KUALA LUMPUR: Seorang perunding keselamatan meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk menutup lapangan terbang TUDM Sungai Besi kerana ia sangat perlu kepada negara.
Bercakap kepada Harakahdaily, perunding itu berkata, kerajaan belum terlambat untuk menarik balik keputusan awalnya bagi membangunkan kawasan lapangan terbang itu.
Ini kerana, kontraknya masih dalam peringkat rundingan dan belum dianugerahkan sepenuhnya.
"Kita jangan ulangi kesilapan kerajaan menutup Kem Majidee yang menjadi perisai keselamatan kita di selatan tanah air," katanya.
Pengkalan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) Sungai Besi bakal hilang apabila kerajaan mahu membina kem baru menggantikannya iaitu di Labu, Negeri Sembilan.
Namun, ramai pihak yang mahir dengan stategi keselamatan tdak bersetuju dengan langkah ini kerana kedudukan lapangan terbang Sungai Besi itu sangat stategik dalam konteks keselamatan negara.
Selain landasan terbang, bahagian bawah lapangan ini mempunyai bunker yang menghubungkannya dengan beberapa tempat strategik negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Lapangan Terbang Tentera Udara Sungai Besi dipindahkan dan tapaknya dijual kepada 1MDB.
Penasihat 1MDB adalah Taek Jho Low, jutawan yang dilaporkan baik dengan isteri Perdana Menteri, DatinSeri Rosmah Mansor.
Kontrak pembangunan TUDM Sungai Besi itu yang dianggar bernilai kira-kira RM500 juta.
"Jika berlaku apa-apa di tengah bandaraya, bagaimana pasukan bantuan akan kita hantar dengan cepat kalau tiada landasan kapal terbang di tengah bandararaya seperti Sg Besi ini," soal perunding keselamatan itu.
Sebelum ini, PAS meminta kerajaan mengkaji semula pembubaran kem Majidee di Johor Bharu untuk membolehkan projek pembangunan dijalankan di situ kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.
Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, kedudukan kem Majidee di selatan tanah air adalah terlalu strategik dari segi keselamatan dan ia adalah warisan sejarah negara untuk dibubarkan.
"Saya mendesak agar rancangan untuk menjadikan kawasan itu kawasan komersial dibatalkan kerana Batu Pahat terlalu jauh dari sempadan untuk berfungsi dengan baik. Ianya dua jam perjalanan dari Johor Bharu ke Batu Pahat," kata Salahudin.
Kem ini akan dibangunkan dengan pusat komersial dan perumahan. Ia bakal dimajukan oleh anak syarikat kerajaan negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn Bhd dengan Tasik Zamrud Sdn Bhd.
Yang menjadi isu adalah, kem Majidee adalah kem yang paling selatan di Semenanjung. Ia sepatutnya dibubarkan selepas selesainya pembinaan Kem Skudai.
Projek itu belum bermula lagi, namun separuh dari tentera yang ada di situ, yang menempatkan Gerak Khas dan Briged Tujuh, telah dipindahkan ke kem di Kluang, Gemencheh dan Gemas.
Sumber : Harakahdaily
No comments:
Post a Comment