Orang Melayu begitu pemurah dan mengalu-alukan tetamu sehingga sanggup mengikat perut, meminjam dan berhutang.
Orang Melayu itulah yang menerima perantau Cina, India dan segala rupa pelarian perang dan pelarian ekonomi. Hasilnya, perantau yang kebuluran dan dianiaya di bumi sendiri menemui kesenangan di bumi Melayu (Malaysia, Indonesia dan Brunei).
Orang Melayu menerima mereka sebagai jiran. Menerima babi dan anjing, tokong dan kuil mereka.
Orang Melayu itu jugalah yang kerana percaya kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj menyetujui pemberian kewarganegaraan kepada sejuta lebih perantau Cina dan India pada 31 Ogos 1957.
Orang Melayu itu jugalah yang rela hati memberikan kebebasan ekonomi, pendidikan, bahasa, budaya dan agama kepada warganegara perantau itu.
Kerana Melayu percaya kepada Tunku, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad mereka kekal “moderate” (sederhana), toleransi, bertolak ansur dan pemurah terhadap warganegara keturunan perantau selama hampir lima dekad.
Walaupun mereka ketinggalan dalam banyak bidang, namun mereka yakin hak dan kepentingan mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan selamat di tangan Tunku, Abdul Razak, Hussein dan Mahathir.
Tetapi, selepas era empat gergasi Malaysia itu, kepemimpinan Melayu melakukan satu demi satu kesilapan sehingga Melayu kini menjadi bahan caci, fitnah dan benci orang Cina dan India.
Segelintir Melayu yang masih berani bersuara mempertahankan hak mereka dilabelkan “racist” (perkauman) manakala yang mempertahankan Islam dicap “extremist” (pelampau).
Tetapi apabila orang Cina dan India, orang Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh bersuara mempertahankan bangsa, agama, bahasa dan budaya mereka, mereka digambarkan sebagai orang terpinggir yang dianaktirikan dan bakal pupus. Mereka dikatakan memperjuangkan hak asasi.
Alhamdulillah, kini semakin ramai orang Melayu dan orang Islam mula sedar bahawa mereka tidak lagi boleh bergantung semata-mata dan bulat-bulat kepada parti-parti politik Melayu/Islam.
Mereka mula bersuara di luar kerangka politik parti. Mereka tidak lagi yakin sepenuhnya terhadap komitmen kepemimpinan Melayu/Islam - sama ada di sebelah pihak Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat – untuk mempertahankan Melayu dan Islam.
Orang Melayu dan Islam Malaysia hari ini tetap sederhana, tahan uji, bertolak ansur dan pemurah seperti orang Melayu dan orang Islam Malaysia pada tahun 1957.
Orang Cina dan India pula “menerima” orang Melayu/Islam kerana kuasa politiknya dan mereka berlindung di bawah kuasa politik Melayu/Islam yang toleransi untuk hidup lebih senang daripada di bumi asal mereka.
Gagasan Pasca-Mahathir Kelirukan Melayu
Kini banyak orang Melayu/Islam keliru dan curiga dengan pelbagai gagasan, dasar, slogan dan rancangan yang dikemukakan oleh kepemimpinan Melayu kontemporari – daripada Islam Hadhari dan keterbukaan pada era Abdullah kepada 1Malaysia, keterangkuman, kesederhanaan, transformasi dan wasatiah pada era Mohd Najib.
Pada masa yang sama, mereka mula didedahkan oleh media baru/siber kepada fakta dan angka yang menunjukkan bahawa mereka sebenarnya makin tertinggal dan terkebelakang berbanding orang keturunan perantau. Mereka tidak menelan bulat-bulat lagi propaganda dan percubaan tutup buruk (whitewash) media arus perdana.
Mereka juga sudah boleh dengar dan baca dari media siber apa yang orang Cina dan India kata mengenai mereka, bangsa mereka dan agama mereka.
Parti-parti politik Melayu/Islam boleh terus mengutuk dan mempersendakan Ibrahim Ali, Perkasa, Majlis Perundingan Melayu dan NGO-NGO Melayu/Islam lain.
Suara alternatif orang Melayu
Tetapi mereka tidak boleh lari daripada hakikat bahawa NGO-NGO Melayu/Islam ini muncul dan mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu/Islam kerana orang Melayu/Islam tidak yakin lagi kepada kepemimpinan politik Melayu/Islam sebagai pelindung hak dan kepentingan mereka.
Ramai pemimpin Melayu/Islam generasi ini tidak pun faham asas kuasa Melayu. Asas kuasa Melayu bukan ekonomi. Asas kuasa Melayu adalah politik.
Dengan kuasa politik itulah orang Melayu merundingkan kemerdekaan, membuat undang-undang SERTA menubuhkan perkhidmatan awam, polis dan tentera.
Tetapi selepas era Mahathir, hal itu mula diketepikan oleh kepemimpinan yang mahu dipuji dan dipuja. Mereka mematikan legasi dan menggantikannya dengan dasar liberal dan terbuka tanpa batas.
Mereka dipuji dan dipuja di persada dunia tetapi dihukum teruk pada pilihan raya umum 2008 dan 2013. Akibatnya, orang Melayu/Islam hilang kuasa politik yang dibina melalui darah dan air mata oleh pemimpin Melayu/Islam lampau.
Tertelan Diayah Liberal Berat
Bermula pada era Abdullah dan berterusan ke dalam era Mohd Najib, bukan sahaja kuasa politik Melayu semakin luntur malah undang-undang yang dibuat oleh orang Melayu ketika mereka kuat mula disia-siakan.
Atas nama transformasi politik, Mohd Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat yang dibuat oleh orang Melayu ketika mereka kuat. Sekarang golongan liberal yang kemaruk puji-pujian Barat ini bercadang memansuhkan Akta Hasutan pula.
Maaf cakap, bagi saya semua ini adalah hasil ketohoran pemikiran dan kebutaan sejarah di kalangan elit politik Melayu/Islam masa kini. Mereka mudah termakan dan menelan “hook, line and sinker” segala bentuk diayah golongan liberal Barat.
Golongan ini dari dulu lagi tidak senang dan mendapati aneh bagaimana sebuah negara yang dipelopori orang Melayu/Islam boleh maju, aman dan selamat.
Mereka mahu Malaysia jahanam seperti negara-negara Islam lain. Bagi mereka, pucuk dicita ulam mendatang apabila ada pemimpin Melayu/Islam yang gembira bersekongkol dan bersekedudukan dengan mereka.
Upahnya murah saja – puji dan puja, gambar besar di layar raksasa di Dataran Masa. Dataran Masa adalah terjemahan langsung/literal Times Square di New York.
Wajah Mohd Najib di Layar Elektronik "Dataran Masa" (Penjelasan Pejabat Media PM: Iklan ini tidak dibayar oleh kerajaan)
Umno adalah akar tunjang kuasa Melayu. Umno yang saya kenali dan sokong adalah Umno perjuangan, bukan Umno Presiden atau Umno Majlis Tertinggi. Umno yang berani bersuara bukan Umno yang memuji memuja.
Kita lihat Umno yang mana akan menonjol pada Perhimpunan Agung 25-29 November ini. Adakah ia perhimpunan yang menandakan permulaan kepada pengakhiran Umno atau perhimpunan yang menandakan permulaan kepada pemulihannya.
Wallahuaklam. Oleh : A Kadir Jasin
No comments:
Post a Comment