Realitinya China sendiri menggunakan bahasa Melayu sejak 671M melalui seorang Buddha, I-tsing yang singgah di Palembang dalam pelayarannya ke India. Apabila Panglima Cheng Ho datang ke Melaka antara 1430-1450M, dia berbahasa Melayu. Malah, legenda Puteri Hang Li Po yang berkahwin dengan Raja Melaka pun fasih berbahasa Melayu. Penghasilan kitab-kitab perundangan, agama, kesusasteraan, falsafah turut menggunakan bahasa Melayu. Buku-buku dan kitab ini yang merentasi kepulauan Melayu di Nusantara.
Menelusuri sejarah tamadun dunia, Arab, China, Jerman, Perancis, England, Amerika Syarikat, Rusia, Korea dan Jepun - semuanya bangkit dan menggapai kemajuan melalui bahasa sendiri. Negara Eropah Timur juga maju dengan bahasa sendiri termasuklah Finland, Norway, Denmark, Austria dan Switzerland.
Negara-negara itu menguasai bahasa asing lain dengan baik tetapi tetap mengekalkan bahasa sendiri untuk kegunaan dalam negara. Jepun misalnya dengan konsep wakon yohsai iaitu semangat Jepun dengan teknologi barat tetap mengekalkan bahasa dan kebudayaannya. Dan terbukti akhirnya berjaya memanfaatkan teknologi barat demi kemajuan negaranya. Budaya, bahasa dan semangatnya kekal dan kental, jati dirinya tetap kukuh. Jepun pernah menggunakan bahasa Rusia dan Jerman untuk mengajar teknologi kepada rakyatnya, tetapi gagal dan akhirnya kembali menggunakan bahasa sendiri.
Ekologi sesebuah negara merangkumi bahasa dan budayanya. China umpamanya tetap menyebarkan pengaruh dan hegemoninya ke seluruh dunia dengan bahasa, budaya dan China Town yang berselerak sehingga ke Kanada, Amerika Syarikat, Britain serta negara lain. Sepatutnya Malaysia mencontohi China, Jepun, Jerman dan Perancis yang berusaha untuk maju dengan acuan sendiri. Berfikir secara global tetapi bertindak secara lokal tidak akan hilang budaya dan jati diri.
Lihat sahaja psikologi dan bahasa orang kita. Apabila bercakap dengan orang Cina, bahasa Melayu dituturkan dalam lenggok bahasa Cina. Apabila bertutur dengan orang India, bahasanya menjadi lenggok bahasa orang India. Gelagat sebegini kononnya kerana mengutamakan pelanggan atau tetamu seperti ungkapan Mak Si Randang hingga sanggup membiarkan anak sendiri kelaparan demi menjamu tetamu. Bahasa asing khususnya Inggeris diutamakan pula hingga sanggup membuang bahasa sendiri.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak merdeka telah menghasilkan ratusan ribu istilah pelbagai bidang ilmu untuk dimanfaatkan dalam pengajaran ilmu. Usaha ini tentunya sia-sia jika bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa ilmu.
Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970 adalah kemuncak perjuangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi di samping membuktikan keupayaan bahasa Melayu untuk mengajarkan segala ilmu sains dan teknologi seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya, bukan ilmu kesusasteraan atau kemanusiaan semata-mata. Ketika itu lebih lima juta rakyat terpelajar negara ini terhasil dalam sistem pendidikan kebangsaan sehingga menjadi ahli korporat, teknokrat, pakar pelbagai bidang termasuk bidang sains dan teknologi, bidang aeroangkasa. Malah banyak menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD di luar negara.
Bahasa Melayu diakui oleh sarjana dan pemikir barat sebagai bahasa yang mempunyai kekuatan tersendiri. Salah satu kekuatan bahasa Melayu ialah secara fitrahnya bahasa menepati sistem fonemik antarabangsa. Mengikut Mario Pei, sistem fonemik ialah sesuatu ejaan mengikut bunyinya atau bunyi sesuatu kata itu mengikut ejaannya. Suku kata ‘ba’ dalam bahasa Melayu bunyinya tetap ‘ba’ sama ada hadir di depan, tengah atau akhir kata seperti ‘ba-ta, ter-ba-lik, ra-ba’. Bahasa lain yang juga mengikut sistem fonemik ini ialah bahasa Jepun. Dalam bahasa Jepun ‘terima kasih disebut ‘arigato gozaimasu’ dengan bunyi ‘a-ri-ga-to go-zai-ma-su’. Justeru bahasa Melayu tidak patut dipinggirkan oleh penuturnya khususnya rakyat negara ini.
Bahasa Melayu wajib menguasai semua aspek kehidupan - bidang pendidikan, perhubungan seharian, urusan rasmi, ekonomi, perdagangan dan penyelidikan. Bahasa Melayu yang disertai bahasa Indonesia sudah cukup kuat untuk berdiri sendiri. Cukup kuat untuk dijadikan bahasa ASEAN atau salah satu bahasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penutur lebih 300 juta.
Hairan sekali jika bahasa kelima terbanyak penuturnya di dunia tidak dijadikan salah satu bahasa rasmi pertuturan di PBB apatah lagi sebagai bahasa rasmi ASEAN di Nusantara tempat asal-usulnya. Di Singapura bahasa Melayu salah satu bahasa rasminya. Bahasa rasmi Filipina, Tagalog juga adalah salah satu rumpun bahasa Melayu di Nusantara. Di Kemboja juga bahasa Melayu dituturkan di beberapa bahagian di sana. Dari segi kerahsiaan dan keselamatan penggunaan bahasa sendiri, bahasa Melayu ada kelebihannya. Semuanya digariskan dengan lengkap dalam perancangan strategik DBP, pengajaran di universiti dan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam. Cuma sekarang, majoritinya menjadi hiasan lembaran kertas tanpa nyawa dan diabaikan.
Tokoh Bahasa, Datuk Dr. Awang Sariyan yang juga Penyandang Kursi Pengajian Melayu di BPSU, China dalam kertas kerjanya seminar Bahasa dan Pendidikan 2016, menarik perhatian mengenai perancangan berkaitan taraf dan peranan bahasa Melayu. Antara yang disyorkannya:
i. Penguatkuasaan dan pemantauan untuk memastikan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa tonggak tamadun keseluruhannya.
ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu diperluas penggunaannya. Tidak harus wujud lagi pengecualian yang tidak munasabah misalnya penggunaannya dalam sistem kehakiman dan ekonomi.
iii. Bahasa Melayu sebagai subjek wajib termasuk di institusi pengajian tinggi swasta.
iv. Ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa terutama dalam bidang pentadbiran. Dalam fasa seterusnya, Program Audit Bahasa Melayu digerakkan dalam sektor ekonomi dan perdagangan, bermula dengan syarikat milik kerajaan (GLC).
Bahasa Melayu mestilah benar-benar diberi martabat sewajarnya sebagaimana Perancis, Jerman, Rusia, Jepun, Korea dan China, memberi martabat kepada bahasa mereka. Negara-negara tersebut tetap maju walaupun menggunakan bahasa sendiri. Ini jelas membuktikan adalah suatu kenyataan yang palsu bahawa kemajuan boleh dicapai melalui bahasa Inggeris sahaja.
Oleh : Datok Mohd. Nizar Sudin
No comments:
Post a Comment