Kereta terbang AeroMobil 3.0, bakal dipasarkan pada harga yang masih belum didedahkan pada 2017. AGENSI
TEXAS - Hasrat untuk melihat kereta terbang bakal tercapai apabila syarikat pengeluar Slovakia, Aeromobil, mengumumkan bakal memasarkan kenderaan berkenaan pada tahun 2017.
Akhbar Daily Mirror melaporkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juraj Vaculik sebagai berkata, pihaknya yakin dapat menjual kenderaan dua tempat duduk itu dua tahun lagi.
“Anda tidak perlu menggunakan lapangan terbang untuk memandu kereta ini. Saya yakin pengguna akan menggemari keberkesanan kenderaan ini,” katanya pada persidangan filem, muzik, dan interaktif South by Southwest di Texas, kelmarin.
Kereta yang digelar AeroMobil 3.0 itu, mampu mencecah kelajuan sehingga 160 kilometer sejam di jalan raya dan boleh diterbangkan dengan kelajuan sehingga 199 kilometer sejam.
Kenderaan yang mempunyai sayap yang boleh ‘dilipat’ itu boleh didaratkan di kawasan seluas 45.72 meter dan hanya memerlukan jalan raya yang lengang sejauh 228.6 meter untuk terbang.
Menggunakan petrol sebagai bahan api, prototaip kereta terbang tersebut telah dibangunkan sejak tahun 90-an.
Tanpa menyebut anggaran harga AeroMobil 3.0, Vaculik bagaimanapun mengakui, terdapat beberapa cabaran perlu dihadapi pihaknya sebelum kereta itu boleh dijual.
“Antara cabarannya adalah undang-undang melibatkan jalan raya dan ruang udara,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment