Friday, December 6, 2019

Pemimpin Lama Perlu Undur Jika UMNO Serius Mahu Diterima Semula

Perkemas balik prinsip pegangan ekonomi, kuasa majoriti Melayu
BANGI – Jika UMNO beriltizam tinggi untuk memastikan partinya diterima semula oleh rakyat Malaysia, maka adalah penting untuk memastikan pemimpin tertinggi parti itu berundur supaya dapat digantikan dengan pemimpin baru yang lebih berkredibiliti.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta yang terlibat dalam pentadbiran tertinggi ketika ini, diminta untuk berundur secara hormat dan memberikan mandat kepada kepimpinan baru.

Beliau berkata, pemimpin baru yang dilantik haruslah arif mengenai konsep demokrasi di negara ini serta faham mengenai kuasa politik Melayu, ekonomi Melayu, agama Islam, institusi raja-raja dan juga bahasa Melayu.

“Beliau kena tahu bilangan Ahli Parlimen, berapa ramai yang perlu orang Melayu, kawasan mana yang kita nak, kawasan yang majoriti Melayu. Mana-mana kawasan politik yang mempunyai majoriti Melayu, maka UMNO mesti meletakkan calon Melayu tidak boleh berkompromi dengan parti komponen untuk meletakkan calon kaum lain.

“Ini tak, di Tanjung Piai baru-baru ini letak kaum lain. Itu dah melanggar prinsip asas UMNO. Justeru, kuasa politik mesti jelas, berapa Ahli Parlimen yang kita hendak, penyusunan semula kawasan majoriti Melayu.

“Pemahaman kuasa politik Melayu itu penting. Supaya tidak ada lagi isu terlepas kuasa kepada kaum lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan tawaran baru UMNO untuk orang Melayu dan rakyat di negara ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyarankan sayap-sayap pergerakan parti menyahut cabaran merangka tawaran baru UMNO untuk rakyat Malaysia – Our New Deal.

Katanya, ia bagi membuktikan betapa seriusnya UMNO dalam pemerkasaan diri sekali gus menjadi sebuah pergerakan yang inklusif.

Beliau turut menyatakan empat elemen tawaran UMNO kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Tawaran itu merangkumi empat elemen penting iaitu jaminan dan iltizam UMNO dalam mengukuhkan kedudukan politik dan kuasa Melayu, memperbaiki kedudukan sosio ekonomi dan kemajuan bangsa Melayu.

Selain itu, UMNO turut memberi jaminan akan mengukuhkan kedudukan Islam, institusi Raja-raja, bahasa kebangsaan dan budaya Melayu dan mengukuhkan kemajmukan Malaysia, menghormati kepentingan pelbagai kaum seterusnya memaju dan menyejahterakan Malaysia yang tercinta.

Menyentuh berkenaan cita-cita untuk memperbaiki sosio ekonomi Melayu, Mohd Noor berkata, UMNO perlu mengambil tindakan tuntas terhadap situasi ketika ini yang mana ekonomi negara sedang dipegang oleh kaum lain.

“Ekonomi kita, kuasa majoriti telah dipegang oleh orang lain. Ini prinsip yang perlu diperkemaskan. Sijil barangan halal hanya perlu diberi kepada orang Islam sahaja. Ketua sebuah syarikat yang layak memperoleh sepatutnya hanya Melayu sahaja. Kita galakkan orang Islam beli makanan halal.

“Dan sekiranya orang Melayu telah mempunyai ekonomi yang kuat, kena keluar zakat kepada fakir-miskin dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, Mohd Noor turut meminta UMNO menjelaskan mengenai jaminan parti itu untuk memperkukuh kemajmukan kaum di negara ini.

“Apakah kemajmukan kaum yang dimaksudkan, kita telah menerima kaum lain di negara ini. Kita tidak bersifat rasis menentang kaum. Jangan disalah tafsir orang Melayu tak terima kaum lain.

“Kita sudah liberal dalam menerima kaum lain. Jangan sampai kita rugi dan ditindas pula kerana beria-ia ‘memperjuangkan’ kemajmukan kaum,” katanya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment