Thursday, May 5, 2011

Kenikmatan Seks, Cukup 10 Minit!

SELAIN dipengaruhi kedudukan dan lokasi, salah satu faktor yang mempengaruhi kenikmatan seks adalah tempoh. Lantas, berapakah tempoh ideal untuk sebuah seks yang berkualiti?

Banyak orang menginginkan agenda seksual dapat berlangsung dalam waktu lama. Jika berhasil melalui tahap tersebut, puncak kenikmatan pun tergapai. Lantas, sebenarnya berapakah tempoh ideal untuk sebuah pelaksanaan sesi seks? Sebuah bancian mengungkapkan bahawa waktu yang diinginkan banyak orang dalam melakukan seks sebenarnya hanyalah 10 minit.

Sebuah bancian dari 50 ahli Society for Sex Threapy and Research yakni sebuah lembaga yang memberikan terapi bagi pasangan yang mempunyai masalah seksual mengatakan, bahawa seks yang terjadi selama satu atau dua minit terlalu pendek. Sementara jika terjadi antara 3 hingga 7 minit masih boleh diterima sedangkan jika lebih dari 13 minit dirasa terlalu panjang. Lembaga ini menambah, sebenarnya seks yang ideal yakni terjadi antara 7 dan 13 minit. Itulah seks yang banyak diinginkan orang.

Sebaliknya dengan fantasi popular tentang perlunya waktu untuk membuat ghairah muncul, seorang terapis seks mengatakan bahawa seks selama 10 minit sudah benar-benar memuaskan.

"Banyak lelaki dan wanita memercayai fantasi seks untuk diperlakukan sepanjang malam bersama pasangan," kata penyelidik Eric Corty, seorang profesor psikologi di Penn State University kepada Telegraph dan dikeluarkan Times of India.

"Sepertinya ini hanyalah sebuah keadaan untuk melepaskan kekecewaan dan ketidakpuasan semata-mata. Kami berharap kajian ini akan menghilangkan fantasi dan menggalakkan perhubungan lelaki dan wanita dengan data yang realistik, "tambah Corty.

Anonymous

Wednesday, May 4, 2011

Hanya DAP Dapat Untung

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru Pas keluar daripada pakatan pembangkang, ia bukanlah bermaksud mahu parti itu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau UMNO.

Tetapi Najib sebenarnya ingin memberi isyarat atau menyedarkan Pas daripada mimpi bahawa kerjasama mereka dengan pakatan itu hanya sia-sia.

Ia kerana DAP walaupun mengaku rakan sekutu tetapi pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas meneruskan perjuangan Islamnya.

Namun seperti mana dijangkakan pemimpin-pemimpin Pas bukan sahaja tidak mahu memikirkannya malah menolak gesaan Perdana Menteri mentah-mentah.

Semua orang tahu bagaimana corak politik yang diamalkan oleh DAP yang boleh dikatakan mempunyai hubungan lebih rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding Pas.

Sejak awal lagi, kerjasama pembangkang hanya melibatkan PKR dan DAP, Pas hanya diterima selepas tidak lagi bernada lantang untuk meneruskan perjuangan menegakkan negara Islam.

Sebab itulah dalam apa soal sekali pun, DAP tidak begitu mengambil berat apa perasaan dan pandangan Pas, sebaliknya merujuk kepada PKR.

Tambahan pula, corak perjuangan antara DAP dan PKR tidak ada bezanya. Kedua-dua parti itu mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya umum lalu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang adalah kerana memainkan isu perkauman.

Di Pulau Pinang semua masih ingat bagaimana DAP dikatakan berkempen dengan 'menjaja' kononnya mengundi parti Gerakan sama dengan mengundi UMNO.

Ini sekali gus mempengaruhi pengundi-pengundi Cina untuk menyebelahi mereka. Di Selangor, PKR turut menggunakan pendekatan yang sama apabila memainkan isu hak kaum India melalui perjuangan perkauman pertubuhan haram Hindraf.

Tetapi Pas bukan sahaja bersedia mengorbankan perjuangan Islam malahan untuk bercakap soal kepentingan orang Melayu pun takut demi menjaga hati DAP dan PKR.

Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas mesti sedar matlamat politik DAP ialah Malaysian Malaysia.

Katanya, sesiapa sahaja yang faham konsep berkenaan akan mengetahui betapa bahayanya ideologi dan matlamat DAP itu dalam konteks Perlembagaan negara, orang Melayu dan agama Islam.

''Tetapi Pas kelihatannya lebih utamakan jumlah kerusi. Mungkin Pas sudah letih berjuang, begitu juga para pemimpinnya yang mahukan kerjasama dengan DAP,'' katanya ketika dihubungi.

Selain itu pemimpin-pemimpin DAP lebih melihat pemimpin PKR jauh berwibawa berbanding pemimpin Pas sebab itulah, apabila kerusi PKR semakin mengurang di dalam Dewan Rakyat, DAP tetap memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang.

Sedangkan kalau hendak dibandingkan dengan Anwar yang berhadapan dengan pelbagai dakwaan berkaitan moral, pemimpin Pas sepatutnya diberi penghormatan kalau benar DAP menyerahkan jawatan itu atas dasar setiakawan biarpun mereka mempunyai kerusi yang lebih, tetapi DAP langsung tidak mempelawa Pas.

Semua ini membuktikan bahawa DAP hanya memperalatkan Pas demi keuntungan politik mereka terutamanya bagi meraih sokongan orang Melayu.

Dalam soal ini DAP amat memahami berbanding PKR yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah, Pas lebih berwibawa untuk tujuan itu.

Apatah lagi melalui peranan ulama-ulama di dalam Pas yang bercakap soal Islam, maka ia memberikan kelebihan kepada Pas untuk menarik sokongan orang Melayu.

Pas perlu faham bahawa corak politik yang diamalkan oleh DAP sekarang lambat-laun akan memusnahkan Pas.

Ia kerana orang Melayu semakin mampu melihat dengan jelas bagaimana tindak-tanduk DAP di Pulau Pinang dan Selangor yang jelas tidak menghormati Pas.

DAP memahami kononnya atas kesepakatan bersama, Pas akan berusaha keras memastikan undi orang Melayu di kawasan yang ditandingi oleh DAP memihak kepada parti itu.

Ia sudah berlaku di Pulau Pinang, apabila DAP menang di sesetengah kerusi atas sokongan pengundi Melayu.

Ketika ditanya mengenai fakta ini, Mohamed Mustafa berkata, hakikatnya DAP yang akan mendapat lebih banyak kerusi dan akhirnya menjayakan agenda mereka sebagai parti utama dalam pakatan pembangkang dan seterusnya menjayakan perjuangan Malaysian Malaysia.

''Pas hanya akan dibekalkan kawasan-kawasan Melayu yang mereka telah biasa bertanding dan tidak lebih daripada itu, sedangkan DAP akan bolot semua kawasan bandar dan mungkin menang semuanya jika trend pengundi bandar tidak berubah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, akhirnya siapa yang untuk? Islam? Melayu? Pas? atau DAP,'' tanya beliau.

Berdasarkan hujah itu, Pas akan dilihat selama-lamanya hanya akan diperalatkan oleh DAP bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Mudah kata, dalam apa keadaan pun selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang - yang untung tetap DAP.

Justeru masih belum terlambat untuk Pas mengkaji dengan mendalam corak politik DAP kerana jika Pas masih leka dan terlalu yakin bahawa mereka boleh mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya nanti, percayalah ia kesudahannya boleh meletakkan Pas bagaikan menang sorak kampung tergadai.

Jika Pas benar-benar hendak mempertahankan Islam seperti mana nasihat Najib maka keluarlah daripada pakatan pembangkang. Ia selaras dengan pesanan pejuang Pas, Zulkifli Mohamad iaitu:

''Pangkal pokok perjuangan Islam di dalam negeri ini datangnya daripada hati orang-orang Islam. Bukan alat yang dipentingkan, bukan kemuliaan yang dipentingkan, bukan bilangan yang dipentingkan, tetapi yang lebih dahulu yang mesti dipentingkan ialah iman dan semangat Islam, iman kepada Allah dan Rasul-Nya dan semangat untuk berjuang kepada jalan Allah dan jalan Rasul-Nya.''

Semoga Pas akan memahami pesanan ini dan tidak terus hanya menjadi 'tangga' kepada DAP untuk mencapai tampuk kekuasaan negara sedangkan perjuangan Islam entah ke mana.

Oleh : Zulkiplee Baka

Cantikkan Diri Untuk Suami

BAGI seorang wanita pastinya kita mengimpikan hidup seperti seorang selebriti atau ratu cantik? Malah, dunia wanita sentiasa dihebohkan dengan pelbagai penemuan baru untuk tampil lebih 'mengancam' di tengah-tengah kaum lelaki.

Manakan tidak, setiap wanita yang masih bujang mahupun sudah berumah tangga pastinya mahu kelihatan anggun di khalayak ramai.

Malah, pakar kecantikan berlumba-lumba mencari rumusan ubat-ubatan dan alat penjagaan kecantikan wanita dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Ia menjadi komoditi yang laris di pasaran.

Bagi wanita yang amat prihatin dengan isu kecantikan, fesyen dan gaya semasa sering berebut mengambil peluang keemasan mendapatkan produk-produk terbaru keluaran syarikat berjenama dari dalam dan luar negara.

Keadaan ini semestinya bagi memperkemaskan diri supaya kelihatan anggun dan bergaya pada setiap saat.

Bagi kaum Adam, memang sungguh seronok melihat isteri di rumah dalam keadaan yang cantik dan pandai bergaya.

Apatah lagi, selepas kepenatan mencari nafkah dan pulang ke rumah dengan pengharapan pemandangan yang indah-indah belaka .

Bagi lelaki beruntung mendapat isteri yang cantik, apa pun jenis pakaian dan perhiasan yang dipakai semuanya sesuai dan anggun dilihat.

Namun sayang ada di kalangan isteri yang beranggapan tidak perlu lagi bersiap untuk suami.

Tindakan tersebut hanya merugikan masa dan tenaga lebih baik tumpukan kepada yang lebih berharga.

Namun tahukah kita bahawa, sebagai lelaki normal yang bukan jenis malaikat, suami tak akan sanggup melihat isteri di rumah dalam keadaan kotor, kusut-masai dan berbau semacam lagi teruk jika menyambut suami dengan muka kecut mencuka.

Sementara di luar sana pemandangannya begitu berlainan, bahkan ramai yang kecundang oleh rangsangan jahat diluar sana.

Oleh itu, sebagai isteri tidak salah kita berdandan dan kelihatan cantik dan berseri, bukan untuk tatapan orang tetapi untuk orang yang kita cintai.

Kembalikan diri kita seperti zaman bercinta supaya sentiasa disenangi dan terus dibelai.

Kalau dalam mencantikkan diri, pakar kecantikan mengesyorkan perawatan wajah dengan melakukan tiga sentuhan iaitu membersih, melembap dan juga menyegar.

Alangkah baiknya jika sentuhan terakhir juga dilakukan iaitu sentiasa menyapukan dengan bedak 'syukur', gincu berona 'reda' dan pembayang mata jenama 'sopan' lagi malu.
Jika anda bergaya di rumah pun suami pasti tergoda. Berada di luar rumah pun suami tidak akan tergoda oleh daya tarikan dan juga aset kecantikan yang paling hebat yang dimiliki oleh seorang wanita.

Malah kecantikan kedua-dua tangan wanita bukan hanya dinilai dengan kelembutan dan kehalusannya semata-mata tetapi pertolongan untuk suami dan anak-anak. Demi membina keluarga bahagia adalah kekuatan yang tidak ternilai.

Tidak timbul sentimen dalam soal pengagihan kerja ataupun nafkah harta benda kerana Rasulullah sendiri menyuruh para wanita untuk banyak bersedekah dan yang paling utama ialah sedekah kepada ahli keluarganya.

Malah, tubuh badan yang ramping serta ringan merupakan 'magnet' penting hubungan suami isteri.

Sebagai isteri, kita mesti banyak mencuba ubat-ubatan untuk menguruskan badan, apatah lagi isteri telah mengalami proses mengandung dan melahirkan.

Persepsi agama tentang diet amat mudah. selagi mana makan dan minum itu tidak memudaratkan kita boleh menikmatinya.

Tetapi sayang kebanyakan orang tidak ingat langsung setiap suapan yang dimakan itu!

Oleh : Zuhayati Yazid