Sunday, December 22, 2019

Jawi: Siapa Dong Zong Nak Pertikai Keputusan Kerajaan?

'Pulang ke China jika hanya nak belajar Mandarin sepenuhnya'
BANGI – Pertubuhan Cina Dong Zong perlu diharamkan kerana boleh mendatangkan ancaman dalam pembinaan negara bangsa dengan sikap rasis dan menghasut.

Demikian tegas pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengecam tindakan Dong Zong yang terus mendesak Kementerian Pendidikan membenarkan lembaga sekolah membuat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah rendah vernakular.

Terdahulu, Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dilaporkan berkata, mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran jawi di sekolah vernakular tahun depan, walaupun sudah lima pertemuan diadakan dengan kementerian.

Atas sikap itu, Prof Ridhuan Tee berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mempunyai kuasa untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan rasis terbabit.

“Tetapi apakah kuasa ROS untuk membatalkan sebuah kerajaan? ROS, NGO dan rakyat boleh hidup kerana adanya kerajaan. Tanpa kerajaan, kehidupan menjadi huru-hara.

“Begitulah besarnya kuasa sebuah kerajaan. Kenapa sebuah kerajaan harus tunduk kepada NGO. Arahkan kepada ROS, haramkan pertubuhan rasis NGO Dong Zong ini,” tegas beliau ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Pada masa sama, beliau menyifatkan adalah penghinaan jika keputusan kerajaan yang mempunyai autoriti dan keabsahan terpaksa tunduk kepada NGO yang bukan siapa-siapa dan miliki sifat rasis.

“Siapa kamu, nak pertikaikan keputusan kerajaan. Kamu kerajaan ke? Ingat kamu hanya NGO, keputusan NGO tidak mengikat. Malah tidak perlu dipandang sedikitpun oleh kerajaan. Kerajaan tidak perlu bertanya kepada kamu untuk melaksanakan sepenuhnya keputusan. Kamu bukan siapa-siapa.

“Tahukah kamu, SJKC adalah sekolah dibantu sepenuhnya oleh kerajaan, sama seperti sekolah kebangsaan yang lain. Jika semua sekolah kebangsaan boleh menerima keputusan kerajaan, siapa kamu untuk mendapatkan keistimewaan?

“Jika begitu degil kamu mahu menerima keputusan, kamu ambil semua SJKC, kamu bayar semua gaji dan semua tanggungan sekolah Cina. Jangan pula selepas kamu keluar daripada sistem seperti apa yang kamu buat terhadap sekolah persendirian Cina, di akhirnya nanti kamu desak kerajaan untuk iktiraf SPC dan sijil UEC,” katanya.

Prof Ridhuan Tee turut menasihati kerajaan supaya tidak takut dan mengikut keputusan ‘komunis’ itu bahkan berkeras untuk menarik balik kewarganegaraan pemimpin Dong Zong dengan kadar segera.

“Kamu ini tidak layak tinggal di negara bertuah ini. Pulanglah ke negara China jika hanya mahu belajar Mandarin sepenuhnya. Jika Melayu boleh terima SJKC hampir seratus tahun berada di negara ini, kenapa sedikitpun identiti Melayu Islam iaitu Jawi kamu tidak boleh terima,” katanya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment