Sunday, July 31, 2022

Tubuh RCI Siasat Misteri Jutaan Warga China ‘Ghaib’

HUBUNGAN diplomatik Malaysia-China adalah untuk mengukuhkan kerjasama dalam banyak aspek, namun keistimewaan itu tidak bererti perundangan imigresen yang menjadi kedaulatan kepada semua negara boleh dipandang enteng atau longgar.

Angka tidak keluar pelancong warganegara republik itu setelah masuk ke negara bukanlah isu baharu, ini telah menjadi rekod genting terutama dalam sedekad ini sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara, penyataan di Parlimen serta pendedahan media.

Satu di antaranya kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara melibatkan 32 pertuduhan bersama lima individu lain pada September 2019 kerana menjual MyKad dan dokumen pengenalan diri kepada warga China.

Pun demikian tindakan pihak berwajib seakan terhalang atau tidak berupaya menembusi ‘tembok besar’ walaupun kes seumpama berlaku saban tahun. Terkini semalam, Parlimen dinyatakan fakta isu yang sama.

Rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh 2018 hingga 2021 menunjukkan ketibaan 7,177,043 warga China masuk ke Malaysia, tetapi yang keluar berjumlah 5,954,765 individu, bermakna kurang 1,222,278 orang.

Persoalannya, apakah mereka hilang ghaib begitu sahaja atau menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menyusup ke negara jiran atau telah diculik, dieksploitasi, diperdagangkan atau menjadi mangsa jenayah lainnya?

Atau yang lebih membimbangkan adalah kemungkinan mereka menjadi penggerak kegiatan menyalahi undang-undang atau merencanakan jenayah berat atau mungkin bersiapsiagaan untuk menggugat dan mengancam keselamatan negara serta ‘dibela’ pihak tertentu di dalam negara ini?

Suara ini bukan tuduhan atau cuba bersikap perkauman, tetapi atas begitu banyak keterangan atau pembuktian pernah dikemukakan ke pengetahuan umum selama ini. Dari melibatkan aktiviti individu dan kumpulan warga China di dalam negara ini, hinggalah angkatan ketenteraannya di sempadan perairan dan udara negara.

Bukankah aneh apabila jumlah sebesar itu yang dimusykilkan keberadaannya langsung tidak dipersoalkan oleh pihak tertinggi negara ini mahupun negara tersebut? Malaysia tidak harus menikus untuk menyuarakan hak kedaulatan negara dan China juga perlu bertanggungjawab akan status semasa rakyatnya yang keluar.

Kerana dalam realiti geopolitik dunia hari ini, semua kemungkinan dan jangkaan mesti diperhitungkan untuk meletakkan negara di tahap waspada yang sepatutnya. Apatah lagi di dunia nyata zaman ini sering wujud para petualang yang menjadi rakan subahat atau sekutu anasir luar.

Sehubungan itu suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mesti segera dibentuk untuk menjejaki dan memperincikan status setiap individu tersebut agar tindakan dan langkah selanjutnya dapat ditentukan dan diambil tindakan. – HARAKAHDAILY

Friday, July 29, 2022

Apakah Berlaku Kepincangan Pentadbiran?

BANGI – Laporan bahawa lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021 adalah situasi serius dan menunjukkan satu kealpaan yang sangat besar.

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak berwajib bertanggungjawab mengawal kedatangan pelancong asing ke negara ini, termasuk memastikan mereka pulang.

“Di manakah silapnya sehingga 1.2 juta pelancong dari negara China tidak kembali ke negara asal? Ini menimbulkan pelbagai lagi persoalan yang merisaukan kita semua.

“Jumlah yang didedahkan Jabatan Imigresen Malaysia itu apa yang direkod, kita tidak tahu lagi pula berapa jumlah tidak direkod. Pasti berkali ganda lebih tinggi.

“Itu baru pelancong dari negara China sahaja, belum lagi dikira negara-negara lain seperti Bangladesh, India dan sebagainya. Bila difikir-fikirkan, memang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau percaya bahawa kemungkinan berlakunya kepincangan dari sudut pentadbiran kerajaan yang sepatutnya mengambil tindakan segera sejak sekian lama.

“Sangat tidak logik dan tidak masuk akal perkara ini boleh dicuai dan dialpakan walhal kedatangan warga asing direkod dan dipantau,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak berwajib mengambil tindakan drastik dengan segera sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara.

Terdahulu, akhbar melaporkan bahawa seramai 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini. - ismaweb.net

Thursday, July 28, 2022

1.2 Juta Pelancong China Hilang, Apakah Ia Agenda Penguasaan Negara?

KUALA LUMPUR – “Mengikut jawapan daripada Jabatan Imigresen di Parlimen baru-baru ini telah menyatakan bahawa lebih kurang 1.2 juta rakyat dari negara China yang masuk melancong ke dalam negara kita tidak ada, tak dapat dikesan. Ghaib ataupun tak tahu di mana. Masuk, duduk di sini tapi tak keluar. Ni kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Imigresen,” kata Ustaz Masridzi Sat, Presiden PERKID merangkap Naib Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).

Ujarnya, selaku NGO, mereka bimbang kemasukan ini menjadi agenda penjajahan daripada bangsa tersebut.

“Mereka menguasai hutan-hutan, tanah-tanah kita dikuasai, bandar-bandar kita dikuasai dan pusat-pusat maksiat, premis judi, arak dan segala tempat-tempat besar projek-projek yang berpuluh bilion, beratus bilion semua dikuasai oleh kumpulan mereka.”

Tambahnya, pihak NGO juga bimbang agenda ini akan menjadikan negara kita akan dijajah dengan suasana gerakan golongan tersebut yang bertapak, yang dibiarkan berleluasa begitu sahaja.

Tegas Ustaz Masridzi Sat, kemasukan pendatang China ini telah dibangkitkan melalui perjuangan daripada NGO-NGO PEMBELA dan sebagainya kira-kira dua tahun lepas lagi.

“Sebelum pandemik lagi kita dah bangkitkan. Sebab kemasukan ni daripada 2016, 2018. Timbul isu yang macam-macam, kemasukan yang secara mendadak. Jumlah yang begitu ramai. Ni belum dicampur pelancong yang datang dari India. India juga dikatakan meningkat kemasukannya ke dalam negara kita.”

Beliau juga meluahan kekhuatiran dengan golongan yang datang dari China ini yang menurutnya mungkin sedang cuba mengatur strategi untuk menguasai negara Malaysia.

“Kita khuatir mereka-mereka yang diimport dari negara China ini masuk dalam negara kita menduduki di tempat-tempat tertentu yang mereka atur strategi untuk menguasai negara kita, termasuk daripada bandar sampai ke dalam hutan-hutan.”

“Kita tengok dalam isu Musang King contohnya di Raub, bagaimana pencerobohan-pencerobohan tanah juga datang di kalangan pendatang-pendatang yang berada di situ. Dan kadang-kadang mereka ini tidak pandai cakap Melayu pun, tidak faham. Tak boleh cakap bahasa Malaysia pun. Tahu tahu mereka sudah ada I/C.”

Justeru Ustaz Masridzi Sat meminta pihak Kerajaan, semua agensi dan kementerian untuk bertanggungjawab dan bertegas dalam isu kehilangan 1.2 juta pelancong China ini.

“Sila bangkit dan menyelesaikan isu ini. Cari sampai ke lubang cacing mereka bersembunyi di mana dan hantar balik ke negara kita. Kita tidak mahu mereka menjadi parasit dan mereka menyerang kita daripada dalam selain daripada tekanan daripada luar menyebabkan negara kita akan hilang keamanan, hilang kestabilan dan terjadi penjajahan semula.” - www.samudera.my