Friday, October 3, 2014

Warisan Patani Yang Gemilang

Cermin Sejarah, Warisan Melayu
PERSIDANGAN Antarabangsa Warisan Patani di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang 23 September lalu menarik perhatian ramai. Isu-isu sejarah, bahasa, seni dan budaya di samping peranan media sosial dalam tamadun Melayu memberi kesan yang mendalam. Persidangan itu memusatkan soal-soal budaya dalam zaman moden yang begitu banyak dicorakkan media sosial serta komunikasi olahan baru yang perlukan dokongan dunia Melayu.

Seminar juga meneliti penggunaan media sosial dalam kerja-kerja promosi bahasa Melayu, sastera dan puisi; Pengajian Melayu dan peradaban Islam di Patani yang memerlukan sentuhan di peringkat antarabangsa dan wilayah; juga dianalisis ialah soal cadangan agar Patani sebagai wilayah Melayu purba tidak terus terapit dalam kancah pergolakan politik fizikal seperti yang dialami pada masa ini.

Prof. Dr. Md Salleh Yaapar, pengerusi persidangan menonjolkan 21 kertas kerja dalam bidang-bidang menarik mengenai capaian warisan dan seni budaya Melayu di samping potensi yang perlu dicapai melalui media sosial. Sentimen kebersamaan pada sidang antarabangsa itu amat jelas. Kedudukan sejarah purba Patani (Fotani - lihat cebisan foto) sebagai kerajaan Melayu merupakan bahan tarikan terkuat. Misalnya aspek sejarah Patani Raya di zaman Langkasuka dan Srivijaya (650-1370) penuh dengan ciri-ciri gemilang. Narathiwat dengan nama Melayunya - Menara; Singgoranama bagi Songkhla. Pulau Phuket dulunya dipanggil Bukit. Nakon Si Thammarat dulu dipanggil Ligor dan Lingga ialah kawasan dekat Surat Thani sekarang. Penelitian sejarah selanjutnya menyingkap kesultanan Patani 1767 yang merdeka dan bebas susulan selesainya Perang Siam-Burma tetapi dijajah semula oleh Raja Rama I bila kemenangan memihak kepada Siam. Patani (dahulu kala dibunyikan Fotani Darussalam) seterusnya berada dalam genggaman Siam. Namun demikian keislaman Pattani tidak luntur dan unsur inilah yang terus memberi kegagahan kepada Patani.

Dalam tempoh abad 6 hingga 7, Patani berada di bawah pengaruh gemilang Srivijaya yang bertalian pemerintahan Langkasuka, satu-satunya kerajaan yang amat disegani lantaran tamadunnya. Di dalamnya termasuk Kedah dan Perlis serta beberapa pelabuhan. Orang Melayu yang beragama Hindu pada abad ke-2 di Lembah Bujang telah menempa zaman tamadun baru dengan kebolehan melebur logam termasuk besi dan emas; membuat alat-alat perhiasan dan senjata sambil mengasaskan perniagaan terus-menerus dengan benua Hindi.

Dengan persekitaran begini Patani berada dalam keadaan selesa untuk meneruskan tamadunnya yang juga diberi sebutan khas oleh beberapa orang pencatat sejarah dari China.Antara nama-nama yang diberi ialah Pan-Pan untuk Patani. Budaya Khmer, Siam dan Melayu berterusan mempengaru-hi kehidupan di Patani di samping budaya Melayu mirip cara hidup Kelantan merebak terus. Di bawah Perjanjian Bangkok 1909, Siam beroleh Patani, Inggeris mendapatkan Kelantan untuk Semenanjung Tanah Melayu.

Penghormatan
Tulisan Sheikh Daud Al-Pattani tahun 1880-an mendapat perhatian antarabangsa apabila Orientalis tersohor Belanda, Snouck Hurgonje memberi penghormatan khas kepadanya di Mekah. Hurgonje menyatakan bahawa tulisan Sheikh Daud merupakan karier bersifat kitabiah tulisan Jawi yang paling produktif bagi abad ke-19. Karier Sheikh Daud yang juga dikenali dengan nama Daud bin Abdullah, mutakhir diberi sanjungan oleh pengkaji tamadun Melayu tersohor masa kini, Virginia Matheson Hooker di dalam bukunya Jawi Literature in Patani: The Maintenance of of An Islamic Tradition.

Terdahulu lagi, Hikayat Patani yang mengandungi pelbagai kisah- legenda bagi tempoh 1690-1730 menjadi masyhur khasnya apabila disunting sendiri oleh orientalis Belanda tersohor, Prof. A Teeuw. Kemudian, sarjana Abdullah Munshi melaksanakan transkripsi khas hikayat tersebut pada tahun 1839. Pusat pengumpul bahan tamadun Amerika, Library of Congress mendapatkannya, lantas disimpan karier tersebut hingga kini. Hikayat Patani juga mengandungi penceritaan Dinasti Kelantan yang khas bagi Raja Bakal dan Alung Yunus. Bagi orang Patani bab tentang Bendahara-Bendahara Patani amat memberi makna kepurbaan yang khusus kerana ia dikatakan menjangkau ke abad 1400 M.

Kajian tentang hal Patani tentunya membawa perasaan nostalgia. Penilaian orang Melayu terhadap kebesaran Patani harus setimpal dengan atau mungkin lebih daripada kerajaan-kerajaan Melayu purba tersohor seperti Srivijaya, Majapahit, Dharmasraya, Aceh, Bugis, Minangkabau, Melaka dan lain-lain pemerintahan 'Malayo' dalam sejarah silam.

Pengkaji dan peneliti anak bangsa seharusnya berasa kagum dan insaf. Di sinilah pentingnya ilmu sejarah dan kajian Melayu senusantara ditingkatkan. Sekurang-kurangnya harus ada anak bangsa yang bercita-cita tinggi untuk jadi pengkaji terbilang, sejarawan terkenal, arkeologis ternama. Jangan biarkan hanya mereka seperti George Coedes (warga Perancis pakar pengaruh budaya India di Tenggara Asia), GDE Hall (sejarawan Tenggara Asia), Parr & Mackray (hal ehwal adat), Josselin de Jong (adat di Minangkabau), MB dan Matheson Hooker (undang-undang adat dan kesusasteraan Melayu lama di Indonesia dan Malaysia), S. Hurgonje (Islam dan Adat), W. Oppenheimer (asal usul dunia Melayu di Sundaland) dan lain-lain pengkaji dunia Melayu yang bertaraf tinggi.

Kumpulan di atas tidak termasuk lagi R. Winstedt, RJ Wilkinson, F. Swettenham dan Gerard Moussey yang gemar mengkaji hal ehwal Melayu dan budaya mereka di Nusantara. Kita mesti adakan kembali nama-nama besar seperti L. Andaya, Taib Osman, Sutan Takdir Alishahbana, Hamka, Naquib Al-Atas, Umar Yunus, Asmah Hj Omar, AB Shamsul dan angkatan pengkaji dunia Melayu yang berjiwa serta berkebolehan besar.

Satu cara ialah memperkasakan pusat kajian dunia Melayu Nusantara di dalam dan di luar negara. Merangkul kerjasama Indonesia dalam hal ehwal bahasa Melayu-bahasa Indonesia perlu berada pada tahap tertinggi supaya bahasa serumpun mendapat pengiktirafan dunia. Kita mesti menggalakkan terus wujudnya pusat-pusat pengajian Melayu dan Malaysia di beberapa negara maju demi mensohorkan identiti negara bangsa. Pusat Islam seperti yang diadakan di Universiti Oxford dan Pusat Ottoman-Melayu di Istanbul amat menggalakkan kerana melalui pemusatan akademik seperti itu seribu bahasa akan dapat menjelmakan erti dalaman bagi dunia sebelah sini.

Begitu juga pentingnya kerjasama sedemikian dengan China, Eropah, Jepun dan Korea. Kini ada pusat-pusat dan kerusi pengajian Melayu yang hidup segan mati tak mahu. Siswa kurang tarikan untuk menjadi tokoh besar dalam pengajian dalam hal bangsa dan budaya mereka. Ini disebabkan tiadanya dorongan atau insentif memperhebat kajian tamadun sendiri. Pada masa sama di Korea, Cina, Jepun, Perancis dan lain-lain industri kreatif bangsa masing-masing sedang bercambah dan mengisi poket mereka.

Dengan bersumberkan budaya dan sejarah, dengan mengekspoitasi hikayat, intisari legenda silam, pengajian alam Melayu tersedia dengan elemen tarikan industri budaya. Sejarah kita cukup genap dengan adegan menarik sekalipun kena diokestrasikan sedikit sebanyak oleh cerdik pandai animasi dan historiografi kita.

Memang, ini semua melibatkan kewangan. Tapi amaunnya tidaklah sebanyak mana berbanding tajuk belanjawan kebajikan lain. Kita sedikit akan alah membeli tapi akan menang memakai. Anak bangsa akan celik sejarah, celik budaya di samping berpotensi menang di arena tamadun dan industri budaya sendiri.

Seperti Budi dan Silat, pengetahuan dan amalan tentangnya kian lama kian luntur sedangkan budi dan silat ialah cerminan tamadun Melayu yang menulangi kehidupan bersantun dan kepahlawanan yang hebat semenjak zaman Wan Empuk, Wan Malini di Bukit Siguntang lagi.

Ayuh kita insafi gelutan zaman di Patani sebagai perbandingan kajian dengan kaca mata digital dunia moden. Memang, Melayu tak akan hilang di dunia. Tapi perlu ditanya, budaya dan identiti kita duduk di mana pada tahun 2020? Memperkukuh tamadun sendiri tidak pernah ditakrif sebagai satu kesilapan.

Oleh : Dr Rais Yatim

Thursday, October 2, 2014

Aku Seorang Pekerja !

Sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan balik!
MINGGU lalu, akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Forum menyiarkan satu aduan mengenai kelewatan pengadu berurusan dengan pejabat kerajaan kerana kakitangan awam yang dipertanggungjawabkan untuk urusan berkenaan keluar minum pagi. Dia diminta datang semula ke pejabat tersebut pukul 10.30 pagi. Waktu dia datang ketika itu dalam sekitar 9.30 pagi.

Sedangkan tiada pun waktu khusus untuk minum pagi atau minum petang untuk kakitangan awam dan begitu juga kebanyakan sektor swasta. Pekerja-pekerja hanya diberi waktu rehat pada pukul 1 tengah hari. Pukul 2 petang perlu menyambung semula kerja, kalau lewat sedikit dimaafkan kerana menunaikan solat Zuhur.

Sebenarnya, akhbar ini sudah banyak menerima aduan seperti ini. Bukan setakat aduan melalui e-mel atau surat, ada yang menelefon pejabat ini marah-marah. Marahkan mutu perkhidmatan terutamanya di kaunter-kaunter.

Dalam banyak keadaan, selalunya ketua jabatan mungkin memberi kelonggaran untuk kakitangan keluar sebentar minum pagi atau petang.

Tetapi itu tidak bermakna memang sudah ditetapkan pada sekian-sekian waktu adalah waktu minum pagi atau petang dan tidak juga bermakna mereka boleh keluar beramai-ramai macam keluar rombongan!
Bagi yang melibatkan kerja yang berurusan dengan orang ramai, mengambil waktu kerja untuk keluar minum adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ia hanya menyusahkan orang ramai yang hendak berurusan kerana terpaksa menunggu lama sedangkan masa juga amatberharga kepada mereka, banyak perkara-perkara lain lagi yang perlu mereka selesaikan.

Ada yang datang bukan dekat-dekat. Ada yang datang dari luar kawasan Lembah Klang dan dari kampung-kampung sejak awal-awal pagi lagi dengan mengendong anak kecil. Mereka pun belum lagi sempat bersarapan pagi tetapi terpaksa menunggu lama dengan melayan kerenah anak yang dibawa dan dengan perut yang berbunyi kerana kakitangan yang ditugaskan keluar pergi makan.

Perbuatan seperti ini selain menyusahkan orang ramai, sudah tentu menjejaskan imej atau mutu perkhidmatan sesuatu jabatan tersebut. Yang dapat nama buruknya adalah sektor perkhidmatan awam.
Mereka lupa bahawa pentadbiran awam ini adalah cermin kerajaan. Sekiranya nampak buruk atau hodoh perkhidmatan mereka, maka yang yang akan nampak buruknya pada pandangan rakyat, kerajaanlah, bukan individu terbabit.

Sedangkan bukan semua pun yang terlibat. Ramai juga kakitangan awam yang masuk awal dan pulang lewat malam kerana menyiapkan kerja, ada juga yang pada hari Sabtu dan Ahad juga datang menyiapkan kerja tetapi disebabkan beberapa kumpulan kecil yang suka bersidai di kantin atau restoran ini, habis semua dikata curi tulang.

Maka timbullah cakap-cakap, asyik minta naik gaji, bonus dan dapat imbuhan macam-macam tetapi kerja tak seberapa pun. Masuk kerja awal, pagi dan petang hilang, cukup masa balik. Tak boleh kerja lebih masa pun walau seminit. Waktu tutup, tetap tutup.

Bagi sektor swasta pun begitu juga. Apabila kita mahu berurusan melalui kaunter, banyak kaunter tutup terutamanya pada waktu pagi. Sebabnya, mereka ini juga keluar minum pagi.

Kakitangan yang melayan pun ada yang buat acuh tak acuh saja. Kadang-kadang kita boleh dengar dia membebel sendiri atau dengan rakan sekerja sebelah, bila agaknya kawan yang seorang lagi mahu balik dari makan, dia pun lapar hendak makan juga.

Maka terdengarlah kita, cerita-cerita pasal nasi lemak, kuih popiah, roti canai dan banyak lagi bab-bab makan-makan ini disebut-sebut dalam perbualan mereka.

Hal-hal sebegini sebenarnya, tidak eloklah dibualkan ketika melayan pelanggan di kaunter. Fokuslah pada orang yang sedang berurusan dengan kita.

Dan apabila perut kosong, mulalah ada yang buat muka 'kelat'. Suara pun mula meninggi dan hilang sabar apabila pelanggan bertanyakan macam-macam.

Sesuatu yang perlu diingat, orang ramai ini pun bukan suka-suka mahu beratur, mahu ambil angka giliran dan bertanyakan macam-macam di situ. Ini adalah perkhidmatan awam yang ditawarkan. Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu. Bukan berurusan secara on-line. Jadi, janganlah mengharapkan kaunter akan kosong dan tidak banyak kerja pada hari itu.

Lebih memburukkan keadaan, kaunter yang dibuka hanya satu atau dua pada waktu puncak terutamanya pada waktu makan tengah hari, yang selebihnya kosong atau ada petugas duduk di situ, tetapi dia leka di depan komputer bermain 'games' atau melayari Facebook. Yang ini pun ada. Bila ditanya sesuatu, dia akan terus menunjukkan kepada rakannya yang sedang sibuk melayan pelanggan pada kaunter yang dibuka itu. Tidak mahu mengambil tahu langsung apa yang ingin ditanya oleh pelanggan!

Sebenarnya, apa jua yang kita hasilkan dan tunjukkan dalam pekerjaan kita, ia juga mencerminkan keperibadian kita. Apabila kita menganggap kerja itu sebagai 'maruah' kita, apa yang dibuat dan dihasilkan mestilah yang terbaik kerana itu adalah maruah kita . Tidak sesekali dengan membuat kerja sambil lewa atau cincai-boncai.

Dan apabila ada yang cuba membandingkan budi bahasa dan kesungguhan pekerja-pekerja asing di negara ini apabila berhadapan dengan pelanggan di restoran atau stesen minyak dengan orang kita yang bekerja di kaunter, kita pun naik marah kononnya tidak mencapai standard kita. Standard yang macam mana tu?

Oleh : Fauziah Arof

Wednesday, October 1, 2014

Prejudis Kaum Di Sektor Swasta

SATU kajian empiris menunjukkan wanita di Malaysia umumnya adalah 18 peratus lebih kaya daripada lelaki. Satu sebab ialah wanita lebih pandai menyimpan duit atau pendapatan berbanding lelaki.

Mungkin ada yang mempertikai, tapi inilah hasil kajian Dr Muhammed Abdul Khalid yang dicetak dalam buku The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia.

Beliau memperoleh doktor falsafah (magna cum laude) dari Institute d’etudes Politiques de Paris dan ijazah sarjana ekonomi dari Universiti Malaya. Beliau juga mendapati pasangan berkahwin secara purata memiliki 37 peratus lebih banyak harta berbanding perseorangan.

Logiknya, gabungan pendapatan suami dan isteri meningkatkan kemampuan mereka untuk memiliki harta atau aset berbanding individu. Tapi tidak semua orang yang berkahwin adalah kaya. Dalam kalangan pasangan berkahwin kategori miskin, mereka secara purata adalah 41 peratus lebih miskin daripada yang tidak berkahwin.

Tanggungan keluarga, kekangan kewangan dan tanggungjawab yang lebih mengehadkan keupayaan mereka untuk mengumpul harta. Menariknya, kajian beliau menunjukkan mereka yang telah bercerai (janda atau duda) masih memiliki 25 peratus lebih banyak harta berbanding orang bujang.

Kajian Dr Muhammed, mantan felo penyelidik di UKM dan penganalisis kanan di ISIS, mendapati 90 peratus penduduk negara ini tidak mempunyai sebarang simpanan, manakala 60 peratus tidak memiliki apa-apa aset pelaburan. Kemiskinan dan kekangan kewangan adalah puncanya.

Tidak seperti golongan kelas pertengahan dan tinggi: kajian menunjukkan kenaikan satu peratus pendapatan boleh meningkatkan kekayaan isi rumah pada kadar lapan peratus. Perbandingan kekayaan berdasarkan etnik menunjukkan kaum Cina dan India umumnya adalah masing-masing 45 peratus dan 39 peratus lebih kaya daripada kaum Melayu.

Kajian Dr Muhammed, kini pengarah penyelidik di sebuah organisasi pemikir, mendapati orang Cina pada 2009, secara purata, sudah memiliki 2.5 kali ganda lebih banyak harta menjelang umur 25 tahun berbanding Melayu, kemungkinan besar melalui pewarisan harta pusaka.

Walaupun ini tidak meliputi semua orang Cina, kajian menunjukkan antara 52 dan 81 peratus kekayaan terkumpul orang Cina yang dikaji adalah berpunca daripada pemindahan harta daripada ibu bapa mereka.

Satu lagi faktor ialah diskriminasi terhadap kaum Melayu dalam sektor swasta. Perkara ini mempunyai kesan besar ke atas pendapatan (sekali gus, kekayaan dan kemampuan memiliki harta) Melayu kerana 90 peratus pekerjaan adalah di sektor swasta yang dikuasai kaum Cina.

Tindakan majikan Cina menetapkan kefasihan berbahasa Mandarin sebagai syarat kerja dalam negara yang mana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dianggap prejudis. Bagi majikan Cina, faktor kaum lebih penting daripada faktor kelayakan.

Kajian Lee Hwok Aun dan Muhammed Abdul Khalid mendapati: “Overall, Chinese are 5.3 times more likely than Malays to be called for an interview despite both having the same characteristics such as CGPA, education level etc meaning that, while grade or academic qualifications matter, race matters more.

Interestingly, (we) also find that even crucial skills such as proficiency in Chinese dialects only marginally increase the chances of Malay applicants in securing a job interview. (It cannot be discounted that) racial prejudice is a motivating factor.” (Kertas kerja dibentang di Universiti Malaya pada 2 November 2012).

Pemerhatian dan konklusi Lee dan Muhammed memperkukuhkan kenyataan Branco Milanovic yang mendapati “being Chinese, with all other attributes the same, resulted in almost 23% wage premium compared to being a Malay.” (Dalam Inequality and Determinants of Earnings in Malaysia 1984-1997, Asian Economic Journal, Jun 2006 hal 19). Ini adalah satu keadaan yang tidak adil dan perlu diberi perhatian berat oleh semua pihak berkaitan.

Teori baharu mengenai pertumbuhan berhujah bahawa pendapatan (dan pemilikan aset) juga bergantung pada tahap pendidikan, pengalaman, kemahiran dan teknologi. Jika ini diambil kira, jelas kaum Cina tetap memiliki kelebihan berbanding kaum lain di negara ini kerana kekayaan dan penguasaan sumber ekonomi meningkatkan peluang dan keupayaan mereka untuk mendapat pendidikan, kemudahan dan peluang perniagaan yang lebih baik.

Disebabkan majoriti masyarakat Cina tinggal di bandar, mereka mempunyai akses yang lebih luas kepada teknologi, infrastruktur, jaringan perdagangan dan pelbagai kemudahan.

Oleh : Dr Mashitah Ibrahim