Wednesday, September 6, 2017

Bahasa Masih Gagal Satukan Rakyat

Apa erti kerakyatan jika tidak kuasai bahasa Melayu – Kok Seong
Usaha menjadikan  bahasa sebagai medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia masih lagi gagal berbanding di Indonesia dan Thailand.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, bukti kegagalan itu ialah polarisasi kaum masih wujud secara nyata di negara ini.

Katanya, pelajar-pelajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) rata-rata hanya fasih berbahasa Mandarin berbanding bahasa Melayu dan Inggeris, de­ngan alasan golongan itu terbeban ke­rana terpaksa mempelajari tiga bahasa pada usia muda.

“Bahasa Melayu adalah bahasa negara, mana mungkin ia tidak dikuasai? Apa erti kerakyatan yang dipegang itu?

“Kalau kita tidak fasih, bagaimana kita hendak berkomunikasi? Penguasaan bahasa Melayu akan membawa kepada kefasihan. Sebagai warganegara, kita perlu ada pengetahuan yang baik terhadap bahasa ini,” kata­nya.

Beliau berucap dalam sesi penyampaian dan dialog sempena Konvensyen Memperkukuh­ Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, kerajaan sejak 60 tahun lalu telah berusaha menjayakan aspirasi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan terutama menerusi Laporan Ra­zak.

Selain itu katanya, kerajaan bercadang memperkenalkan beberapa kaedah bagi menangani ketidakfasihan bahasa itu melalui penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) subjek Bahasa Melayu serta penyeragaman sukatan pelajaran di sekolah kebangsaan dan SKJC.

“Malangnya, cadangan itu dibantah oleh masyarakat bukan Melayu,” katanya sambil menegaskan, cadangan itu juga di­lihat dapat mena­ngani masalah pelajar SKJC dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) menjadi seperti ‘rusa masuk kampung’ apabila memasuki sekolah menengah.

Jelas beliau, pemerhatian mendapati negara yang membenarkan penggunaan satu bahasa sahaja sebagai bahasa utamanya lebih mudah mengurus perpaduan rakyatnya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan peserta, Kok Seong mencadangkan agar semua warganegara Malaysia wajib menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam apa keadaan sekali pun.

“SPM adalah penting dan bukan sekadar penilaian akademi tetapi sebagai sebahagian daripada pembentukan negara bangsa. Tiga subjeknya iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral memiliki asas bagi pembentukan negara bangsa serta jati diri rakyat Malaysia,” katanya. - www.utusan.com.my

2 comments:

  1. True... tidak dinafikan.. ramai yang tak pandai cakap bahasa melayu... tapi sekarang diaorang tak kisah, sebab bukan syarat untuk berjaya di Malaysia, kita tak straight, kita buat peraturan untuk popular...

    ReplyDelete
  2. I don’t know how should I give you thanks! I am totally stunned by your article. You saved my time. Thanks a million for sharing this article.

    ReplyDelete