Wednesday, August 9, 2017

Malukah Melayu Dengan Fitrahnya?

MELAYU memang dah lama lupa asalnya, ke­rana malu akan dirinya, takut dikata sakailah pula.” - Seloka Melayu. Ketinggian adab dan pekerti bangsa Melayu bukan hanya kerana fitrah bangsanya.

Tetapi lebih utama lagi, kerana wujud pegangan agama Islam sebagai panduan hidup yang memperhaluskan kerapian bangsa Melayu. Ini jelas apabila dilihat daripada lipatan sejarah bagaimana seawal abad 15 lagi, ketika masyarakat bangsa asing masih tergapai-gapai dalam naratif bangsa mereka, bangsa Melayu di tanah air ini telahpun bergerak maju dan mengkanunkan undang-undang berdasarkan hukum syarak.

Sebagai sebuah bangsa, Melayu hidup bermaruah dan berprinsip berlandaskan aturan moral yang tinggi. Panduan hidup bangsa Melayu bukanlah hanya terpaksi kepada etika yang ditetapkan oleh adat masyarakat tetapi juga di­ikat dengan kekangan undang-undang yang menidakkan salah laku, terutama salah laku yang merosakkan bangsa.

Antaranya, undang-undang dalam Hukum Kanun Me­laka yang mengharamkan zina. Hikmah di sebalik pengharaman zina adalah mudah, yakni untuk memastikan salasilah keturunan bangsa Melayu terjaga.

Adakah waras jika niat murni untuk memelihara keturunan supaya bangsa ini tidak dipalit dalam kecelaruan, diambil sambil lewa dan diperkotak-katikkan? Semakin jahilkah bangsa Melayu sehingga kini ada yang menidakkan peraturan dan etika hidup bermasyarakat sehingga nasab anak dibuat isu permainan untuk disembangkan di jalanan tanpa nilai?

Pada 25 Julai lalu, keluar penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes ‘Bin Abdullah’, membenarkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang dilahirkan kurang dari 6 bulan selepas pernikahan ibubapanya untuk tidak menggunakan ‘Bin Abdullah’.

Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memetik pema­kaian Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 152) bagi membenarkan permohonan ibubapa kanak-kanak ini untuk dia dibinkan dengan nama bapanya.

Kritikan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan timbul kerana penghakiman ini dilihat bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam tahun 2003.

Fatwa itu menyebut: “Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.”

Terkini, pada 3 Ogos lalu, permohonan Jabatan Pendaftaran Negara untuk menggantung pelaksanaan penghakiman dalam kes ‘Bin Abdullah’ sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan diputuskan, turut ditolak. Adakah wujud gesaan untuk menutup ruang agar perkara ini didalami dan jika wujud khilaf, diperbetulkan?

Sudahlah penghakiman ini dibenarkan untuk menolak hukum syarak tentang nasab, lebih malang lagi apabila ada suara sumbang yang mempersoalkan hak maruah anak yang dilahirkan di luar nikah jika dibinkan dengan nama ‘Abdullah’.

Malah suara kotor ini menambah, pemakaian ‘Bin Abdullah’ adalah stigma yang memalukan anak luar nikah.

Hina sungguh martabat anak yang tidak berdosa ini sehingga suara-suara busuk ini menghilangkan darjat mereka.

Bagaimana mungkin hukum syarak dalam Islam menidakkan maruah anak luar nikah, sedangkan mereka dibinkan dengan nama bapa Nabi dan Rasul agung umat Islam?

Bertambah malang lagi apabila ahli parlimen yang de­ngan biadab dan angkuh mencadangkan agar pasangan bersekedudukan, baik yang beragama Islam atau bukan, diiktiraf sebagai sebuah unit keluarga bagi membolehkan pemakaian Akta Keganasan Rumah Tangga yang baru sahaja dipinda.

Apakah sudah hilang rasa malu bangsa ini sehingga kita sebegitu tega dan biadab terhadap fitrah bangsa? Adakah sudah hilang langsung nilai etika sehingga pasangan yang berkahwin menurut tuntutan moraliti bermasyarakat dianggap setaraf dan sama duduk dengan mereka yang memesongkan adab ketimuran?

Alasan yang diketengahkan hanyalah bualan dangkal kononnya kekasih yang bersekedudukan juga terlibat sebagai mangsa keganasan isi rumah. Maka hak mereka juga harus dibela.

Apakah sudah tiada Kanun Jenayah di negara ini sehinggakan mereka perlu diiktiraf khas dalam Akta Keganasan Rumah Tangga? Permainan kotor apakah yang sedang ahli politikus ini mainkan?

Penulis suka untuk mengingatkan diri sendiri dan masyarakat Malaysia bahawa bangsa Melayu ini hidup bermaruah.

Jangan kerana hanya rasa rendah diri atau kegilaan sesetengah orang yang berbangsa Melayu mengharapkan sokongan mereka yang tidak berkongsi fahaman berlandaskan agama Islam, kini timbul segala macam kerenah yang menidakkan didikan Islam yang menjadi pegangan bangsa Melayu. Biarlah mereka katakan Melayu itu ‘sakai’ sekali pun, bangsa ini tidak harus malu asalkan fitrah bangsa Mela­yu tidak lari daripada pegangan hidup bersyariat.


No comments:

Post a Comment