Wednesday, January 20, 2021

Perlukah Malaysia Amalkan Lese Majeste?

MALAYSIA merupakan antara negara di dunia yang masih mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Institusi raja di Malaysia adalah satu institusi tradisional yang sedia ada sebagai teras sistem pemerintah dan pentadbiran sesebuah kerajaan Melayu yang telah muncul berabad-abad lamanya.

Institusi raja yang bertapak di negara ini telah mengalami evolusi daripada sistem beraja mutlak kepada sistem Raja Berperlembagaan. Dalam sistem beraja mutlak, raja mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri dengan dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik khususnya sebelum penjajahan Inggeris.

Sementara dalam sistem Raja Berperlembagaan, raja bertindak mengikut peruntukan perlembangaan yang telah ditetapkan sekaligus menutup ruang kepada kuasa mutlak, di peringkat Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat jemaah menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dalam semua perkara kecuali dalam beberapa perkara yang disebut sebagai kuasa budi bicara.

Namun kebelakangan ini, penghinaan terhadap sistem beraja semakin menjadi-jadi dan ada sahaja berita dibaca yang menulis mengenai penghinaan terutamanya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terbaharu adalah berkenaan tiga keping gambar yang dimuatnaik dalam media sosial memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong disunting oleh satu akaun Instagram bernama bukan_bangjago.

Persoalan kini, perlukah Malaysia mengenalkan undang-undang dikenali sebagai ‘Lese Majeste’ sepertimana yang diamalkan di Thailand bagi membendung kebiadaban tersebut?

Lese Majeste, yang berasal daripada bahasa Latin bermakna menderhaka kepada raja yang digubal demi melindungi, memelihara kemuliaan dan menghentikan penghinaan terhadap institusi raja.

Monarki Thailand dilindungi oleh Seksyen 112 Kanun Ke­seksaan negara itu, yang mengatakan bahawa sesiapa yang memfitnah, menghina atau mengancam raja, permaisuri serta pewaris akan dihukum penjara tiga hingga 15 tahun.

Undang-undang terhadap penghinaan raja telah berlaku dalam kod jenayah Thailand sejak awal 1900-an, ketika Thailand masih dikenali sebagai Siam lagi.

Bekas pensyarah Jabatan Sejarah sebuah universiti tempatan, Amran Zakir berkata, masyarakat tradisional Thailand memandang monarki sistem beraja ini sebagai institusi suci.

Monarki mempunyai akar yang mendalam di Thailand, di mana raja-raja memegang kuasa mutlak selama beratus-ratus tahun sebelum Revolusi 1932.

“Dalam undang-undang Lese Majeste di Thailand, hukuman tidak terkecuali kepada warga a­sing yang bersalah kerana menghina kerabat raja.

“Pada Disember 2011, seorang warga Amerika Syarikat (AS) kelahiran Thailand dipenjarakan selama dua setengah tahun ke­rana menghina Raja Thailand selepas dia menyiarkan bahan secara dalam talian daripada buku biografi Raja Bhumibol Adulyadej versi bahasa Inggeris,” jelasnya.

Di negara ini, tiada undang-undang khusus seperti Lese Majeste, namun individu yang mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja akan disiasat dan didakwa mengikut Akta Ha­sutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Apa yang pasti, undang-undang di Malaysia ketika ini boleh dikatakan masih ringan dan perlu dihalusi semula bagi memberi pengajaran kepada individu yang tidak bertannggungjawab. - www.kosmo.com.my

Tuesday, January 19, 2021

Segera rombak pimpinan UMNO – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: Seluruh kepemimpinan UMNO perlu dirombak semula termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, ini termasuk menukar ahli Majlis Tertinggi (MT) dan pemimpin di semua peringkat untuk memilih pemimpin yang bukan hanya diterima ahli malah disenangi rakyat.

Beliau berkata, pemilihan parti perlu dibuat segera apatah lagi tempoh penggal kepemimpinan parti berakhir pada tahun ini sekali gus dilihat mampu meredakan suhu ketidakpuasan hati mana-mana pemimpin atau ahli akar umbi.

“UMNO perlu rombakan secara total. UMNO perlukan pemimpin ‘Avengers’, iaitu yang bukan hanya diterima oleh ahli tetapi diterima oleh rakyat,” katanya sambil mengakui pemilihan parti tidak akan menyelesaikan 100 peratus masalah yang berlaku.

Beliau mengulas beberapa suara akar umbi UMNO yang mahukan perubahan terhadap pucuk pimpinan sekali gus memberi isyarat parti Melayu itu sudah bersedia atau perlu diterajui muka baharu menjelang PRU-15 bagi memastikan UMNO terus relevan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang, Mohd. Alfie Zainal Abidin berkata, sekurang-kurangnya 50 peratus pemimpin UMNO di semua peringkat perlu dalam kalangan orang muda atau parti bakal ditolak sekali lagi oleh rakyat.

Katanya, ini termasuk pemilihan calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memandangkan majoriti pengundi kini adalah dalam kalangan golongan itu yang menjadi penentu kalah menang parti.

Justeru, kata beliau, pemilihan parti sewajarnya diadakan secepat mungkin kerana retorik kemahuan akar umbi UMNO telah disalah gunakan oleh pemimpin yang mempunyai kepentingan peribadi.

“Dengan adanya pemilihan parti yang disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan diadakan tahun ini, kepemimpinan baharu pasti membawa suara sebenar akar umbi,’’ katanya.- UTUSAN

Apabila Kita Sendiri Memperlekehkannya.....

Nasib bahasa Melayu menumpang di negara sendiri
PETALING JAYA: Bahasa Melayu seolah-olah menumpang di negara sendiri ekoran sikap masyarakat yang lebih menyanjungi bahasa Inggeris sedangkan kedudukannya adalah jelas termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan.

Bercakap dengan Utusan Malaysia, Yang di-Pertua Dewan Negara yang juga pejuang bahasa Melayu, Tan Sri Rais Yatim meluahkan kekecewaan beliau apabila usahanya untuk terus menyelamatkan bahasa kebangsaan semakin tidak diendahkan.

“Bahasa Melayu yang dahulunya ibarat pokok dan bahasa Inggeris adalah dedalunya, tetapi keadaan ketika ini adalah yang sebaliknya. Pertama sekali, kita tengok dalam kalangan agensi kerajaan yang mana terdapat beberapa jabatan yang terus mengetepikan bahasa Melayu.

“Kita harus memandang isu ini sebagai satu penyakit iaitu penyakit budaya, penyakit tamadun. Saya dan beberapa rakan yang memperjuangkan bahasa kebangsaan kita ini sudah tidak ramai. Kami semakin sedikit dan terpinggir,” katanya kecewa.

Industri media termasuklah antaranya televisyen dan radio seringkali menggunakan bahasa rojak ataupun bahasa bercampur-campur. Kebelakangan ini, rancangan hiburan tanah air lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris yang diangkat sebagai nama program.

Rais menjelaskan, institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi medan pertuturan bahasa Melayu tidak lagi mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu dalam pembelajaran.

“Sebab yang paling merejam kepada karya bahasa Melayu apabila wujudnya pengalihan bahasa kepada nahu Inggeris,” katanya.

Dalam Perkara 152, Perlembagaan Persektutuan Tanah Melayu 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963 telah menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara itu, bagi Felow Utama Institut Kajian Etniik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong, usaha mewujudkan masyarakat yang mencintai bahasa Melayu, jati diri rakyat Malaysia harus diperbaiki terlebih dahulu.

“Kita perlu serius dalam hal ini, sudah sampai waktunya kita berani bercakap masalah yang jelek ini. Kita harus sedarkan rakyat, kita perlu ubah sikap dahulu usaha mengetengahkan serta menyanjungi bahasa Melayu.

“Kita boleh lihat orang Melayu sendiri memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu.

“Sememangnya kita pernah mewujudkan dasar mewajibkan percakapan bahasa Melayu dan ingin membawa bahasa ini di mata dunia tetapi jika bahasa ini juga ibarat melukut di tepi gantang’ di watannya sendiri, bagaimana pula pandangan masyarakat dunia,” katanya. 
UTUSAN