Angka tidak keluar pelancong warganegara republik itu setelah masuk ke negara bukanlah isu baharu, ini telah menjadi rekod genting terutama dalam sedekad ini sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara, penyataan di Parlimen serta pendedahan media.
Satu di antaranya kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara melibatkan 32 pertuduhan bersama lima individu lain pada September 2019 kerana menjual MyKad dan dokumen pengenalan diri kepada warga China.
Pun demikian tindakan pihak berwajib seakan terhalang atau tidak berupaya menembusi ‘tembok besar’ walaupun kes seumpama berlaku saban tahun. Terkini semalam, Parlimen dinyatakan fakta isu yang sama.
Rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh 2018 hingga 2021 menunjukkan ketibaan 7,177,043 warga China masuk ke Malaysia, tetapi yang keluar berjumlah 5,954,765 individu, bermakna kurang 1,222,278 orang.
Persoalannya, apakah mereka hilang ghaib begitu sahaja atau menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menyusup ke negara jiran atau telah diculik, dieksploitasi, diperdagangkan atau menjadi mangsa jenayah lainnya?
Atau yang lebih membimbangkan adalah kemungkinan mereka menjadi penggerak kegiatan menyalahi undang-undang atau merencanakan jenayah berat atau mungkin bersiapsiagaan untuk menggugat dan mengancam keselamatan negara serta ‘dibela’ pihak tertentu di dalam negara ini?
Suara ini bukan tuduhan atau cuba bersikap perkauman, tetapi atas begitu banyak keterangan atau pembuktian pernah dikemukakan ke pengetahuan umum selama ini. Dari melibatkan aktiviti individu dan kumpulan warga China di dalam negara ini, hinggalah angkatan ketenteraannya di sempadan perairan dan udara negara.
Bukankah aneh apabila jumlah sebesar itu yang dimusykilkan keberadaannya langsung tidak dipersoalkan oleh pihak tertinggi negara ini mahupun negara tersebut? Malaysia tidak harus menikus untuk menyuarakan hak kedaulatan negara dan China juga perlu bertanggungjawab akan status semasa rakyatnya yang keluar.
Kerana dalam realiti geopolitik dunia hari ini, semua kemungkinan dan jangkaan mesti diperhitungkan untuk meletakkan negara di tahap waspada yang sepatutnya. Apatah lagi di dunia nyata zaman ini sering wujud para petualang yang menjadi rakan subahat atau sekutu anasir luar.
Sehubungan itu suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mesti segera dibentuk untuk menjejaki dan memperincikan status setiap individu tersebut agar tindakan dan langkah selanjutnya dapat ditentukan dan diambil tindakan. – HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment