Thursday, October 6, 2016

‘Islam Penting Buat Saya’

LONDON - Sama ada sedar ataupun tidak, Shkodran Mustafi telahpun dipandang sebagai Tony A­dams yang baharu di Arsenal.

Pemenang Piala Dunia bernilai 35 juta pound (RM184 juta) itu, dilihat sebagai bayangan Adams yang mana patung legenda itu berdiri megah di perkarangan Emirates. Bekas kapten Gunners tersebut merupakan bintang Arsenal yang cukup dihormati dalam sejarah kelab.

Mustafi pula merupakan orang Islam yang taat, pernah meraih perhatian apabila dia enggan memulakan sidang akhbar selagi botel bir yang diletakkan di depannya tidak dialih ketika bersama bekas kelabnya Valencia.

Pemain pertahanan Jerman keturunan Albania itu bagaimanapun terpaksa juga meneruskan sidang akhbar kerana jenama bir tersebut yang merupakan penaja Valencia FC perlu kelihatan di dalam kamera televisyen.

Mustafi, yang turut ditawarkan minuman keras ketika mengha­diri sebuah parti sewaktu mewa­kili Everton berkata: “Anda tahu, pada pengakhirannya saya menang pertarungan itu. Saya tidak mahu orang berfikir saya membantu mempromosikan minuman beralkohol tersebut.

“Akhirnya, botol itu kekal di letakkan di depan saya, tetapi kelab dan pengeluar minuman berkenaan memohon maaf kerana mereka memahami orang Islam tidak boleh mengambil alkohol. Kini di Valencia mereka menghormati pengangan agama orang lain.”

Apa yang pasti sikap tegas Mustafi itu merupakan satu kemenangan moral buat pemain berkenaan dan juga pegangan aga­manya. Malah, pegangan teguh itu juga telah membantu­nya menjadi pemain yang sema­kin meraih perhatian peminat Arsenal.

Penyokong mula semakin yakin gandingan Mustafi dengan Laurent Koscielny mampu menjadi tulang belakang untuk Gunners memburu gelaran pertama Liga Perdana Ing­geris sejak 2004. Bagi Mustafi, yang bersolat lima kali sehari, dia berpegang teguh kepada kepercayaannya terhadap Allah.

“Sebagai seorang muslim, solat amat penting berbanding perkara lain, walaupun kadang kala perjalanan jauh menyebabkan kesukaran saya menunaikan kewajipan itu. Kejuaraan Eropah juga menyukarkan saya, kerana berlangsung ketika bulan Ramadan dan mustahil untuk saya mengehadkan pengambilan makanan dan minuman.

“Agama amat penting buat saya dan karier. Ia banyak membantu saya. Pada akhirnya, sebagai insan seperti mana orang lain di bumi ini, saya juga mahu masuk syurga. Itu sasaran utama saya. Jika saya bermain buruk sekalipun, dunia tidak akan berakhir,” katanya yang menyimpan impian untuk ke Mekah. – utusan

Sunday, October 2, 2016

Taksub Agama Hingga Berubah Watak

SEPERTI yang kita sedia maklum, jarang sekali orang Melayu menimbulkan masalah yang bersifat kekerasan.

Apabila mengunjungi Mekah, Arab Saudi, kita tahu seseorang itu berbangsa Melayu menerusi tingkah laku mereka.

Ia tidak kasar seperti orang Arab atau orang Afrika. Begitu juga jika kita ke luar negara.

Biasanya, orang Melayu membawa watak yang hampir sama iaitu pemalu, lemah- lembut dan berjalan agak menunduk. Itulah orang Melayu.

Ia hampir sama di mana-mana sahaja meskipun loghat bahasanya mungkin tidak sama, bergantung kepada negeri mana mereka tinggal.

Bagaimanapun, apabila tiba-tiba kita mendengar ada dua rakyat Malaysia yang terlibat sebagai pengebom berani mati di Syria dan Iraq, kita mula membayangkan adakah orang Melayu telah berubah?

Seperti kejadian yang berlaku di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, ia juga melibatkan individu Melayu yang sanggup membunuh diri sendiri bagi memenuhi ideologi yang dianuti.

Malang sekali, orang lain turut terbunuh. Oleh sebab itu, pada akhirnya jika selama ini kita memegang stereotaip bahawa bangsa tertentu mempunyai nilai dan budaya tertentu, ia mungkin tidak lagi relevan pada zaman ini.

Ideologi mungkin mengubah seseorang itu menjadi orang lain. Ideologi ini pula tidak mengenal siapa kerana ia merupakan sesuatu yang tidak kelihatan dan berada dalam pemikiran seseorang.

Justeru, tidak mudah untuk menjangka apa yang bakal berlaku kerana ideologi merupakan sesuatu yang berada dalam pemikiran manusia, risikonya juga besar.

Membunuh diri sendiri atau orang lain adalah dosa besar. Bagaimanapun, ideologi tertentu mungkin telah mengubah pandangan asal tadi.

Teknologi maklumat
Membunuh mungkin diberikan pahala dan ganjaran syurga. Ideologi ini pula tidak didatangkan daripada kitab agama atau apa yang diajarkan oleh para ustaz dalam kuliah di masjid.

Ia diajarkan melalui pelbagai medium teknologi maklumat dan sebab itulah, kita perlu berhati-hati dengan anak-anak remaja kita.

Apa yang dilalui 20 tahun dulu mungkin tidak lagi relevan pada zaman ini.

Dahulu tanpa internet, YouTube dan pelbagai kecanggihan teknologi maklumat, kita mungkin boleh memberitahu anak-anak kita apa yang boleh dan apa yang tidak dibenarkan.

Kita juga boleh memberitahu mereka bahawa Islam itu melarang keganasan.

Bagaimanapun pada hari ini, semua yang kita pegang selama ini boleh diubah dengan cukup mudah.

Orang mudah percaya dengan apa sahaja hujah yang disebarkan dalam Facebook atau YouTube tanpa perlu merujuk keaslian pandangan tadi lagi.

Apatah lagi jika maklumat ini pula disebarkan oleh mereka yang mungkin fasih dalam bahasa Arab atau memakai serban. Ia dilihat seolah-olah inilah Islam yang sejati.

Walaupun kajian-kajian psikologi menunjukkan bahawa mereka yang terpengaruh dengan keganasan ini mungkin didatangkan daripada latar keluarga bermasalah, ia mungkin tidak semestinya begitu dalam banyak keadaan.

Mereka yang terpengaruh dengan dakyah ini mungkin ingin menjadi manusia 'budiman' dengan melibatkan diri terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan agama.

Mereka juga mungkin ingin mencari jalan mudah kononnya untuk menghapuskan dosa biarpun pada akhirnya jalan yang mereka lalui itu mungkin tidak semestinya selalu benar sekalipun dikaitkan dengan agama.

Oleh sebab itu, kita melihat banyak anak muda yang terlibat dengan aktiviti keganasan ini bukan mereka yang belajar dalam bidang agama.

Mereka mungkin datang daripada aliran kejuruteraan dan sains komputer.

Jadi, apa sahaja yang dikaitkan dengan agama akan selalu dikatakan sebagai benar walaupun mungkin dengan hanya bersandarkan beberapa ayat al-Quran dan hadis tertentu.

Ibu bapa mungkin tidak mampu mengawal semua yang berlaku terhadap anak-anaknya.

Bagaimanapun, dalam psikologi, kebanyakan perkara sebenarnya dapat diperhatikan jika seseorang itu berubah daripada perlakuan lazimnya kepada perlakuan yang lain.

Jika sebelum ini mereka seorang yang pendiam tetapi tiba-tiba berubah menjadi girang atau sebaliknya, ini bermaksud mereka sedang mengalami perubahan.

Perhatikan juga dengan siapa mereka kerap berhubung dan bagaimana pula rakan-rakan baharu mereka.

Jika sebelum ini mereka kerap berada di rumah tetapi sudah mula mengikuti kumpulan tertentu, itu juga mungkin sesuatu yang patut kita bimbangkan.

Walaupun mereka mungkin kelihatan berubah menjadi orang baharu, tidak semestinya baik dalam semua situasi.

Manusia mungkin boleh menyembunyikan ideologinya tetapi tidak mampu mengawal perubahan tingkah laku. - Kosmo

Saturday, October 1, 2016

Duterte Gembira Bunuh Penagih

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam menyamakan perang jenayahnya dengan pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi oleh diktator Jerman, Adolf Hitler.

Duterte berkata, beliau ‘gembira jika dapat membunuh’ berjuta-juta penagih dadah.

Pemimpin itu turut membidas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) kerana hipokrit dalam mengutuk tindakan kerasnya. Perang dadah Duterte telah meragut lebih 3,000 nyawa sejak beliau tiga bulan lalu.

“Hitler membunuh tiga juta orang Yahudi. Sekarang ada tiga juta penagih dadah (di Filipina). Saya gembira untuk membunuh mereka semua,” kata Duterte di bandar Davao, selatan Filipian selepas pulang dari lawatan ke Vietnam.

“Saya mahu menghapuskan semua penjenayah di negara ini demi generasi akan datang.” tambahnya.

Duterte, 71, memenangi pilihan raya Presiden pada Mei lalu selepas berjanji akan menghapuskan gejala dadah dalam masyarakat. Beliau juga ikrar melancarkan perang untuk menghapuskan seramai 100,000 penjenayah.

Perang dadah Duterte bagaimanapun mengundang kritikan Barat dan kumpulan hak asasi manusia yang memberi amaran bahawa ia menyebabkan pembunuhan di luar undang-undang yang semakin berleluasa di Filipina.


Kebimbangan tersebut antara lain diutarakan oleh Presiden AS, Barack Obama, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Parlimen Eropah.

Duterte, bagaimanapun, membalas semua kritikan itu dengan kasar.


“Saya digambarkan seperti sepupu Hitler dan kamu (Barat) tidak peduli untuk menyelidik dan menyiasat. Ini sememangnya bodoh,” katanya.

Duterte juga membidas EU dan AS kerana gagal menangani krisis imigran dari Asia Barat. – AFP-KOSMO