Saturday, March 21, 2015

Salahkah Orang Melayu Bersatu?

Walaupun sepatutnya umat Islam bersyukur apabila 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan 12 ADUN Barisan Nasional (BN) di Kelantan sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) kelmarin, tetapi ada pula kelompok Melayu yang resah gelisah.

Mereka menentang kesepakatan tersebut dengan pelbagai alasan termasuklah politik. Yang tidak terlibat de­ngan politik pula secara sinis mahukan UMNO dibubarkan dan bergabung di dalam Pas atas dasar perpaduan Melayu. Apatah lagi sebelum ini UMNO yang mewakili BN di Kelantan membuat keputusan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka.

Sementara ada orang Melayu yang bimbang tidak tentu pasal apabila kedua-dua parti satu suara bagi melaksanakan hukum Allah tersebut, dalam kalangan bukan Melayu pula menentang habis-habisan rang undang-undang itu.

Biarpun sudah jelas undang-undang itu hanya melibatkan orang Islam dan perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat untuk kelulusan sebelum pelaksanaannya di Kelantan namun kelompok tersebut sengaja buat-buat tidak faham.

Ada yang mahu menghukum Pas dan ada pula yang mahu mengancam keluar dari BN. Jelas sekali, mereka sama sekali tidak boleh menerima hakikat dua parti orang Melayu itu boleh mencapai kesepakatan.

Selama ini, ada sesetengah kelompok sama ada orang Melayu atau bukan Melayu melihat perbalahan politik antara UMNO dan Pas adalah rahmat untuk mereka. Kalau kedua-dua parti itu boleh duduk semeja dan bekerjasama, ibarat petaka politik kepada mereka.

Tetapi soalnya, apakah orang Melayu melalui UMNO dan Pas tidak boleh bersatu dan sepakat waima dalam perkara berkaitan agama Islam sekalipun? Apakah mereka mahu kedua-dua parti itu terus berbalah yang akhirnya akan memberi keuntungan politik kepada pihak-pihak lain?

Adalah sesuatu yang aneh apabila kerjasama antara UMNO dan Pas dalam soal hukum hudud dilihat satu masalah sedangkan apabila kaum-kaum lain biarpun berbeza fahaman bersatu bagi memperjuangkan kepentingan mereka, tiada pula yang mahu menentang.

Jika mereka menganggap itu hak mereka untuk bersatu, maka umat Islam juga mempunyai hak dan kebebasan untuk mencari titik persamaan bagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Bersetuju dalam pelaksanaan hukum hudud bukanlah bererti UMNO dan Pas akan bergabung menjadi kuasa politik. Hanya orang yang takut kepada bayang-bayang sahaja akan membuat tanggapan sedemikian.

UMNO menyokong hukum hudud bukan atas dasar politik tetapi demi melaksanakan perintah Allah. Apatah lagi undang-undang itu jika diluluskan di peringkat Parlimen akan berkuat kuasa di Kelantan dan hanya melibatkan orang Islam sahaja, oleh itu kenapa pihak-pihak lain mahu membantah?

Sepatutnya pihak lain tidak perlu membuat tafsiran bukan-bukan terhadap kesepakatan yang dicapai antara UMNO dan Pas dalam soal hukum hudud. Sebaliknya bagi mereka yang mengaku dirinya orang Melayu dan beragama Islam, mereka sepatutnya melafazkan seribu kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana menyatukan pemimpin kedua-dua parti tersebut.

Biarlah hukum hudud menjadi permulaan bagi merealisasikan impian banyak pihak sebelum ini yang mahu melihat apabila tercetusnya isu berkaitan orang Melayu dan agama Islam, UMNO dan Pas akan bersatu dan bersedia mengetepikan perbezaan politik .

Jika benar pihak-pihak tertentu tidak mempunyai agenda tersembunyi, mereka tidak harus berasa takut dengan penyatuan hati antara UMNO dan Pas. Begitu juga bagi kelompok orang Melayu lain yang mengaku memperjuangkan hak orang Melayu dan mahu mempertahankan agama Islam.

Mahu tidak mahu, masanya sudah tiba untuk UMNO dan Pas mencari titik persamaan antara mereka. Kedua-dua parti itu tidak boleh dibiarkan terus berbalah sehingga akhirnya melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Oleh : Zul Bakar

No comments:

Post a Comment