Thursday, July 9, 2020

Senario Anak Muda Tak Ke Masjid Membimbangkan

Sesuatu perlu dilakukan segera bagi perbetulkan keadaan
Ketidakhadiran jemaah dalam kalangan generasi muda ke masjid pada waktu solat adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Ini kerana generasi muda merupakan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan, dan jiwa mereka perlu diisi dengan ilmu keagamaan yang baik.

Sehubungan itu, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin yang mengambil berat berkenaan masalah tersebut mengajak, masyarakat memikirkan apa yang boleh dilakukan bagi memperbetulkan keadaan.

“Saya sempat berkunjung ke beberapa buah negeri sejak larangan merentas negeri diangkat oleh kerajaan.

“Di antara soalan di benak kepala yang belum terjawab adalah di manakah anak-anak muda kita terutamanya di kalangan para pelajar sekolah menengah dan IPT semasa waktu solat?

“Kini jarang sekali kelihatan generasi muda kita yang solat berjemaah di masjid, apatah lagi semasa solat Subuh. Secara peribadi, saya sangat concern dengan senario ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kebimbangan itu berasas selepas polis menahan 21 individu termasuk empat pelajar sekolah menengah yang menyertai pesta liar di sebuah apartment servis di Bukit Bintang, awal pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Nartotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 4.30 pagi.

Katanya, ketika serbuan, polis telah memeriksa 34 individu yang terdiri daripada 28 lelaki dan enam wanita yang berada di kediaman terbabit.

“Daripada jumlah itu, seramai 21 orang didapati positif dadah jenis methamphetamine. Bagi mereka yang didapati negatif ujian saringan air kencing, (mereka) dibebaskan tanpa syarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seorang daripada mereka merupakan pelajar kolej swasta. - ismaweb.net

Wednesday, July 8, 2020

Guna Buruh Kera, UK Henti Jual Produk Kelapa Thailand

Kera dipaksa panjat pokok, petik, kupas buah kelapa
LONDON - Empat peruncit United Kingdom (UK) telah mengecualikan produk Thailand yang berasaskan kelapa dari pasarannya.

Tindakan berkenaan dilakukan setelah mereka menerima laporan bahawa Thailand menggunakan kera sebagai buruh di beberapa ladang di negara itu untuk memetik buah kelapa.

Memetik laporan penyelidikan PETA Asia, akhbar Telegraph berkata, haiwan berkenaan turut dilatih secara paksa di ladang untuk memanjat pokok, memetik dan mengupas buah kelapa bagi menghasilkan pelbagai produk termasuk santan, tepung dan minyak.

Menurut PETA Asia, beberapa petani yang disiasat telah menghasilkan produk jenama Aroy-D dan Chaokoh, iaitu dua pengeluar santan utama Thailand.

“Kami berharap supaya pembekal kami mematuhi standard pengeluaran sepanjang masa dan kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyalahgunaan haiwan dalam rantaian bekalan kami,” kata salah satu peruncit berkenaan.

Sementara itu, peruncit terbesar di UK, Tesco menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menjual produk yang menggunakan buruh kera – seperti yang dikenal pasti oleh PETA.

“Kami tidak bertolak ansur dengan amalan ini dan akan mengecualikan produk dari penjualan,” kata seorang jurucakap. -Agensi

Tuesday, July 7, 2020

Jiran Cubit Telinga Bayi 10 Bulan Didenda RM6,000

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas wanita itu mengaku bersalah mencubit telinga anak jirannya yang berusia 10 bulan sehingga mengalami kesan lebam.

Noor Aziana A Samad, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mahkamah turut memerintahkan wanita ini dipenjarakan selama tiga bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Noor Aziana didapati dengan sengaja mencubit kedua-dua belah telinga bayi lelaki sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Melati, Wangsa Maju di sini pada jam 2 petang, 5 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira usia mangsa yang masih kecil.

Bagaimanapun, Noor Aziana yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda kerana tidak bekerja selain perlu menyara anak yang berusia setahun.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu iaitu ibu mangsa ingin mengambil anak lelakinya dari rumah tertuduh, dia mendapati kesan lebam di kedua-dua belah telinga selain luka pada dahi serta tangan kiri bayinya.

Setelah bertanya kepada tertuduh, dia memberi alasan, anaknya menggigit mangsa.

Bagaimanapun selepas didesak untuk membuat laporan polis, tertuduh mengaku mencubit mangsa kerana geram bayi tersebut menangis.

Ketika kejadian, bekalan air di rumah didapati terputus menyebabkan tertuduh tidak dapat mengawal perasaan marah lalu mencubit kedua-dua telinga mangsa. - www.sinarharian.com.my