Monday, May 1, 2017

Malaysia Guna Undang-Undang ‘Rimba’?

ISU kelemahan penguatkuasaan undang-undang Malaysia telah banyak kali ditimbulkan namun sehingga kini tiada kesudahannya. Sebaliknya keadaan bertambah teruk terutamanya melibatkan penguatkuasaan ke atas pengguna jalan raya. Berikut antara pemerhatian saya berkaitan isu tersebut.

*** 
Saya lihat seolah-olahnya tiada peruntukan undang-undang berkaitan nombor plat kenderaan. Lihat sahaja saiz plat kenderaan terlalu kecil, berbagai corak dan sebagainya berleluasa di jalan raya tidak kira sama ada kereta mewah mahupun kereta murah.

Berbeza di Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura, plat kenderaan mereka seragam malah di Indonesia, Vietnam, India dan Thailand juga begitu.

*** Negara ini juga seperti tidak mempunyai undang-undang berkaitan cermin gelap, penggunaan topi keledar, pelepasan asap kenderaan dan bunyi kenderaan. Bunyi kenderaan terlalu bising akibat ekzos yang diubahsuai misalnya amat menjengkelkan.

Kini lori pun telah mengubahsuai ekzos. Penunggang motosikal pula bebas tidak memakai topi keledar. Mana perginya penguat kuasa?

*** 
Sikap seperti acuh tidak acuh penguat kuasa menyuraikan kesesakan lalu lintas di kawasan terminal mengambil dan menurunkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Disebabkan tiada tindakan tegas termasuk saman maka pemandu bebas meletakkan kenderaan mereka secara berlapis-lapis di sepanjang laluan terminal itu sehingga menyukarkan orang ramai sekali gus menjejaskan imej negara.

Berbanding di Perancis, lapangan terbang mereka menggunakan sistem yang mengehadkan tempoh 10 minit ke atas semua kenderaan yang memasuki dua kawasan terminal itu, dan jika melebihi had masa, pemandu dikenakan denda tinggi apabila keluar dari kawasan itu. Untuk menjadi negara maju, kita sepatutnya mencontohi Perancis.

*** Mentaliti kelas ketiga sebahagian besar pemandu antaranya menyalahgunakan lorong kecemasan, merokok di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang telah diwartakan sebagai zon larangan merokok, membuang sampah dari kenderaan terutamanya botol air mineral serta memandu melebihi had laju sehingga menyebabkan pembahagi jalan di Malaysia paling banyak ranap akibat kemalangan yang masih belum menemui jalan penyelesaiannya.

Hakikatnya, pelaksanaan Sistem Keselamatan Ke­se­daran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Ma­ta Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dikuatkuasakan di seluruh negara mulai 1 April lalu melegakan kita.

Begitupun sistem tersebut perlu menggunakan kamera secara optimum bagi membolehkan pemandu melakukan pelbagai kesalahan jalan raya dikesan dan dikenakan tindakan. Jika belanjawan negara mencukupi, penguat kuasa berkenaan disediakan kemudahan helikopter untuk memantau had laju, penggunaan lorong kecemasan dan lain-lain kesalahan seperti dilakukan penguat kuasa di Amerika Syarikat.

Pada hemat saya, belum terlewat untuk melakukan perubahan kerana tentu kita tidak mahu Malaysia dilabel mengamalkan undang-undang rimba akibat penguatkuasaan yang lemah.

Pelaksanaan penguatkuasaan harus berterusan dan bukan bermusim.

Oleh : Pak Tua 

No comments:

Post a Comment