Tuesday, September 24, 2013

Kiasunya Singapura Atau Kita Yang Lemah

Johor sedia hadapi reaksi Singapura
KERAJAAN negeri kini sedang mengkaji dan meneliti perjanjian antara Malaysia-Singapura berhubung bekalan air mentah yang dijual ke negara terbabit selepas memutuskan mahu menaikkan harga bekalan berkenaan, baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, mengikut perjanjian yang dibuat pada 1962, harga bekalan air mentah ke Singapura masih dijual pada kadar 3 sen bagi 1,000 gelen.

Menurutnya, melihat tempoh masa lebih separuh abad itu jelas menunjukkan negeri ini mempunyai hak mengkaji semula harga yang tidak relevan dengan perkembangan semasa.

“Buat masa ini, kerajaan negeri di peringkat meneliti perjanjian yang dibuat antara Malaysia dan Singapura tentang perkara ini sejak 1962 lagi.

“Ini adalah isu nasional dan memerlukan penelitian serta kajian banyak perkara. Kita juga akan minta Peguam Negara menyemak perkara ini dan bergantung kepada Pusat sama ada mahu meluluskan atau sebaliknya.

“Harga yang dijual juga tidak setimpal dengan hasil yang diterima sedangkan rakyat kita sendiri membayar lebih daripada nilai tersebut.

“Jadi cadangan tersebut diharap dapat memberi keadilan dan boleh membawa keuntungan kepada kedua-dua negara khususnya Malaysia,” katanya.

Hasni berkata, cadangan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Kerajaan Pusat bagi mendapatkan pandangan kerana kenaikan berkenaan sepatutnya dilakukan sebelum tempoh semakan harga air pada 1 Ogos lalu.

“Walaupun perkara ini masih lagi di peringkat kajian, namun Kerajaan Pusat seperti sudah memberi bayangan dan gambaran awal untuk menyokong hasrat kerajaan negeri yang mahukan harga itu dinaikkan.

“Perkara ini juga sudah tertangguh atas faktor teknikal sejak 2003 lagi, tetapi tiada sebarang kata putus diterima dan belum dimuktamadkan hingga kini daripada kedua- dua pihak baik Malaysia mahupun Singapura,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir cadangan bagi menaikkan harga air dilakukan pada tahun 1987 melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Singapura bagi membincangkan isu bekalan gas dan air.

Perbincangan itu melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, namun tidak dipersetujui negara berkenaan.

“Kita harap perkara ini dapat diterima baik republik berkenaan memandangkan kadar itu tidak sesuai selain kerajaan negeri terpaksa tanggung pelbagai kos untuk menguruskan sumber air.

“Ini disebabkan kemudahan loji air di Skudai dan Ulu Choh perlu diselenggarakan dengan pelbagai kos tambahan bagi menampung keperluan tambahan dari Singapura,” katanya.

Beliau berkata, setelah cadangan itu diteliti sebaik mungkin, sebuah jawatankuasa akan dibentuk di peringkat Pusat bagi mengkaji kadar kenaikan atau nilai jualan terbaru.

“Saya difahamkan kalau ikut perbincangan Tun Dr Mahathir dengan Singapura pada ketika itu, kadar kenaikan yang diminta Malaysia adalah sebanyak 60 sen untuk setiap 1,000 gelen air dan kadar tersebut tidak dibantah negara terbabit.

“Bagaimanapun, perkara ini sudah banyak kali tertangguh. Kerajaan Singapura pula membangkitkan pelbagai isu lain termasuklah Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB), ruang udara dan sebagainya.

“Tetapi, kebanyakan isu yang dibangkitkan telah diselesaikan dari semasa ke semasa dan telah memberi keuntungan kepada negara terbabit.

“Jadi memang sudah masanya Malaysia bangkitkan isu ini pula. Bahkan perjanjian Air 1962 telah pun tamat,“kadarnya kita tidak pasti lagi dan terpulang kepada Pusat atau jawatankuasa yang dibentuk nanti untuk tentukan nilai terbaik,” katanya.

Hasni berkata, kerajaan negeri juga sudah bersedia menghadapi sebarang respons diberikan Singapura termasuklah sekiranya mereka mahu menaikkan jualan bekalan air terawat ke Malaysia.

“Apa yang penting, apabila kerajaan negeri mahu ambil langkah ini yang pasti kita juga memang sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Malaysia juga menurut Perjanjian air 1962 perlu membeli air terawat daripada Singapura dengan kadar 50 sen setiap 1,000 gelen,” katanya.

Sumber : Sinarharian

2 comments:

  1. Assalam Bro

    Kalau kita menjual kenapa kiat perlu membeli balik... Perjanjian tu dah lapuk pun... keluarkan terma tu dari perjanjian... Kita hanya perlu jadi penjual... Kalau ornag tak nak beli kita tak rugi apa-apa pun... Nampak sangat kita yang lemah dan terikut2 ugutan Spore...

    ReplyDelete
  2. Jual 3sen tapi beli 60 sen......macam rugi je ......

    ReplyDelete