Monday, June 29, 2015

Pinggirkan Bahasa Melayu Supaya lebih Mudah Meminggirkan Bangsa Melayu

Usaha memperendah Dasar Pendidikan Kebangsaan
Gerakan terancang pihak tertentu untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar di sekolah bukan perkara baharu. Ini telah berulang kali dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di negara ini.

Ada beberapa hujah yang mewajarkan bahasa Inggeris dijadikan pengantar di sekolah yang maksud sebenar ialah menafikan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar.

Pertama, mengaitkan kegagalan mewujudkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum dengan dasar pendidikan sekarang. Kedua, membina persepsi bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi.

Ketiga, menuduh dasar pendidikan negara ini menjadi faktor polarisasi kaum. Maka disarankan supaya bahasa Inggeris sebagai pengantar kerana bahasa Melayu tidak mampu menjadi penghubung dalam silang budaya antara kaum.

Keempat, mereka cuba mengalih perhatian kepada Singapura sebagai model negara yang pengantar bahasa Inggeris yang berjaya dalam ekonomi, sosial dan perpaduan.

Saya ada beberapa hujah untuk membuktikan alasan yang ditonjolkan itu tidak benar, atau setidak-tidak boleh dibahaskan. Bagi saya ini lebih untuk merendah-rendahkan dasar pendidikan kita. Ini adalah usaha yang berterusan oleh pihak tertentu bagi membina satu tamadun baharu bukan di atas asas yang telah terbina sejak sekian lama. Caranya dengan menolak bahasa Melayu yang terbukti menyatukan Nusantara suatu waktu dulu.

Sinonimkan bahasa Inggeris dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi adalah helah mudah untuk mengaburi mata fikir masyarakat. Saya tidak pasti di manakah mereka merujuk bahawa bahasa Inggeris menjadi faktor utama penguasaan dalam bidang sains dan teknologi? Sebagai contoh yang dekat dengan kita, angkasawan Malaysia yang menumpang pengembaraan ke angkasa lepas pun terpaksa belajar bahasa Rusia, bukan bahasa Inggeris. Ini menunjukkan bahasa Rusia bukan sahaja menguasai sains dan teknologi malah bidang angkasa lepas di Rusia.

Contoh lain, negara-negara yang ke depan dalam bidang sains dan teknologi selepas Perang Dunia Kedua adalah dari negara yang mendokong bahasa ibunda. Malah mereka terhina bertutur bahasa Inggeris waima dengan orang luar bagi menunjukkan bahasa ibunda mereka sebagai teragung. United Kingdom atau Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi tidak muncul setanding dengan Jepun, Korea Selatan atau China dalam bidang teknologi.

Adakah ini faktor bahasa Inggeris atau iltizam yang tinggi sesuatu bangsa yang menjadi pendorong kemajuan dengan menggunakan bahasa ibunda? Pemimpin China tidak mahu bertutur bahasa Inggeris dalam persidangan antarabangsa tetapi mampu memacu China sebagai kuasa besar yang menyaingi AS dalam banyak sudut termasuk sains dan teknologi.

Suatu alasan yang tidak masuk akal adalah bahasa Inggeris bahasa perpaduan. Hujah saya, pada era 1950-an, 1960-an dan awal 1970-an, banyak sekolah pengantar bahasa Inggeris di negara ini. Tetapi pada dekad-dekad ini juga tercetus banyak ketegangan antara kaum. Antaranya krisis antara parti Melayu, UMNO dengan parti Cina, MCA tahun 1959, Singapura keluar dari Malaysia tahun 1965 dan rusuhan kaum terbesar pada 13 Mei 1969. Bukankah semua ketegangan antara kaum ini dalam masa bahasa Inggeris berada pada kedudukan tertinggi? Di mana perpaduannya?

Mereka juga mengambil Singapura sebagai contoh negara yang maju dengan menjadikan Inggeris sebagai bahasa pengantar selain menjadi alat perpaduan. Ini hanya satu kaedah untuk membina satu persepsi tetapi pada masa sama menafikan perkara realiti. Persepsinya formula Singapura berjaya kerana bahasa Inggeris menjadi faktornya. Tetapi realitinya politik, sosial dan populasi jauh berbeza dengan negara ini.

Di Singapura tidak ada sekolah vernakular. Sebenarnya tidak ada di mana-mana negara yang membenarkan sekolah vernakular kecuali Malaysia. Di sini jangan kata hendak dihapuskan, hendak berhujah pun tidak boleh. Soalnya kenapa tidak turut mencontohi sistem pendidikan Singapura menghapuskan sekolah vernakular yang menjadi faktor perpaduan?

Generasi muda Cina dan India di sekolah vernakular telah terpisah daripada nilai-nilai majmuk yang ditanam di sekolah kebangsaan. Menanam semangat cauvanis di sekolah vernakular telah memisahkan generasi daripada realiti sosial negara tetapi seolah-olah di negara China atau India.

Maka apabila berdepan dengan gerakan terancang ini, kita perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap disebabkan kita terkena sindrom pemikiran tertawan. Telah dibuktikan golongan profesional yang dilahirkan oleh dasar pendidikan kita banyak yang berjaya ke peringkat dunia. Jangan percaya dakyah mereka bahawa bahasa Melayu kolot.

Oleh : Anekdot Ahad

Sunday, June 28, 2015

Adab Memandikan Bayi Baru Lahir

Ramai orang terlepas pandang. Zaman ini ramai yang suka gunakan kapas lembab (wet nappy) untuk lap najis bayi tanpa mencuci dengan air. Apabila memandikan bayi, jangan terus masukkan badan bayi ke dalam tab.

Cuci dahulu kemaluan bayi depan dan belakang menggunakan air mengalir supaya bersih. Tujuannya supaya apabila memasukkan bayi dalam tab air tidak menjadi air najis, kesan kemaluan bayi yang beristinjak tidak dicuci dengan air.

Adab memandikan bayi baru lahir
Bayi baru lahir adalah khalifah Allah yang baru menjengah dunia selepas sembilan bulan tinggal di alam rahim. Justeru ibu bapa yang beragama Islam mestilah menyambut kelahirannya mengikut cara yang dianjurkan oleh Islam.

Antara yang mungkin kita semua tidak beri perhatian adalah tatacara memandikan bayi baru lahir iaitu dari usia sehari hingga 40 hari. Dalam tempoh ini, kaedah mandian memainkan peranan penting dalam membentuk aliran darah dan pembentukan tulang yang baik.

1. Seeloknya mandikan bayi pada waktu dhuha, kerana pada waktu tersebut fisiologi kitaran darah dan degupan jantung bayi dalam keadaan tenang. Gunakan air yang suam.

2. Siraman pertama perlu dimulakan ke atas belakangnya secara perlahan-lahan, kemudian baru disiramkan ke kaki, seterusnya naik ke bahagian punggungnya.

3. Belaian dan gosokan lembut memainkan peranan penting semasa memandikan bayi. Ini akan membuatkan pengaliran darah bayi lancar dan baik. Siraman disertakan dengan sapuan sabun yang sesuai untuk bayi.

4. Seterusnya siram dari belakang hingga ke kepala. Siraman di kepala dilakukan secara perlahan, supaya air tidak mengalir masuk ke dalam lubang telinga. Semasa menyiramkan air di belakang kepala ke bahagian hadapan dahi, tangan digunakan untuk menggosok dahi.

5. Sebaiknya tugas memandikan bayi dilakukan oleh bapa. Sambil memandikan, hati berzikir Ya Latif, Ya Hadi.

6. Pastikan siraman tidak dilakukan pada muka bayi kerana ia boleh melemaskan bayi serta menyebabkan lubang hidungnya lembap seterusnya mudah selesema atau jangkitan kuman.

7. Siraman yang terakhir, dilakukan ke atas dada seterusnya hingga ke bawah. Tidak digalakkan menyapu sabun pada bahagian hadapan tubuh bayi usia ini, kerana bimbang air dan sabun menyebabkan bahagian pusatnya lembap dan seterusnya melambatkan proses ‘gugur’ tali pusat.

8. Selepas selesai mandi, lapkan seluruh badan bayi dengan tuala yang bersih. Cara mengelap dimulakan dari kepala kerana kelewatan mengelap bahagian kepala boleh menyebabkan kepala dan ubun-ubun bayi basah serta membawa masalah paru-paru lemah.

Kongsikan kepada semua, moga bermanfaat. Wallahua’lam…

Saturday, June 27, 2015

Gorila Tampan Di Jepun


Shabani menjadi kegilaan dalam kalangan gadis di Jepun kerana disifatkan sebagai haiwan paling kacak di Zoo Higashimaya. AGENSI

NAGOYA - Seekor gorila yang dikenali sebagai Shabani, menjadi ke­gilaan dalam kalangan gadis di Jepun kerana disifatkan sebagai haiwan paling ‘kacak’ di situ.

Daily Mail melaporkan, Shabani yang membesar di Zoo Taronga di Australia sebelum dipindahkan ke Nagoya pada 2007, dikatakan menerima kunjungan tertinggi daripada peminatnya saban hari.

Menurut pegawai Zoo Higashimaya, Shabani merupakan antara gorila terawal yang diperkenalkan di zoo itu.

Difahamkan, jumlah pengunjung wanita ke zoo tersebut juga bertambah.

Pengunjung wanita sering ber­kunjung ke zoo tersebut hanya kerana mahu bergambar dan meluangkan dengan Shabani selepas haiwan itu menjadi popular dalam laman sosial seperti Twitter.

Gambar-gambar Shabani yang dimuat­­naik di laman sosial memaparkan aksi haiwan itu yang tidak ubah seperti model lelaki ketika bergambar.

Antara gaya mencuit hati oleh Shabani yang dikongsi peminatnya, memaparkan haiwan itu menjeling, menunjukkan ototnya, serta termenung jauh selain daripada bermain dengan gorila lain.

Peminat Shabani sering meng­ge­lar dirinya dengan nama ‘ikemen’ yang bermaksud lelaki tampan dalam bahasa Jepun.

Komen yang dimuat naik dalam sosial menyifatkan Shabani sebagai binatang paling seksi, comel, dan terlampau kacak.

Seorang wanita menulis, ‘Saya hanya ke zoo untuk bertemu de­ngan Shabani, dia terlampau tampan.’

Satu lagi kapsyen menarik pengunjung yang sanggup berkunjung bersama kawan-kawannya untuk melihat Shabani berbunyi, ‘Saya akan melawat Shabani, gorila terkacak. Ini adalah percutian pa­ling menarik.’

Sumber : utusan

Friday, June 19, 2015

Nasib Melayu-Islam Sekiranya BN Tewas

Dengan takdir pembangkang menang (bukan sangat kerana mereka kuat) tetapi kerana pengundi dan raakyat jelata menyampah dengan BN, analisis saya adalah seperti berikut:-

1. Setelah menyaksikan apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah oleh pakatan pembangkang sejak 2008, tidak ada perubahan besar akan berlaku kepada orang Melayu dan agama Islam.

2. Kita telah melihat kedaifan orang Melayu Kelantan di bawah pemerintahan PAS sejak awal Merdeka. Setelah PAS menyertai pakatan pembangkang pun nasib orang Melayu Kelantan sama saja – mundur dan miskin.

3. Orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain akan terus menikmati hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan dan dilindungi oleh institusi raja berperlembagaan.

4. Orang Melayu dan kaum Bumiputera lain akan terus “digula-gulakan” seperti yang dilakukan oleh BN selama ini dan sudah pun ditiru oleh pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang demi mendapatkan undi majoriti mereka. Yang mungkin berbeza hanya kaedahnya saja.

5. Parti atau pakatan mana pun yang memerintah memerlukan sokongan Bumiputera kerana mereka bukan saja majoriti, tetapi bilangan mereka lebih pantas berkembang berbanding Cina dan India.

6. Parti atau pakatan mana pun yang memerintah memerlukan sokongan orang Melayu-Bumiputera kerana mereka menguasai pentadbiran awam, polis dan tentera. Kakitangan awam, polis dan tentera yang didominasi oleh orang Melayu-Bumiputera mudah dilembutkan hatinya melalui kenaikan gaji biarpun tidak banyak mana.

7. Orang Melayu-Bumiputera miskin mudah diambil hatinya dan ditambat taat setianya dengan menaikkan kadar subsidi pendapatan ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

8. Pakatan pembangkang akan menuai hasil yang lumayan dengan mengatakan bahawa kenaikan subsidi dan gaji adalah hasil penghapusan pemborosan, gaya hidup mewah, salah guna kuasa dan rasuah zaman BN.

9. Sesiapa pun yang menggantikan BN akan menjadi lebih popular dan diyakini jika berani mengambil tindakan yang lebih tegas seperti menyiasat, mendakwa dan menghukum pemimpin BN dan tali barut mereka atas kesalahan jenayah.

10. Penambahan subsidi pendapatan kepada orang Melayu-Bumiputera akan juga menguntungkan orang miskin daripada semua bangsa dan kaum kerana mereka juga akan mendapat layanan yang serupa.

11. Hal-hal berkaitan agama Islam dan adat resam orang Melayu tidak akan dan tidak boleh disentuh sesuka hati kerana ia berada bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu. Pengalaman kerajaan pembangkang di Selangor dan Perak cukup untuk meyakinkan mereka bahawa “kuasa” Raja-raja Melayu terlalu sensitif untuk diapa-apakan. Hanya pendirian Raja-raja Melayu sahaja yang boleh menjejaskan Islam dan adat resam Melayu.

12. Apabila orang Melayu-Bumiputera sudah diambil hatinya melalui penambahan subsidi pendapatan, kenaikan gaji dan pembaikan syarat perkhidmatan, kerajaan baru bolehlah mengisi tuntutan orang Cina dan India dengan lebih mudah.

13. Orang Cina dan India, khususnya kelas perniagaan dan ikhtisas (profesional), lebih tinggi tuntutannya dan mereka inilah yang akan mempengaruhi dasar dan pendekatan pengganti BN dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

14. Mereka pasti menuntut hak dan peranan yang lebih luas dalam penentuan dasar-dasar negara, khususnya yang berkaitan ekonomi, pendidikan dan guna tenaga.

15. Mereka pasti menuntut penyertaan yang lebih luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang kini didominasi oleh Bumiputera.

16. Dalam sfera inilah kuasa dan pengaruh Bumiputera paling tercabar. PR pastinya tidak akan memberi keutamaan kepada usahawan Bumiputera yang dilihat sebagai proksi atau tali barut parti-parti BN dan akan menjadikan kegagalan korporat (corporate failure) GLC dan GLIC sebagai alasan meminggirkan eksekutif Bumiputera.

17. Pembatalan dan perundingan semula kontrak, konsesi dan pinjaman mudah akan menjadi amalan seperti yang sudah dilihat berlaku kepada perjanjian air dan konsesi lebuh raya bertol di Selangor.

18. Tanda tanya besar sekarang hanyalah sama ada pakatan pembangkang boleh dipulihkan tanpa PAS dan kembali kuat sebelum PRU akan datang.

19. PAS boleh memilih untuk menjadi parti dakwah yang berharapan menang hanya di negeri-negeri miskin seperti Kelantan atau terus berkongsi dengan DAP dan PKR untuk memerintah negara.

20. Pakatan pembangkang masih boleh berkuasa jika mendapat sokongan parti-parti suku kaum di Sarawak dan Sabah. Parti-parti suku kaum ini umumnya bebas daripada pengaruh BN pusat dan mungkin terbuka kepada kerjasama dengan pakatan pembangkang jika ditawarkan “pakej autonomi” yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

Nasib Melayu Pi Mai Tang Tu
Kesimpulannya, nasib orang Melayu-Bumiputera dan orang Islam mungkin tidak lebih baik daripada di bawah BN sekiranya pakatan pembangkang memerintah Malaysia.

Tetapi nasib mereka juga tidak akan menjadi lebih buruk di bawah pakatan pembangkang. Tetapi orang Melayu-Bumiputera yang pandai memainkan peranan dan tahu mengambil kesempatan mungkin mendapat faedah daripada kerajaan baru.


Perkhidmatan awam, polis dan tentera kekuatan Melayu-Bumiputera

Kalau orang Cina menggunakan kekuatan ekonomi dan orang India menggunakan kekuatan profesional untuk mempengaruhi kerajaan, orang Melayu-Bumiputera boleh menggunakan bilangan mereka yang ramai dalam perkhidmatan awam, polis dan tentera sebagai pengimbang (leverage).

Bagi rakyat Malaysia amnya, keadaan mungkin menjadi lebih baik jika politik dan ekonomi negara diuruskan dengan lebih berhemah, pembaziran dan pemborosan wang negara diberhentikan dan rasuah serta salah guna kuasa disekat.

Pakatan pembangkang tidak boleh menganaktirikan orang Melayu-Bumiputera dan orang Islam jika mereka mahu mentadbir secara adil sambil mengekalkan keamanan negara untuk jangka masa panjang. Wallahuaklam.

Oleh : A Kadir Jasin

Thursday, June 18, 2015

Menelusuri Pensyariatan Puasa Ramadan

PUASA di bulan Ramadan diwajibkan bagi umat Islam di seluruh pelosok dunia untuk melaksanakannya. Puasa Ramadan dalam perjalanan se­jarahnya sangat menarik jika di­kaji secara mendalam.

Berbagai-bagai pertanyaan mung­kin saja terlintas di benak dan fikiran anda tentang bilakah ibadah puasa Ramadan mulai disyariatkan? Bagaimana model puasa yang dilakukan umat Islam pertama kali? Apa yang membezakan puasa Islam dengan ahli kitab? Atau mungkin pertanyaan lain yang berkisar tentang puasa di bulan Ramadan.

Puasa Ramadan mula disyariatkan pada 10 Syaaban tahun kedua Hijriah atau satu setengah tahun setelah umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, atau setelah umat Islam diperintahkan untuk memindahkan kiblatnya dari Masjid Al-Aqsa ke Masjidil Haram.

Perintah puasa Ramadan ini didasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang beriman telah disyariatkan ke atas kamu berpuasa seperti mana umat sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa.”

Daripada ayat tersebut dapat difahami bahawa puasa telah dilakukan sebelum masa kerasulan Muhammad SAW. Hanya saja praktiknya tidak seperti yang kita lakukan sekarang ini.

Setelah turun ayat tersebut, puasa Ramadan menjadi kewajipan yang harus dilaksanakan oleh umat Muslim selama satu bulan dengan memenuhi syarat dan dan rukun yang disyariatkan dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang terdaya berpuasa (lalu mereka meninggalkan puasa) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu), kalau kamu mengetahui.”

Terdapat perbahasan terperinci berkaitan maksud ayat ini dalam kalangan ulama, namun secara ringkasnya Ibn Katsir mengambil pandangan beberapa sahabat seperti Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas yang merumuskan bahawa di peringkat permulaan disyariatkan puasa Ramadan, sesiapa dalam kalangan umat Islam yang mampu berpuasa diberi dua pilihan sama ada ber­puasa atau menggantikan puasa dengan membayar fidyah sahaja.

Sebaliknya orang yang sakit ataupun bermusafir pula boleh berbuka pada bulan Ramadan dan menggantikannya selain bulan Ramadan.

Selepas itu Allah mewajibkan puasa untuk setiap orang yang mampu berpuasa (tidak sakit dan musafir) dan mereka tidak dibenarkan menggantikan puasa dengan membayar fidyah lagi. Hukum musafir dan orang sakit dikekalkan seperti asal.

Puasa kali pertama dilaksanakan Rasulullah SAW adalah puasa bulan Asyura, iaitu puasa yang dilakukan masyarakat Quraisy ketika itu dan setibanya di Madinah, Nabi pun memerintahkan berpuasa pada bulan Ramadan.

Setelah turun perintah berpuasa pada bulan Ramadan, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa bagi siapa saja yang mengkehenda­kinya.

Saat itu, umat Islam boleh ber­puasa dan boleh juga tidak. Bagi mereka yang tidak berpuasa diwajibkan untuk membayar fidyah.

Selanjutnya puasa Ramadan menjadi kewajipan bagi setiap Muslim, kecuali bagi mereka yang mempunyai uzur syarie. Yang membezakan puasa umat Islam dengan umat yang lain antaranya adanya perintah makan sahur sebelum terbit fajar.

Di dalam hadis riwayat Amr bin Ash, Rasulullah SAW bersabda: “Perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah pada makan sahur.” (Hadis Riwayat Muslim).

Selain itu, puasa yang dilakukan kaum Muslimin pada bulan Ramadan berlangsung selama satu bulan penuh, berbeza de­ngan ahli kitab yang melaksanakan puasa di luar bulan Ramadan.

Dalam hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh telah datang bulan Ramadan, bulan yang diberkati. Allah telah memerintahkan kepada kalian untuk berpuasa di dalamnya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Nasa’i).

Persamaan puasa umat Islam dengan umat-umat terdahulu adalah dalam hal kewajipan, bukan pada tatacaranya.

Tuesday, June 16, 2015

RIP Untuk Mendiang PR

Tidak wujud lagi ‘Pakatan Rakyat’

Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 sebagai respon bersama oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi memenuhi aspirasi perubahan politik rakyat Malaysia berikutan tsunami pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Dengan sokongan hebat daripada rakyat Malaysia, parti-parti pembangkang memenangi lebih satu pertiga daripada kerusi Parlimen dan lima kerajaan negeri.

Pimpinan DAP, PKR dan PAS telah bersetuju untuk membentuk Pakatan Rakyat dengan beberapa prinsip yang dikongsi bersama, dengan harapan untuk menyatupadukan kesemua usaha anti-Umno/Barisan Nasional demi mengusung era baru politik dan pentadbiran penuh integriti, akauntabiliti dan demokrasi dalam sebuah negara Malaysia yang progresif.

Juga telah dipersetujui bahawa proses membuat keputusan dalam Pakatan Rakyat haruslah berasaskan konsensus dan kepercayaan bersama di peringkat Majlis Pimpinan.

Di Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada Disember 2009, Dasar Bersama Pakatan Rakyat telah dikemukakan dan dipersetujui oleh ketiga-tiga parti sebagai asas kerjasama tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Muafakat Pakatan Rakyat bukanlah diniatkan sebagai muafakat demi kuasa semata-mata, tetapi sebagai sebuah muafakat yang berpandukan idea, prinsip dan nilai-nilai sebuah negara Malaysia yang baru.

Pakatan Rakyat tampil sebagai alternatif yang mampan bagi menggantikan Barisan Nasional pada PRU ke-13 dan memperolehi 52 peratus undi popular.

Namun, dalam beberapa insiden sepanjang tahun lalu, termasuk krisis Menteri Besar Selangor, keputusan yang telah dicapai di peringkat Majlis Pimpinan telah dicabuli oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mengakibatkan muafakat Pakatan Rakyat hampir lumpuh.

Keadaan Pakatan Rakyat yang hampir lumpuh ini direncatkan lagi dengan kerelaan Hadi untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan bersama Umno serta sokongan beliau terhadap Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak, walaupun telah didedahkan bahawa dana Lembaga Tabung Haji telah digunakan untuk membeli hartanah daripada 1MDB pada harga RM2,773 satu kaki persegi, di Tun Razak Exchange (TRX), yang telah dibeli oleh 1MDB pada harga hanya RM64 satu kaki persegi. BN dan Hadi tidak mempersoalkan kenapa Tabung Haji tidak dibenarkan membeli tanah TRX daripada kerajaan pada harga RM64 satu kaki persegi, dan sebaliknya membeli tanah tersebut daripada 1MDB pada harga RM2,773 kaki persegi.

Perbuatan Hadi memungkiri janji peribadinya di mesyuarat Majlis Pimpinan pada 10 Februari untuk membincangkan cadangan undang-undang hudud PAS terlebih dahulu bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat di peringkat Majlis Pimpinan sebelum ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan atau sebelum rang undang-undang persendirian oleh Hadi dikemukakan di Parlimen tambah melumpuhkan lagi keseluruhan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Pengkhianatan Hadi ini diikuti keputusan besar pada 6 Jun 2015 apabila Muktamar PAS, perhimpunan agung yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti tersebut, menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa sebarang perbahasan.

CEC DAP menerima usul Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan secara langsung mengakibatkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Memandangkan Pakatan Rakyat dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan Dasar Bersama, usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat. Justeru kini, tiada lagi Pakatan Rakyat.

DAP akan bekerjasama dengan Parti KeADILan Rakyat dan semua pihak yang mahu melihat pemerintahan Umno/Barisan Nasional berakhir, bagi membentuk semula politik Malaysia dengan cita-cita menawan Putrajaya demi rakyat. Kesan daripada hal ini terhadap Kerajaan Negeri Selangor pula adalah sokongan DAP bagi kepimpinan Menteri Besar Selangor Azmin Ali untuk merangka semula kerajaan negeri dengan sebuah muafakat yang mampan berasaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat Selangor 2013 yang telah menerima mandat lebih 60% undi popular di negeri itu.

DAP akan berusaha ke arah sebuah muafakat baru yang berprinsip dan lebih meluas yang akan muncul bagi mengisi kelompangan politik serta mampu menyalakan semula harapan ke arah perubahan bagi menjadikan Impian Malaysia kita sebuah realiti, serta masa depan yang lebih baik untuk semua.
Lim Guan Eng