Sunday, December 24, 2017

Sumpah Bohong dan Hipokrasi Orang Islam

Kalau ada angka tunjuk kemunafikan (hypocrisy index), Malaysia tentu mendapat kedudukan yang tinggi. Walaupun Islam mencegah hipokrasi, orang Malaysia - termasuk yang mengaku beragama Islam - terkenal dengan amalan cakap lain buat lain.

Sebab itulah dalam indeks keislaman (Islamicity index), Malaysia dan negara-negara Islam lain mendapat markah rendah.

Indeks ini mengukur amalan ciri-ciri Islam dalam pelbagai aspek kehidupan harian. Ia diilhamkan oleh dua orang cendekiawan Islam Amerika, Hossein Askari dan Hossein Mohammadkhan.

Bagi indeks terbaru iaitu tahun 2016, Malaysia menduduki tempat ke-41, naik dari anak tangga ke-43 tahun sebelumnya. Semua negara yang mendahului kita adalah negara bukan Islam. Negara nombor satu tahun 2016 adalah New Zealand dan 2015 Belanda.

Bagi kedua-dua tahun itu Indeks Keislaman Singapura lebih tinggi. Mereka berada di tangga ke-22 pada tahun lalu, dan 17 pada 2015. Antara ciri yang diambil kira ialah kekuatan ekonomi, keadilan sosial, keselamatan dan bebas rasuah.

Wajib ambil tindakan
Nampaknya orang kafir lebih peduli kepada apa yang betul dan apa yang salah. Mereka sanggup mengambil risiko untuk menegakkan kebenaran.

Contoh klasik ialah penyiasatan dan tindakan undang-undang bersabit skandal penipuan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd oleh negara-negara bukan Islam.

Semua pihak yang hari ini sudah bertindak ke atasnya adalah negara-negara bukan Islam seperti Singapura, AS dan Switzerland. Indek Keislaman AS tahun lalu nombor 17 dan Switzerland 5.

Sebab itulah jika pembangkang ditakdirkan menang dalam pilihan raya umum (PRU) tahun hadapan, mereka wajib mengambil tindakan paling tegas dan keras terhadap orang-orang yang terlibat berbohong bagi melindungi skandal ini.

Selain kepala-kepala politik BN, tindakan wajib diambil ke atas pegawai-pegawai utama seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Audit Negara.

Setidak-tidaknya pun mereka wajib disiasat bersabit peranan mereka menyembunyikan atau memanipulasi kebenaran. Dalam konteks ini, mungkin Ketua Audit Negara yang bersara, (Tan Sri Ambrin Buang) telah menjalankan tugas dengan telus.

Temui sesuatu yang buruk
Saya katakan begitu kerana laporan penyiasatan beliau ke atas 1MDB yang diserahkan kepada parlimen telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Maksudnya ada perkara buruk yang hendak disembunyikan oleh kerajaan daripada rakyat jelata sehingga anggota parlimen pun tidak dibenar membincangkannya.

Sesiapa yang mendedahkannya akan dihukum.

Bagi SPRM pula, sesetengah pegawainya yang terdahulu dipindahkan secara tergesa-gesa atau ditekan agar bersara awal. Ini bermakna mereka telah menemui sesuatu yang buruk mengenai 1MDB dan SRC.

Kemudian pembunuhan amat kejam ke atas pendakwa raya kanan, Datuk Anthony Kevin Morais, pada September 2015.

Morais disebut sebagai pakar dalam bidang pendakwaan rasuah dan dikatakan dalam proses merangka draf pertuduhan yang membabitkan penyelewengan RM42 juta duit SRC.

Enam orang yang terdiri daripada Kol Dr R Kunaseegaran, 54; R Dinishwaran, 25; A K Thinesh Kumar, 24; M Vishwanath, 27; S Nimalan, 24; and S Ravi Chandaran, 46 – telah dituduh melakukan pembunuhan itu. Mereka telah pun diperintah supaya membela diri.

Peranan Peguam Negara
Dalam apa juga usaha dan tindakan mengungkai skandal 1MDB dan SRC ini, peranan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali adalah kemuncak (pivotal).

Beliaulah yang “membebaskan” Perdana Menteri Najib Razak daripada segala tuduhan berkaitan skandal penipuan 1MDB dan SRC.

Semasa berbuat demikian, Apandi bertindak sebagai pendakwa raya, peguam bela dan hakim bagi menyelamatkan Najib.

Kita tentu masih ingat bagaimana Najib tergesa-gesa melantik pengganti Tan Sri Abdul Gani Patail yang tempoh perkhidmatannya ditamatkan lebih awal atas alasan dia sakit.

Alhamdulillah, Allah Taala memperlihatkan pembohongan mereka. Abdul Gani bukan sahaja tidak sakit malah cukup sihat untuk membuka firma guamannya sendiri selepas dipecat.

Berbalik kepada Apandi. Genap enam bulan dilantik Peguam Negara dia mengadakan sidang akhbar membebaskan Najib daripada segala kesalahan berkaitan duit RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, dan RM42 juta duit SRC yang diselewengkan.

Inisiatif KARI Amerika
Tidak dapat tidak, kita terpaksa menamakan Apandi sebagai saksi utama dalam sebarang penyiasatan boda fide mengenai kegagalan mengambil tindakan ke atas penyelewengan 1MDB dan SRC.

Bukan sahaja dia menutup kes-kes di Malaysia malah dia juga enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa luar, khususnya Pejabat Peguam Negara Switzerland, yang sedang menyiasat pengubahan duit haram (money laundering) yang berpunca daripada 1MDB.

Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, dilaporkan berkata pejabatnya meminta bantuan MLA (Mutual Legal Assistance) telah dua kali daripada Malaysia tetapi ditolak atas alasan kerjasama tidak boleh diberikan di bawah rangka kerjasama MLA.

Di sinilah terletak ironi atau keanehannya. Negara kafir peduli terhadap penipuan 1MDB dan mahu membantu mendapatkan balik duit curi itu supaya boleh diserahkan semula kepada rakyat jelata Malaysia.

Singapura telah membekukan duit curi itu dan menghukum - termasuk penjara - pegawai-pegawai bank yang terlibat dengan pengalihan duit haram tersebut.

AS sedang menggunakan KARI (Kleptocracy Asset Recovery Initiative) iaitu inisiatif mendapatkan balik harta negara yang digelapkan oleh kerajaan pencuri.

Pada 5 Disember, Peguam Negara AS yang baru, Jeff Sessions (gambar), berkata separuh daripada AS$3.5 bilion (kira-kira RM15 bilion) aset curi yang dirampas oleh pihak berkusa Amerika adalah harta yang berkaitan dengan 1MDB.

Beliau memberitahu satu persidangan antarabangsa mengenai harta curi bahawa pencurian wang 1MDB adalah kes kleptokrasi (kerajaan pencuri) terburuk di dunia.

Pendek kata, kalau Apandi ada hati kecil (conscience) dia wajar bertanya kepada hati kecilnya adakah apa yang dia telah dan sedang lakukan itu benar dan betul.

Kerana sifat munafik
Kalau seorang penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS sanggup bersumpah mengenai 1MDB dan menghadapi risiko dihukum penjara lima tahun sekiranya berbohong, adakah Apandi boleh dibiarkan dengan penafiannya?

Agen FBI yang menyiasat harta dibeli dengan duit curi 1MDB itu boleh dihukum penjara lima tahun di bawah undang-undang sumpah bohong (perjury) kalau maklumat yang diberikannya tidak tepat.

Nampaknya sebuah negara bukan Islam lebih serius dalam usaha membantu kita mendapatkan balik harta negara yang dicuri oleh para pembesar kita sendiri.

Tetapi di Malaysia ada lagi manusia yang mempertahankan jenayah global itu dan marah apabila gelaran “lanun Bugis” digunakan.

Apakah orang ini tidak berasa malu dan berasa bersalah mengaku Islam, menadah tangan ke langit berdoa dan mengelilingi diri mereka dengan tuan guru, tok haji dan tok lebai tetapi melakukan jenayah besar yang satu dunia sudah tahu?

Boleh jadi kerana sifat munafik ramai para pembesar kita dan sikap tidak ambil peduli sebahagian rakyat jelata inilah maka hari ini Malaysia dipersendakan dan dijadikan hamba oleh negara-negara yang berkepentingan.

Wallahua'lam.

Oleh : Datuk A Kadir Jasin

No comments:

Post a Comment