Tuesday, February 14, 2023

Adakah Sekolah Vernakular Menjadikan Mereka Begitu Rasis...

Menteri kecam kenyataan rasis bekas pemain badminton
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam kenyataan bekas pemain badminton kebangsaan, Bong Guan Yik yang menyentuh isu perkauman dan agama di media sosial.

Beliau juga telah mengesahkan dengan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bahawa Bong tidak tinggal di Malaysia dan hanya seorang pelatih pada 2014.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” kata Yeoh dalam ciapan di laman Twitter.

Beliau juga mengulangi pendirian bahawa sukan mestilah bebas daripada sebarang unsur perkauman atau politik.

“Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya.

Sementara itu, BAM turut mengecam kenyataan Bong dan memaklumkan akan menghantar aduan mengenai perkara itu kepada Persatuan Badminton Cina (CBA).

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya semua bentuk diskriminasi dan akan menggesa CBA mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu ini.

“BAM dan semua ahli gabungan kami tidak akan menerima orang seperti itu untuk terlibat dalam badminton di Malaysia,” kata BAM dalam catatan Facebook.

Dalam aplikasi TikTok, Bong menyatakan kritikan terhadap prestasi badminton Malaysia. Bong Guang Yik awalnya membahas kegagalan pemain Malaysia di Malaysia Open 2023.

Namun, ketika mengkritik peranan BAM dalam meningkatkan prestasi, Bong Guang Yik membuat menyentuh isu agama dan kaum.

“Bagi orang Melayu jadi management (pihak pengurusan). Eh mereka sembahyang dah lima kali sehari, mana ada niat nak uruskan BAM. Lemah pengurusan ini.

“Sistem yang lemah menyebabkan pemain Malaysia semua merosot,” kata Bong sebelum meminta maaf selepas dikecam. - ismaweb.net

Kenapa Perkauman Dilambakkan Kepada Melayu Sahaja? MB Kedah

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan tindakan meletakkan kesalahan ke atas orang Melayu dan Islam sahaja apabila timbul sesuatu isu berkaitan perkauman, sedangkan kaum lain juga kerap membangkitkan perkara rasis.

Mengulas tindakan individu yang mempergunakan isu perkauman dalam politik, beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS berkata isu berkenaan sepatutnya tidak hanya diletakkan ke atas orang Melayu dan Islam sahaja.

Pada masa sama, beliau turut membidas pakar Perlembagaan yang melambakkan kesalahan berkaitan perkauman hanya kepada orang Melayu sahaja.

Justeru, Muhammad Sanusi mengingatkan pakar Perlembagaan bahawa di Malaysia terdapat satu kaum yang hampir semuanya mengundi satu parti sahaja.

“Pakar Perlembagaan pun ada yang buta sejarah. Kalau sejarah yang telah berlalu dan dicatat dalam lembar kertas dan disampaikan secara lisan pun dia buta, bagaimana dia hendak membaca realiti semasa.

“Pasai apa (kenapa) isu perkauman yang dituduhnya itu hanya dilambakkan salahnya kepada orang melayu dan Islam sahaja?

“Apakah kerana dia tidak faham orang sebelah dia sedang bercakap tentang apa?

“Apakah dia belum sedar ada satu kaum yang hampir semuanya mengundi satu parti sahaja iaitu parti dia dan parti kawan-kawan dia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy baru-baru ini yang mempersoalkan dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam.

Sebelum ini, Ramasamy turut mengaitkan bahawa jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh Melayu adalah punca perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.

Ramasamy yang juga Felo Penyelidik Kanan Pelawat di Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura mengenai politik Asia Tenggara seterusnya mendesak supaya “dominasi Melayu” dalam perkhidmatan awam dihentikan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu beranggapan perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu, puncanya kerana perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu. Maka, penyelesaiannya ialah untuk kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti pecahkan dominasi tersebut. - agendadaily.com

Tuesday, January 31, 2023

Untungnya Jadi Penceroboh....Alahai Pemimpin Tanah Air Ku

Isu tanah Raub: Gesaan DAP bakal halalkan yang haram
BANGI – Gagasan Bangsa tidak menolak kemungkinan lebih banyak kompromi bakal berlaku berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri Pahang yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub.

Ia susulan desakan seorang Ahli Parlimen DAP yang menggesa kerajaan Pahang mengkaji semula dasar pajakan tanah kepada pihak Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).

Terdahulu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata, pekebun-pekebun durian Musang King daerah Raub sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi suatu penyelesaian berbentuk menang-menang.

Dia menegaskan hal itu susulan kenyataan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang meminta agar pekebun durian Musang King di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di dalam daerah Raub mempertimbangkan semula permohonan semakan kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya.

Menteri Besar Pahang itu pada Jumaat berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah dengan jelasnya merupakan tanah kerajaan negeri.

Menurutnya, berdasarkan Sistem Torrens (diguna pakai di dalam sistem pentadbiran tanah Malaysia), ia merupakan hak milik yang tidak boleh disangkal (indefeasibility of title) walaupun dalam konteks ekuiti.

Mengulas perkara itu, jurucakap GB, Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan berkata, beliau yakin dalam keadaan politik pada hari ini, bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk segala apa yang haram seperti pencerobohan dihalalkan nanti.

“Kini dan buat kali pertama, DAP berada dalam kerajaan negeri dan menjawat jawatan EXCO dan pelbagai jawatan agensi dalam kerajaan.

“Lebih parah lagi, dengan keadaan UMNO yang dalam ‘mood’ mensuci dan memanjakan DAP, maka saya kira akan ada lebih banyak kompromi yang bakal berlaku. Pastinya bukan di Raub sahaja, tetapi seluruh Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi PEMBELA juga secara sinis mengucapkan tahniah kepada rakyat Pahang yang mengundi Barisan Nasional (BN) serta Pakatan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Biarlah tanah tergadai asalkan parti kita menang, kan?

“Kepada orang-orang Raub dan bekas-bekas tentera yang kempunan dinafikan hak untuk memiliki tanah di Raub, berdoa sahajalah.

“Saya dan rakan-rakan sudah buat apa yang saya termampu sahaja. Mungkin tiada apa lagi saya dapat tolong.

“Pergilah menghadap ADUN-ADUN DAP dan BN kesayangan kalian itu. Rayulah pada Menteri Besar tercinta. Moga berjaya,” katanya.

Sebelum ini, dua notis permohonan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi di mana kumpulan pertama melibatkan 110 pekebun memfailkannya pada 21 Ogos 2020 dan seterusnya kumpulan kedua membabitkan 94 pekebun pada 9 Disember tahun sama.

Semua pekebun yang melibatkan tanah seluas kira-kira 2,167 hektar itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, PKPP dan Royal Durian Resources PKPP Sdn Bhd. - ismaweb.net