Thursday, November 20, 2014

MAS Tidak Akan Muflis Jika Tidak Jual Arak

SHAH ALAM – Tindakan menarik semula penjualan arak dalam pesawat milik MAS tidak akan menyebabkan syarikat itu muflis, demikian menurut pakar ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin.

Beliau berkata, MAS perlu mengikut jejak langkah syarikat penerbangan lain seperti Emirates Airlines dan Brunei Airlines yang masih menjadi pilihan penumpang serata dunia, walaupun tidak menghidangkan arak.

“Menghidangkan arak dalam pesawat tidak menguntungkan MAS, Jika tiada minuman itu pun, MAS tidak akan muflis.

"Tiada keperluan untuk menghidangkan arak dalam pesawat kerana tidak semua penumpang meminumnya," katanya, semalam.

Beliau berkata, MAS perlu berubah dengan tidak lagi menyajikan arak di dalam pesawat kerana langkah itu dapat menaikkan lagi imej syarikat penerbangan itu di mata dunia.

“Jika tidak hidangkan arak sekalipun, MAS boleh sediakan minuman lain. Saya percaya penumpang setia yang menaiki MAS tidak akan membantah dengan keputusan itu." katanya.

Beliau berkata, MAS perlu meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pelanggan jika benar ingin melihat syarikat itu terus maju dan kukuh.

“Penumpang tidak melihat kepada hidangan arak kerana ia adalah perkara kecil. Seelok-eloknya MAS meningkatkan perkhidmatan yang ditawarkan dan menjaga kualiti sedia ada untuk menarik lebih ramai penumpang,” katanya.

Beliau juga bimbang penumpang MAS akan berkurangan setelah mengetahui bayaran dalam tiket mereka termasuk caj arak.

"Masyarakat Islam khususnya sudah mengetahui tiket yang dijual ada ‘sahamnya’ kepada penghidangan arak dalam pesawat. Sudah pasti mereka tidak mahu menggunakan perkhidmatan syarikat ini lagi.

"MAS tidak boleh buat perkara ini kerana ia mengundang rasa marah masyarakat Islam. Hentikan segera cara itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment