikan oleh tuan-tuan punya rumah berkenaan dengan pemilik kedai dobi tersebut, tidaklah begitu ketara.

Jadi, bukankah pemilihan kaum tertentu dalam soal penyewaan rumah juga satu bentuk diskriminasi?

Alasan bahasa

Habis, mengapa pula tak kecoh satu Malaysia?

Selain daripada amalan diskriminasi sebahagian tuan-tuan punya rumah semasa memilih penyewa, ada juga majikan yang bertindak sedemikian dalam pemilihan pekerja.

Pastinya ramai yang sudah maklum dengan iklan-iklan jawatan kosong sebegini:

"Only for Chinese applicants" (Untuk pemohon Cina sahaja).

Apabila ditanya apa sebab sebahagian mereka memasukkan faktor bangsa semasa pemilihan pekerja, ada saja majikan yang memberi alasan kebolehan bertutur bahasa Mandarin sebagai puncanya.

Peliknya, jika benarlah alasan tersebut, mengapa pula iklan jawatan kosong tersebut tidak hanya mewajibkan pemohon bertutur dalam bahasa Mandarin, sebaliknya menekankan faktor bangsa?

Hmm...bunyi macam diskriminasi juga, bukan?

Selain itu, ada juga saya terbaca kisah seorang netizen meninggalkan komen dalam sebuah blog menceritakan pengalamannya. Katanya:

"Saya berkelulusan universiti tempatan dan sudah bekerja dengan sebuah syarikat tempatan. Pemilik serta majoriti pekerjanya merupakan kaum Cina.

“Sudah setahun lebih saya bekerja, berhempas-pulas cuba membuktikan kebolehan saya. Datang pula seorang pekerja berbangsa Cina yang baru memperoleh ijazah tanpa pengalaman bekerja.

“Individu tersebut bukan sahaja ditawarkan posisi yang sama seperti saya di dalam syarikat, malahan gaji permulaanya juga lebih tinggi berbanding gaji saya yang sudah setahun bekerja."

Diskriminasi kita sendiri

Tak tahulah apa pendapat para pembaca akan kisah di atas, tetapi pada pandangan saya, bunyinya seakan diskriminasi di tempat kerja.

Seperti saya, pastinya ramai yang telah mendengar bermacam amalan diskriminasi sedemikian rupa di kalangan masyarakat kita. Peliknya kita bertoleransi saja dengan amalan-amalan tersebut sedangkan tergedik-gedik pula membuat bising apabila mendengar tentang kedai dobi yang menyediakan perkhidmatan hanya untuk pelanggan Muslim.

Kenapa?

Apakah lebih seronok menghentam orang Melayu dan Muslim berbanding kaum yang lain?

Sesungguhnya, dengan sikap kita yang fokus pada keaiban satu pihak dan dalam masa yang sama alpa dengan keaiban pihak yang lain, sebenarnya kita sendiri yang cenderung ke arah diskriminasi.

Oleh : Fa Abdul

Beginikah Duit Kita Di Urus.....

Inilah Cara Licik Semua Bank Di Malaysia Tipu Seluruh Rakyat Malaysia Yang Ramai Tak Tahu !!!
Ramai sebenarnya yang tahu kisah sebenar penutupan bank di Greece. Media massa, cikgu, ahli politik dan juga orang bank tidak akan memberitahu anda perkara ini, iaitu bagaimana semua bank di Malaysia mahupun di seluruh dunia tipu kita, biar saya yang bagitahu anda supaya anda membuka mata hati dan lebih celik melihat perkara sebenar yang berlaku di dunia yang telah dikaburi ini

Raja kepada sistem pemusnah dunia – FRS

Hari ini saya nak terangkan tentang Fractional Reserve System (FRS). Satu sistem dimana perbankan di seluruh dunia mencipta duit. Duit yang kita miliki bukan lagi disandarkan dengan ‘simpanan emas – gold standard’ bermula dari tahun 1971 lagi (Bretton Woods), tetapi duit kita hari ini tak kira lah duit fizikal atau duit elektronik tidak disandarkan dengan apa-apa lagi. Ianya di panggil duit fiat – duit yang dihasilkan atas persetujuan kuasa-kuasa tertentu. Semakin banyak duit dicipta, semakin jatuh nilai duit tersebut. Semakin jatuh nilai duit berkadaran langsung dengan peningkatan inflasi. Semakin tinggi inflasi, semakin tinggi harga barang dan service dan ini menyebabkan kita makin miskin dan miskin. Faham? Secara dasarnya kita kena tahu dari mana duit dicipta dan kita harus bersama hapuskan sistem ini. Apa yang saya nak terangkan ini tidak diajar disekolah dan di universiti, bahkan orang-orang besar bank pon kebanyakkan tak tahu sistem ini. Anda akan belajar sesuatu yang besar hari ini. InsyaAllah ilmu ini akan dapat membantu anda.

Awak bayangkan di Malaysia ini ada satu bank sahaja untuk memudahkan penyampaian cerita saya. Dan bank tersebut saya gambarkan seperti di gambar diatas. Ikut turutan nombor yang disediakan;

(1). Carl ada RM1000 hasil berniaga dan simpan duit tersebut ke dalam bank dan dalam buku akaun dia tertulis Carl dah deposit RM1000 ke dalam bank. Melalui sistem FRS, bank akan simpan 10% (RM100) duit Carl di dalam reserve bank dan 90% (RM900) lagi bank akan memberi loan kepada orang yang memerlukan.

(2), (3) & (4). Belle membuat personal loan dari bank sebanyak RM900. Duit yang Belle pinjam itu terus bank masukkan ke dalam akaun Belle secara elektronik dan dalam buku akaun dia tertulis Belle mempunyai deposit sebanyak RM900. Melalui sistem FRS, bank akan simpan 10% (RM90) duit Belle di dalam reserve bank dan 90% (RM810) lagi bank akan memberi loan kepada orang yang memerlukan.

(5), (6) & (7). Apa yang berlaku kepada Belle, sama berlaku kepada John and Steve. Sehingga (8) pihak bank memutuskan untuk tidak teruskan lagi memberi pinjaman kepada orang seterusnya (memudahkan cerita).

(9). Jika diperhatikan dengan teliti di dalam kotak hitam (reserve bank), bank hanya mempunyai duit sebanyak RM1000 sahaja (RM100 + RM90 + RM81 + RM729) seperti jumlah asal yang Carl masukkan ke dalam bank. Tetapi jika dikira melalui buku akaun peminjam dan termasuk Carl, duit mereka secara total adalah sebanyak RM3439! (RM1000 + RM900 + RM810 + RM729). Bank berjaya membuat duit dari RM1000 menjadi RM3439 secara digital tanpa anda sedar. Begini lah caranya bank membuat duit melalui simpanan dan pinjaman anda.

(10). Itu kalau saya stop sampai Steve sahaja. Kalau saya teruskan lagi dengan bank memberi pinjaman demi pinjaman, melalui (FRS – 10%) ini, pihak bank mampu membuat dari deposit sebanyak RM1000 menjadi RM9,999. Dan lebih dasyat lagi RM1,000,000 menjadi RM9,999,999!


Disebabkan ini lah punca sebenar kenapa nilai duit kita makin jatuh hari demi hari. Semakin banyak duit dipasaran, semakin jatuh nilai duit. Barang menjadi semakin mahal. Yes bank itu institusi paling kejam di dunia, dan sistem yang terbina atas dasar ‘riba’ ini merupakan satu sistem yang amat berbahaya sekali dan tetapi jauh lebih kejam jikalau anda sendiri yang menyokong sistem ini. Anda menyimpan ke dalam bank dan membuat loan dengan bank. Penggunakan kad kredit dan kad debit adalah penyumbang terbesar kepada sistem ini. Tanpa anda, sistem ini pasti akan musnah. Kalau tak percaya, apa kata kita semua rakyat Malaysia keluarkan duit dari bank-bank di Malaysia. Hanya 10% sahaja orang yang akan dapat duit mereka disebabkan bank memang tiada duit, mereka hanya cipta duit secara maya sahaja melalui digit-digit dalam buku akaun dan akaun online anda.

Kalau nak simpan duit, saya galakkan tukarkan duit tersebut kepada komoditi seperti emas atau perak. Kerana barangan komoditi ini tidak akan hilang nilai. Semakin jatuh nilai duit, semakin tinggi harga komoditi. Kena jadi bijak dan percaya kepada Allah.

p/s: Now dah tau kenapa sebenarnya rakyat Greece mengeluarkan wang mereka dari Bank? Dah tahu kenapa saya begitu memperjuangkan anti-riba. Kenapa saya tidak menggalakkan penggunaan elektronik money (debit & kredit kad)? Jarang menggunakan khidmat bank? Tiada kad kredit? Mana yang saya boleh elak saya elak dan kalau lagi best kita sama-sama beri kefahaman ini kepada seluruh orang Islam kita. Jatuhkan institusi kewangan ini dan naikkan institusi kewangan Islam. Ingat, zaman kegemilangan Islam tiada institusi bank.  http://kopipes.co