Muhammad Abul Huda al-Yaqoubi (Muhammad al-Yaquabi) menarik perhatian umum dengan menegaskan bahawa tindakan berkenaan menyebabkan usaha pencarian pasangan hidup mengambil masa lebih lama atau terus keseorangan hingga akhir hayat.
Ulama tersohor tersebut turut mengaitkan secara simbolik tindakan janggal itu dengan kecintaan manusia terhadap habuan dunia berbanding dengan apa yang diperintah dan dijanjikan oleh Allah SWT.
Beliau yang lahir di Damsyik, Syria pada 1963 itu menyatakan pandangannya dalam kuliah bertajuk Cintai Dunia di Masjid Madina, Sheffied, United Kingdom (UK), baru-baru ini.
Berikut antara sedutan wawancara berkenaan:
Kenapa timbul perasaan pelik itu?
Muhammad al-Yaquabi: Ada sesetengah daripada kita (lelaki) mengambil masa lama untuk mencari pasangan hidup. Saya rasa pelik kerana dunia hari ini memiliki ramai wanita bersesuaian.
Kenapa kita meletakkan pelbagai syarat untuk menikahi mereka? Kenapa ibu bapa menyusahkan anak-anak mereka dalam hal ini ? Kenapa kita pilih jodoh berdasarkan saiz, warna kulit atau lain-lain?.
Bagi saya, pada saat kita menemui jodoh sesuai, maka tidak penting sama ada dia buta, gemuk, bodoh atau lain-lain kerana apa yang penting adalah dia seorang yang beriman. Kita seharusnya percaya, jika niat (kahwin) kita untuk menjaga iman dan mengikut sunah Rasulullah SAW, maka Allah SWT akan memberikan yang terbaik.
Pada pandangan tuan, apa kaitannya dengan cintai dunia?
Tindakan sedemikian (meletakkan pelbagai syarat) boleh dilihat secara simbolik untuk menunjukkan bagaimana sikap atau tabiat kita dalam mengejar habuan dunia.
Kita melakukan pelbagai usaha untuk mengejar dan mendapatkan habuan dunia tetapi begitu mudah mengurangkannya untuk mengejar nikmat akhirat. Apa sahaja masa terluang, masa sihat atau lain-lain yang sepatutnya diperuntukkan untuk Allah SWT tetapi sebaliknya, kita menggunakan sepenuhnya untuk dunia.
Kita tidak pernah berasa letih dan bosan mengejar dunia, kita sering ada masa untuk habuan dunia tetapi kurang untuk Allah SWT.
Boleh ulas lebih lanjut?
Ia menyamai satu cerita orang tua zaman dahulu iaitu seorang pemuda yang berusaha mencari seorang wanita untuk dikahwininya. Setelah beberapa lama mencari, dia berjaya menemui wanita yang menjadi idaman hatinya.
Lalu pemuda berkenaan menyatakan hasratnya kepada bapanya dan meminta untuk menemaninya menemui wanita itu serta keluarganya. Bapa pemuda bersetuju dan mereka mengunjungi rumah wanita berkenaan.
Lalu apa terjadi?
Malangnya, bapa pemuda tersebut tertarik dengan wanita berkenaan. Setelah meninggalkan rumah itu, bapanya menyatakan bahawa wanita itu tidak sesuai untuk anaknya tetapi sebaliknya elok untuk dirinya sendiri.
Lalu, terjadi konflik antara dua beranak itu dan bila sampai pada satu tahap yang kedua-duanya merasakan sukar untuk mencari kata putus, mereka membawa kes tersebut ke mahkamah.
Apa pandangan hakim?
Hakim bersetuju dan meminta dua beranak itu membawa wanita tersebut ke mahkamah untuk membolehkan hakim mendengar pandangan wanita berkenaan.
Pada hari perjumpaan, hakim berkenaan pula tertarik dengan wanita itu. Dia memutuskan bahawa wanita tersebut hanya sesuai untuk dirinya dan bukan dua beranak tersebut.
Keputusan itu menyebabkan dua beranak terbabit tidak puas hati dan terjadinya konflik perebutan antara mereka bertiga. Setelah beberapa lama bertengkar, mereka bertiga setuju untuk membawa kes itu kepada ketua negara untuk diselesaikan.
Berakhirkah konflik itu?
Tidak, kerana ketua negara turut tertarik dan ingin mengahwini wanita berkenaan. Maka, konflik tersebut kini melibatkan empat lelaki untuk merebut seorang wanita.
Bagaimana dengan wanita itu?
Memandangkan pertengkaran itu tidak akan menemui titik noktahnya, wanita tersebut bersuara dengan menyatakan yang dia mempunyai cara untuk menyelesaikan konflik berkenaan.
Caranya, wanita itu akan berlari terlebih dahulu dan siapa antara empat lelaki tersebut boleh menangkapnya, dia akan berkahwin dengan lelaki berkenaan.
Namun semakin lama mereka mengejar, wanita itu semakin jauh dan akhirnya mereka berhenti di satu lubang yang sangat besar dan dalam. Mereka nampak wanita tersebut di dalam lubang itu dan apa yang mengejutkan, wanita berkenaan menyatakan dia adalah dunia dan lubang itu adalah kubur mereka berempat.
Kisah ini adalah satu simbolik yang menunjukkan bagaimana keadaan kita dalam mengejar habuan dunia sehingga terlupa habuan akhirat yang kekal abadi.
Oleh : Hashnan Abdullah
No comments:
Post a Comment