Semasa Sidang Bersama Sasterawan Negara yang diadakan di Dewan Besar Utusan pada 22 Februari lepas, saya tertarik dengan cerita Profesor Dr. Muhammad Salleh. Beliau menceritakan perihal nenek-moyang kita yang belayar jauh hingga ke Madagascar, berinteraksi dan berkomunikasi dengan penduduk setempat dalam bahasa Melayu. Itu sebabnya ada komuniti di sana hingga kini bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi dalam dialek mereka. Pun begitu, apabila mereka menulis, mereka akan menulis dalam bahasa Melayu. Itulah uniknya bahasa Melayu, dituturkan dalam pelbagai dialek tetapi penulisan tetap dalam bahasa Melayu yang kita semua boleh fahami.
Mengenai dialek pertuturan dan bahasa penulisan dalam bahasa Melayu, Muhammad turut menceritakan perihal sama yang diamalkan oleh banyak suku kaum dalam kepulauan di Nusantara ini. Bagi saya, beliau memberikan gambaran bahawa bahasa Melayu itu sungguh mudah tapi universal penggunaannya, kerana ia satu bahasa yang begitu fleksibel atau anjal untuk digunakan dan dipertuturkan.
Keanjalan inilah antara punca nenek-moyang kita dulu begitu banyak menulis hikayat berbanding beberapa bahasa utama dunia lain. Malangnya nenek-moyang kita dulu kurang arif dalam usaha mengarkibkan hikayat mereka yang kini banyak tersimpan dalam arkib dan muzium asing.
Sambil saya mendengar hujah beliau bersama seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan juga kehadiran tiga lagi tokoh bahasa Melayu iaitu Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan Datuk Dr. Zainal Kling, terlintas di pemikiran saya betapa agung bahasa Melayu ini. Manakan tidak, bukan sekadar dialek pertuturan berbeza tetapi penulisan tetap dalam bahasa Melayu, ia juga satu-satunya bahasa di dunia yang ditulis dalam dua bentuk tulisan, jawi dan rumi (roman). Tiada bahasa lain di dunia ini yang mempunyai dua bentuk tulisan itu. Semuanya bertujuan menjadikan bahasa Melayu itu begitu anjal sekali penulisan dan penggunaannya.
Oleh kerana keanjalan inilah juga seperti dinyatakan oleh Abdullah yang memetik kata-kata arwah Datuk Dr. Hassan Ahmad, bahawa bahasa Melayu adalah satu bahasa moden. Ia dianggap bahasa moden juga kerana bahasa ini mudah diadaptasi dengan keperluan semasa. Itu sebabnya dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu ada terdapat banyak perkataan (i) asalnya daripada rumpun bangsa Melayu itu sendiri, (ii) perkataan Melayu yang dipinjam daripada bahasa lain, (iii) perkataan baharu dan (iv) perkataan daripada istilah saintifik.
Dengan (i) tabiat dan keinginan semula jadi nenek-moyang kita dulu belayar dan mengembara, (ii) kerajinan mereka menulis begitu banyak hikayat, (iii) dua bentuk penulisan (jawi dan rumi) dan (iv) fleksibiliti dalam penggunaan dan pembentukan perbendaharaan kata, tidak hairanlah bahasa Melayu pernah menjadi bahasa keempat terbesar di dunia, dari segi penggunaannya. Ia telah terbukti sebagai bahasa pembentuk budaya dan bangsa, lebih jauh dari itu, bahasa Melayu pernah berperanan sebagai bahasa ilmu (ilmu pelayaran dan sebagainya) dan bahasa perdagangan.
Anehnya, hari ini kita sendiri bangsa Melayu, rakyat Malaysia, meragui kemampuan bahasa ibunda kita ini yang pernah diglobalisasikan oleh nenek-moyang kita.
Secara kebetulan, awal minggu lepas, dua hari sebelum menghadiri Sidang Bersama Sasterawan Negara, saya menyertai satu lawatan kerja ke tapak projek Petronas di Pengerang Integrated Complex (PIC) di Pengerang, Johor. Salah satu taklimat disampaikan oleh seorang bukan Melayu, dalam bahasa Melayu yang cukup kemas. Saya tertarik hati dengan penyampaian beliau lantas selepas itu, berjumpa dengannya. Beliau berasal dari Australia, kini bermastautin di negara ini, beragama Islam dan berkahwin dengan wanita Melayu.
Katanya, dia amat tertarik dengan bahasa Melayu kerana keunikan dan kesenian bahasa Melayu itu, menjadikannya lebih mengutamakan pertuturan dan komunikasi dalam bahasa Melayu.
Di penghujung Sidang Bersama Sasterawan Negara itu terfikir saya betapa orang lain begitu menghargai dan menyanjung tinggi bahasa Melayu, tatkala segelintir dalam kalangan kita menganaktirikan bahasa ini. Ada juga yang beranggapan bahasa Melayu kurang sesuai menjadi bahasa ilmu. Tidak kurang juga yang merasa kekok bertutur dalam bahasa Melayu di majlis-majlis rasmi, majlis-majlis bisnes atau perdagangan.
Mujurlah bilangan mereka yang berfikiran sebegini kecil. Apapun, menjadi tugas kita semua menyedarkan mereka bahawa bahasa Melayu itu indah, bahasa Melayu itu universal rantau penggunaannya, bahasa Melayu itu sungguh anjal, maka ia teramat mudah diguna pakai untuk pelbagai tujuan. Bahasa Melayu itu adalah satu-satunya bahasa di dunia yang boleh ditulis dalam dua bentuk penulisan, jawi atau rumi. Justeru usahlah diperkecilkan kedudukan dan martabatnya. Julanglah ia menjadi bahasa global sepertimana nenek-moyang kita dulu pernah lakukannya. Kita boleh ulangi kegemilangan itu.
Pun begitu, sayugia juga diterima hakikat, bahawa bahasa utama lain dunia juga penting untuk dikuasai, paling tidak wajar difahami. Tidak salah mengadakan pelbagai program bagi membolehkan rakyat Malaysia, terutamanya golongan pelajar, mempelajari bahasa asing, bukan sekadar Inggeris atau Mandarin. Lebih banyak bahasa yang dapat dikuasai atau difahami, lagi bagus.
Akan tetapi, apa yang merimaskan saya dan ramai lagi yang sayangkan bahasa Melayu, ialah terdapatnya usaha menganaktirikan bahasa Melayu dengan cuba untuk menyetarafkan ia dengan bahasa Inggeris, kononnya atas keperluan ekonomi. Alasan ini yang dijulang oleh mereka yang dangkal pemikirannya dan tidak pula disokong dengan kajian dan fakta-fakta sahih, menyebabkan kita semua jadi keliru mengenai peranan dan kedudukan bahasa Melayu.
Kita semua wajar menyambung kembali warisan nenek-moyang kita. Bahasa Melayu kita junjung, bahasa asing kita kendong, tiada yang keciciran.
Oleh : Datuk Dr. Hasan Mad
No comments:
Post a Comment