nuffnang

Sunday, April 17, 2016

Dimana Hebatnya Drama Melayu...!

Drama Bersiri Korea 'Descendants Of The Sun' Pukau Peminat Negara China
BEIJING - Kehebatan drama bersiri "Descendants of the Sun" berjaya memukau seorang pekerja pejabat di Beijing, Jiang Yijin, sehingga dia menggelarkan dirinya peminat tegar drama Korea.

Keasyikan terhadap drama lipur lara popular itu menyebabkan wanita berusia 26 tahun tersebut sanggup menghabiskan masa lapangnya dengan menonton sehingga adakalanya Jiang terlupa untuk makan mahupun tidur.

Drama kegilaan ramai itu mengisahkan percintaan seorang anggota tentera kacak bergaya berpangkat kapten dengan seorang doktor di sebuah negara yang dilanda peperangan.

"Drama Korea lebih menghiburkan berbanding drama China, ia seolah-olah membawa saya meresap masuk ke dalamnya," kata Jiang.

Menurut laporan media China, kegilaan terhadap drama Korea bukan sahaja melanda Jiang malah hampir kesemua penonton di China.

Fenomena itu menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai keghairahan menonton drama Korea yang dikhuatiri boleh menyumbang kepada "masalah perundangan" apabila golongan wanita jatuh cinta dengan watak utama drama lakonan actor kacak, Song Joong-ki.

Sejak ditayangkan pada 24 Feb di Korea Selatan dan China, siri televisyen 16 episod itu menjangkau populariti luar biasa bukan sahaja di kedua-dua negara malah negara Asia lain.

Di Korea Selatan, berdasarkan rating Nielsen, drama bersiri yang bersiaran di KBS 2TV itu memecah rekod 30 peratus penonton di seluruh negara selepas hanya lapan episod.

Drama bersiri itu turut menarik lebih dua bilion penonton sebagai capaian video paling popular di iQiyi, laman sesawang milik Baidu yang merupakan syarikat carian gergasi di China.

Ramai menyifatkan drama bersiri itu "sedap mata memandang" berdasarkan olahan lakon layar yang menggambarkan babak percintaan romantik di samping persembahan bertaraf bintang oleh pelakon lelaki utamanya, Song dan pelakon wanita, Song Hye-Kyo.

Bagaimanapun, ia membuktikan kejayaannya secara komersial selepas mendapat sambutan hangat di China, yang menjadi pasaran terbesar untuk industri hiburan Korea Selatan.

"Descendants of the Sun" juga merupakan rancangan televisyen pertama terbitan bersama syarikat China dan Korea Selatan sejak China mengenakan peraturan bahawa program televisyen negara asing perlu mendapat kelulusan sebelum boleh disiarkan di tanah besar China.

Pengurus Besar iQiyi, Zhang Yuxin, berkata lakon layar yang hebat dan penerbitan bersama merupakan dua faktor utama penonton China jatuh hati dengan drama bersiri itu.

"Paling utama, jalan ceritanya begitu menarik dan ia disiarkan serentak di kedua-dua negara bagi melindungi kepentingan kedua-dua penerbit iaitu (pihak Korea) dan iQiyi," kata Zhang.

Populariti drama bersiri itu turut menarik perhatian luar jangka akhbar rasmi tentera China, yang menyifatkannya sebagai "satu bentuk promosi hebat berkaitan kerahan."

Pada 22 Mac, akhbar rasmi tentera China iaitu The People's Liberation Army Daily menggelarkan drama TV itu "satu contoh yang baik untuk drama dan filem bertemakan ketenteraan."

"Drama bersiri itu "secara efektif mengetengahkan kebudayaan nasional Korea (kepada penonton) dan menggambarkan imej tentera Korea dengan jelas," katanya. Akhbar itu menyebut China juga perlu melihat bagaimana industri hiburan Korea Selatan melahirkan pelakon yang hebat serta berbakat.

Kejayaan luar biasa dicapai drama itu patut dijadikan ilham serta galakan kepada pembuat filem di China untuk melakukan yang lebih baik.

Ketua Agensi Kandungan Kreatif Korea di Beijing, Kim Ki-heon, berkata penerbitan bersama program televisyen antara syarikat Korea dan China dijangka meningkat menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kedua-dua negara, yang berkuat kuasa pada hujung tahun lepas.

"FTA Korea-China menjamin pasaran peringkat tinggi lebih terbuka dalam bidang perfileman, penyiaran dan hak harta intelektual. Kedua-dua pihak dijangka menggalakkan syarikat mereka bekerjasama menghasilkan filem dan rancangan televisyen di bawah peruntukan FTA," kata Kim.

Sebahagian lokasi penggambaran drama bersiri itu dibuat di kawasan bekas lombong di timur bandar Taebaek, Korea Selatan dan Kem Greaves di Paju, Seoul utara yang pernah menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat.

Susulan peningkatan minat terhadap lokasi penggambaran drama bersiri itu, agensi pelancongan Korea Selatan bercadang menjemput media asing dan ejen pelancongan ke lokasi berkenaan.

"Jika berpeluang, saya teringin sekali untuk ke sana," kata Jiang. - Bernama

No comments:

Post a Comment