Proses pencinaan UEC amat dahsyat
BANGI – Tidak sewajarnya Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee memandang sinis pendirian kerajaan Pusat yang kekal tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berhubung perkara itu berasaskan kepada kajian yang mendalam.
“UEC tidak membawa kepada pembinaan negara bangsa. Proses pencinaannya amat dahsyat. Sudahlah semua subjek diajar dalam bahasa Cina, sama seperti SJKC, subjek sejarahnya diselewengkan sehingga tersasar daripada landasan sebenarnya.
“Ini belum termasuk kemampuan untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Penguasaan bahasa Inggeris turut terjejas disebabkan oleh proses pencinaan tersebut,” katanya menulis di ruangan kolumnis Ismaweb.net hari ini.
Prof Ridhuan Tee menegaskan bahawa tidak siapa menafikan soal menghargai bakat dan modal insan.
“Kita hargai semua itu. Tetapi modal negara bagaimana? Modal insan tidak cukup tanpa modal negara. Modal negara Sarawak adalah sejarahnya, sama seperti Semenanjung Tanah Melayu. Sejarah dan Perlembagaan adalah darah dagingnya.
“Persoalannya, adakah sejarah di Sarawak diajar dengan betul dalam silibus sejarah UEC? Siapakah pejuang-pejuang ketika Sarawak ‘dijajah’. Adakah lepasan UEC bangun menentang penjajah.
“Apakah nama Rentap ada dalam silibus UEC. Jika tidak ada, elok Timbalan Menteri berkenaan pergi lihat. Buatlah kajian. Jangan bercakap hanya undi dan funder,” katanya.
Kerajaan kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf UEC kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Radzi Jidin berkata, UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.
Justeru, beliau menjelaskan, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penyelesaian berhubung pengiktirafan terhadap UEC jika ia diubah supaya selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Bagaimanapun, Annuar Rapaee menyifatkan bahawa tindakan tidak mengiktiraf UEC satu pembaziran modal insan.
Katanya, dunia kini tiada sempadan dan kerajaan tidak patut menyekat sesiapa pun daripada mendapat pendidikan pilihan mereka.
“Pendidikan sepatutnya bersifat progresif dan membolehkan modal insan lebih baik serta pelbagai.
“Kebebasan pendidikan sama pentingnya dengan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi,” katanya. - ismaweb.net
No comments:
Post a Comment