BULAN Ramadan yang dinanti akhirnya tiba. Pada bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan diikat. Ini ialah sebuah kiasan untuk menggambarkan kemeriahan bulan suci ini dengan ibadah. Sekali gus melambangkan lemahnya kuasa nafsu dan syaitan dalam diri seorang Muslim yang berpuasa.
Sesiapa yang menyedari kebesaran Ramadan idak akan membiarkannya berlalu sia-sia. Sebaliknya, mereka akan mendapat motivasi untuk memanfaatkan setiap saat yang berlalu dalam Ramadan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Imam Abu Al-Qasim Al-Qusyairi bercerita: "Setiap kali tiba bulan Ramadan, Abu Bakar Al-Syibli meningkatkan amalan ibadahnya. Ia berkata: Ini ialah bulan yang diagungkan Allah. Maka aku mesti menjadi orang yang paling pertama mengagungkannya."
Demikian dalam kitab Al-Risalah Al-Qusyairiah. Abu Bakar al-Syibli ialah seorang ulama besar abad keempat hijrah.
Hikmah lapar
Ibadah yang paling utama pada bulan Ramadan ialah berpuasa. Kita diharamkan untuk makan dan minum kecuali bagi yang uzur. Itu kerana perut yang kosong dan rasa lapar ialah asas terpenting untuk proses pembersihan jiwa.
Kenikmatan ibadah sangat ditentukan oleh sejauh mana kita merasakan lapar dan dahaga.
Apabila tubuh terasa lemah, fikiran menjadi jernih dan ibadah terasa nikmat.
Kita akan merasakan indahnya terawih, membaca al-Quran, bangun tahajud di sepertiga malam, istighfar di waktu sahur dan pelbagai ibadah lainnya.
Maka itu, kita dituntut supaya pandai mengekang nafsu di waktu siang dengan memperbanyak aktiviti ibadah dan mengurangkan tidur.
Selain itu, kita juga mesti mahir mengikat nafsu di waktu malam terutama saat berbuka dengan mengawal pemakanan dalam had bersederhana.
Berkata Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din: "Di antara adab puasa ialah tidak memperbanyak tidur di waktu siang agar terasa lapar, haus dan kelemahan tubuh. Dengan begitu, hati akan menjadi terang. Disukai juga agar dikekalkan sebahagian daripada kelemahan tersebut pada waktu malam agar terasa ringan bangun tahajud dan membaca wirid."
Bulan makan
Sayangnya, sebahagian umat Islam masih menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan makan. Pelbagai juadah yang jarang dijumpai pada bulan-bulan yang lain dapat ditemui pada bulan ini.
Sejurus setelah azan Maghrib berkumandang, nafsu yang sejak pagi dikekang menjadi sangat liar. Bahkan lebih liar daripada bulan-bulan sebelumnya.
Selepas tarawih, pesta makan dilanjutkan hingga sukar bernafas kerana perut penuh dengan makanan dan minuman.
Puasa seperti ini sudah pasti bukan menjernihkan hati, malah menggelapkannya.
Saya pasti bukan seperti ini puasa yang dikehendaki oleh syarak. Sebab objektif puasa adalah untuk menciptakan insan bertakwa yang pandai mengekang nafsunya bukan hanya di waktu siang, namun juga di waktu malam.
Saatnya kita mengubah Ramadan kita menjadi lebih bermakna. Salah satu caranya adalah dengan meletakkan niat memperbaiki diri pada awal bulan Ramadan ini.
Bayangkan Ramadan ini ialah Ramadan kita yang terakhir. Setelah sebelas bulan memperturutkan nafsu, apa susahnya mempersembahkan satu bulan sahaja untuk Allah?
Semoga Allah selalu menunjukkan jalan yang menuju keredaan-Nya.
Oleh : Umar Muhammad Noor
No comments:
Post a Comment