Thursday, November 30, 2017

Menunggu Penderhakaan UMNO....

Penderhakaan kepada rakyat jika UEC diiktiraf
MUKKADIMAH - SIJIL Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang menjadi salah satu isu hangat dan desakan daripada Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) agar ianya diiktiraf dalam sistem pendidikan telah mengundang reaksi pelbagai pihak. Malah, isu itu sering mendapat perhatian pemimpin daripada pelbagai latar belakang sama ada mempertahankan atau menentang sistem yang mengambil sukatan pelajaran Taiwan ini. Terbaru, isu UEC telah dibangkitkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam Persidangan Agung Tahunan Kelapan baru-baru ini dalam usaha menjaga hak dan objektif Dasar Pendidikan Kebangsaan. Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong menjelaskan lebih lanjut kesan UEC dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sejauh manakah Prof melihat sistem UEC?
-Apa yang saya perhatikan UEC memberi kesan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana calon-calon­nya akan merampas peluang pelajar lain yang mengikuti sistem pendidikan sedia ada, khususnya pelajar berketurunan Cina.

Ini kerana sistem kuota masih terpakai dalam kes-kes tertentu walaupun meritokrasi merupakan amalan stan­dard dalam pengambilan pelajar. Ia perlu diguna pakai untuk mengelak sesuatu kursus itu dipenuhi satu kaum sahaja akibat meritokrasi bebas.

Secara umumnya calon UEC juga akan menjejaskan peluang pelajar Cina yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pada saya, biarlah UEC terus kekal di atas paksi sedia ada tanpa wujud dalam Dasar Pendi­dikan Kebangsaan.

UEC diasaskan berdasarkan sistem pendidikan di Taiwan. Sehubungan itu,adakah UEC juga boleh memberi kesan kepada Bahasa Melayu dan dilihat sebagai menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan?
-Apa-apa jenis persekolahan yang tidak berada dalam sistem pendidikan negara perlu dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat Bahasa Melayu bahasa pengantar utama.

Dalam hal ini, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan.

Ini jelas berada di luar sistem pendidikan negara. Sebenarnya semua sekolah mene­ngah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini telah diberi peluang untuk menyertai sistem pendidikan kebangsaan sewaktu kita mencapai kemerdekaan. Dalam hal ini, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya de­ngan menjadi sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC.

Adakah permintaan Dong Zong yang mahu kerajaan mengiktiraf UEC boleh dikatakan sebagai rasis dan menolak sistem perpa­duan serta menentang Gagasan 1Malaysia?
-Ia tidak boleh dikatakan rasis. Cuma persoalannya kini ialah mengapa sekolah persendirian Cina mahu berada dalam sistem pendidikan di peringkat atas ia­itu hanya peringkat pendidikan tinggi? Ini jelas memperlihatkan sikap rakus dan mahu untung dalam semua hal.

Jika dilihat kembali pendidikan aliran Cina sebenar­nya te­lah bermula di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) seterus­nya ke sekolah tinggi persendirian Cina di peringkat menengah.

Ia dibuat supaya pelajar dapat terus belajar dalam bahasa berkenaan walaupun mahu ke universiti awam (UA) melanjutkan pendidikan tinggi. Inilah yang dikatakan rakus dan mahu meraih keuntu­ngan pada semua peringkat dan setiap masa.

Apakah kesannya jika UEC diiktiraf dalam sistem pendidikan negara?
-Pertama sekali pada saya ia sa­ngat tidak adil kepada pelajar yang cekal dan tabah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Jangan khianati golongan seperti ini.

Keduanya, pengiktirafan UEC akan mewujudkan contoh terdahulu seperti peperiksaan lain G.C.E A Level yang telah me­nerima desakan serupa. Maka kemungkinan akan ada lagi desakan lain demi kepentingan pihak tertentu.

Di samping itu, jika kerajaan mengiktiraf sesuatu perkara yang tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan ia boleh di ibarat seperti ‘menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan’. Ini tidak adil kepada mereka yang bergelumang dengan sistem yang telah dicemuh banyak pihak sebelum ini. Dalam erti kata lain, jika UEC diiktiraf ia umpama satu bentuk penderhakaan kepada rakyat.

Apakah harapan Prof. dalam memajukan Dasar Pendidikan Kebangsaan?
-Sesungguhnya, sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai cacat celanya. Malah ia telah ditambah baik, sama ada untuk pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Kita harus percaya dan yakin kepada sistem pendidikan kebangsaan yang kita bangunkan sendiri dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama harus menerima keyakinan daripada rakyat dengan kemampuannya dalam memajukan negara.

Saya berharap Bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa ilmu, manakala Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tidak kurang penting sebagai jambatan ilmu. Inilah sebaik-baik perimbangan untuk terus melindungi martabat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.

Sumber : http://www.utusan.com.my

Tuesday, November 28, 2017

Untungnya India, Bertuahnya Malaysia

Selain daripada mencuri Koh-i-Noor - permata biru yang terdapat pada mahkota maharani mereka - Inggeris juga mencuri perkataan jungle yang asalnya dari bahasa urdu.


India sebuah negara yang mempunyai kadar keluaran dalam negara kasar paling tinggi di dunia satu masa dulu dan kini tinggal jadi sebuah wilayah yang huru-hara dalam semua hal.

Politiknya adalah jahat apabila sentimen bangsa dan agama dimainkan ke tahap maksimum. Rakyat dijadikan buah catur yang diadu sesama mereka.

Korupsi dalam kerajaan adalah rahsia yang diketahui ramai dan rakyat tidak boleh berbuat apa -apa.

Sistem kasta yang masih berleluasa menjamin kemunduran banyak marhein.

Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin membanting tulang siang dan malam hingga mati, dan berharap nasib akan lebih baik dalam kelahiran yang satu lagi.

Inggeris mungkin bersalah mencuri banyak harta negara ini namun kesalahan terbesar semestinya diletakkan di atas kepala para politikus selepas Inggeris.

Tak ada sesiapa peduli
Mungkin ada satu atau dua politikus yang benar-benar mahukan negara ini maju, namun sebahagian besar daripada politikus yang ada lebih gemar mengumpul harta untuk diri sendiri dan keluarga serta musibat yang hampir.

Undang-undang jalan raya di India hanyalah suatu jenaka. Lampu isyarat adalah hiasan yang tidak diperlukan.

Langsung tidak ada siapa pun mengormati undang-undang jalan raya. Kamu bebas berbuat apa sahaja. Mahu jalan terus atau melawan arus di jalan sehala - silakan.

Mahu berhenti tiba-tiba dan/atau membelok sesukahati - buat saja kerana tiada siapa peduli.

Jika belaku kemalangan, berkelahi saja dan semua akan selesai.

Di jalan raya yang dipenuhi manusia, lembu, kambing, anjing, babi, kereta keldai, kereta unta, lori, bas, kereta, traktor dan segala macam kenderaan lain, siapa yang punya hon paling kuat ialah raja.

Kebersihan adalah impian. Segala macam kotoran berselerak merata-rata. Mahu buang sampah, buang saja di mana suka.

Masjid, kuil berjiran
Mahu buang air, cari saja mana-mana dinding dan mulakan. Nombor satu atau nombor dua.

Bukan tidak ada pekerja bandaran yang berusaha namum apabila semua orang adalah tukang kotor - termasuk pekerja bandaran yang ditugaskan untuk membersih - maka bersih adalah kerja sia-sia (pun intended).

Yang baiknya (jika boleh dikatakan baik) ialah apabila kuil memainkan musik sepanjang hari 24 jam tanpa henti dengan amat kuat tanpa ada bantah dari penduduk beragama Islam.

Begitu juga azan masih bebas berkumandang juga tanpa ada apa-apa rusuhan dan sakit hati daripada mereka yang belum beriman.

Masjid dan kuil biasanya jika tidak bersebelahan, adalah berdekatan.

Dalam soal makan pula, memang menjadi kehairanan mereka apabila kita bertanya sama ada makanan yang dijual itu adalah halal atau tidak, kerana mereka - yakni rakyat tempatan - melanggani semua kedai tanpa syak.

Walau bagaimanapun, makanan dan minuman yang dikongsi itu biasanya daripada jenis biskut dan kek serta chai, iaitu teh panas campur susu kerbau yang lazat.

Mungkin - diulangi: mungkin - kerana mereka sangat menjaga ketulenan makanan yang dinyatakan sebagai vegetarian.

Sebarang kecuaian dalam menyediakan makanan di luar daripada apa yang dilebelkan adalah dosa besar.

Sedikit ke depan
Andai kata kita dapat memastikan semua makanan yang dilabelkan halal di negara kita memang adalah benar-benar halal, pasti kita semua akan hidup lebih aman.

Masalah utama orang Islam di India ialah tidak taatnya mereka melakukan sembahyang lima waktu. (Sebenarnya, ini adalah masalah utama semua umat Islam di seluruh dunia. Keyakinan yang sembahyang boleh menyelesaikan apa juga masalah kini tidak lagi dipandang sebagai benar.)

Di sinilah malangnya mereka. Sebahagian besar mereka tidak bersembahyang. Yang miskin, kerana sibuk mencari wang, sedang yang kaya berasakan sembahyang cuma membuang masa dan tidak menyumbangkan apa-apa kepada kekayaan mereka.

Namun begitu, semua masjid di India melakukan kerja mengajak orang Islam kembali kepada ajaran agama dengan giat.

Setiap hari setelah Isyak, mereka akan bermesyuarat ringkas sekitar 20 hingga 30 minit bagi membincangkan hal-hal dalam kawasan mereka.

Tentang siapa yang tidak bersembahyang dan siapa yang perlu diziarahi, misalnya.

Apabila difikir, kita pun menuju jalan sama. Selepas Inggeris mencuri hasil negara, kita ditinggalkan oleh politikus yang nampak seperti benar-benar mahukan negara kita maju.

Dalam sedikit hal, mereka berjaya dan kita telah lebih sedikit ke depan berbanding India dal hal-hal yang minor.

Namun, mereka yang selepas itu adalah tidak kurang lebih daripada politikus India. Mencuri kekayaan negara untuk diri, keluarga dan rakan seusaha.

Pengguna jalan raya kita juga sedang menuju ketidak-displin-an rakyat India.

Melanggar lampu isyarat sesuka hati dan bergaduh apabila berlaku kemalangan. Malah kita lebih sedikit apabila ada yang meninggal dunia akibat pergaduhan jalan raya.

Kumpulan konvoi motosikal pula berasakan bahawa apabila mereka di jalan raya, penguna lain patut memberi laluan kepada mereka tanpa perlu peduli keselamatan orang lain.

Mungkin dari segi kebersihan kita masih lagi menghargai keindahan. Maka negara kita tidak sekotor bandar-bandar di India. Kita juga masih ada malu untuk kencing dan berak merata.

Rakyat negara kita saban hari dilaga-lagakan supaya pemegang tampuk politik kekal disokong majoriti.

Kita sebagai penyokong yang dungu ini pun bergaduh mempertahankan ketua-ketua partai yang kononnya berjuang untul kepentingan kita.

Politik adalah jahat. Diulangi: politik adalah jahat dan kita adalah bajingan yang tolol apabila asyik menyokong tanpa peduli betul benar, salah serta bohong politikus yang kita kagumi.

India dalam perjalanan untuk menjadi kuasa besar dunia sekali lagi jika dilihat pada potensinya hari ini, namun sementara menunggu itu berlaku, ia adalah negara malang yang hidup dalam kegemilangan masa lampau.

Oleh : Abdullahjones

Monday, November 27, 2017

Pedulilah Geopolitik Melayu Di Bandar

Bila terlebih bina bangunan mewah dan komersial
Kalau anda rajin bersiar-siar di ibu negara Kuala Lumpur, perhatikan sekarang ada banyak bangunan lama dan baharu yang tiada berpenghuni. Ahli-ahli ekonomi Malaysia sendiri mengakui berlaku lambakan hartanah. Banyak ruang di kompleks beli-belah, bangunan komersial dan unit-unit kondominium mewah masih kosong dan tidak dapat dijual di sekitar Lembah Klang.

Bank Negara Malaysia melalui rencana bertajuk ‘Ketidak­seimbangan Dalam Pasaran Hartanah,’ mendedahkan pada suku pertama 2017, jumlah hartanah kediaman tidak terjual adalah sebanyak 130,690 unit. Jumlah itu yang tertinggi dalam tempoh sedekad dan ia hampir menyamai dua kali purata dalam sejarah yang pernah tercatat sebanyak 72,239 unit setahun antara 2004 hingga 2016.

Kira-kira 83 peratus jumlah unit tidak terjual itu berada dalam kategori harga melebihi RM250,000. Sebanyak 61 peratus daripada jumlah tidak terjual terdiri daripada bangunan tinggi dengan 89 peratus daripadanya melebihi RM250,000.

Johor mempunyai bahagian unit kediaman tidak terjual yang terbesar, diikuti Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata setakat suku pertama tahun ini, ada 130,000 unit kediaman tidak terjual dan kebanyakannya dijual pada harga RM250,000 ke atas. Namun, kebanyakan rakyat di negara ini hanya mampu membeli rumah di bawah harga berkenaan dan layak mendapat pembiayaan pinjaman.

“Jika dibandingkan pada suku sama pada 2012, terdapat 54,000 rumah tidak terjual, tetapi rumah dalam segmen mewah hanya sekitar 19,000 tidak terjual. Berbanding hari ini, 130,000 kediaman tidak terjual dan 108,000 unit adalah kediaman me­wah,” katanya.

Perkara ini berlaku kerana pada sekitar lima tahun lalu sebelum kerajaan memperkenalkan pelbagai polisi perumahan, banyak syarikat hartanah memba­ngun­kan kediaman dalam segmen mewah.

Hal ini membayangkan ke­mam­­puan rakyat dan menun­jukkan bahawa penawaran ke­diaman hartanah adalah tidak seimbang dengan permintaan rumah mampu milik yang dituntut majoriti rakyat negara ini.

Kaut untung
Bagi orang biasa seperti saya melihat keadaan ini, ia berlaku disebabkan permintaan terhadap hartanah semakin berkurang. Siapa yang mampu beli jika harganya terlalu mahal. Nampak sangat pemiliknya ma­hu kaut untung segera dengan banyak. Tidak mampu orang hendak menyewa apatah lagi membelinya.

Sekarang kita boleh lihat iklan rumah baharu yang menawarkan harga lebih RM400,000 untuk rumah dua tingkat dan lebih RM350,000 untuk townhouse.

Nampaknya syarikat pemaju pun sudah buka mata dan sedar bahawa orang ramai tidak mampu membeli unit rumah yang berharga lebih RM500,000.

Kerajaan pula tidak menolak kemungkinan harga rumah bakal turun ekoran berlakunya trend unit kediaman siap dibina tidak terjual atau overhang yang meningkat sebanyak 40 peratus.

Sebanyak 20,807 unit kediaman bersamaan nilai RM12.26 bilion tidak terjual manakala kondominium berharga melebihi RM500,000 mendominasi overhang.

Kalau harga rumah teres biasa sudah dikurangkan, ada kemungkinan harga kondominium dan hartanah lain juga akan diturunkan. Tunggu masa sahaja. Jika tidak... biarkan sahaja begitu tanpa dibeli.

Sekarang kerajaan sudah memutuskan membekukan sementara pembinaan kondominium dan premis komersial seperti pejabat bernilai RM1 juta ke atas bagi mengimbangi penawaran dan permintaan hartanah di negara ini.

Langkah pembekuan wajar sebab banyak yang tak laku, tapi kerajaan juga perlu lihat tahap kemampuan dan pendapatan rakyat dalam keadaan ekonomi sekarang

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, dari segi bekalan, pasaran perumahan tidak menyediakan bekalan rumah mampu milik yang mencukupi untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Muhammad berkata, isu rumah mampu milik lebih mencerminkan keadaan tidak seimbang antara bekalan dengan permintaan rumah di Malaysia dan keadaan ini bertambah teruk dalam tempoh tahun 2012 hingga 2014.

“Malah, kesan kurangnya bekalan rumah terhadap kemampuan memiliki rumah diburukkan lagi oleh kadar kenaikan pendapatan isi rumah yang lebih perlahan, tidak sepadan dengan kenaikan harga rumah. Situasi yang terus memburukkan isu kemampuan memiliki rumah ialah trend pelancaran rumah yang lebih banyak dalam kategori rumah berharga melebihi RM250,000.

Mungkin ada benarnya kata Gabenor itu, kita sebenarnya terlebih membina pusat beli-belah dan bangunan komersial berbanding rumah mampu milik yang boleh dilihat di sepanjang jalan yang dibangunkan begitu banyak.

Pedulilah geopolitik Melayu di bandar
Sekarang tiada lagi projek perumahan untuk golongan berpendapatan rendah. Barangkali projek seumpama itu yang terakhir di Kuala Lumpur ialah Projek Pembangunan Semula Perumahan Awam 1Razak Mansion.

Pengambilalihan tanah rizab di ibu negara dan pinggir ber­sem­padan dengan Selangor juga tiada ke arah untuk bina perumahan kos rendah. Banyak sudah kawasan yang dahulu dihuni golongan miskin dan sederhana bandar kini ditukar menjadi kawasan perumahan mewah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu.

Bukan mengejutkan apabila kawasan yang dahulu majoritinya orang Melayu kini dikuasai oleh bukan Melayu. Para pegawai perancang bandar yang diketuai oleh orang Melayu mustahil tidak sedar perubahan geopolitik di kawasan yang baru mereka majukan. Atau pihak pegawai tinggi di jabatan kerajaan berkaitan hanya peduli cara untuk menampakkan kawasan itu menjadi wilayah elit.

Tindak-tanduk orang Melayu sendiri yang memberi kesan buruk terhadap geopolitik di sesuatu kawasan. Sekarang banyak kawasan yang dahulu dipengaruhi orang Melayu kini sudah bertukar tangan kepada bukan Melayu.

Pemimpin Melayu sendiri tidak ambil peduli situasi geopolitik yang wujud di kawasan yang dimajukan hingga menjadi penyebab utama tergugatnya sokongan orang Melayu kepada parti politik. Jadi berhati-hati terutama buat pemantauan dan kawalan dalam pengambilan dan penjualan tanah rizab Melayu atau tanah kerajaan di kawasan tertentu.

Geopolitik berkait rapat dengan soal pilihan raya melalui kawasan yang ditandingi dan dikuasai. Jika penduduk yang bermastautin di sesuatu kawasan untuk sekian lama kemudian terpaksa berpindah ke kawasan jauh kerana orang Melayu tidak mampu memiliki rumah mewah, sudah tentu mengundang bahaya kepada parti dokongan orang Melayu.

Oleh : Azman Anuar

Sunday, November 26, 2017

Singapura Bukan Jiran Yang ‘Baik’

Tindakan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mencampuri urusan dalaman Malaysia berhubung isu tuntutan Pulau Batu Puteh boleh diumpamakan sebagai mencabuli kedaulatan negara dan menunjukkan mereka bukanlah negara jiran yang ‘baik’.

Setiausaha Agung Pertubuhan Perun­dingan Undang-Un­dang Asia-Afrika (AALCO), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, keceluparan Hsien Loong yang mendakwa tuntut­an Malaysia adalah kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seolah-olah mahu menjatuhkan hukuman sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) .

Jelas beliau, tuntutan untuk diadakan semula semakan 100 peratus dijalankan mengikut lunas perundangan antarabangsa dan hak tersebut merupakan milik mutlak Malaysia yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Mereka sebenarnya cuba menguji kepemimpinan kita sama ada mudah melatah atau tidak berhubung kenyataan kontroversi itu.

“Tindakan Singapura seum­pama tidak menghargai keikhlasan Malaysia terhadap mereka selama ini, mereka sepatutnya berterima kasih kepada kita ke­rana langsung tidak menggunakan tindakan kekerasan di mana tiada demonstrasi ganas berlaku selepas keputusan berkaitan Pulau Batu Puteh diumumkan ICJ pada 23 Mei 2008,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Secara rasminya Singapura (yang me­ngendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) da­­lam keputusan majoriti 12-4 memutuskan Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak 1980 adalah milik Singapura.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Hsien Loong tidak berasas kerana perjuangan Malaysia menuntut pulau tersebut adalah demi menjaga kedaulatan negara.

Malah, katanya, ICJ membenarkan sebarang bukti baharu dikemukakan dalam tempoh masa 10 tahun selepas keputusan pada 23 Mei 2008 yang mengumumkan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.

Sunday, November 19, 2017

Ibu Bapa Tanggung Anak Sampai Mati

Mak aih!! Terkejut beruk saya bila baca tajuk berita kat muka depan suratkhabar KOSMO kelmarin. Betul orang kata, sekarang ni memang ramai mak bapak yang melahirkan tuan.

Teringat saya dulu-dulu masa umur saya dalam 21 tahun. Masa tu saya tengah study degree tahun dua kat UKM, saya dah mula buat macam-macam side income.

Sejak tahun tu jugalah, saya dah mula tak minta dan tak terima duit mak bapak saya. Sebabnya, saya dah boleh cari duit sendiri dan saya malu nak ambil duit dorang.

Sebelum tu bila balik kampung je, mesti dorang bagi duit belanja. Tapi lepas saya aktif cari side income tu, saya pula yang bagi duit belanja kat dorang. Tak banyak, tapi ada.

Dunia Dah Terbalik
Jadi, bila terbaca berita kat KOSMO tu saya jadi sedih dan hiba. Anak-anak patutnya ringankan beban mak bapak bila dah mula bekerja. Tapi sekarang dah terbalik pulak.

Anak muda sekarang ni tak segan nak minta duit mak bapak walau dah mula bekerja. Alasannya, duit tak cukup duduk KL. Padahal hujung minggu bersuka ria, tak ingat dunia.

Bila rasa sesak, mula hubungi mak bapak dan minta duit tambahan padahal hidupnya bermewah-mewah. Gaji baru RM2,000 pun menggelupur nak beli Myvi 2018 tu.

Iyalah, Myvi baru tu kan cun habis. Ala-ala kacukan VW Golf dengan Honda Jazz, kan. Mulalah anak muda bergetar tulang rusuk. Deposit takda, minta kat mak bapak juga.

Lagi, kat FB upload gambar bercuti sini sana. Nasib baik mak bapak kau tak layan FB. Kalau tak, mesti dorang sedih tengok kau guna duit dorang pegi enjoy dengan kawan.

Kahwin Pakai Duit Mak Bapak

Kalau bab kahwin pula, saya rasa pengantin laki dan perempuan sendiri, kalau boleh memang nak jimat habis. Janji sah nikah, buat makan ringkas-ringkas dah cukup.

Yang biasa nak majlis grand ni mak bapaknya. Tak nak kalah dengan sedara mara dan jiran tetangga. Orang buat 7 khemas, dia nak buat 9 khemah.

Orang jemput 1,000 orang, dia nak jemput 1,500 orang. Kalau memang mak bapak yang sponsor pakai duit sendiri, sekatilah. Duit sendiri, kan. Tak kisahlah.

Masalahnya, bila majlis grand-grand, semua pakai duit hantaran yang pihak laki bagi. Apalah salahnya duit hantaran tu bagi kat anak untuk dorang mulakan hidup bersama.

Mak Bapak Kaya
Kalau dah memang mak bapak dia kaya, lantaklah kan. Duit dorang sendiri. Tapi anak-anak pun kena belajar berdikari dan perlu juga diberi ilmu untuk uruskan kewangan.

15. Kekayaan boleh diwarisi, tapi ilmu untuk uruskan kekayaan tu takkan nak diabaikan. Takut nanti, kaya tu kekal generasi kedua saja. Masuk generasi ketiga, lesap semua.

Bank Segera
Secara realiti, mak bapak kat Malaysia sekarang ini dah jadi macam bank segera atau pembiaya kewangan "confirm lulus" pula kepada anak-anak yang sudah dewasa.

Kalau tak cukup duit, anak muda dah tak risau sebab dorang tahu ada mak bapak yang akan tolong. Kalau mak bapak bagi sendiri, takpa. Tapi, kalau kau yang minta, tolong malu.

Tak Cukup Duit
Dah tahu tak cukup duit setiap bulan, hiduplah bawah kemampuan. Kalau gaji RM3,000 tu, hiduplah macam orang gaji RM2,000. Lebih RM1,000 simpan terus.

Semua orang tau, dana kecemasan sangat penting. Dah tau tu, buatlah dana kecemasan 3 hingga 6 bulan gaji. Kalau gaji RM3,000, buat simpanan RM9,000 hingga RM18,000.

Bila dah ada dana kecemasan, harap-harap, takdalah lagi dialog kesian, "Ayah, nak pinjam RM2,000 boleh? Kereta rosaklah. Nanti bila ada duit, Ucu pulangkan ya."

Mentang-mentanglah dia tahu Ayah dia baru dapat duit KWSP lepas pencen hari tu. Kesian kat Ayah dia, asyik kena paw je dengan anak. Tak nak bagi, kesian. Bagi, duit habis.

Jadi, sebab tu kalau boleh, anak-anak elakkan minta duit kat mak bapak. Kalau dah korang minta, memang dorang akan bagi. Jadi, janganlah ambil kesempatan macam tu.

Di usia emas dorang, jangan dorang dibebani dengan masalah kewangan anak-anak. Pada usia itu, dorang perlu berehat. Cukuplah berpuluh tahun dorang berkorban.

Jangan pula kerana kita, dorang paksa diri bekerja dan membanting tulang untuk menyara anak-anak dewasa yang perasan macam anak kecil yang merengek-rengek mahukan duit belanja dan dibelikan mainan itu dan ini.

Insaflah anak muda Malaysia!

Sumber : harithfaisal

Wednesday, November 8, 2017

Apabila Pencerca "Mahathir a/l Iskandar Kutty" Dilupakan

Perlukah Dr M mohon maaf kepada Bugis?
Utusan Online melaporkan berkenaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang enggan memohon maaf terhadap kenyataan beliau mengenai 'hubungan Najib dengan Bugis’.

Laporan itu menyebut: “Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka ekoran kenyataannya yang dianggap menghina masyarakat Bugis.”

Bagaimanapun, Utusan Online turut melaporkan, Mahathir juga mempertahankan ucapan beliau ketika perhimpunan haram di Selangor baru-baru ini dan diulang beberapa kali di Jelajah Semarak di Kemaman, Terengganu malam Rabu lalu bahawa kenyataan itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas dan nyata kenyataan itu bukan tuduhan secara menyeluruh kepada keturunan Bugis. Sebaliknya tuduan itu khusus kepada orang Bugis yang bernama Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jika demikian, kenapa etnik Bugis lain sama ada di Malaysia atau kepulauan Melayu begitu sensitif dengan kenyataan itu?

Kenapa mesti Mahathir perlu memohon maaf secara terbuka serta menarik balik kata-katanya?

Anehnya, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut mengheret dirinya dengan mengatakan kononnya Mahathir yang menghina keturunan tersebut.

Kesannya, ada Perhimpunan Pemuda Bugis Makasar Indonesia (PPBMI) yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia jika Pengerusi Pakatan Harapan itu tidak memohon maaf.

Pembodek Najib
Sungguh pelik apabila Utusan Malaysia atau Utusan Online tidak pun memainkan isu sebesar ini ketika Mahathir dihina dan dituduh sebagai keturunan Kerala.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut perkara itu tidak pula diminta menarik balik kenyataannya yang mengungkit sejarah Mahathir yang berketurunan India dan menuduh beliau mempergunakan Melayu selama 22 tahun semasa pentadbirannya.

Malah Zahid, yang juga menteri dalam negeri sehingga menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".
Pelik apabila tiada pula orang keturunan Kerala serta Mamak yang menunjuk perasaan, sama ada di Malaysia atau di India kerana kenyataan Zahid itu.

Atau mungkin di sini atau di India, Mamak dan yang berketurunan Kerala lebih terbuka dan tidak sensitiif sangat mengenai isu yang ditujukan kepada Mahathir oleh orang bawahan Najib.

Juga mungkin yang cuba menghangatkan suasana dan isu ini adalah pembodek Najib, walaupun tahu bahawa orang Bugis yang satu inilah yang sedang memporak-perandakan etnik lain di Malaysia, termasuk Jawa, Boyan, Minangkabau, Patani, Riau dan sebagainya.

Mungkin juga jika serangan begini hanya ditujukan kepada seorang lagi Bugis – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang turut mengaku keturunan Bugis – tumpuan tidak sebegini besar.

Malah, tiada pun etnik Bugis (kalau ada) di Terengganu akan sensitif sedemikian rupa.

Najib pastinya akan dipertahankan oleh konco-konconya dalam apa juga segi dan ruang, apa lagi pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah sangat hampir ke tarikhnya.

Namun satu perkara yang rakyat sedar ialah, apa yang dikatakan oleh Mahathir itu memperkukuhkan lagi kenyataan beliau sebelum ini bahawa kedudukan Najib semakin genting dan kepimpinan perdana menteri Malaysia ketika ini mempunyai banyak ruang yang boleh dipersoalkan.

Oleh : Hambali Abdul Latiff