Thursday, August 31, 2017

Mahu Undi Saya?

Hapuskan Polisi Pro Bumiputera – Penolong Pengarang Malaymail Online
PETALING JAYA: Polisi-polisi yang membantu golongan Bumiputera harus dihapuskan dan agama perlu diasingkan daripada pembuatan polisi adalah antara syarat-syarat yang dikemukakan oleh Boo Su-Lyn untuk meraih undinya pada pilihanraya kelak.

Penolong Editor Malay Mail Online tersebut meluahkan rasa kecewanya terhadap kedua-dua pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang kerana menurutnya hanya mementingkan umat Melayu-Islam.

Beliau berkata, “Malangnya, kedua-dua PH dan BN nampak gayanya tidak berminat untuk mempromosikan polisi-polisi libertarian bagi membolehkan golongan pertengahan untuk hidup lebih selesa. Apa yang mereka peduli hanyalah undi daripada golongan Melayu-Muslim pedalaman.”

 “BN nampaknya sudah tidak berharap kepada pengundi-pengundi kelas pertengahan seperti saya dengan polisi-polisi fasis mereka yang semakin meningkat sejak dekad yang lalu, manakala PH telah pun mensia-siakan undi saya,” luahnya lagi.

Tulang belakang Himpunan Anti RUU-355 itu juga menyalahkan polisi kerajaan yang mahu membantu meningkatkan pemilikan rumah oleh golongan Bumiputera yang sememangnya jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain sebagai mengganggu harga pasaran rumah.

Beliau berkata, “Jadi berkenaan Pilihanraya Umum ke 14, saya fikir saya mampu untuk bertindak sebagai pengundi yang mementingkan diri sendiri dan menyuruh kedua-dua belah pihak untuk berambus sekiranya mereka tidak beri apa yang saya mahukan – hapuskan polisi-polisi yang membantu golongan Bumiputera (terutamanya dalam sektor hartanah kerana mengganggu pasaran dan menjejaskan harga rumah), ketepikan agama daripada pembuatan polisi…”

“… pastikan kenaikan pendapatan, rendahkan cukai pendapatan individu (GST boleh dikekalkan agar beban pencukaian disebarkan kepada seluruh populasi), tiada sebarang pemotongan air, dan jalan-jalan yang selamat seperti di Melbourne atau Singapura dimana saya boleh bebas berjalan tanpa gangguan seksual,” sambungnya lagi.

Penulis akhbar online yang dimiliki oleh Redberry Group, anak syarikat Ancom Bhd itu juga memberi kata dua kepada pemimpin-pemimpin politik supaya mengambil berat luahan hatinya ini, ataupun beliau bakal memboikot untuk tidak mengundi mana-mana parti politik pada pilihan raya umum akan datang.

“Sekiranya kedua-dua pakatan bertegas untuk mengekalkan struktur politik perkauman dan polisi-polisi kerajaan yang rasis, maka mereka boleh melupakan undi saya,” gertak beliau.

Sebelum ini, beliau pernah mendesak supaya jabatan-jabatan agama dan sistem perundangan Syariah di Malaysia dihapuskan disamping menggesa agar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang orang bukan Islam daripada menyebarkan agama mereka kepada orang Islam dihapuskan.

Sumber : www.menara.my

Wednesday, August 30, 2017

Tun Razak Pasti Kecewa...!

Sultan hurai empat senario Tun Razak pasti kecewa
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengamati perkembangan semasa tanah air berkata perdana menteri kedua negara Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pastinya akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di dalam negara.

Baginda bertitah, senario pertama merujuk kepada perpaduan rakyat yang mana allahyarham menyatakan masa depan negara bergantung kepada perpaduan rakyat.

Namun kini, titah baginda, dalam keghairahan mahu mendapat sokongan, parti politik kelihatan semakin cenderung memilih untuk menyalakan bara sensasi isu agama dan perkauman.

"Andainya masih bernafas, Tun Abdul Razak pastinya akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di dalam negara," yang dipetik portal Berita Harian Online.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku 'Fulfilling A Legacy - Tun Razak Foundation' hasil tulisan Shahreen Kamaluddin di Kuala Lumpur, hari ini.

Senario kedua, titah baginda, Abdul Razak turut menggariskan peranan penting sekolah dalam memupuk perpaduan rakyat melalui aliran pengajian kebangsaan menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan yang terkandung dalam Penyata Razak.

"Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan kini dilihat semakin gagal memenuhi matlamat untuk sekolah berperanan sebagai taman asuhan menyatupadukan warganya.

"Generasi muda pelbagai kaum yang melalui pelbagai aliran persekolahan, tidak akan berpeluang berinteraksi dan saling mengenali, sebaliknya membesar secara berasingan dalam kelompok kaum masing-masing," titah baginda.

Sultan Nazrin berkata, senario ketiga yang akan dikesali Abdul Razak ialah pelbagai gelinciran daripada landasan sebenar pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), terutama penyalahgunaan peluang pembahagian kekayaan.

Titah baginda, ia mengakibatkan berlaku ketirisan pegangan ekonomi Bumiputera secara besar-besaran yang bukan saja mencetuskan salah faham Bumiputera yang menganggapnya sebagai pilih kasih, malahan juga kemarahan kalangan bukan Bumiputera.

"Keempat berkaitan rasuah dan integriti. Hati Tun Abdul Razak pasti luluh mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana rasuah yang berlaku secara besar-besaran, membabitkan penjawat tinggi dan individu terpelajar dengan jumlah yang banyak serta mencalar nama baik negara bangsa, " titah baginda.

Portal itu juga memetik Sultan Perak sebagai meminta rakyat menghayati wawasan dan semangat pengorbanan Abdul Razak.

"Kepada Allah sama-sama kita berdoa supaya wawasan dan semangat pengorbanan Tun Abdul Razak tidak akan padam daripada minda dan hati rakyat.

"Semoga wawasan dan nilai murni Tun Abdul Razak dikunjungi semula, dihayati, dihidupkan dan disemarakkan dalam minda dan jiwa setiap warga Malaysia," titah baginda.

Sumber : malaysiakini

Thursday, August 17, 2017

Di Mana Letak Tanah Simpanan Melayu?

SALAH satu resolusi yang diputuskan dalam Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat yang diadakan baru-baru ini adalah mengenai isu tanah rizab Melayu. Isu ini menjadi ­tumpuan memandangkan terdapatnya tindakan tidak bertanggungjawab yang gagal menguruskan tanah rizab Melayu dengan baik seperti yang dimandatkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tanah simpanan Melayu mempunyai sejarah panjang yang mendasari pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Memetik salah satu ungkapan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang berbunyi: “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kami isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Kini, setelah 60 tahun merdeka masih ada pihak yang gagal menghayati pentingnya tanah simpanan Melayu. Malah isu hak pegangan tanah juga kadangkala dikaitkan dengan isu perkauman yang sempit. Maka, seeloknya rujukan dibuat kepada Perkara 89 dan 90 Perlembagaan Persekutuan yang memperjelaskan kedudukan tanah simpanan Melayu, tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka serta tanah Pegangan Melayu di Terengganu.

Perkara ini secara jelas memperuntukkan semua hal berkaitan tatacara pengurusan, pembangunan dan pengelasan tanah simpanan Melayu.

Dalam menangani hujah nakal yang mempersoalkan kewujudan tanah simpanan ini, rujukan boleh didorong dengan pemahaman tanah rizab seperti yang dinyatakan di Perkara 89(1) Perlembagaan Persekutuan. Tanpa memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi pun, ia secara tersurat mengesahkan bahawa telah wujud tanah-tanah rizab sebelum merdeka dan status tanah-tanah rizab ini hendaklah kekal selepas kemerdekaan. Perkara 89(1) ini secara tidak langsung juga menyatakan wujudnya undang-undang di negeri-negeri Me­layu yang mengawal selia urusan ­tanah simpanan Melayu ini.

Secara ringkas undang-undang tanah simpanan Melayu mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 dikuatkuasakan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Enakmen ini bagaimanapun dimansuhkan dan diganti pula dengan Enakmen Rizab Melayu 1933 yang seterusnya disemak semula pada 1935 dan diterbitkan semula sebagai Enakmen Rizab Melayu (Negeri Melayu Bersekutu Bab 142). Bagi negeri-negeri seperti Kedah, Perlis, Terengganu, Johor dan Kelantan juga terdapat enakmen yang mengawal selia rizab Melayu.

Menurut Perkara 89(6) Perlembagaan Persekutuan, tanah simpanan Melayu adalah tanah yang disimpan untuk diberi hakmilik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi negeri tempat terletaknya tanah itu; dan `orang Melayu’ termasuklah mana-mana orang yang, di bawah undang-undang negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang Melayu bagi maksud pe­rizaban tanah.

Bagi mengidentifikasikan Melayu dalam konteks ini, kita harus merujuk kepada enakmen-enakmen negeri kerana takrifan sebagai ‘Melayu’ adalah berbeza mengikut negeri-negeri.

Misalnya, menurut Enakmen Perlis, Melayu itu ditakrifkan sebagai seorang daripada bangsa Malaya atau orang keturunan Arab yang lazimnya berbahasa Melayu dan menganut agama Islam manakala bagi Enakmen 1913, Melayu adalah bangsa Malaya yang bertutur bahasa Melayu atau mana-mana bahasa Malaya dan menganut agama Islam.

Hakim Abdul Malik Ishak dalam kes Muthammah a/p Govindran v Masri Mohamed & Anor ada mengulas mengenai tanah rizab Melayu ini dengan menya­takan bahawa Enakmen Rizab Melayu bertujuan bagi negeri-negeri Melayu melindungi orang Melayu berhubung de­ngan kepentingan mereka di tanah simpanan Melayu.

Tambah beliau, sebarang transaksi untuk menjual, memperoleh atau percubaan untuk menjual atau memperoleh tanah simpanan Melayu yang bertentangan dengan enakmen-enakmen adalah tidak terpakai dan terbatal. Kes ini membuktikan tanah simpanan Melayu bukanlah sesuatu perkara baharu dan adanya undang-undang mengenainya sejak sebelum merdeka.

Justeru ini adalah satu hujah yang pramatang sekiranya terdapat pihak yang menyatakan amalan tanah simpanan Me­layu ini bersifat perkauman dan tidak relevan. Fakta sejarah serta undang-undang telah membuktikan kewujudan tanah simpanan Melayu dan ia dilindungi oleh undang-undang sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi.

Maka adalah menjadi tanggungjawab bagi kerajaan yang memerintah untuk melaksanakan wasiat Raja-Raja Melayu ini dan memelihara tanah rizab ­Melayu ini seperti mana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuesday, August 15, 2017

Presiden Sekadar Simbolik

Berubahkah nasib kaum Melayu di Singapura?
Jawatan Presiden Singa­pura, bunyinya gah sekali tetapi hanyalah simbolik tanpa memiliki sebarang kuasa politik.

Lantaran itu, tidak menghai­rankan jika ramai dalam ka­langan masyarakat Melayu di ne­gara pulau ini menyifatkan pemilihan mereka untuk menduduki kerusi ketua negara itu bukanlah perkara luar biasa atau ‘membanggakan’.

Malah belumpun lagi berlangsung pilihan raya presiden yang dijangka pada bulan depan, bekas Speaker Parlimen, Halimah Yacob, 62, sudah dicongak akan memenangi jawatan itu.

Selain berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam, Ha­limah juga dikhabarkan sebagai ‘individu terpilih’ oleh kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Lebih-lebih lagi kerana hu­bungannya dengan parti peme­rintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pernah menjadi ahli Parlimen mewakili PAP selama 16 tahun.

Tidak ramai yang mungkin percaya penegasan Hsien Loong sebelum ini bahawa beliau tidak mempunyai calon tertentu bagi jawatan itu, segala-galanya bergantung kepada mereka yang mahu bertanding manakala kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengaturnya.

Pada sisi lain, benarkah jawatan presiden itu hanya sekadar ‘boneka’ sedangkan selama 47 tahun jawatan itu didominasi oleh golongan bukan Melayu dan jika benar adakah presiden bukan Melayu sebelum ini selesa dengan gelaran itu.

Mungkinkah kerana kaum bukan Melayu di Singapura diberi keutamaan dan kelebihan dalam apa juga bidang maka presiden terlibat tidak perlu berhempas pulas untuk memikirkan nasib kaum masing-masing maka jawatan presiden adalah suatu kelebihan untuk mereka.

Justeru apabila seorang Me­layu memegang jawatan Pre­siden maka sudah pasti hala tuju kaum Melayu di Singapura diberi perhatian kerana kaum itu se­ring menyifatkan mereka sebagai golongan terpinggir di negara sendiri.

Maka bukan sahaja Halimah yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam per­khidmatan awam dan tiga tahun sebagai Speaker Parlimen malah calon lain juga mungkin ‘seharusnya’ memikirkan cara untuk menyelesaikan isu kaum Melayu di negara ini.

Kata Menteri Hal Ehwal Agama Islam republik itu, Yaacob Ibrahim, orang Melayu Singapura ketinggalan dalam bidang pendidikan dan sering dikaitkan dengan jenayah dan pengganas.

Mungkin pengharapan kaum Melayu di Singapura terhadap presiden baharu nanti tidaklah setinggi harapan mereka agar kaum Melayu diberi peluang memegang jawatan menteri kanan dalam Kabinet atau Perdana Menteri tetapi sekurang-kurangnya wujud ‘perubahan’ positif buat mereka.

Selain Halimah, jawatan presiden itu juga bakal ditan­dingi oleh Pengerusi Bourbon Offshore Asia Pacific, Farid Khan, 62, dan Ketua Eksekutif Second Chance Properties, Salleh Marican, 67.

Kata Halimah, walaupun Presiden Si­­ngapura tidak mempunyai ku­asa eksekutif tetapi jika terpilih beliau mahu membantu dalam membentuk ma­syarakat menerusi inisiatif dan ucap­annya.

“Saya tidak boleh membu­at dasar dan undang-undang tetapi saya mahu membina ma­syarakat yang progresif, menye­luruh, me­ngambil berat dan mempunyai rasa belas kasihan,” katanya.

Kira-kira 74 peratus rakyat Singapura berketurunan Cina manakala kaum Melayu mewakili 13 peratus dan kaum India pula hanya sembilan peratus daripada sejumlah 5.6 juta penduduk.- www.utusan.com.my

Wednesday, August 9, 2017

Malukah Melayu Dengan Fitrahnya?

MELAYU memang dah lama lupa asalnya, ke­rana malu akan dirinya, takut dikata sakailah pula.” - Seloka Melayu. Ketinggian adab dan pekerti bangsa Melayu bukan hanya kerana fitrah bangsanya.

Tetapi lebih utama lagi, kerana wujud pegangan agama Islam sebagai panduan hidup yang memperhaluskan kerapian bangsa Melayu. Ini jelas apabila dilihat daripada lipatan sejarah bagaimana seawal abad 15 lagi, ketika masyarakat bangsa asing masih tergapai-gapai dalam naratif bangsa mereka, bangsa Melayu di tanah air ini telahpun bergerak maju dan mengkanunkan undang-undang berdasarkan hukum syarak.

Sebagai sebuah bangsa, Melayu hidup bermaruah dan berprinsip berlandaskan aturan moral yang tinggi. Panduan hidup bangsa Melayu bukanlah hanya terpaksi kepada etika yang ditetapkan oleh adat masyarakat tetapi juga di­ikat dengan kekangan undang-undang yang menidakkan salah laku, terutama salah laku yang merosakkan bangsa.

Antaranya, undang-undang dalam Hukum Kanun Me­laka yang mengharamkan zina. Hikmah di sebalik pengharaman zina adalah mudah, yakni untuk memastikan salasilah keturunan bangsa Melayu terjaga.

Adakah waras jika niat murni untuk memelihara keturunan supaya bangsa ini tidak dipalit dalam kecelaruan, diambil sambil lewa dan diperkotak-katikkan? Semakin jahilkah bangsa Melayu sehingga kini ada yang menidakkan peraturan dan etika hidup bermasyarakat sehingga nasab anak dibuat isu permainan untuk disembangkan di jalanan tanpa nilai?

Pada 25 Julai lalu, keluar penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes ‘Bin Abdullah’, membenarkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang dilahirkan kurang dari 6 bulan selepas pernikahan ibubapanya untuk tidak menggunakan ‘Bin Abdullah’.

Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memetik pema­kaian Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 152) bagi membenarkan permohonan ibubapa kanak-kanak ini untuk dia dibinkan dengan nama bapanya.

Kritikan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan timbul kerana penghakiman ini dilihat bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam tahun 2003.

Fatwa itu menyebut: “Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.”

Terkini, pada 3 Ogos lalu, permohonan Jabatan Pendaftaran Negara untuk menggantung pelaksanaan penghakiman dalam kes ‘Bin Abdullah’ sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan diputuskan, turut ditolak. Adakah wujud gesaan untuk menutup ruang agar perkara ini didalami dan jika wujud khilaf, diperbetulkan?

Sudahlah penghakiman ini dibenarkan untuk menolak hukum syarak tentang nasab, lebih malang lagi apabila ada suara sumbang yang mempersoalkan hak maruah anak yang dilahirkan di luar nikah jika dibinkan dengan nama ‘Abdullah’.

Malah suara kotor ini menambah, pemakaian ‘Bin Abdullah’ adalah stigma yang memalukan anak luar nikah.

Hina sungguh martabat anak yang tidak berdosa ini sehingga suara-suara busuk ini menghilangkan darjat mereka.

Bagaimana mungkin hukum syarak dalam Islam menidakkan maruah anak luar nikah, sedangkan mereka dibinkan dengan nama bapa Nabi dan Rasul agung umat Islam?

Bertambah malang lagi apabila ahli parlimen yang de­ngan biadab dan angkuh mencadangkan agar pasangan bersekedudukan, baik yang beragama Islam atau bukan, diiktiraf sebagai sebuah unit keluarga bagi membolehkan pemakaian Akta Keganasan Rumah Tangga yang baru sahaja dipinda.

Apakah sudah hilang rasa malu bangsa ini sehingga kita sebegitu tega dan biadab terhadap fitrah bangsa? Adakah sudah hilang langsung nilai etika sehingga pasangan yang berkahwin menurut tuntutan moraliti bermasyarakat dianggap setaraf dan sama duduk dengan mereka yang memesongkan adab ketimuran?

Alasan yang diketengahkan hanyalah bualan dangkal kononnya kekasih yang bersekedudukan juga terlibat sebagai mangsa keganasan isi rumah. Maka hak mereka juga harus dibela.

Apakah sudah tiada Kanun Jenayah di negara ini sehinggakan mereka perlu diiktiraf khas dalam Akta Keganasan Rumah Tangga? Permainan kotor apakah yang sedang ahli politikus ini mainkan?

Penulis suka untuk mengingatkan diri sendiri dan masyarakat Malaysia bahawa bangsa Melayu ini hidup bermaruah.

Jangan kerana hanya rasa rendah diri atau kegilaan sesetengah orang yang berbangsa Melayu mengharapkan sokongan mereka yang tidak berkongsi fahaman berlandaskan agama Islam, kini timbul segala macam kerenah yang menidakkan didikan Islam yang menjadi pegangan bangsa Melayu. Biarlah mereka katakan Melayu itu ‘sakai’ sekali pun, bangsa ini tidak harus malu asalkan fitrah bangsa Mela­yu tidak lari daripada pegangan hidup bersyariat.


Thursday, August 3, 2017

Kisah Silam Jawa Mengutuk Mamak

Kebelakangan ini, terdapat beberapa perbincangan mengenai minoriti, iaitu golongan “Mamak” di negara kita.
Pertamanya, terdapat ura-ura untuk mengesahkan golongan India Muslim sebagai Bumiputera. Status itu sendiri, Bumiputera, sangat kontroversi dan kadang-kala sensitif untuk digunakan. Lebih-lebih lagi ia – status itu – menunjukkan terdapatnya satu padang yang tidak rata.

Sesungguhnya, status kaum Mamak sebagai Bumiputera di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu. Persatuan India Muslim Malaysia (Permim) pernah menyuarakan hasrat golongan ini dan menyatakan bukan semua daripada lebih 700 ribu India Muslim di negara ini terdiri daripada golongan berada.

Ramai berpendapat umpanan untuk memberikan kaum India Muslim status Bumiputera adalah taktik politik yang licik menjelang pilihan raya. Justeru, dedak politik tersebut kurang diperhatikan umum apabila ditabur kerana sasarannya kecil.

India Muslim kembali mendapat perhatian apabila status bangsa bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dikirai secara semberono. Maka perhatian kembali disorot kepada kaum Mamak.

Bukanlah satu rahsia sama sekali, golongan Mamak di alam Melayu berkuku dan berkuasa di bawah tampuk pemerintahan raja-raja Melayu sejak lama dahulu.

Mamak dari utara ke selatan
Ketika pemerintahan Sultan Muhammad Shah (1424), menantu Seri Nara Diraja adalah seorang India Muslim yang diberi nama Mani Purindam. Anaknya Tun Ali kemudian menjadi bendahara, dan cucunda Tun Ali, Raja Kassim ditabal menjadi sultan dikenali sebagai Sultan Muzaffar Shah.

Lama kelamaan, golongan Mamak terus menularkan pengaruhnya lantas memegang jabatan penting di era Kesultanan Melayu Melaka, antara lain Temenggong Tun Tahir, Bendahara Tun Mutahir dan Temenggong Tun Hassan.

Dalam rekod sejarah, secara senyap, terkesan pertembungan kuasa Jawa dan Mamak di istana Melaka khusus ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah yang akhirnya memenangkan kaum Mamak.

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis tidak mengecilkan pengaruh kaum India Muslim, malahan di utara Semenanjung, golongan Mamak memegang kantung duit kerana bakat berdagang dan berniaga mereka. Antara yang terkenal ialah Nabon Mamet Amichan yang menjual gajah untuk istana Melayu sekitar tahun 1577.

Di utara, kehadiran India Muslim jauh lebih awal dari pendudukan Inggeris di Pulau Pinang dalam tahun 1770. Di pulau itu, saudagar Kader Mydin Merican dan Muhammad Nordin Merican pesat membangunkan industri tekstil sehingga menjadi kaya-raya. Sehingga hari ini, golongan Mamak menunjukkan kebolehan berjual beli yang luar biasa dan itu terzahir pada restoran Mamak yang bercambahan.

Oleh kerana sumbangan besar yang diberikan, kaum Mamak merasakan mereka wajar diberi status Bumiputera.

Harus diingat, Mamak tidak boleh dipukul rata sebagai “India” sahaja kerana dalam kalangan mereka sendiri terdapat pecahan identiti yang lebih kompleks. Terdapat kaum India Muslim datang dari Kerala, Gujerat, Benggal dan ada juga yang berketurunan Pashtun. Di Kedah, dan Pulau Pinang mereka membekal sirih, membuka kedai runcit, atau barang kemas dan ada yang terlibat dalam industri pelayaran.

Reputasi Mamak yang bijak berniaga dan makmur-berada mendorong bangsawan Melayu untuk mengahwinkan anak gadis mereka dengan kaum itu.
Jika Sejarah Melayu mencatat pernikahan silang budaya antara Melayu dan India Muslim di Melaka sebelum 1511, maka bukan aneh jika Kader Mydin Merican sebagai contoh berjaya merebut hati puteri Kedah, Wan Maheran (lebih dikenal sebagai Mak Mah). Perkahwinan mereka itu berlangsung sekitar tahun 1821.

Kempen Wahhabi Jawa melawan Mamak
Kekuatan kaum India Muslim menimbulkan kedengkian kelompok tertentu yang lain.

Pada 1850, seorang Jawa yang dipengaruhi ajaran Wahhabi, Abdul Ghani, melancarkan kempen menidakkan kuasa kaum Mamak di Pulau Pinang dan Kedah.

Alasan Ghani adalah kaum Mamak terpesong daripada Al-Quran dan Sunnah. Terdapat banyak ritual kaum Mamak yang dipertikaikan Ghani, dengan alasan ia tidak menepati ajaran Islam sebenar.

Seperti disebutkan pengkaji, Erni Budiwanti dalam artikelnya “Malaysian Indian Muslim’s Oscillating Identity: Swinging Between Home and Host Countries”, India Muslim ikut menyambut (atau lebih tepat berkabung) di hari-hari kematian wali mereka antara lain Syeikh Abdul Kadir Jailani (antara 1-10 Rabiul Akhir), Syeikh Shahul Hamid (antara 1-10 Jumadil Akhir), atau Azmir Syarif (disambut antara 1-10 Rejab). Kaum Wahhabi seperti Ghani sangat rimas dengan sambutan sedemikian.

Lebih dahsyat menurut pemerhatian Ghani, sang Jawa yang dipengaruhi ajaran Wahhabi itu, pada 1850, terdapat pengaruh Syiah dalam ritual dan majlis anjuran kaum India Muslim.

J.D Vaughan, dalam ‘Notes on the Malays of Pinang and Privince Wellesley’ misalnya menyebutkan 10 hari Muharram diperuntukkan untuk perarakan perkabungan mengenang syahidnya Saidina Hussein di Karbala.

Sebetulnya, kekayaan budaya sufi dan kecintaan terhadap ahlul bait (keluarga Nabi) sangat mendasar dalam kehidupan harian kaum Mamak menyebabkan Ghani sang Wahhabi menjadi sangat alergik dan menyusun kempen membanteras amalan yang didakwa terkeluar dari Islam ini.

Mamak lawan balik
Kaum Mamak mengambil inisiatif membalas tindakan Ghani dengan hanya mendanai masjid, dan madrasah yang menggunakan bahasa vernakular, Tamil dan Benggali.

Usaha Ghani terus tertempelak dan makan diri. Kekuatan ekonomi kaum Mamak membolehkan mereka menyokong Liga Pemikir Bebas yang kemudian di sekitar Lebuh Chulia, Pulau Pinang, menjadi pangkalan kaum reformis atau Kaum Muda. Bersama-sama golongan Peranakan (Arab kacukan Melayu), Mamak mensasarkan kaum tradisionalis.

Meskipun kebanyakan yang terlibat dengan gerakan Kaum Muda itu terdiri daripada Malabari dan Chulia, kerjasama Arab-Mamak ini sangat mungkin kerana adanya faktor segelintir Mamak dari Kerala itu sendiri adalah daripada golongan kacuk Arab, atau dinamakan “Thangal”.

“Thangal” adalah golongan dari Yaman (Ba-Alawi) yang berhijrah ke Kerala, India dan menetap di sana sejak abad ke-17. Mereka kemudian berhijrah ke Malaya. Thangal juga antara lain menggunakan nama keluarga “Kutty” dan “Koya”.

Antara Thangal yang terkenal adalah Profesor K Ali Kutty Musliyar, bekas editor jurnal Sunni Afkar dan Sayyid Muhammad Jifri Muthu Koya, ulama terkenal Kerala graduan Darul Ulum Lucknow di India.

Justeru, kaum Thanghal tidak semestinya tepat dirujuk sebagai “Mamak”, malah di Kerala, Thangal adalah dihormati kerana darah keturunan Sayyid.

Seperti mana diperlihatkan, kewibawaan Mamak dalam bidang politik dan ekonomi sangat menyerlah dalam sejarah negara kita. Sukar untuk menafikan jasa dan sumbangan mereka begitu sahaja.

Mamak boleh melawan. Personaliti dan jati diri kaum India Muslim ini yang dasarnya adalah psikologi kelompok minoriti pendatang (immigrant psychology) menjadikan mereka berani. Itu juga mungkin menjadi kekuatan kempen balas untuk Ghani, sang Wahhabi Jawa, bagi menolak amalan tertentu kaum Mamak dalam 1850 gagal teruk.

Oleh:  Faisal Tehrani