Setiausaha Agung Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, keceluparan Hsien Loong yang mendakwa tuntutan Malaysia adalah kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seolah-olah mahu menjatuhkan hukuman sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) .
Jelas beliau, tuntutan untuk diadakan semula semakan 100 peratus dijalankan mengikut lunas perundangan antarabangsa dan hak tersebut merupakan milik mutlak Malaysia yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
“Mereka sebenarnya cuba menguji kepemimpinan kita sama ada mudah melatah atau tidak berhubung kenyataan kontroversi itu.
“Tindakan Singapura seumpama tidak menghargai keikhlasan Malaysia terhadap mereka selama ini, mereka sepatutnya berterima kasih kepada kita kerana langsung tidak menggunakan tindakan kekerasan di mana tiada demonstrasi ganas berlaku selepas keputusan berkaitan Pulau Batu Puteh diumumkan ICJ pada 23 Mei 2008,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam keputusan majoriti 12-4 memutuskan Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak 1980 adalah milik Singapura.
Pada 4 Februari lalu, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Hsien Loong tidak berasas kerana perjuangan Malaysia menuntut pulau tersebut adalah demi menjaga kedaulatan negara.
Malah, katanya, ICJ membenarkan sebarang bukti baharu dikemukakan dalam tempoh masa 10 tahun selepas keputusan pada 23 Mei 2008 yang mengumumkan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.
Sumber : www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment