Tuesday, March 21, 2023

Apabila Orang Melayu Tidak Berbangga Dengan Tulisan Jawi...

Kurang mahir Jawi punca ambilan calon peguam syarie Johor sedikit
ISKANDAR PUTERI – Kurang mahir membaca tulisan Jawi menjadi antara punca jumlah pengambilan calon peguam syarie di Johor sedikit pada setiap tahun, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kelemahan itu menyebabkan calon lambat membaca soalan peperiksaan bertulis kerana soalan disediakan dalam tulisan Jawi selain tidak memahami kehendak soalan.

“Punca lain, calon salah merujuk peruntukkan seksyen. Contohnya, kesalahan umum di bawah undang-undang Islam negeri lain sedangkan peperiksaan tersebut mengenai undang-undang negeri Johor,” katanya ketika menjawab soalan lisan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) pada persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, di sini.

Rashidah ingin mengetahui punca pengambilan peguam syarie di negeri ini sedikit setiap tahun sedangkan jumlah permohonan yang diterima begitu ramai.

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata bagi menangani masalah itu sekali gus memastikan Johor dapat melahirkan lebih ramai peguam syarie berkualiti, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan tahun lepas sebagai rujukan calon bagi menghadapi peperiksaan.

Katanya, bagi calon yang berminat untuk mendapatkan buku soalan tersebut, mereka boleh membelinya melalui medium yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata MAIJ turut mencadangkan agar Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor menganjurkan kursus persediaan peperiksaan kepada calon peperiksaan peguam syarie di negeri ini.

Menurutnya, MAIJ sebelum ini telah menetapkan bahawa calon peguam syarie berkualiti haruslah melepasi markah 60 peratus bagi peperiksaan bertulis untuk melayakkan mereka masuk ke peringkat temuduga.

Bagi peringkat temuduga pula, katanya calon perlu melepasi markah 80 peratus untuk lulus dan markah penilaian itu akan dibawa ke dalam jawatankuasa peguam syarie untuk dibentangkan.

“Jika di peringkat jawatankuasa meluluskan, maka calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk dapatkan pengesahan lantikan,” katanya sambil menambah seramai 87 calon memohon menjalani peperiksaan bertulis peguam syarie pada tahun lepas, namun hanya seorang yang lulus.

Mohd Fared memaklumkan sehingga hari ini, 192 peguam syarie sudah menerima Sijil Peguam Syarie dan Sijil Amalan Guaman Syarie untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Johor.

“Peguam syarie negeri Johor diterima masuk berdasarkan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Johor 2015 dan dinilai berdasarkan tiga tahap iaitu kelayakan berdasarkan Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie, peperiksaan bertulis dan temuduga,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment