“TEGAK rumah kerana sendi, runtuh budi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.” - Buya Hamka. Sambutan Aidilfitri adalah bagi meraikan kemenangan umat Islam dalam keupayaan menundukkan nafsu agar kembali kepada fitrah yang dijadikan Pencipta. Hari yang penting ini sewajarnya digunakan sebagai penanda dalam mendidik diri untuk menghormati tatatertib bersosial.
Ini termasuklah menjaga adab dalam pertuturan yang menjadi penggalas kehidupan bermasyarakat. Namun, entah apa yang merasuki bangsa Melayu yang kononnya mendukung agama Islam di negara ini. Melayu seolah-olah hidup di hujung nyawa.
Takrifan di bawah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mengikat seseorang ‘Melayu’ itu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, dan menurut adat Melayu. Takrifan ini memahatkan tiga prasyarat sebelum seseorang itu boleh mengaku diri mereka sebagai ‘orang Melayu’; dia hendaklah menjaga agama, bahasa dan budaya. Tetapi, sudah hinakah fitrah bangsa Melayu sehinggakan ramai sekali yang tanpa segan menginjak-injak ketiga-tiga pegangan bangsa mereka ini?
Budaya Melayu itu kini bagaikan mati ditalkinkan dek kerana anak muda bangsa ini yang tidak segan memakai budaya luar seharian. Sudahlah bahasa Melayu dicabul tanpa segan di hadapan masyarakat kerana keengganan bangsa Melayu menggunakan bahasa mereka sendiri, kini agama yang kononnya menjadi penggalas bangsa juga dianggap remeh sehinggakan wajar sekali ditidakkan.
Ini bukanlah coretan penulis untuk mengangkat hujah bahawa negara ini didirikan berlandaskan prinsip agama Islam. Dengan mudah mereka yang menggelar negara ini sebagai ‘sekular’ menidakkan naratif dan sejarah negara berdasarkan hujahan dangkal mereka yang cetek ilmu dan kosong jiwa.
Coretan ini adalah teguran kepada orang Melayu yang kian tegar memperbodohkan jurai keturunan mereka sendiri dengan memandang agama mereka sebagai enteng, bahasa mereka sebagai bobrok dan budaya mereka sebagai picisan.
Dalam bulan yang dilihat mulia oleh mereka yang mengambil ikrar dengan Pencipta, ramai pula yang tanpa segan silu menabur fitnah. Agama hanyalah ritual yang kosong adab. Atas sebab itulah, tiada orang Melayu terpanggil untuk membantah apabila ada yang ingin menyamaratakan agama mereka dengan agama lain.
Yang paling jijik sekali apabila fitnah ditaburkan kepada institusi yang dimaktubkan sebagai ‘ketua agama’ di bawah Perkara 3 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Sudahlah mereka tiada segan dengan akad sesama bangsa, mereka juga tidak malu dengan peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15).
Untuk menutupi kelancangan mulut mereka yang hanya menjadi saluran kepada busuknya hati mereka, mereka jugalah yang dengan angkuh menuntut agar Akta 15 dimansuhkan.
Hujahan dangkal mereka adalah kononnya kerana Akta 15 tidak berperikemanusiaan menidakkan hak mereka untuk bersuara. Apakah ada perlu untuk bersuara jika yang keluar hanyalah bunyi kepincangan?
Juga, tidaklah mereka faham dan hormat kepada bahasa yang terbit daripada hak mereka bersuara. Kendatipun prasyarat orang Melayu itu adalah berbahasa Melayu, namun mereka juga kini pongah dengan menuntut agar bahasa Melayu itu direndahkan oleh bahasa penjajah mereka sendiri.
Bukan mereka tidak sedar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menuntut hak bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tetapi mereka jelak dengan tuntutan ini kerana bagi mereka, bangsa penjajah itu dilihat sebagai bahasa universal sedangkan bahasa Melayu itu berdiri hina di mata mereka.
Kerana itulah adat Melayu boleh dikatakan dibunuh, ditalkinkan dan dikuburkan. Budaya Melayu hanyalah dilihat dalam kecanggungan seni yang ditarikan tanpa fahaman kepada roh kesusasteraan. Itu pun jika masih ada yang tidak canggung berzapin sedangkan rakan lain semua sudah berjoget seperti orang keranjingan.
Adakah kini kita sudah tiba pada penghujung jalan melihat bangsa hidup nyawa-nyawa ikan sebelum ditolak ke dalam pusara tanpa batu nisan? Bila kita sendiri yang membiarkan rohani kosong, jiwa lompong dan minda lengang, apalah yang akan kita mampu titipkan kepada generasi akan datang.
Sama ada ini adalah masa untuk bangsa Melayu bangkit daripada dengkur yang panjang dan kembali mengatur langkah mencari fitrah, atau inilah masa terbaik untuk kita mengucapkan selamat tinggal kepada bangsa yang sudah lama hidup bagai kerakap atas batu. Rayalah kita bangsa Melayu tanpa ada apa untuk diraikan.
Oleh : Fatihah Jamhari
No comments:
Post a Comment