PERPADUAN, elemen pemupukan muhibah dan harmoni dalam kehidupan itu sudah semacam tidak dipentingkan lagi. Provokasi berunsur fitnah, kata mengata, prejudis, cemuh mencemuh semakin dipertuturkan atau dicatatkan secara terbuka, baik di pentas politik mahupun dalam media sosial.
Seolah-olah tidak ada lagi segan silu ‘menjentik emosi’ dan sensitiviti melalui media sosial meskipun disedari, mereka sedang berinteraksi dalam kumpulan WhatsApp yang di dalamnya terdapat rakan taulan terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang budaya. Sehinggakan isu-isu mengenai penguatkuasaan undang-undang, kes-kes membabitkan kemalangan dan peruntukan kerajaan bagi sekolah-sekolah jenis kebangsaan, semuanya terseret dengan unsur-unsur ‘perkauman’.
Bagi sesetengah pihak pula, bagaikan tiada lagi cara untuk meraih sokongan politik atau membina kekuatan bangsa atau kaum masing-masing, melainkan melalui meniup ‘sentimen’ perkauman. Semakin galak gelagat sesetengah pihak cuba menafikan semangat yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Seboleh-bolehnya mahu mencari ‘kesamarataan’ tanpa ada rasa insaf dan sedar di mana sebenarnya ‘duduk perkara’.
Malang dan silap jika ada pihak terus-terusan mahu memperjudikan ‘perpaduan’ sebagai alat ‘memecah-perintah’ (devide and rule) rakyat pelbagai kaum dan keturunan di negara ini semata-mata demi kepentingan politik. Hasilnya nanti tidak ke mana, percayalah! Sepatutnya belajarlah daripada kesilapan silam.
Peristiwa hitam 13 Mei 1969 sepatutnya tidak direlakan berulang oleh sesiapa pun yang menghargai perpaduan. Mereka yang merasakan ‘ada saham’ menyumbang kepada tercetusnya angkara itu perlu menghentikan sikap buruk yang tidak menjanjikan apa-apa kebaikan untuk rakyat dan negara ini. Jika tidak, rakyat umumnya berhak ‘mengutuk’ mereka.
Ekoran peristiwa pahit itu, dasar dan perancangan pembangunan negara telah disusun semula. Matlamatnya untuk menentukan kemajuan dan kemakmuran dinikmati seadil-adilnya oleh semua, dan Rukun Negara diwujudkan. Lima prinsip di dalamnya merangkumi nilai-nilai universal yang boleh menjadi rujukan membina perpaduan seluruh warga di bumi merdeka ini.
‘Penggoncang’
Malaysia yang damai sentosa, memberi peluang kepada sesiapa sahaja berusaha dan menempah kejayaan. Tiada terhalang atau dinafikan hak bagi mana-mana rakyatnya mencipta kecemerlangan dalam kehidupan, hatta menimbun kekayaan asalkan menepati cara dan peraturan yang sudah tersedia.
Amat dikesali jika ‘penggoncang’ perpaduan rakyat Malaysia datangnya dalam kalangan mereka yang ‘berpengaruh’. Mereka mungkin pemimpin politik, penggerak masyarakat, ketua-ketua institusi, pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun yang berada dalam kerajaan.
Perpaduan tunggak kemajuan. Ramai yang mengakui hakikat ini tetapi apa yang mengecewakan, masih ada kelompok cuba mengenepikannya. Tadbir urus kerajaan tidak mungkin berjalan lancar jika tidak disokong oleh suasana kehidupan damai dan bertoleransi rakyat atas nama perpaduan.
Perpaduan turut mempengaruhi taraf sosial dan pertumbuhan ekonomi negara. Kestabilan negara hasil daripada jalinan perpaduan rakyatnya membantu meningkatkan daya tarikan pelabur. Lebih banyak kemasukan pelaburan luar, lebih banyak terbuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, selain menyumbang kepada pendapatan negara.
Kebimbangan
Malaysia selama ini teguh membangun tanpa banyak ‘diganggu-gugat’ oleh masalah perpaduan. Empat teras utama sentiasa menjadi sandaran pada segenap aspek pengurusan politik dan kerajaan. Segala dasar atau pendekatan diputuskan mengikut kata sepakat (consensus), bersikap sederhana dan sedia bertolak ansur, inklusif serta adil saksama.
Hasilnya, lebih 60 tahun negara membangun dan kehidupan rakyatnya makmur, terbela. Jika pun terbangkit sebarang rungutan di sana sini mengenai hal-hal kepentingan kaum, mudah dan segera diselesaikan. Alangkah baiknya jika suasana begini terus kekal tanpa dibatasi masa, bersilih ketika.
Dalam pada itu, sudah ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan perpaduan di negara ini. Keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu juga dikatakan ada mesej tersirat, rakyat yang tidak gemar dengan ‘titik-bengit’ perkauman berlegar dalam kehidupan harian di negara ini.
Ertinya, rakyat umumnya sukakan perpaduan. Jangan andaikan mereka dapat menerima atau menyokong sebarang tindakan yang hanya boleh ‘meleraikan’ perpaduan yang sedia terjalin. Mereka mungkin memberi laluan bagi membentuk dimensi baharu politik negara, namun bukan bersedia ‘merombak’ segala struktur yang kemas tersusun.
Kemasukan pelabur luar atau gamitan pelancong juga berkait rapat dengan suasana harmoni dan perpaduan di dalam negara. Ini kerana, makna bagi perpaduan adalah jaminan keselamatan dan kestabilan.
Perpaduan bukan terpupuk pada kata-kata atau tercantum dalam tempoh sehari dua. Lahirnya daripada cetusan kasih mesra, ikhlas, jujur, terpahat di jiwa.
Oleh : Datuk Sayuti Mukhtar
No comments:
Post a Comment