Tuesday, August 9, 2022

Bila Kerajaan Mahu Bertindak Ke Atas Kuil Haram

KEMUNCULAN kuil Hindu sama ada disedari atau tidak, semakin membimbangkan. Lebih-lebih lagi dibina di kawasan tanah haram (tanah kerajaan) dan banyak peraturan tidak dipatuhi. Lambakan kuil ini seolah-olah tidak terkawal. PBT tidurkah?

Saya tidak rasa binaannya mengikut tatacara yang ditetapkan oleh PBT. Setback entah ke mana. Sedar-sedar pembahagi jalan sudah ditukar menjadi berwarna warni dan menjadi pagar milik kuil Hindu. Sudah berlaku di banyak kawasan lebuh raya.

Kalau tidak percaya, buatlah siasatan. Saya tidak pasti apa pihak berkuasa tempatan buat selama ini. Adakah pemantauan dibuat? Atau PBT sedang tidur lena dibuat mimpi.

Cuba tengok kuil Hindu di sepanjang lebih raya dari Mid Valley, Brickfield, menuju PWTC, seterusnya Sentul. Tiba-tiba muncul tombolnya di tengah-tengah lebuh raya bandaraya Kuala Lumpur. Langsung tidak ada setback.

Di kawasan Ampang boleh dikatakan semua didirikan di kawasan tanah haram. Asal kecil sahaja. Kemudian jadi besar sehingga memakan rizab jalan. Semua itu bukan tanah milik mereka.

Ini baru contoh beberapa tempat sebahagian kecil kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor, belum masuk negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Johor dan sebagainya.

Binaan dan pagar dibuat suka hati dia sahaja, sama ada merujuk kepada PBT atau tidak, kita tidak tahu.

Jika binaan kuil tersebut merujuk PBT mustahil pagarnya sampai ke rizab jalan, sehingga membahayakan, sebab tidak ada penjarakan langsung atau setback. Pembahagian jalan dirobohkan dan digantikan binaan sendiri berwarna warni.

Terbaharu isu kuil dinaikkan sendiri papan tandanya, di Damansara Damai, tanpa mendapat kebenaran PBT. Apakah nak jadi dengan negara (negeri) ini. Langsung tidak ada pemantauan.

Ini belum termasuk rumah persendirian dijadikan kuil sehingga mengganggu jiran bersebelahan. Buat suka dia saja.

PBT seluruh negara tidak boleh berdiam diri. Keadaan menjadi makin serius. Ini isu keselamatan negara.

Ironinya kenapa perlu bina kuil Hindu skala besar di kawasan yang penganut begitu sedikit atau kawasan majoriti Melayu. Ia bukan baharu tetapi merata tempat. Kenapa ianya di kawasan tanah kerajaan bukan tanahnya sendiri

Lebih memelikkan kuil yang mahu dibina di Damansara Damai bersebelahan dengan tapak sekolah agama.

Selepas ini ditakdirkan tidak dapat mendapatkan kebenaran membina kuil, pasti mereka mahukan tempat gentian. Sedangkan kuil yang dibina di situ bukan tanah milik mereka. Tetapi tanah kerajaan atau orang lain.

Ingat kisah Adib, sehingga kini tidak ada pembelaan. Tapak kuil ganti disediakan, mereka dah bina kuil, tetapi mereka tidak mahu berpindah daripada tapak lama. Akhirnya, dua-dua tapak dia dapat

Nyawa Adib orang menjadi taruhan. Di manakah keadilan sebegini. Justeru sudah sampai masanya audit perlu dilakukan. Majoriti kuil dibina di kawasan tanah haram.

Rumah ibadat hari ini sudah menjadi bahan perniagaan. Segeralah lakukan audit. Termasuk audit kewangan. Sebenarnya tidak susah untuk melakukan audit seluruh negara, kerana setiap PBT pasti tahu kedudukan kuil ini.

Saya ingin cadangkan lagi walaupun telah banyak kali disebut.

Pertama, setiap negeri, setiap PBT pergilah kira, berapa banyak kuil, dengan keperluan penduduk. Begitu juga keperluan dengan bilangan yang tidak ramai. Status kuil Hindu di kawasan majoriti Melayu. Jangan takut untuk bertindak. Negara ini ada undang-undang. Usah pedulikan orang politik. Mereka hanya mengira undi sahaja. Bukan keselamatan.

Kedua, kenapa perlu dua, tiga atau lebih kuil Hindu dalam skala besar, berada dalam deretan yang sama. Cuba lihat di Sentul begitu banyak kuil berskala besar, berderet-deret. Begitu juga di Serdang. Kuil skala besar, bersebelahan.

Banyak lagi tempat lain sama keadaannya. Ini belum termasuk jalan yang terpaksa dibengkokkan kerana memberi laluan kepada kuil Hindu. Amat tidak logik, kuil haram tidak boleh diroboh di kawasan tanah yang bukan miliknya.

Umat Islam nak buat surau masjid pun kena tengok penduduk. Jika penduduk tidak ramai, rumah ibadat tidak akan dibina.

Ketiga, jika PBT tidak bertindak sekarang, pasti nasi akan menjadi bubur. Kuil tidak berkurang tetapi makin bertambah di kawasan bukan miliknya. Pasti akan menjadi isu perkauman.

Islam tidak pernah menghalang hak bukan Islam tetapi biar berpada-pada. Penduduk tidak banyak, tetapi lambakan kuil tidak terkira.

Keempat, penganut atau pengikutnya bertindak semakin agresif. Sepanjang menaiki keretapi (ETS) utara selatan, skypark ke KL Sentral, tidak terkira banyaknya kuil itu.

Kelima, janganlah kerana hanya mahukan undi, kita halalkan tindakan yang haram. Binaan di tanah milik kerajaan tetap haram. Tidak boleh dihalalkan.

Keenam, perpaduan tidak boleh dicapai dengan membiarkan kuil dibina sesuka hati. Kuil-kuil haram ini hanya akan merosakkan perpaduan.

Saya baru sahaja balik daripada Pulau Pinang, lambakan kuil sudah tidak terkawal. Atas bukit, bawah bukit, tepi jalan, seberang jalan bertentangan, tepi sungai, boleh dikatakan ada sahaja merata tempat.

Masalah kuil di negeri Kedah masih lagi tidak selesai.

Apakah kita mahu dikenali sebagai darul kuil suatu masa nanti. Buatlah segera pemantau dan ambil tindakan. Keselamatan negara semakin tergugat dan terancam. Pihak berkuasa tidak masuk sampai ke dalam kuil-kuil.

Adakah mereka yang berada di sini, benar-benar warganegara? Jika bukan, adakah mereka berada di sini dengan permit? Kita tidak nafikan hak bukan Islam tetapi perlu berpada-pada.

Oleh: Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Monday, August 8, 2022

Lambakan ‘Kuil Haram’, PBT Tidurkah?

BANGI – Sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan audit terhadap lambakan kuil Hindu yang dibina di kawasan tanah haram sehingga membabitkan rizab jalan dan berisiko kepada keselamatan.

Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, PBT di seluruh negara tidak boleh berdiam diri kerana keadaan itu menjadi semakin serius, apatah lagi membabitkan isu keselamatan negara.

Beliau berkata, kemunculan kuil Hindu sama ada disedari atau tidak semakin membimbangkan, terutamanya yang dibina di kawasan tanah kerajaan dan banyak peraturan tidak dipatuhi.

“Lambakan kuil ini seolah-olah tidak terkawal. PBT tidurkah? Saya tidak rasa binaannya mengikut tatacara yang ditetapkan oleh PBT.

“Setback entah ke mana. Sedar-sedar pembahagi jalan sudah ditukar menjadi berwarna warni dan menjadi pagar milik kuil Hindu. Sudah berlaku di banyak kawasan lebuh raya,” katanya menulis di ruangan Kolumnis Ismaweb.net, hari ini.

Ridhuan Tee mempersoalkan keperluan membina kuil Hindu berskala besar di kawasan penganutnya begitu sedikit atau di kawasan majoriti Melayu.

Malah, pihak kuil juga ‘berani’ menuntut tapak gantian pada pembinaan yang tidak mendapat kebenaran, meskipun ianya dibina di tanah kerajaan dan bukan milik persendirian.

“Ingat kisah Adib, sehingga kini tidak ada pembelaan. Tapak kuil disediakan, mereka dah bina kuil tetapi mereka tidak mahu berpindah daripada tapak lama.

“Akhirnya kedua-dua tapak dia dapat. Nyawa Adib menjadi taruhan. Di mana keadilan sebegini?,” katanya.

Atas dasar itu, beliau menggesa supaya audit segera dilakukan termasuk audit kewangan supaya keselamatan negara tidak tergugat dan terancam. - ismaweb.net

Friday, August 5, 2022

Adakah Sejarah Di Sarawak Diajar Dengan Betul Dalam Silibus UEC?

Proses pencinaan UEC amat dahsyat
BANGI – Tidak sewajarnya Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee memandang sinis pendirian kerajaan Pusat yang kekal tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berhubung perkara itu berasaskan kepada kajian yang mendalam.

“UEC tidak membawa kepada pembinaan negara bangsa. Proses pencinaannya amat dahsyat. Sudahlah semua subjek diajar dalam bahasa Cina, sama seperti SJKC, subjek sejarahnya diselewengkan sehingga tersasar daripada landasan sebenarnya.

“Ini belum termasuk kemampuan untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Penguasaan bahasa Inggeris turut terjejas disebabkan oleh proses pencinaan tersebut,” katanya menulis di ruangan kolumnis Ismaweb.net hari ini.

Prof Ridhuan Tee menegaskan bahawa tidak siapa menafikan soal menghargai bakat dan modal insan.

“Kita hargai semua itu. Tetapi modal negara bagaimana? Modal insan tidak cukup tanpa modal negara. Modal negara Sarawak adalah sejarahnya, sama seperti Semenanjung Tanah Melayu. Sejarah dan Perlembagaan adalah darah dagingnya.

“Persoalannya, adakah sejarah di Sarawak diajar dengan betul dalam silibus sejarah UEC? Siapakah pejuang-pejuang ketika Sarawak ‘dijajah’. Adakah lepasan UEC bangun menentang penjajah.

“Apakah nama Rentap ada dalam silibus UEC. Jika tidak ada, elok Timbalan Menteri berkenaan pergi lihat. Buatlah kajian. Jangan bercakap hanya undi dan funder,” katanya.

Kerajaan kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf UEC kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Radzi Jidin berkata, UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

Justeru, beliau menjelaskan, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penyelesaian berhubung pengiktirafan terhadap UEC jika ia diubah supaya selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun, Annuar Rapaee menyifatkan bahawa tindakan tidak mengiktiraf UEC satu pembaziran modal insan.

Katanya, dunia kini tiada sempadan dan kerajaan tidak patut menyekat sesiapa pun daripada mendapat pendidikan pilihan mereka.

“Pendidikan sepatutnya bersifat progresif dan membolehkan modal insan lebih baik serta pelbagai.

“Kebebasan pendidikan sama pentingnya dengan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi,” katanya. - ismaweb.net