Thursday, March 30, 2017

Undang-undang Syariah Sebagai Warisan Leluhur

SATU debat berkenaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355) yang bertujuan untuk memperkasakan mahkamah syariah telah dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bebas pada 18 Mac lalu.

Pihak yang menyokong usul perdebatan itu agar RUU355 dijadikan undang-undang telah diwakili oleh Lukman Sheriff Alias dan Aidil Khalid, manakala bagi pihak yang menolak pula diwakili oleh Datuk Ambiga Sreenevasan dan juga Haris Ibrahim. Kesemua mereka ialah peguam dan juga aktivis dalam bidang masing-­masing.

Dalam banyak isu yang diketengahkan oleh para pembahas dalam debat tersebut, satu isu telah menarik perhatian penulis. Ia berkenaan dengan naratif yang digunakan untuk menterjemah Perlembagaan Persekutuan. Aidil dalam menyokong pindaan RUU355 telah mengulang tegas bahawa pindaan tersebut adalah seiring de­ngan semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang tinggi sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, dan ia harus diterjemah berdasarkan tradisi serta konteks sejarah negara.

Sementara itu bagi mewakili pihak yang menolak RUU355, Haris memilih untuk menjadi lebih selektif dalam menterjemah Perlembagaan Persekutuan dengan mengatakan bahawa pindaan dalam RUU355 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berdasarkan laporan Suruhanjaya Reid, Malaysia adalah sebuah negara sekular, oleh itu RUU355 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Di sini kita dapat lihat dua pihak yang memilih naratif berbeza dalam menterjemah semangat Perlembagaan Persekutuan. Satu pihak memilih untuk menterjemah Perlembagaan Persekutuan dengan cara melihat sejarah undang-undang negara secara menyeluruh, manakala satu lagi pihak memilih untuk menterjemah Perlembagaan Persekutuan sekadar berdasarkan kompromi perlembagaan yang dipersetujui di antara pihak kerajaan Inggeris dan wakil-wakil penduduk Tanah Melayu.

Penulis berpendapat, kebanyakan pihak yang memandang serong undang-undang syariah di Malaysia dan mengatakan bahawa undang-undang syariah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ­sebetulnya berpunca daripada kegagalan mereka untuk menghargai susur-galur sejarah undang-undang Tanah Melayu sebelum kedatangan kerajaan British. Mereka seharusnya faham, undang-undang syariah telah pun wujud di Tanah Melayu sebelum kedatangan British lagi dan kewujudan undang-undang syariah juga mendahului kewujudan undang-undang sivil di negara ini.

Undang-undang syariah seperti Hukum Kanun Melaka wujud di Tanah Melayu sejak kurun ke-13 lagi. Undang-undang tersebut telah dikumpul dan dikompilasikan ketika zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446 -1459). Ia merangkumi hal-hal berkaitan dengan jenayah, muamalat, hal ehwal kekeluargaan dan lain-lain. Hukum Kanun Melaka juga telah dijadikan sebagai model panduan oleh negeri-negeri lain di Tanah Melayu dalam menggubal undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Pahang pula telah memperkenalkan undang-undang yang berlandaskan syariah pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghafar (1592-1614). Begitu juga dengan ne­geri Johor, yang mana selain daripada menjadikan Hukum Kanun Melaka sebagai panduan dalam merangka undang-undang Syariah, pemerintah negeri Johor juga telah menjadikan undang-undang Islam dari negara Turki dan Mesir panduan kepada Majallah Ahkam Johor dan juga Ahkam Syariyyah Johor.

Adalah penting juga untuk diambil perhatian bahawa Johor telah memperkenalkan Perlembagaan Negeri Johor pada tahun 1895 yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negeri itu. Di Terengganu pula, undang-undang bercirikan hukum syariah telah digubal pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Selain itu, kewujudan Undang-Undang 99 Perak dan Undang-undang Perak 1878 menjadi bukti akan kewujudan undang-undang Islam di Tanah Melayu.

Justeru, adalah sukar untuk menterjemah Perlembagaan Persekutuan tanpa mengambil kira sejarah undang-undang di Malaysia secara menyeluruh. Ini kerana sejarah undang-undang di Malaysia yang diwarnai dengan prinsip syariah dan juga adat-adat tempatan wujud sebelum Perlembagaan Persekutuan Malaysia dirangka.

Hal ini diakui oleh Hakim Inggeris dalam kes Ramah Ta‘at v. Laton binte Malim Sutan (1927) di mana majoriti hakim Inggeris yang mendengar kes tersebut mengakui undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing sebaliknya adalah undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

Oleh itu, penulis berpendapat adalah satu kesilapan besar sekiranya Perlembagaan Persekutuan diterjemah tanpa mengambil kira sejarah undang-undang di Tanah Melayu. Hukum Syariah bukanlah semata-mata undang-undang Islam tetapi juga warisan leluhur yang seharus­nya dipertahankan oleh anak watan Tanah Melayu. Sebarang ruang untuk memperkasakan dan memartabatkan warisan sejarah kita, haruslah dihormati setiap pihak.

Oleh : Fariz Ariffin M. Noor

2 comments:

  1. Very informative, keep posting such good articles, it really helps to know about things.

    ReplyDelete
  2. Hey keep posting such good and meaningful articles.

    ReplyDelete