Thursday, January 7, 2016

Ruginya Rakyat Malaysia

“PANASLAH! Macam mana nak jalan kaki?” Tahukah anda apa yang anda terlepas sekiranya anda kurang berjalan kaki di kawasan kejiranan? Berjalan kaki di Malaysia memang banyak cabarannya. Ini termasuklah kekurangan atau ketiadaan infrastruktur pejalan kaki dan tahap keselamatannya pun agak kurang. Sekiranya ada, boleh dikatakan tidak seperti yang disediakan di negara maju seperti di Eropah, Australia, Korea Selatan dan Singapura.

Ramai yang pasti tidak setuju untuk berjalan kaki di Malaysia. Seringkali kedengaran alasan seperti “Tak ada bumbung nak lindung panas macam mana nak jalan kaki” atau “Nanti hujan macam mana? Namun sedarkah kita bahawa cuaca di Singapura juga panas? Di situ juga tidak ada bumbung namun digantikan dengan pokok. Singapura juga mengalami cuaca panas dan hujan seperti di Malaysia. Malah terletak lebih dekat dengan garisan Khatulistiwa berbanding Malaysia. Penduduk Singapura berulang alik ke tempat kerja dengan berjalan kaki dari rumah ke stesen pengangkutan awam. Begitu juga untuk membeli-belah.

Anda mungkin mengatakan untuk memiliki kenderaan persendirian agak sukar kerana mahal di Singapura, sebab itu ramai rakyatnya menggunakan kenderaan awam. Namun rakyat Singapura sendiri memilih untuk menggunakan pengangkutan awam kerana lebih sihat dan kurang tekanan perasaan. Kita semua sedia maklum bahawa apabila seseorang memilih pengangkutan awam dia perlu berjalan kaki. Sedarkah anda di Singapura kurang kelihatan orang yang obes? Statistik menunjukkan bahawa kadar obesiti di Singapura semakin berkurang dari tahun ke tahun.

Oleh itu alasan-alasan yang diberikan oleh rakyat Malaysia untuk tidak berjalan kaki agak kurang munasabah. Yang nyatanya rakyat Malaysia mengalami banyak kerugian disebabkan oleh alasan-alasan ini. Apakah peluang yang terlepas?

Pertamanya, kehidupan yang aktif dan sihat. Mengapa? Untuk hidup sihat kita dikehendaki berjalan sebanyak 10,000 tapak sehari. Sudahkah anda mencapai jumlah tapak yang dikehendaki hari ini? Agak sukar jawapannya. Ini kerana, kita telah dimanjakan dengan adanya kenderaan persendirian bermotor. Contohnya, sekiranya anda ingin ke tempat kerja, anda akan keluar dari rumah dan terus mencapai kenderaan bermotor anda tidak kiralah sama ada kereta atau motosikal. Kemudian tiba di tempat kerja anda turun dari kenderaan yang telah diletak di kawasan berdekatan dan mungkin terus menaiki lif. Rata-rata rakyat Malaysia akan memilih sama ada lif atau eskalator berbanding tangga walaupun jaraknya hanya satu tingkat. Inilah yang perlu diubah.

Sedarkah anda, rakyat Malaysia antara yang tertinggi mengalami kencing manis, obesiti, sakit jantung dan strok. Semuanya gara-gara kurang aktif dalam kehidupan seharian. Tahukah anda bahawa kadar obesiti di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia dan 48 peratus rakyat Malaysia obes. Ini sesuatu yang menakutkan.

Kedua, banyak pencemaran udara berlaku. Ini kerana ramai rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan bermotor berbanding dengan berjalan kaki atau mengayuh basikal walaupun jarak yang ingin ditempuhi hanyalah 500 meter. Oleh kerana terlalu banyak kenderaan yang melalui sesebuah kawasan, pencemaran udara dan bunyi juga sukar dielakkan.

Bayangkan anda ingin ke kedai yang terletak hanya 500 meter sahaja dari rumah. Anda memandu kereta ke kedai dan mendapati tiada tempat letak kereta. Anda terpaksa mengikut barisan kenderaan yang masing-masing ingin memarkir di tempat yang sangat terhad itu. Bukan sahaja minyak akan kehabisan malah masa juga. Anda juga menjadi salah seorang penyumbang karbon ke udara yang membawa kepada pencemaran udara. Anda juga akan mengalami tekanan perasaan yang memanjang kerana tidak mempunyai kuasa untuk mengawal keadaan.

Sekiranya anda berjalan kaki sudah pasti anda mempunyai kuasa untuk menentukan bila dan di mana hendak berhenti. Malah anda telah berjaya melakukan senaman ringan. Anda tidak kerugian kos minyak dan masa. Anda tidak mencemar udara yang dikongsi bersama itu. Kerangka bandar kurang karbon yang diuar-uarkan oleh kerajaan boleh dicapai sekiranya setiap rakyat Malaysia mengambil pendekatan untuk lebih berjalan kaki dalam jarak sekitar 500 hingga 1,000 meter.

Dalam skala besar pula anda telah berjaya mengurangkan kesan pemanasan bumi yang kini sedang bermaharajalela. Sekiranya 30 juta rakyat Malaysia memikirkan perkara yang sama sudah tentu Malaysia akan menjadi sebuah negara yang sihat.

Kajian menunjukkan bahawa lebih banyak anda berjalan kaki lebih ramai jiran tetangga yang akan anda kenali. Bukan untuk menjaga tepi kain orang tetapi dengan berjalan kaki kita boleh bertegur sapa dengan jiran yang tinggal di sepanjang jalan yang kita lalui atau yang sederet dengan rumah kita. Kebanyakan daripada kita apabila pulang ke rumah, keluar dari kereta dan terus masuk ke dalam rumah. Malah ada yang tidak mengenali langsung jiran sebelah rumah.

Kajian menunjukkan bahawa cara hidup kita banyak dipengaruhi oleh cara alam binaan kita direka bentuk selain sikap individu. Negara maju kini telah sedar melalui kajian-kajian yang dilakukan bahawa perancangan bandar dan kesihatan awam amat berkait rapat. Kini para penggiat kesihatan awam bekerjasama dengan perancang bandar dalam merancang bandar ke arah kehidupan yang lebih aktif dan sihat.

Rakyat Malaysia juga perlu membuka minda dan bergerak ke arah kehidupan yang lebih sihat dan aktif. Semoga tahun 2016 akan mencatat sejarah peningkatan kadar pejalan kaki di Malaysia.

Oleh : Dr. Rosilawati Zainol

Wednesday, January 6, 2016

Melayu Belum Matang Berpolitik?

Gaya dan pola politik Melayu masakini begitu celaru dan tidak menunjukkan satu kematangan selaras dengan usia demokrasi di Malaysia. Ini kerana orang Melayu yang hakikatnya telah terpecah kepada dua kelompok besar parti politik (satu kerajaan dan satu pembangkang) telah saling bercakaran tidak kira musim, tempat dan subjek.

Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur dalam lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu aggresif hingga boleh meletakkan situasi pada keadaan ‘kalah jadi abu, menang jadi arang.”

Pertembungan bukan sahaja berlaku di musim pilihanraya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan ketika. Pihak yang yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus menghenyak yang di bawah.

Rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika misalnya. Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Dan apabila keputusan diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam pilihanraya Amerika suatu ketika dulu) mereka merujuk kes itu ke mahkamah.

Namun setelah mahkamah memutuskan yang Bush ada pemenang mutlak, Al Gore menerimanya dan bekata, “Bush adalah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu serang menyerang tidak berlaku lagi.

Tuesday, January 5, 2016

Salam Silaturahim

Gerakkan usaha muzakarah antara UMNO dan Pas
Sebagai seorang Islam saya rasa terpanggil untuk memohon agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din menyahut salam silaturahim Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatukan umat Islam yang telah lama berpecah.

Sebaiknya, adakan muzakarah antara UMNO dan Pas yang dicadangkan oleh beberapa ulama, pemimpin Islam dan tokoh agama.

Ia perlu dilakukan tanpa syarat dengan meletakan Islam teratas, demi perpaduan ummah. Bagi orang Melayu, inilah masa yang ditunggu dan inilah satu satunya wadah untuk menyatukan umat Islam di Malaysia dan umat Melayu amnya.

Lihatlah apa yang sedang berlaku di Timur Tengah, kebanyakan negara Islam di sekeliling Arab Saudi telah hancur.

Rakyatnya hidup melarat kerana Islam tidak bersatu dan kita perlu ambil iktibar daripada apa yang terjadi. Saya sering mengikuti ceramah serta kuliah Tok Guru di mana selalu menyebut Hablum minannas, iaitu hubungan sesama manusia seagama dan tidaklah Islam andainya kita memutuskan silaturahim.

Bertahun-tahun umat Melayu berpecah hingga tidak ada kesudahannya sampai hari ini,

Saya pasti ramai ahli Pas dan ahli UMNO akan menitis air mata kegembiraan andai kata Tok Guru ketepikan kisah lama, membuka lembaran baru, terima seruan ini tanpa menoleh kebelakang.

Biarlah yang berlalu itu tinggal hanya sebagai sejarah.

Dalam penyatuan ini, andai kata Pas berdiri atas nama Pas terimalah, pokoknya UMNO dan Pas bersatu untuk menegakkan syiar Islam.

Penyatuan antara Presiden UMNO dan Tok Guru putuskan ini, satu hari nanti akan dimasukan di dalam lipatan sejarah negara untuk anak cucu kita ingati.

Segala jasa Tok Guru akan lebih disayangi ramai dan dikenangi oleh semua umat Islam di negara ini. Hanya dengan cara penyatuan ini sahaja perjuangan dan kepentingan Islam dapat dibina dan dipelihara.

Pas tidak boleh lakukan apa yang dihajati secara sendirian, malah ia memakan masa dan biarlah masa yang akan menentukan.

Penyatuan Pas dan UMNO tidak akan merugikan bangsa Melayu, malah akan dapat berdiri satu saf untuk berjuang bagi menegakan agama dan bangsa, malah mendapat banyak kelebihan serta diredai Allah.

Orang UMNO juga Islam tapi mungkin ada sedikit pandangan dan acara mereka berlainan biarlah bersatu kemudian berbincang serta menuju ke jalan Allah. Selama ini perubahan yang dibuat oleh Pas pun lambat kerana mendapat tentangan dari DAP.

Soal Islam saya rasa Pas lebih selesa dan terbuka berbincang dengan UMNO berbanding DAP.

Keadaan ini membuat Pas keluar dari pakatan pembangkang di Pulalu Pinang, malah laungan azan pun dilarang di beberapa tempat di negeri itu.

Kebelakangan ini, tindakan DAP nampak jelas menghina Islam dan ini bercanggah dengan hala tuju UMNO, Pas dan Perlembagaan Negara.

Saya sarankan pengkongsian kuasa ini akan memberi kekuatan kepada Islam, ukhuwah serta penyatuan di waktu ini baik untuk kedua pihak. Kebelakangan ini terlalu banyak kumpulan yang tersimpang jauh daripada sasarannya, Amanah yang jadi jurucakap DAP, kumpulan pendesak G25 memansuhkan hukuman khalwat konon melanggar hak asasi manusia.

Isu-isu ini jelas menyentuh kepentingan serta institusi Islam, memansuhkan Jakim yang banyak menyumbang kepada pembangunan ummah.

Adalah menjadi harapan saya agar Tok Guru dapat menggunakan kebijaksaan yang dikurniakan Allah untuk berfikir bagi kebaikan umat Islam dan orang Melayu.

Memang kita semua bukan maksum dan tidak terlepas daripada membuat kesilapan, begitu juga ahli-ahli UMNO dan Pas.

Jadi, maafkanlah kesilapan yang lalu, hati kita menjadi lebih mulia apabila boleh memaafkan kesalahan orang.

Tidak salah untuk memaafkan antara satu sama lain dan marilah sama-sama kita pandang ke hadapan untuk kebaikan ummah serta anak cucu kita.

Dengan rendah diri, saya berdoa semoga Allah memelihara dan dapat membuka pintu hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tok Guru Haji Hadi Awang bagi maksud ini.