Tuesday, December 24, 2019

Sikap Ekstrem ‘Sekumpulan Cina’ Malapetaka Bahaya

Kenapa mereka takut sangat tulisan Jawi sampai nak ada persidangan?
BANGI – Sekiranya ada pihak yang ekstrem atau fanatik kepada kaumnya sendiri, maka hasrat mewujudkan negara harmoni dan makmur tidak akan kesampaian, kata Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk tindakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang mahu menganjurkan persidangan hujung bulan ini bagi membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular, meskipun kerajaan sudah mengurangkannya kepada tiga muka surat sahaja.

Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan 28 Disember ini, pertubuhan rasis itu turut meminta lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.

Menyelar tindakan melampau kumpulan itu, Dr Ahmad Fakhruddin berkata, sikap pertubuhan berkenaan adalah satu kemudaratan dan malapetaka yang cukup bahaya dan wajib dihindari oleh semua pihak.

“Tersingkap sudah sikap fanatisme sekelompok masyarakat Cina apabila enggan menerima sukatan pengajian Khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah rendah Vernakular. Silibus hanya beberapa helai muka surat sahaja, bukannya semua dalam tulisan Jawi.

“Apa yang nak ditakutkan sangat dengan belajar menulis seni Khat itu sehingga terpaksa memanggil satu kongres. Apakah dengan belajar seni khat itu, semua murid lupa tulisan bahasa ibunda mereka?

“Atau, apakah kelompok itu memang sengaja mewujudkan suasana ketakutan di kalangan rakyat terutamanya kaum Cina dan India dalam negara ini supaya mereka dapat memenangi peperangan persepsi yang sengaja direka?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Tidak mahu desakan sedemikian berlanjutan, beliau menegaskan bahawa kelompok berkenaan perlu sedar bahawa kekuatan sesebuah negara adalah berakar umbi daripada sistem pendidikan yang dijana oleh sikap toleransi dan ikhlas, membina masyarakat yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Pastinya, kekuatan tersebut mesti didukungi oleh semua kaum dalam negara ini. Perlu difahami pengenalan pengajian seni Khat Jawi di sekolah rendah vernakular adalah usaha baik yang mampu merapat serta memperkenalkan asas silang budaya yang cukup bermakna.

“Ia juga merupakan tali penyambung jalinan kemesraan antara kaum apabila anak-anak sekolah rendah berbilang kaum saling belajar dan memahami bahasa dan tulisan masing-masing.

“Andai kata pihak Kementerian Pendidikan pula ingin memasukkan sukatan mempelajari beberapa patah perkataan atau tulisan bahasa Cina atau Tamil di sekolah kebangsaan, ia adalah sesuatu yang baru,” katanya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment