Penganalisis akui masih tidak faham mengapa Pas masih meneruskan kerjasama dalam PR sedangkan telah berulang kali ditekan rakan dalam gabungan tersebut.
Penganalisis Politik UNIVERSITI Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, Pas sepatutnya mengambil keputusan yang menunjukkan bahawa mereka tidak bergantung kepada DAP dalam membuat sebarang keputusan.
"Mereka sedang tarik tali. Ungkapan seperti ini umpama DAP mahu Pas keluar dan Pas pula mungkin tidak mahu lagi membuat keputusan untuk keluar kerana, kenapa perlu (keluar) hanya disebabkan tekanan DAP?
"Jadi, saya pun tidak faham kenapa mereka main tarik tali antara satu sama lain sebab ia melibatkan kewibawaan parti masing-masing," katanya kepada Sinar Online.
Menurutnya, semakin lama krisis itu berterusan, maka makin ramai pihak akan terus mempersoalkan tentang hubungan mereka dalam PR.
"Pas perlu ambil tindakan yang bersesuaian dengan tuntutan parti, ideologi parti dan juga maruah parti sendiri. Saya tak tahu kenapa Pas melengahkan untuk membuat keputusan berhubung kedudukan dalam PR.
"Semakin lewat, semakinlah ramai yang persoalkan kenapa dibiarkan terus ditekan DAP? Saya tak tahu bila Pas akan buat keputusan yang sepatutnya sudah pun membuat keputusan," katanya.
Menyentuh soal ramalan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam yang menyebut Pas akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang, beliau menyifatkan ramalan itu masih awal.
"Pilihanraya dalam tiga atau empat tahun lagi. Jadi, DAP juga bergantung kepada Pas dan Pas juga sebelum ini bergantung pada DAP untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.
"Kebergantungan itu mungkin terjejas tapi sejauh manakah ia akan memberi kesan hanya kepada Pas itu, saya rasa masih terlalu awal," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohammad Fuad Othman berkata, pendirian Pas jelas konsisten sejak dulu untuk terus bersama PR malah berpegang janji setakat ini.
Namun katanya, pihak yang mengeruhkan keadaan adalah DAP, yang telah bertindak memutuskan hubungan dengan orang nombor satu Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Pada pandangan saya, Pas ini sejak dulu lagi mereka konsisten mengatakan bahawa Pas masih lagi bersama PR. Cuma yang nampak memutuskan hubungan ini adalah DAP.
"Jadi, persoalan yang timbul hari ini adalah, apakah PR itu boleh bersaing dengan BN pada PRU tanpa Pas? Maknanya, kalau sekiranya PKR dan DAP merasakan mereka punya kekuatan yang cukup, mungkin mereka akan menolak keluar Pas sebab Pas tak pernah cakap dia nak keluar," katanya.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment