Wednesday, July 29, 2020

Logo Halal...Segerakan Pelaksanaannya

Bidas logo halal: Hua Zong takut dengan BMF?
Bantahan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) terhadap kempen tukar logo halal yang sedang tular ketika ini menunjukkan betapa gentarnya mereka akan kebangkitan gelombang baharu ekonomi umat Islam.

Sebelum ini, Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan meminta kerajaan dapat mengambil berat dan menyekat kempen mengkategorikan logo halal itu.

Katanya, ia bukan sahaja tidak sesuai dengan keadaan negara dan merosakkan suasana perniagaan, tetapi turut mewujudkan halangan dan sekatan untuk produk halal Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

Tian Chuan berkata, perdagangan dalam pasaran halal tidak harus menjadi berunsur perkauman dan keagamaan ekstrem.

Membidas kenyataan itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari menjelaskan, untuk makluman Hua Zong, cadangan tersebut hanya jentikan idea netizen semata-mata dan bukan sesuatu yang rasmi dari pihak kempen Beli Produk Muslim (BMF).

Pun begitu, beliau mempersoalkan, mengapa Hua Zong perlu melatah sehingga mengeluarkan kenyataan di media yang mengguris hati umat Islam.

“Jelas menunjukkan Hua Zong telah menzahirkan ‘ketakutan’ mereka kepada Kempen BMF Malaysia yang sekarangnya dianjur urus oleh PEMBELA.

“Soalan PEMBELA kembali kepada Hua Zong, siapa mereka mahu masuk campur bidang kuasa Islam? Adakah Hua Zong mahu mencabar umat Islam?

“Kepada Hua Zong, awas! Jangan masuk campur urusan umat Islam di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, tular poster kempen tukar logo halal yang memaparkan logo itu diasingkan kepada tiga jenis warna iaitu hijau, jingga dan ungu.

Warna hijau dicadangkan untuk perusahaan yang dimiliki 100 peratus oleh muslim, jingga untuk perusahaan milikan bersama muslim dan bukan muslim, sementara ungu untuk perusahaan milikan penuh bukan Muslim. - ismaweb.net
Hua Zong tiada hak campur tangan isu logo halal
Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat menegaskan, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) tiada hak untuk menghalang bangsa pribumi Melayu Islam memperbaiki serta meningkatkan ekonomi mereka.

Mengulas isu kempen tukar logo halal yang dibantah Hua Zong, Ustaz Masridzi berkata, hak pemberian logo halal adalah di bawah kuasa agensi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam negeri.

“Jadi, bukan hak orang bukan Islam nak memandai. Bahkan selama ini banyak orang Melayu Islam yang tertipu dengan membeli produk bukan Islam melalui lesen halal yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk meletakkan pelbagai kategori warna logo halal itu adalah satu tindakan yang sangat baik kepada keselamatan Islam dan umatnya.

“Perbuatan kilang-kilang produk bukan muslim yang mempergunakan tulisan Jawi dan lambang Islam seperti masjid dan sebagainya jelas begitu lama menipu umat Islam dalam negara kita ini.

“Justeru, sudah sampai masa kerajaan kena perbetulkan perkara ini agar tulisan Jawi, simbol Islam tidak dipermainkan lagi oleh orang bukan Islam dalam bidang perniagaan di negara kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Masridzi berkata, selama ini pengusaha bukan muslim tidak pun peduli soal halal haram dalam produk-produk mereka.

“Kenapa baru sekarang Hua Zong nak bising. Apakah itu petanda ekonomi kaum mereka dah nak tumbang?

“Kepada seluruh umat Islam saya menyeru, teruskan kempen BMF dan pastikan setiap sen duit yang dikeluarkan ke arah memperkasakan produk, pengusaha dan zakat di kalangan umat Islam,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan meminta kerajaan dapat mengambil berat dan menyekat kempen mengkategorikan logo halal itu.

Katanya, ia bukan sahaja tidak sesuai dengan keadaan negara dan merosakkan suasana perniagaan, tetapi turut mewujudkan halangan dan sekatan untuk produk halal Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

Tian Chuan berkata, perdagangan dalam pasaran halal tidak harus menjadi berunsur perkauman dan keagamaan ekstrem. - ismaweb.net

Friday, July 24, 2020

RUU355: Adakah PAS, UMNO Mahukan Restu MCA Dahulu?

Rakyat menilai jika PAS mula berhelah dalam perjuangan asal
Inilah masa yang tepat untuk PAS membawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU355 ke Parlimen, dan bukannya berdolak-dalih.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, jika PAS senyap dan sentiasa berhelah, maka masyarakat sudah boleh menilai serta memberi markah kepada perjuangan PAS sama ada ia perjuangan berprinsip atau sebaliknya.

“Kita boleh bercakap bila-bila masa bahawa perjuangan kita adalah perjuangan berprinsip, tetapi kita harus sedar juga bahawa kita terus dinilai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Apakah kata-kata kita itu sejajar dengan perbuatan atau tindakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan Parlimen oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Exco Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary bahawa sebarang cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Marzuk menjawab pertanyaan lisan Anggota Parlimen Tampin, Hasan Bahrom, berkenaan sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut buat kali kedua, serta bila ia akan dibuat dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

Selain itu, Hasan juga meminta kerajaan menjelaskan sebab jika ia tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Mengulas respon timbalan menteri itu, Ustaz Zamani berkata, beliau amat berharap dengan terbentuknya Muafakat Nasional (MN) ini, ia akan menjadi lebih bertenaga, malah setiap pemimpin UMNO dan PAS lebih berwibawa untuk memperkasakan agenda ummah dan negara, termasuk RUU355.

“Saya tidak nampak halangan yang besar untuk membawa RUU355 ini sebabnya sudah menjadi kerajaan kecuali UMNO dan PAS (MN) masih nak merujuk kepada MCA dan mendapatkan restunya,” katanya.

Beliau menasihatkan, pemimpin-pemimpin di dalam MN supaya tidak membawa agenda kepartian.

“Lihat DAP walaupun diberi peluang 22 bulan menjadi kerajaan, mereka tidak teragak agak membawa agenda bangsanya, mohon pemilikan tanah sampai 999 tahun.

“Berjaya atau tidak itu bukan persoalan tetapi semangat bersungguh sungguh itu yang ditonjolkan okeh mereka kepada bangsa mereka,” katanya lagi. - ismaweb.net

Tuesday, July 21, 2020

UEC Ancaman Perpaduan Nasional

Dasar pendidikan negara berteras bahasa Melayu mesti dimartabat
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti bertegas untuk tidak sesekali mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan – sekalipun didesak oleh mana-mana pihak.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan dasar pendidikan negara yang berteraskan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama terus dimartabatkan.

“UEC juga adalah ancaman utama kepada perpaduan nasional. Mustahil untuk memupuk perpaduan nasional dengan menerima sistem pendidikan Taiwan bagi diamalkan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf UEC dalam pertemuan beliau bersama pimpinan organisasi Cina – Hua Zong – Khamis lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan.

Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan, pertemuan diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Goh Tian Chuan mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Bagaimanapun selepas itu, Goh Tian Chuan didakwa bersetuju dan menyokong kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan bahawa pendekatan penyelesaian isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) harus berlandaskan dasar pendidikan negara.

Tian Chuan berkata, Hua Zong menyokong sepenuh kenyataan Perdana Menteri bahawa akan berbincang semula untuk mencapai kesepakatan berdasarkan dasar dan keadaan negara.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996. - ismaweb.net

Sunday, July 19, 2020

Kerajaan Tak Boleh Iktiraf UEC!

Tidak timbul isu rasis jika tak iktiraf UEC seperti dituntut kaum Cina
Prof Datuk Dr Teo Kok Seong secara konsisten menegaskan supaya kerajaan Malaysia yang diwakili mana-mana parti politik sekalipun tidak boleh sesekali mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menjelaskan, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengambil UEC berada ‘di luar’ sistem pendidikan kebangsaan kita.

“Jika ia bukan sebahagian maka kita tidak wajar mengiktirafnya. Kita hanya mengiktiraf apa-apa komponen yang ada dalam sistem pendidikan kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Meskipun UEC didakwa mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, Kok Seong mengingatkan kerajaan untuk tidak termakan dengan pujukan psikologi itu.

“Bagi saya syabas dan tahniahlah, walaupun begitu kita masih tidak boleh menerimanya,” katanya.

Beliau menyarankan supaya UEC diteruskan sahaja sebagai entiti swasta memandangkan kedua-dua entiti kerajaan dan swasta bagi beliau saling melengkapi.

“Entiti swasta itu boleh menyumbang kepada pembangunan negara, saling melengkapi dengan entiti kerajaan, jadi tidak wajar didesak. Begitu jelas sekali UEC ini berada di luar sistem walaupun didakwa diiktiraf puluhan atau ratusan universiti di luar negara,” katanya.

Pada masa sama, Kok Seong menafikan berlaku penindasan terhadap kaum Cina dalam bidang pendidikan aliran Cina di negara ini.

Katanya, anak-anak Cina dibenarkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) selama enam tahun dan bahasa Cina adalah bahasa pengantarnya.

“Selepas itu mereka boleh mengambil bahasa Cina sebagai mata pelajaran (dan kesusasteraan Cina) sehingga Tingkatan Lima dan Enam. Kemudian mereka boleh pula mengkhusus dalam Pengajian Cina di IPTA dan IPTS.

“Anak-anak Cina juga tidak dilarang sama sekali di negara ini jika mereka mahu ke SMPC – terus belajar sepenuhnya dalam bahasa Cina – untuk mengambil UEC. Justeru, di manakah rasisme dalam pendidikan aliran Cina di negara? Tiada langsung.

“Tidak mengiktiraf UEC seperti yang dituntut kaum Cina, bukan isu rasisme yang didakwa wujud dalam bidang pendidikan di negara,” katanya.

Semalam, organisasi Cina, Hua Zong mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC – yang ditentang majoriti rakyat serta bercanggah dengan Dasar Pendidikan.

Pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC SMPC.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Goh Tian Chuan yang juga Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Sabah berkata, masyarakat Cina berharap kerajaan – yang diketuai Muhyiddin – dapat mengiktiraf UEC dan diluluskan melalui kaedah yang rasional dengan menghapuskan ekstremisme.

Dia mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Dakwanya lagi, perjuangan mengiktiraf UEC masih belum berakhir walaupun telah berlalu beberapa penggal kerajaan dan pernah terkandung antara salah satu manifesto PH pada PRU14 lalu.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996. - ismaweb.net

Thursday, July 16, 2020

Menyempurnakan Impian Gerombolan Chauvinist

Ahli Parlimen DAP gesa Zuraida percepat sediakan dasar pilihan raya kerajaan tempatan
KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen DAP hari ini mencabar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mempercepatkan penyediaan dasar untuk pilihan raya kerajaan tempatan serta berjanji akan memberi sokongan penuh kepadanya.

Teresa Kok, ahli Parlimen Seputeh dan bekas menteri industri utama, dalam satu kenyataan berkata Zuraida sepatutnya bertindak daripada hanya bercakap mengenainya dan DAP sedia “berbincang” dengannya.

Katanya, beliau terkejut membaca kenyataan Zuraida yang tiada bekas rakan Pakatan Harapan menyokongnya semasa Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad menolak usahanya untuk pilihan raya kerajaan tempatan.

Zuraida berkata demikian di Parlimen hari ini ketika menjawab soalan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), jika beliau mendapat sokongan Kabinet di bawah kerajaan Perikatan Nasional, kerana ia kini termasuk PAS yang membantah pilihan raya kerajaan tempatan.

Zuraida memberitahu Dewan Rakyat, tiada rancangan untuk pilihan raya kerajaan tempatan buat masa ini, tetapi perkara itu sedang dikaji kerajaan.

“Kajian itu akan merangkumi tempoh 3 tahun dengan hasilnya akan dibawa ke Kabinet dan Parlimen untuk kelulusan menjelang pertengahan 2021.”

Kok berkata, beliau belum dilantik ke Kabinet apabila dakwaan kejadian itu berlaku.

“Saya hanya angkat sumpah dalam kumpulan kedua. Bagaimanapun, sepanjang saya menjadi menteri Kabinet, saya tidak pernah melihat sebarang kertas Kabinet atau pembentangan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan olehnya di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sebaliknya, saya hanya baca kenyataan lisannya mengenai perkara ini di dalam media beberapa kali.

“Jika beliau serius untuk pilihan raya kerajaan tempatan, beliau perlu mula mengadakan satu siri dialog dengan beberapa pihak berkepentingan dan NGO di seluruh negara, serta beliau kemudiannya patut membentangkan satu kajian dan satu cadangan padat kepada Kabinet, bukannya mengharapkan rakan Kabinetnya (atau bekas rakan Kabinet) menyokong kenyataan media lisannya.”

Beliau mendapati Zuraida memegang jawatan menteri perumahan dan kerajaan tempatan sejak PH memenangi pilihan raya umum pada 2018 dan beliau “mempunyai masa secukupnya untuk merancang serta menyediakan dasar komprehensif mengenai pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia”.

Kok berharap Zuraida akan mempercepatkan cadangan dasar berhubung pilihan raya kerajaan tempatan kerana kini Mahathir bukan lagi perdana menteri serta tidak menunggu sehingga pertengahan 2021.

Katanya, demokrasi tempatan sentiasa terkandung dalam manifesto Pakatan Rakyat dan PH dalam PRU lalu.

“DAP sering memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan dan demokrasi tempatan selama berdekad. Walaupun DAP tiada dalam kerajaan PN, ia bersedia berinteraksi dengan Zuraida untuk merangka dasar pilihan raya kerajaan tempatan dan beliau kemudiannya boleh bentang satu kertas Kabinet mengenainya.

“DAP memberi jaminan akan memberi sokongan padu kami kepada beliau dalam inisiatif ini.” - https://www.freemalaysiatoday.com

Ayob Kecewa Kes LTTE Diganggu DAP

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan meminta ‘orang politik’ tidak mengganggu urusan dan kerja-kerja kepolisan.

Menurutnya, pegawai dan anggota polis adalah petugas awam yang fungsi serta peranan mereka adalah menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, dalam tindakan beliau dan pegawainya dalam menguatkuasakan sesuatu undang-undang itu, mungkin ada pihak yang tidak bersetuju.

Ujar Ayob, sewaktu beliau bertugas di Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dan menangkap beratus-ratus orang anggota Jemaah Islamiah (JI) dulu termasuk pengikut Darul Islam dan Daesh, tidak ada pun yang ‘merungut’.

“Tetapi kenapa bila saya tangkap ADUN DAP dalam kes kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), ia boleh menjadi isu sampai peringkat nak pinda undang-undang sebagainya, ini apa cerita?

“Adakah sebab mereka DAP saya tak boleh ‘sentuh’? Adakah mereka di atas undang-undang? Jadi kena adillah dan jangan campur tangan dalam kerja-kerja polis.

“Kami hanya petugas awam yang akan pencen bila umur mencecah 60 tahun…kami tidak ‘bias’ dan berpihak, kalau sesuatu perkara itu salah dari segi undang-undang, maka salahlah,” kata Ayob.

Beliau berkata demikian dalam temuramah khas dengan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru baru-baru ini.

Untuk rekod, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran sebelum ini pernah dituduh memberi sokongan kepada LLTE.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan beliau selepas mendapat arahan daripada Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding.

Gunasekaran, 60, sebelum ini dituduh bersama-sama ahli DAP, V Suresh Kumar, 43; pengusaha restoran, B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 28.

Pada 31 Oktober lalu, Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Jabatan Peguam Negara juga sebelum ini membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan LTTE.

Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang. – TunCarlos

Monday, July 13, 2020

Hina Jawi: Sikap netizen Cina ‘cukup dajal, bukan biadab lagi’

Cari pasal sentuh sensitiviti Melayu, undang konflik antara kaum
Semua pihak sepatutnya mengalu-alukan keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai tindakan bijak bagi terus memartabatkan tulisan Jawi yang didapati ‘kesepian’ sejak akhir-akhir ini meskipun mendapat bantahan dari GERAKAN serta reaksi negatif dalam kalangan netizen Cina.

Kok Seong berpandangan, tindak balas masyarakat bukan Melayu terutama orang Cina mengaitkan tulisan Jawi dengan agama Islam sebagai tidak berasas.

“Sementara tindakan GERAKAN pula lebih kepada meraih sokongan. Parti itu dilihat juara memperjuangkan kepentingan Cina yang menentang tulisan Jawi ini. Ia lebih kepada tindakan politik yang dilihat sebagai pelindung kepada masyarakat Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat pada Rabu.

Namun seperti dijangka, usaha kerajaan memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan Malaysia yang perlu dipelihara menerima tentangan dalam kalangan netizen Cina di negara ini.

Bukan hanya dikritik, bahkan inisiatif yang dilaksanakan Dr Zulkifli turut dihina dan diperlekeh oleh mereka, yang rata-ratanya ‘panas’ dengan usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang mengajak orang Melayu makan daging babi pada hari Jumaat.

Menempelak komen netizen itu, Kok Seong berkata, walaupun ini negara demokratik, bantahan yang ingin disuarakan mesti dilakukan dengan penuh adab sesuai dengan lima prinsip Rukun Negara.

“Kalau kita tengok bantahan itu tersasar jauh. Kalaulah tulisan Jawi itu menjadi masalah, maka kita berhujah dari segi lebih berfakta, bukan kita sasar dengan cadangan balas begitu dan tidak ambil kira sensitiviti pihak lain.

“Tidak suka tulisan Jawi dengan memberi cadangan akan mengadakan jamuan babi, sambil minum arak dan menulis Jawi, ini cukup ‘dajal’ bukan biadab lagi pertamanya boleh mengundang konflik antara kaum,” tegas beliau.

Membidas lagi, Kok Seong berkata, golongan berkenaan ‘mencari penyakit’ yang boleh mengakibatkan hubungan etnik semakin keruh dan lebih teruk lagi mengundang konflik terbuka.

“Ini sesuatu yang sensitif. Hari Jumaat itu bagi orang Islam penghulu segala hari, hari yang penuh dengan keberkatan dan sebagainya. Pilih hari Jumaat sebagai hari makan babi, ‘taboo’ kepada orang Melayu, jadi ini sungguh berbahaya.

“Justeru, saya harap pemimpin Cina tidak kira parti mana membuat kenyataan mengutuk tindakan segelintir masyarakat Cina ini. Tindakan perlu diambil, ini sangat berbahaya menyentuh sensitiviti Melayu.

“Tindak balas babi itu ‘taboo’ larangan agama Islam, bagaimana boleh disarankan bahkan diajak lagi,” katanya kesal. - ismaweb.net


Pelik! Perlekeh tapi bersungguh guna logo halal tulisan Jawi
Mengapa kaum Cina begitu sensitif dan tolak untuk iktiraf Jawi?
Semua pihak diminta tidak memperlekehkan keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Bagaimanapun Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi hairan dengan sikap sebahagian netizen Cina – selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengumumkan kempen Hari Jawi – ada yang menyindir usaha memartabatkan warisan negara itu sebagai langkah terkebelakang.

“Anehnya dalam perniagaan kaum Cina, mereka jualah yang bersungguh menggunakan logo halal yang bertulisan Jawi, malah beberapa jenama produk mereka terukir indah dalam Jawi dan bercirikan kemelayuan.

“Namun apabila kerajaan mengumumkan langkah ini, mereka lantas menolak bahkan memperlekehkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Dr Zulkifli berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat pada Rabu.

Namun seperti dijangka, usaha kerajaan memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan Malaysia yang perlu dipelihara menerima tentangan dalam kalangan netizen Cina di negara ini.

Bukan hanya dikritik, bahkan inisiatif yang dilaksanakan Dr Zulkifli turut dihina dan diperlekeh oleh mereka, yang rata-ratanya ‘panas’ dengan usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang mengajak orang Melayu makan daging babi pada hari Jumaat.

Dr Ahmad Sanusi hairan mengapa kaum Cina begitu sensitif dan menolak untuk bersama mengangkat pengiktirafan bahawa Jawi yang menjadi identiti negara ini.

Beliau mempersoalkan sama ada penolakan itu disebabkan doktrin ekstrem yang disemaikan oleh parti tamak haloba DAP dalam pemikiran mereka.

“Tulisan Jawi adalah warisan bangsa Melayu. Jangan dihina tulisan yang telah merekodkan pelbagai khazanah ilmiah orang Melayu. Bahkan dokumen pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 yang ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman ialah dalam tulisan Jawi.

“Bahkan undang-undang hukum Islam terdahulu turut direkodkan di dalam tulisan Jawi. Perhatikan sahaja Batu Bersurat Terengganu yang menjadi bukti kepentingan tulisan ini dalam urusan pentadbiran Melayu suatu ketika dahulu,” katanya.

Katanya lagi, sasterawan dan pejuang bahasa berbangsa Cina, Dr Lim Swee Tin sendiri tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan Jawi dalam buku teks sekolah.

“Malah menurut beliau, cadangan itu tidak merugikan sesiapa dan malah membolehkan murid mendalami bentuk penulisan warisan bangsa selain tulisan Jawi sendiri mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,” katanya. - ismaweb.net

Thursday, July 9, 2020

Senario Anak Muda Tak Ke Masjid Membimbangkan

Sesuatu perlu dilakukan segera bagi perbetulkan keadaan
Ketidakhadiran jemaah dalam kalangan generasi muda ke masjid pada waktu solat adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Ini kerana generasi muda merupakan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan, dan jiwa mereka perlu diisi dengan ilmu keagamaan yang baik.

Sehubungan itu, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin yang mengambil berat berkenaan masalah tersebut mengajak, masyarakat memikirkan apa yang boleh dilakukan bagi memperbetulkan keadaan.

“Saya sempat berkunjung ke beberapa buah negeri sejak larangan merentas negeri diangkat oleh kerajaan.

“Di antara soalan di benak kepala yang belum terjawab adalah di manakah anak-anak muda kita terutamanya di kalangan para pelajar sekolah menengah dan IPT semasa waktu solat?

“Kini jarang sekali kelihatan generasi muda kita yang solat berjemaah di masjid, apatah lagi semasa solat Subuh. Secara peribadi, saya sangat concern dengan senario ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kebimbangan itu berasas selepas polis menahan 21 individu termasuk empat pelajar sekolah menengah yang menyertai pesta liar di sebuah apartment servis di Bukit Bintang, awal pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Nartotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 4.30 pagi.

Katanya, ketika serbuan, polis telah memeriksa 34 individu yang terdiri daripada 28 lelaki dan enam wanita yang berada di kediaman terbabit.

“Daripada jumlah itu, seramai 21 orang didapati positif dadah jenis methamphetamine. Bagi mereka yang didapati negatif ujian saringan air kencing, (mereka) dibebaskan tanpa syarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seorang daripada mereka merupakan pelajar kolej swasta. - ismaweb.net

Wednesday, July 8, 2020

Guna Buruh Kera, UK Henti Jual Produk Kelapa Thailand

Kera dipaksa panjat pokok, petik, kupas buah kelapa
LONDON - Empat peruncit United Kingdom (UK) telah mengecualikan produk Thailand yang berasaskan kelapa dari pasarannya.

Tindakan berkenaan dilakukan setelah mereka menerima laporan bahawa Thailand menggunakan kera sebagai buruh di beberapa ladang di negara itu untuk memetik buah kelapa.

Memetik laporan penyelidikan PETA Asia, akhbar Telegraph berkata, haiwan berkenaan turut dilatih secara paksa di ladang untuk memanjat pokok, memetik dan mengupas buah kelapa bagi menghasilkan pelbagai produk termasuk santan, tepung dan minyak.

Menurut PETA Asia, beberapa petani yang disiasat telah menghasilkan produk jenama Aroy-D dan Chaokoh, iaitu dua pengeluar santan utama Thailand.

“Kami berharap supaya pembekal kami mematuhi standard pengeluaran sepanjang masa dan kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyalahgunaan haiwan dalam rantaian bekalan kami,” kata salah satu peruncit berkenaan.

Sementara itu, peruncit terbesar di UK, Tesco menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menjual produk yang menggunakan buruh kera – seperti yang dikenal pasti oleh PETA.

“Kami tidak bertolak ansur dengan amalan ini dan akan mengecualikan produk dari penjualan,” kata seorang jurucakap. -Agensi

Tuesday, July 7, 2020

Jiran Cubit Telinga Bayi 10 Bulan Didenda RM6,000

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas wanita itu mengaku bersalah mencubit telinga anak jirannya yang berusia 10 bulan sehingga mengalami kesan lebam.

Noor Aziana A Samad, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mahkamah turut memerintahkan wanita ini dipenjarakan selama tiga bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Noor Aziana didapati dengan sengaja mencubit kedua-dua belah telinga bayi lelaki sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Melati, Wangsa Maju di sini pada jam 2 petang, 5 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira usia mangsa yang masih kecil.

Bagaimanapun, Noor Aziana yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda kerana tidak bekerja selain perlu menyara anak yang berusia setahun.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu iaitu ibu mangsa ingin mengambil anak lelakinya dari rumah tertuduh, dia mendapati kesan lebam di kedua-dua belah telinga selain luka pada dahi serta tangan kiri bayinya.

Setelah bertanya kepada tertuduh, dia memberi alasan, anaknya menggigit mangsa.

Bagaimanapun selepas didesak untuk membuat laporan polis, tertuduh mengaku mencubit mangsa kerana geram bayi tersebut menangis.

Ketika kejadian, bekalan air di rumah didapati terputus menyebabkan tertuduh tidak dapat mengawal perasaan marah lalu mencubit kedua-dua telinga mangsa. - www.sinarharian.com.my