Friday, March 3, 2017

Bahasa Melayu: Nenek-Moyang Kita Sudah Globalisasikan

KITA baru mula hendak bercakap mengenai globalisasi dan impaknya kepada ekonomi, geopolitik dan beberapa aspek lagi. Akan tetapi nenek-moyang kita, ramai antaranya adalah pelayar hebat, telah melakukan agenda globalisasi ribuan tahun yang silam. Mereka merantau ke seluruh pelosok dunia, belayar ribuan kilometer nautika.

Semasa Sidang Bersama Sasterawan Negara yang diadakan di Dewan Besar Utusan pada 22 Februari lepas, saya tertarik dengan cerita Profesor Dr. Muhammad Salleh. Beliau menceritakan perihal nenek-moyang kita yang belayar jauh hingga ke Madagascar, berinteraksi dan berkomunikasi dengan penduduk setempat dalam bahasa Melayu. Itu sebabnya ada komuniti di sana hingga kini bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi dalam dialek mereka. Pun begitu, apabila mereka menulis, mereka akan menulis dalam bahasa Melayu. Itulah uniknya bahasa Melayu, dituturkan dalam pelbagai dialek tetapi penulisan tetap dalam bahasa Melayu yang kita semua boleh fahami.

Mengenai dialek pertuturan dan bahasa penulisan dalam bahasa Melayu, Muhammad turut menceritakan perihal sama yang diamalkan oleh banyak suku kaum dalam kepulauan di Nusantara ini. Bagi saya, beliau memberikan gambaran bahawa bahasa Melayu itu sungguh mudah tapi universal penggunaannya, kerana ia satu bahasa yang begitu fleksibel atau anjal untuk digunakan dan dipertuturkan.

Keanjalan inilah antara punca nenek-moyang kita dulu begitu banyak menulis hikayat berbanding beberapa bahasa utama dunia lain. Malangnya nenek-moyang kita dulu kurang arif dalam usaha mengarkibkan hikayat mereka yang kini banyak tersimpan dalam arkib dan muzium asing.

Sambil saya mendengar hujah beliau bersama seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan juga kehadiran tiga lagi tokoh bahasa Melayu iaitu Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan Datuk Dr. Zainal Kling, terlintas di pemikiran saya betapa agung bahasa Melayu ini. Manakan tidak, bukan sekadar dialek pertuturan berbeza tetapi penulisan tetap dalam bahasa Melayu, ia juga satu-satunya bahasa di dunia yang ditulis dalam dua bentuk tulisan, jawi dan rumi (roman). Tiada bahasa lain di dunia ini yang mempunyai dua bentuk tulisan itu. Semuanya bertujuan menjadikan bahasa Melayu itu begitu anjal sekali penulisan dan penggunaannya.

Oleh kerana keanjalan inilah juga seperti dinyatakan oleh Abdullah yang memetik kata-kata arwah Datuk Dr. Hassan Ahmad, bahawa bahasa Melayu adalah satu bahasa moden. Ia dianggap bahasa moden juga kerana bahasa ini mudah diadaptasi dengan keperluan semasa. Itu sebabnya dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu ada terdapat banyak perkataan (i) asalnya daripada rumpun bangsa Melayu itu sendiri, (ii) perkataan Melayu yang dipinjam daripada bahasa lain, (iii) perkataan baharu dan (iv) perkataan daripada istilah saintifik.

Dengan (i) tabiat dan keinginan semula jadi nenek-mo­yang kita dulu belayar dan mengembara, (ii) kerajinan mereka menulis begitu banyak hikayat, (iii) dua bentuk penulisan (jawi dan rumi) dan (iv) fleksibiliti dalam penggunaan dan pembentukan perbendaharaan kata, tidak hairanlah bahasa Melayu pernah menjadi bahasa keempat terbesar di dunia, dari segi penggunaannya. Ia telah terbukti sebagai bahasa pembentuk budaya dan bangsa, lebih jauh dari itu, bahasa Melayu pernah berperanan sebagai bahasa ilmu (ilmu pelayaran dan sebagainya) dan bahasa perdagangan.

Anehnya, hari ini kita sendiri bangsa Melayu, rakyat Malaysia, meragui kemampuan bahasa ibunda kita ini yang pernah diglobalisasikan oleh nenek-moyang kita.

Secara kebetulan, awal minggu lepas, dua hari sebelum menghadiri Sidang Bersama Sasterawan Negara, saya menyertai satu lawatan kerja ke tapak projek Petronas di Pengerang Integrated Complex (PIC) di Pengerang, Johor. Salah satu taklimat disampaikan oleh seorang bukan Melayu, dalam bahasa Melayu yang cukup kemas. Saya tertarik hati dengan penyampaian beliau lantas selepas itu, berjumpa dengannya. Beliau berasal dari Australia, kini bermastautin di negara ini, beragama Islam dan berkahwin dengan wanita Melayu.

Katanya, dia amat tertarik dengan bahasa Melayu ke­rana keunikan dan kesenian bahasa Melayu itu, menjadikannya lebih mengutamakan pertuturan dan komunikasi dalam bahasa Melayu.

Di penghujung Sidang Bersama Sasterawan Negara itu terfikir saya betapa orang lain begitu menghargai dan menyanjung tinggi bahasa Melayu, tatkala segelin­tir dalam kalangan kita menganaktirikan bahasa ini. Ada juga yang beranggapan bahasa Melayu kurang sesuai menjadi bahasa ilmu. Tidak kurang juga yang merasa kekok bertutur dalam bahasa Melayu di majlis-majlis rasmi, majlis-majlis bisnes atau perdagangan.

Mujurlah bilangan mereka yang berfikiran sebegini kecil. Apapun, menjadi tugas kita semua menyedarkan mereka bahawa bahasa Melayu itu indah, bahasa Melayu itu universal rantau penggunaannya, bahasa Melayu itu sungguh anjal, maka ia teramat mudah diguna pakai untuk pelbagai tujuan. Bahasa Melayu itu adalah satu-satunya bahasa di dunia yang boleh ditulis dalam dua bentuk penulisan, jawi atau rumi. Justeru usahlah diperkecilkan kedudukan dan martabatnya. Julanglah ia menjadi bahasa global sepertimana nenek-moyang kita dulu pernah lakukannya. Kita boleh ulangi kegemilangan itu.

Pun begitu, sayugia juga diterima hakikat, bahawa bahasa utama lain dunia juga penting untuk dikuasai, paling tidak wajar difahami. Tidak salah mengadakan pelbagai program bagi membolehkan rakyat Malaysia, terutama­nya golongan pelajar, mempelajari bahasa asing, bukan sekadar Inggeris atau Mandarin. Lebih banyak bahasa yang dapat dikuasai atau difahami, lagi bagus.

Akan tetapi, apa yang merimaskan saya dan ramai lagi yang sayangkan bahasa Melayu, ialah terdapatnya usaha menganaktirikan bahasa Melayu dengan cuba untuk menye­tarafkan ia dengan bahasa Inggeris, kononnya atas keper­luan ekonomi. Alasan ini yang dijulang oleh mereka yang dangkal pemikirannya dan tidak pula disokong dengan kajian dan fakta-fakta sahih, menyebabkan kita semua jadi keliru mengenai peranan dan kedudukan bahasa Melayu.

Kita semua wajar menyambung kembali warisan nenek-moyang kita. Bahasa Melayu kita junjung, bahasa asing kita kendong, tiada yang keciciran.

Thursday, March 2, 2017

Malu Berbahasa Melayu?

BEBERAPA minggu lalu, nombor telefon saya dima­sukkan dalam satu lagi grup WhatsApp. Tidak perlulah saya sebut grup apa pula kali ini, tetapi yang pasti kesemua yang ada dalam kumpulan itu ialah orang Melayu. Pun begitu, dalam pengenalannya saja pengendali kumpulan itu (group admin) memberikan kata-kata aluan dan penerangan mengenai tujuan kumpulan itu diadakan dalam bahasa Inggeris. Perbualan seterusnya dalam bahasa Inggeris. Tidak seorang pun menggunakan bahasa Melayu.

Mula-mula saya tidak ambil kisah. Saya ada banyak grup WhatsApp, yang saya keluar (left group) dalam ­diam-diam atau waktu tengah malam pun banyak juga. Kadang-kadang kita pun rasa rimas, ada yang dua atau tiga orang pun hendak buat grup WhatsApp. Lepas itu hantar gambar ucapan salam subuh, selamat pagi, selamat petang, selamat malam dan selamat tidur. Itu saja.

Berbalik kepada grup dalam berbahasa Inggeris ini, lama-kelamaan saya tertanya-tanya, tidak bolehkah mereka ini berbahasa Melayu? Bahasa Inggeris mereka pun bukannya betul sangat kerana banyak ejaan yang lintang-pukang dan grammar yang tunggang-langgang.

Dan beberapa hari lalu, ada pergaduhan dalam grup WhatsApp itu. Pergaduhan ini sebenarnya tidaklah mengejutkan saya sangat. Biasalah bila ada perbezaan pendapat keadaan menjadi tegang. Yang pandai hendak tunjuk lebih pandai dan yang tak berapa pandai tak mahu mengaku tidak pandai.

Yang mengejutkan saya, tiba-tiba yang marah itu, menulis dengan bahasa kesat dalam bahasa Melayu! Dalam hati saya, boleh pula dia ini berbahasa Melayu. Dan kemudiannya diikuti oleh yang lain-lain. Mereka marah-marah, menegur dan menasihati semuanya dengan menggunakan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, apabila suasana jernih semula, mereka kembali berbahasa Inggeris sehinggalah sekarang ini. Lucu pula rasanya. Bila marah-marah, baru keluar semua perkataan dalam bahasa Melayu dan loghat negeri masing-masing.

Apa yang ingin saya katakan, apa salahnya kita berbahasa Melayu saja jika semua orang yang berada dalam kumpul­an itu orang Melayu. Malukah kita dengan bahasa ibunda sendiri? Apakah dengan berbahasa Melayu kita akan dipandang seperti orang yang tidak cukup terpelajar atau tidak cukup hebat? Apakah bila kita cakap Melayu kita ini macam orang kampung? Dan apa salahnya jadi orang kampung?

Tetapi yang peliknya apabila orang asing atau selebriti dari luar negara datang ke negara ini, mereka cakap sepatah saja perkataan bahasa Melayu - ‘Terima kasih’ atau ‘saya sayang kamu’, bukan main seronok lagi kita. Walaupun hanya sepatah sahaja, tetapi cukup indah didengar.

Masalahnya ada segelintir kita menganggap apabila boleh berbahasa Inggeris mereka duduk dalam kelas yang tersendiri. Elit kononnya. Tidak kurang juga yang malu atau teragak-agak berbahasa Melayu apabila berada dalam kumpulan atau majlis-majlis tertentu. Yalah, kadang-kadang majlis Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pun hendak bercakap dalam bahasa Inggeris, kalau ber­ada dalam majlis bertaraf antarabangsa entah apa lagi lah.

Dalam pada itu, ada juga ibu bapa yang cukup bangga apabila anaknya mendapat markah tertinggi dalam subjek Bahasa Inggeris tetapi tidak sedikit pun merasa malu dan gelabah bila anaknya mendapat markah corot dalam subjek Bahasa Melayu. Anak tidak boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik, bagi mereka itu tidak apa, jangan bahasa Inggeris.

Memanglah bahasa Inggeris itu amat penting untuk dikuasai sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa tetapi dalam kita mahu mahir dalam bahasa itu janganlah mengetepikan bahasa ibunda sendiri dan menganggap penuturnya sebagai low class.

Teringat pada perjumpaan saya dengan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye ketika kami makan te­ngah hari di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Beliau menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ketika berbual. Kadang-kadang saya pula yang tersasul berbahasa Inggeris tetapi beliau membalas dengan bahasa Melayu. Sesekali perbualan kami terhenti apabila dia cuba mencari perkataan sesuai untuk diucapkannya dalam bahasa Melayu. Beliau nampak ikhlas dan bersungguh-sungguh bercakap dalam bahasa kebangsaan itu.

Kalau orang Melayu tidak merasa bangga dan mahu menggunakan bahasa kita sendiri, siapa lagi? Do­nald Trumpkah?

Oleh : Fauziah Arof

Wednesday, March 1, 2017

Mengemis Di Negara Sendiri......

Kembalikan Hak Bahasa Melayu
SESI Wacana Bahasa Me­layu siri kedua bertajuk Sidang Bersama Sasterawan Negara di ibu pejabat Kumpulan Utusan pada 22 Februari lalu agak panas apabila pakar bahasa, Prof. Abdullah Hassan menyifatkan pihak yang meminggirkan bahasa kebangsaan sebagai pengkhianat.

“Saya anggap orang Melayu yang sanggup meminggirkan bahasa ibunda mereka sendiri kerana lupa diri atau mempunyai kepentingan lain sebagai pengkhia­nat bangsa yang tidak harus dimaafkan,” katanya.

Walaupun ungkapan beliau agak kasar tetapi itulah gelaran yang pa­ling layak ditujukan kepada pihak-pihak yang secara terang-terangan ‘menyahkan’ bahasa Melayu.

Istilah itu digunakan oleh seorang lagi ahli panel yang juga pejuang bahasa, Dr. Firdaus Abdullah bagi merujuk kepada agenda terancang pihak tertentu meminggirkan Bahasa Kebangsaan dengan matlamat apabila bahasa Melayu tidak dituturkan, dengan sendirinya budaya dan agama kaum itu akan terhapus.

Contoh paling nyata apabila kampung-kampung Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampung Kerinchi serta Kampung Haji Abdullah Hukum diruntuhkan dan kawasan itu dibangunkan bangunan pencakar langit dengan nama baharu dalam bahasa Inggeris se­perti Bangsar South dan KL Eco City.

Tindakan pihak berkenaan jelas sekali mengingkari titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada 5 Oktober lalu, yang meluahkan kekesalan apabila semakin banyak kawasan perumahan, taman-taman, gedung niaga dan pusat pelancongan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), dinamakan de­ngan bahasa Inggeris.

Dalam budaya orang Melayu, apabila raja atau sultan bertitah maknanya perkara itu adalah satu perintah. Malangnya, titah itu tidak dihiraukan oleh sebahagian besar orang Melayu.

Respons hanya diberikan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kumpulan Utusan dengan sokongan DBP serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang telah menganjurkan Wacana Bahasa Melayu siri pertama di Dewan Besar Utusan, Kuala Lumpur, pada 19 Januari lalu, yang dihadiri ramai pejuang bahasa.

Bagi wacana siri kedua, dua Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Salleh dan Datuk Dr. Anwar Ridhwan turut dijemput sebagai ahli panel bagi memperbetulkan persepsi salah terhadap bahasa Melayu.

Menurut Muhammad, orang Melayu sanggup meminggirkan bahasa ibunda kerana salah faham apabila berpendapat bahasa ber­kenaan yang telah bertapak selama 4,000 tahun sebagai ketinggalan.

“Dalam pengembaraan, saya melihat banyak karya besar di da­erah tertentu tidak menggunakan bahasa sukuan untuk sukunya, sebaliknya ditulis dalam bahasa Melayu.

“Hakikat itu membuktikan bahawa bahasa Melayu amat berpengaruh, dipercayai dan mempunyai kelas tersendiri sebagai bahasa lingua franca yang sudah lama wujud di rantau ini.

“Sebab itu saya tidak bersetuju jika ada pihak menyatakan kita perlu memartabatkan kembali bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu sudah ada martabat. Apa yang perlu kita buat adalah memberikan haknya kembali atau menempatkan pada tempatnya yang hak,” ujarnya.

Antara yang boleh dilakukan, jelas beliau, adalah dengan meng­ubah kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu supaya lebih berkesan.

“Bahasa Melayu tak diajar dengan baik, tak ada kasih sayang, bila mengajarnya. Tadi dalam teksi, pemandu bukan Melayu sama sekali tidak dapat bercakap menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan betul. Apa telah jadi pada sistem (pendidikan) kita?

“Belajarlah dari negara yang tidak membuang bahasanya se­perti Sweden, Norway, Iceland dan Belanda. Misalnya, di Belanda, bahasa Inggeris diper­kenalkan hanya pada semester pertama sekolah menengah, tetapi pelajarnya dapat menguasai bahasa itu dengan lebih baik berbanding pelajar kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar me­minta mana-mana pihak yang di­didik dalam aliran Melayu supaya tidak kesal kerana banyak karya-karya hebat yang telah dihasilkan dalam Bahasa Kebangsaan.

“Sebagai anak kampung berpendidikan dalam aliran Melayu, saya tidak malu, sebaliknya bersyukur kerana ramai teman seangkatan berjaya dalam bidang masing-masing.

“Saya tidak rasa kurang atau kesal. Ini kerana, sejak sekolah rendah lagi saya telah dikenalkan dengan karya-karya besar Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin.

“Namun, saya rasa masyarakat kita kurang beri penghargaan kepada karya-karya Melayu dan tokoh-tokoh pujangga yang kita ada selama ini yang sepatutnya diangkat ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Kenyataan Anwar itu mendedahkan hakikat nasib Sasterawan Negara yang seolah-olah dipinggirkan.

Tidak ramai mengenali 13 tokoh yang telah diberikan anugerah itu. Lima daripadanya telah meninggal dunia dan yang masih hidup, ada dalam kalangan mereka sudah uzur.

Buktinya, tiada orang Melayu yang bangkit membela apabila sekumpulan ahli politik bukan Melayu mempolitikkan novel Interlok karya Allahyarham Datuk Abdullah Hussain pada 2011.

Mereka mahu karya Sastera­wan Negara itu diharamkan daripada digunakan oleh pelajar Tingkatan Lima sebagai komponen kesusasteraan bagi subjek Bahasa Malaysia sedangkan novel itu tidak mengandungi unsur rasis seperti didakwa.

Peminggiran sasterawan tempatan telah lama berlaku. Ketika ramai pihak di Malaysia memperingati tarikh 400 tahun sasterawan Inggeris, William Shakespeare meninggal dunia pada tahun lalu, tiada siapa pun memperingati Bendahara Paduka Raja Johor, Tun Sri Lanang.

Beliau menghasilkan buku Sulalatus Salatin yang dianggap banyak pengkaji sebagai paling lengkap mengenai sejarah Melayu dengan gaya bahasa cukup indah.

Walaupun realiti di Malaysia jelas sekali tidak berpihak kepada Bahasa Kebangsaan, perkara itu boleh diubah jika semua orang Melayu mengambil tindakan tidak lagi menjadi pengkhianat dengan mengembalikan hak bahasa Melayu.

Oleh : Nizam Yatim