Sunday, January 4, 2015

Tandas Terbuka Di Gold Coast Memalukan

Tandas terbuka di Gold Coast, Queensland  di Australia dikritik
Tandas terbuka di Gold Coast, Queensland di Australia dikritik penduduk sebagai buruk dan memalukan.
SYDNEY – Perkhidmatan tandas terbuka yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Gold Coast dikritik oleh penduduk tempatan sebagai memalukan.

Laman web Oddity Central melaporkan, majlis perbandaran tersebut menyediakan tandas mudah alih itu ekoran lelaki-lelaki mabuk sering membuang air kecil di me­rata-rata tempat terutama di premis perniagaan dan lorong-lorong kecil sehingga menimbulkan suasana tidak menyenangkan di kawasan peranginan berkenaan.

Menurut ahli majlis perban­daran, Lex Bell, tandas itu merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi masalah pembuangan air kecil di lokasi awam di Cavill Mall dan Orchid Avenue di Suerfer’s Paradise, tenggara Queensland.

“Pihak berkuasa tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk menangkap mereka yang membuang air kecil di merata-rata tempat, selain tidak mempu­nyai bidang kuasa untuk menahan mereka,’’ katanya.

Justeru, pada 19 Disember lalu, majlis perbandaran berkenaan membina dua blok tandas yang direka untuk digunakan oleh tiga lelaki pada satu-satu masa.

Sejak itu, majlis perbandaran menerima pelbagai kritikan daripada penduduk tempatan Gold Coast.
Sumber : utusan

Saturday, January 3, 2015

Apa lagi Orang Orang Ini Mahu...?

Cina Paling Susah?
AKHBAR China Press bertarikh 25 Disember 2014 menyiarkan artikel yang mendakwa orang Cina ialah kaum yang paling susah di Malaysia.

Artikel bertajuk ‘Orang Cinalah peminta sedekah sebenar, malah lebih teruk daripada orang cacat’ ditulis oleh Lim Fang dan disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C21.

Ia memetik kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan orang Melayu telah menjadi peminta sedekah politik apabila mengharapkan undi bukan Melayu bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Dr. Mahathir memilih taktik menggelar Melayu sebagai peminta sedekah bagi membuatkan kaum itu merasa terancam dan seterusnya sedar mengenai perlunya kembali menyokong UMNO.
Kenyataan itu juga mungkin berpunca kerana bekas Perdana Menteri merasa marah dan berdendam kerana kaum Cina tidak mengundi Barisan Nasional (BN) walaupun pelbagai bantuan telah diberikan kepada mereka.

Orang Cina boleh diibaratkan seperti pengemis yang bersikap sinis.

Realiti politik di Malaysia, menurut penulis, orang Cina­lah yang sebenarnya menjadi pengemis. Kaum itu juga boleh diibaratkan seperti orang cacat apabila banyak masalah kaum itu tidak diselesaikan oleh kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO.

Antaranya, permohonan tanah tapak sekolah dan pembinaan bangunan sekolah Cina, kekurangan guru, mendapat wang subsidi yang sedikit, kuota pendidikan di universiti yang terhad dan pengiktirafan sijil sekolah mene­ngah Cina yang tiada keputusan. Seperti pengemis kelaparan, orang Cina terus menerus meminta walaupun tidak dilayan.

Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang `berat sebelah’ dilaksanakan, peluang perniagaan orang Cina semakin dikikis. Seperti individu yang kakinya telah dipatahkan, mereka menjadi cacat sehingga tidak mampu bergerak. Bagaimanapun, tongkat diberikan kepada kaum lain.

Walaupun setelah lebih 40 tahun diberikan tongkat, ada pihak mendakwa kuota 30 peratus bumiputera dalam ekonomi negara belum mencapai sasaran dan perlu diteruskan.

Ini menyebabkan orang Cina yang asalnya seorang pengemis dan kini bertukar menjadi orang cacat, memandang ke kiri dan ke kanan mengharapkan orang dalam UMNO sedar akan nasib mereka.

Jika tidak dapat diberikan nasi, bagilah air bekas kuah bubur pun tidak apa kepada orang Cina.

Sekiranya nasib mereka masih lagi tidak dibela, orang Cina terpaksa berkeras hati untuk menyerahkan undi kepada pembangkang bagi melepaskan geram dan memberi pengajaran kepada BN serta UMNO.

Sumber : isu-isu akhbar cina

Thursday, January 1, 2015

Satu Kampung Pelupa

BOGOTA - Sebuah kampung di kawasan pergunungan Antioqua, barat laut Colombia, menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan semula jadinya.

Namun, apa yang tidak diketahui, Kampung Yarumal sebenarnya menyimpan ‘rahsia’ yang lebih besar kerana menempatkan populasi pesakit Alzheimer paling ramai di dunia.

Menurut laman web berita pelik Oddity Central, hampir semua penduduknya mengalami masalah nyanyuk walaupun pada usia muda dan penyakit itu dilapor diwarisi sejak turun temurun.

Laporan menyatakan, masalah itu berlaku disebabkan amalan perkahwinan sesama ahli keluarga atau saudara-mara yang diamalkan sejak 300 tahun lalu dalam kalangan penduduk Kampung Yarumal.

Kebanyakan penduduk di kampung itu mengalami pelbagai tahap Alzheimer disebabkan toksik protein yang memusnahkan sel-sel otak sehingga menyebabkan seseorang itu menjadi pelupa.

Simptom tersebut mula dikesan ketika usia pesakit masih muda sebelum mencapai usia 40 tahun.

Seorang wanita bernama Cuartas, 82, yang sihat berkata, pada usianya itu, dia terpaksa menjaga tiga anaknya yang menghidap Alzheimer iaitu Dario, 55, Maria, 51, dan Oderis, 51.

“Saya sangat sedih melihat anak-anak saya menghidap Alzheimer. Ini adalah penyakit paling seksa di dunia,” ujar Cuartas.

Walaupun berusaha merawat penyakit yang dialami secara turun temurun, tetapi kemajuan sains perubatan yang ada di pasaran hari ini tidak mampu mengubati penghidap penyakit tersebut.

Bagaimanapun saintis cuba mencari jalan untuk merawat penyakit itu dan Kampung Yarumal dipilih menjadi lokasi pertama sebagai rawatan pemulihan. 

Sumber : utusan